Foto Ceria Bapa Dan Anak Syria Ini Menang Anugerah, Simpan Kisah Menyayat Hati

Kisah Foto Bapa Dan Anak Syria Siena Awards

Foto ceria yang memaparkan seorang bapa dan anak yang tidak mempunyai tubuh badan sempurna begitu ceria ini telah meraih anugerah tertinggi bersempena Anugerah Foto Antarabangsa Siena 2021.

Foto yang dirakam oleh seorang jurufoto bernama Mehmet Aslan ini sebenarnya menyimpan seribu satu kisah yang begitu menyayat hati.

Menurut laporan, kejadian menyayat hati berlaku pada keluarga itu saat bom meletup di bandar Idlib, Barat laut Syria.

Ketika kejadian, Munzir Al-Nazzal dilaporkan sedang berjalan menuju ke bandar tersebut dan telah kehilangan kaki kanannya akibat letupan itu.

Namun, kesengsaraan yang dialami Munzir itu bukanlah pada dirinya tetapi terhadap anaknya Mustafa. Anaknya telah dilahirkan tanpa anggota badan itu tidak mempunyai kedua-dua belah tangan dan kaki.

Berlaku ketika Perang Syria, isterinya Zeinab tidak sengaja terhidu gas sewaktu mengandungkan anaknya.

Kisah Foto Bapa Dan Anak Syria Siena Awards
Sumber: History

Oleh sebab itu, Zeinab terpaksa mengambil ubat yang berlebihna dan keadaan itu telah mengakibatkan gangguan perkembangan saraf anaknya. Anak mereka mengalami sindorm tetra-amelia yang telah menyebabkan kecacatan anggota badan.

Mereka kemudiannya meninggalkan Syria dan menetap sebuah daerah di Turki sehinggalah bertemu dengan jurugambar Mehmet Aslan yang juga rakan mereka.

Menurut Mehmet, kisah kehidupan keluarga Munzir telah memberi kesan yang mendalam buat dirinya mengenai kepayahan hidup menghadapi peperangan. Foto itu turut dimuat naik menerusi akaun Instagram miliknya.

“Perang secara umumnya, adalah isu yang ada di seluruh pelosok dunia, disebabkan itu saya mula mengambil gambar berkenaan isu ini.

“Tetapi pada saya keluarga ini memberi kesan kepada saya mengenai situasi sukar yang telah mereka hadapi di saat perang tersebut berlaku.

“Saya tak sangka gambar ini akan mendapat jumlah perhatian yang sangat memberangsangkan, kerana pada saya gambar ini adalah sumber kebahagiaan bagi saya” katanya.

Kisah Foto Bapa Dan Anak Syria Siena Awards
Sumber: IG Mehmet Aslan

Sumber: SBS News

“Patutlah Asyik Salah Saiz” – Ramai Baru Sedar Rupanya Ada Perbezaan Ukuran ‘Tali Tape’

Ukuran Saiz Tali Tape China UK Lain

Rupanya Ada Perbezaan Ukuran ‘Tali Tape’?

Pernah tidak anda mengalami pengalaman tersalah pilih saiz pakaian terutama apabila membelinya dalam talian walaupun telah pasti mengukurnya dengan tepat?

Pastinya tertanya bagaimana hal ini boleh jadi sebegini, bukan? Berkemungkinan ukuran yang kita gunakan sebenarnya berbeza dengan ukuran yang digunakan si penjual!

Apakah yang dimaksudkan dengan berbeza ukuran? Bukankah ukuran mahupun saiz itu sudah standard?

Ukuran Saiz Tali Tape China UK Lain

Perkongsian tentang perbezaan ukuran saiz menggunakan ‘tali tape’ atau pita ukur ini telah menarik perhatian ramai, rata-ratanya baru mengetahui perbezaan tersebut.

Menurut perkongsian seorang pengguna @cikguzel di Twitter, ada perbezaan ukuran pita ukur yang terdapat di Malaysia.

Lazimnya, kita akan mendapati tiga jenis warna pita ukur iaitu kuning, hijau dan putih. Walau bagaimanapun, jika diperhatikan terdapat perbezaan ukuran inci antara pita ukur tersebut.

Menurut wanita itu, pita ukur warna hijau dan kuning untuk mengukur pakaian yang sudah siap dijahit. Manakala warna putih untuk pakaian yang mahu dijahit.

Ukuran Saiz Tali Tape China UK Lain
Sumber: Twitter

Maka, tidak hairanlah timbul isu salah saiz kerana terdapat perbezaan dari segi ukuran inci yang digunakan di United Kingdom (UK) dan China.

Namun begitu, perlu guna pita ukur hijau atau kuning jika hendak membeli pakaian dalam talian di Malaysia kerana kita menggunakan sistem inci UK.

Ada juga yang mengatakan ukuran itu tidak mengikut tetapan warna pada pita ukur, kerana boleh jadi ukuran inci UK ada pada pita ukur warna putih. Justeru, cara lebih selamat untuk mengetahui saiz inci yang sebetulnya:

1. Semak dengan pembaris sm
2. Jika tulis cun (市寸) = China
3. Ada 7 senggat antara inci = UK

Berdasarkan perkongsian itu, kita sebagai pembeli dinasihatkan agar menggunakan ukuran inci mengikut standard UK sekiranya mahu membeli pakaian secara dalam talian di Malaysia.

Manakala, jika pembeli membeli pakaian yang diimport dari China mereka boleh memilih untuk menggunakan ukuran inci UK atau lebih selamat gunakan ukuran dalam bentuk sentimeter.

Sumber: Twitter cikguzel

Hari Mantai: Tradisi Melapah Daging Sehari Sebelum Ramadan Masyarakat Negeri Sembilan

Hari Mantai Sebelum Ramadan

Mantai, tradisi melapah daging sehari sebelum Ramadan masyarakat Negeri Sembilan.

Bulan Ramadan ialah bulan istimewa bagi umat Islam seluruh dunia. Ramadan bukan hanya mengenai menahan lapar dan dahaga, tetapi untuk kita membuat lebih banyak amal ibadat.

Setiap negara yang ada masyarakat Muslim meraikan bulan Ramadan dengan budaya masing-masing yang telah diamalkan sejak turun-temurun. Rata-rata rakyat Malaysia menyambut kedatangan Ramadan dengan pemberian bubur lambuk yang dimasak para jemaah masjid dan surau kepada orang ramai.

Namun, masyarakat di Negeri Sembilan lebih meriah menyambut kedatangan Ramadan dengan aktiviti mantai iaitu salah satu tradisi masyarakat di negeri ini yang sinonim dengan Adat Perpatih.

Hari Mantai kebiasaannya disambut oleh penduduk di beberapa daerah di negeri ini termasuk Seremban, Rembau, Jelebu, Jempol dan Tampin.

Bagi orang ramai yang bukan berasal dari negeri itu, pastinya akan tertanya-tanya apakah itu Hari Mantai. Hal ini kerana perkataan itu jarang sekali didengari, apatah lagi diketahui oleh sebahagian besar masyarakat negara ini.

Mantai dalam dialek masyarakat Negeri Sembilan yang asalnya perkataan membantai. Ia tentang hari atau malam melapah daging sembelihan iaitu sehari sebelum ketibaan bulan Ramadan ataupun Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Hari Mantai Sebelum Ramadan
Sumber: Muzium Negeri Sembilan

Apabila tibanya Hari Mantai, pastinya riuh-rendah kerana ketika itu para penternak lembu di dalam kampung itu akan menyembelih, melapah lembu dan menjualnya pada harga yang murah berbanding harga pasaran.

Tempat mantai yang strategik di simpang atau tepi jalan kampung yang mana daging telah siap dilapah digantung. Pada zaman dahulu terdapat istilah yang dinamakan sebagai “cincang pelupuh” yang mempunyai kaitan dengan mantai namun kini istilah itu telah pun lupus mungkin disebabkan peredaran zaman yang pesat dan serba moden. Cincang pelupuh bermaksud daun daripada sebatang potong yang bernama pelupuh yang menjadi alas daging lembu serta kerbau yang telah dilapah.

Hari Mantai Sebelum Ramadan
Sumber: Muzium Negeri Sembilan

Penduduk-penduduk kampung pula akan bergotong rotong ‘melemang’ (membakar lemang) dan memasak rendang bersama anak-beranak dan saudara-mara. Ia menunjukkan Adat Pepatih yang diamalkan di Negeri Sembilan mementingkan musyawarah, muafakat dan perpaduan hingga mereka sanggup mengambil cuti tahunan semata-mata untuk pulang tidak melepaskan peluang dengan aktiviti tradisi ini.

Kemuncak mantai ialah ketika makan bersama keluarga dan sanak-saudara, kemudian bertukar-tukar atau berkongsi makanan yang dimasak. Malamnya pula, penduduk akan bersiap-sedia untuk ke masjid menunaikan solat isyak dan sunat terawih malam pertama Ramadan.

Bagaimanapun, sambutan Ramadan pada tahun 2020 ini amat berbeza bagi masyarakat Negeri Sembeilan kerana tiada program yang diadakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini.

Sumber: BHMuzium Negeri Sembilan

Amalan ‘Spotcheck’ Pelajar Datang Bulan Di Sekolah Adalah Gangguan Seksual

Spotcheck Datang Bulan Pelajar Gangguan Seksual

Amalan ‘Spotcheck’ Pelajar Datang Bulan Di Sekolah.

Zaman persekolahan merupakan zaman yang paling diingati ramai kerana begitu banyak kenangan pahit dan manis bersama kawan-kawan.

Ada kalanya, kita semua mengalami tekanan seperti menghadapi peperiksaan, kerja sekolah dan sebagainya.

Tetapi bagi pelajar perempuan terutama mereka yang bersekolah asrama, ada satu pengalaman yang mendebarkan apabila terpaksa menunjukkan tuala wanita untuk membuktikan datang bulan ketika perlu solat berjemaah.

Dan amalan spotcheck pelajar secara fizikal ini dikatakan sudah berlaku sejak 20 tahun lalu, menurut pengalaman pelajar dan bekas pelajar di beberapa buah sekolah.

Guru, warden asrama dan pengawas yang bertugas akan meminta pelajar perempuan menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada alat sulit dengan kapas, tisu atau jari mereka untuk membuktikan mereka tidak boleh bersolat jemaah kerana mengalami haid.

Bukan itu sahaja, pelajar juga diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita.

Isu ini berbangkit semula apabila seorang pengguna Twitter, @nalisaaliaamin berkongsikan masalah itu dan meminta mangsa yang berdepan situasi sama menceritakan pengalaman masing-masing dengan ditutup identiti mereka.

Ramai pelajar tampil berkongsi pengalaman tersebut dan mengatakan amalan memalukan itu perlu dihentikan.

Memetik sumber Malaysiakini, pakar obstetrik dan ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) dari Fakulti Perubatan UKM, Dr Harlina Halizah Siraj berkata tindakan sedemikian mengganggu privasi wanita.

Begitu juga dengan kenyataan Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR Fadhlina Sidek, berkata tindakan memeriksa bahagian alat sulit anak gadis untuk memastikan sama ada datang haid atau tidak adalah gangguan seksual, kesalahan membuli, dan boleh menganggu emosi mereka yang diperiksa.

Spotcheck Datang Bulan Pelajar Gangguan Seksual
Gambar Hiasan

Isu ini juga turut mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor yang mengatakan sesiapa pun tidak wajar memalukan seseorang dengan memeriksa bahagian sulit individu tersebut meskipun dengan apa-apa alasan sekalipun.

“Agama Islam melarang keras umatnya melihat aurat orang lain walaupun dengan alasan untuk melaksanakan kewajipan yang dituntut seperti untuk menghalang seorang pelajar perempuan daripada berdalih untuk meninggalkan kewajipan solat,” katanya.

Jelasnya, Islam sememangnya mewajibkan setiap penganutnya mendirikan solat lima waktu tetapi ia tidak bererti ia membenarkan para pelajar diperlakukan sedemikian rupa.

Seharusnya, orang dewasa perlu mendidik anak untuk bercakap benar dan ada rasa tanggungjawab serta mengajar mereka untuk bersolat.

Perkara ini juga menggesa supaya Kementerian Pelajaran dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) meneliti isu tersebut dengan berkesan.

Sumber: MalaysiaKini

Rasmi Sebagai Menara Kedua Tertinggi Di Dunia, Apa Yang Menarik Tentang Merdeka 118?

Menara 118 Kedua Tertinggi Di Dunia

Merdeka 118 Rasmi Sebagai Menara Kedua Tertinggi Di Dunia.

Bagi mereka yang sentiasa berulang-alik kerja melalui jalan sekitar sebuah bangunan yang semakin lama semakin tinggi ini pasti tahu tentang kewujudan menara Merdeka 118, bukan?

Malaysia akan mencatat satu lagi rekod dunia apabila bangunan ikonik Permodalan Nasional Berhad (PNB) ini telah pun disempurnakan pemasangan puncak menara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.

Kedua Tertinggi di Dunia

Lengkapnya pemasangan puncak Menara Merdeka 118 menjadikannya menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa secara rasmi dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 678.9 meter.

Sebelum ini, kedudukan menara kedua tertinggi itu telah dipegang oleh Shanghai Tower pada ketinggian 632 meter.

Bagi yang belum tahu, Merdeka 118 yang diinspirasikan dari figura Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Al-Haj ketika melaungkan merdeka.

Namanya pula diambil menerusi mercu tanda sejarah negara iaitu Stadium Negara dan Stadium Merdeka kerana lokasinya yang menghadap kedua-dua mercu tanda itu.

Menara 118 Kedua Tertinggi Di Dunia
Menara 118 Kedua Tertinggi Di Dunia

Apa yang menarik tentang menara Merdeka 118?

Merdeka 118 dibina dengan nilai RM5 bilion dibangunkan dalam tiga fasa di tanah berkeluasan 19 ekar di kawasan bersejarah di Kuala Lumpur. Ia dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir tahun 2022

Difahamkan, menara tersebut kini sudah siap 85 peratus, dengan pemasangan lantai menara telah mencapai Tingkat 118 manakala pemasangan panel kaca telah dipasang hingga ke Tingkat 114.

Kata, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, puncak menara itu berukuran 160 meter dengan berat 1,015 tan iaitu bersamaan dengan berat 852 buah kereta Proton Saga.

1. Merdeka 118 terletak di lokasi yang sama dengan beberapa bangunan bersejarah negara seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara, Victoria Institution dan Stadium Chin Woo.

2. Dari arah selatan, presint Merdeka 118 bermula dengan sebuah bangunan anjung tinjau iaitu Look at 118 yang akan menempatkan muzium tekstil, kafe, kedai cenderamata dan anjung tinjau.

3. Di sebelah anjung tinjau, akan dibina sebuah masjid yang mampu menampung seramai 3,000 orang jemaah dinamakan Masjid Merdeka.

4. Dek pemerhatian yang terletak di atas menara yang merupakan dek pemerhatian tertinggi di Asia Tenggara, yang mana pengunjung boleh menikmati panorama 360 darjah bandaraya Kuala Lumpur serta melakukan aktiviti-aktiviti mencabar di situ.

Menara 118 Kedua Tertinggi Di Dunia

5. Sebuah pusat beli-belah yang bersebelahan dengan Stadium Negara, dihubungkan terus dengan stesen MRT Merdeka.

6. Tiga menara kediaman akan dilancarkan pada 2023, dua daripadanya adalah Merdeka Residences dan sebuah lagi adalah Oakwood Premier Serviced Residence serta 17 tingkat tertinggi menara yang akan menempatkan Hotel Park Hyatt Kuala Lumpur yang pertama di Malaysia.

Sumber: Utusan Malaysia

Pandangan Residen Jeneral Tanah Melayu Terhadap Orang Melayu Zaman Dahulu

orang melayu

Tahukah anda, terdapat satu buku tulisan seorang Mat Saleh mengenai orang Melayu pernah diterbitkan pada zaman dahulu? Buku yang bertajuk Malay Sketches ini ditulis oleh Frank Swettenham, seorang Residen Jeneral di Tanah Melayu dahulu.

Kisah ini diperjelaskan oleh hantaran Facebook Page Seri Cendekiawan. Jom kita ikuti penulisan ini.

Pandangan Frank Swettenhem tentang Melayu

Sir Frank Athelstane Swettenham (1850-1946) merupakan Residen-Jeneral pertama untuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Beliau telah menulis sebuah buku yang bertajuk Malay Sketches yang diterjemahkan sebagai Perihal Orang Melayu berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun beliau di Tanah Melayu.

orang melayu

Sebagai seorang pegawai, beliau masak benar dengan perangai orang Melayu dan semua perangai orang Melayu sama ada baik atau buruk ditulis oleh beliau di dalam buku ini.

Oleh itu, buku ini merupakan rujukan utama kita untuk mengetahui perangai orang Melayu pada waktu silam.

Frank Swettenhem menggambarkan orang Melayu sebagai seorang yang mempunyai susuk badan yang rendah tapi sasa, berambut hitam dan lurus dengan kulit yang berwarna sawo matang serta berhidung kembang dengan bibir yang tebal. Orang Melayu juga dikatakan mempunyai mata yang terang.

Orang Melayu juga mempunyai sifat yang baik seperti bersopan santun, beradab serta peramah. Namun begitu, orang melayu tidak sewenangnya mempercayai orang asing, malah mereka ini bijak menyembunyikan kesangsian mereka dengan perawakan yang ramah.

Ini merupakan perkara biasa dalam kalangan orang Melayu, mereka memang akan menggunakan keramahan mereka itu untuk menutup rasa sangsi kepada orang lain bukan sahaja kepada orang asing bahkan kepada orang yang tidak dikenalinya. Frank Swettenham juga turut menggambarkan orang Melayu sebagai bijak berbicara, susun kata mereka disulami dengan jenaka malah amat gemar berseloroh.

Orang melayu sangat cermat dan terang hati dalam menerima pelajaran. Malah jika ditambah dengan usaha dan keazaman yang tinggi, orang melayu mampu menghasilkan sesuatu yang lebih daripada apa yang mereka pelajari. Namun malangnya kebolehan ini disia-siakan oleh orang Melayu dengan sifat malas dan lebih teruk sekarang ini orang Melayu lebih suka dengan budaya hedonism sehingga mengabaikan aspek-aspek keilmuan.

Selain itu, Frank Swettehem turut menulis bahawa orang Melayu mempunyai bakat dalam bersukan malah binatang sebesar gajah pun bisa ditangkap dan dijinakkan.

Sebagai nelayan pula, orang melayu sangat berkemahiran sehingga sanggup bermalam diatas bot dan ia sudah menjadi kelaziman bagi mereka.

Orang Melayu juga sangat menjaga kebersihan diri dan kebanyakkan mereka mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan suka berhias serta berpakaian kemas. Orang melayu juga mempunyai sikap dimana mereka tidak boleh bertolak ansur jika difitnah, malah mereka sanggup bertumpahan darah demi menentang fitnah tersebut.

Dan orang Melayu sanggup melakukan amuk untuk menegakkan hak mereka. Orang melayu sangat memuliakan tetamu bahkan mereka sanggup menghidangkan makanan mereka untuk tetamu.

Orang Melayu juga merupakan Muslim yang taat, malah sanggup diseksa demi mempertahankan kesucian agamanya. Walaupun begitu, orang Melayu dilihat tidak terlalu taksub dalam beragama.

Mereka tidak minum minuman keras serta jarang sangat terlibat dengan aktiviti menghisap ganja, walaupun pada zaman itu perbuatan menghisap ganja adalah sesuatu yang bisa dikalangan masyarakat biasa dan para pemimpin.

Walaupun taat pada agama namun orang Melayu pada waktu itu suka berjudi dan percaya kepada perkara khurafat. Orang Melayu ini sangat taat dalam beragama sehingga menyebabkan kebanyakkan mubaligh kristian berputus ada dalam usaha mengkristiankan mereka pada zaman itu.

Lelaki yang kaya pula sering menggunakan kemampuan mereka dari segi kekayaan mahupun kekuasaan sebagai alasan untuk berkahwin lebih dari seorang. Walaupun mereka tidak mampu berlaku adil.

Menurut Swettenham lagi, orang melayu sangat bijak dalam berfalsafah dalam soal hal ehwal rumahtangga. Wanita Melayu pula digambarkan sebagai seorang yang bijak bertutur, pandai mengambil hati serta kuat berahsia. Wanita melayu juga peramah, walaupun adakalanya kuat cemburu. Tatkala mencapai usia 40 tahun, mereka mula memperlihatkan kecenderungan meminati barangan kemas dan pakaian yang cantik.

Wanita Melayu yang dewasa turut suka kepada barangan mewah seperti kuda. Yang paling penting, orang Melayu sangat bangga dan sayangkan negeri dan bangsa mereka. Orang Melayu juga sangat memelihara adat dan budaya mereka. Orang melayu juga sangat taatkan raja dan pemimpin. Adat memberi hadiah, sama ada dari raja kepada rakyat atau rakyat kepada pemerintah sudah menjadi budaya.

orang melayu

Walaupun begitu, secara adil, Frank Swettenhem turut menggambar beberapa sifat buruk orang Melayu seperti:

1) Liat untuk membayar balik.

2) Suka mengambil tahu hal ehwal jiran tetangga ataupun mengumpat.

3) Percaya kepada karut marut.

4) Suka berjudi, bersabung ayam, lembu dan perkara yang seumpamanya.

5) Tidak mudah menerima sebarang perubahan.

6) Malas sehingga perkara yang rutin pun turut dilalaikan.

7) Tidak menghargai masa.

8) Rumah dilihat tidak kemas, malah kotor.

9) Orang Melayu zaman itu suka berdendam, dan jika dendam itu tidak dapat dibalas pada orang yang sepatutnya, sesiapa sahaja yang kebetulan berada berhampiran akan menjadi mangsa, tidak kira lelaki atau perempuan, tua atau muda.

10) Orang Melayu suka mengamuk.

11) Walaupun orang Melayu suka berbudi, mereka sebenarnya mengharapkan balasan.

12) Orang Melayu suka berpuak-puak.

13) Orang Melayu amat menitik beratkan soal darjat serta keturunan, terutama dalam soal perkahwinan.

14) Orang Melayu pantang menerima sebarang penghinaan, padanya hal ini harus dihapuskan sekalipun dengan pertumpahan darah. Jika dia merasa maruahnya dicemarkan, sama ada hal itu betul atau tidak, dia menyimpan perasaan itu dalam hatinya sehingga dia betul-betul dihantui dengan niat untuk menuntut bela.

15) Wanita melayu kuat cemburu.

Selepas membaca maklumat di atas, adakah anda sebagai orang Melayu bersetuju dengan kenyataan yang telah diberi?

Sumber: Facebook Page Seri Cendekiawan

Bahaya Najis Cicak Boleh Bawa Penyakit, Ini 7 Petua Atasi Masalah Yang Anda Boleh Cuba

Petua Atasi Masalah Najis Cicak

Kehadiran cicak di rumah pasti tidak disenangi lebih-lebih lagi kepada mereka yang geli dengan reptilia ini.

Menerusi satu perkongsian di laman Facebook Public Health Malaysia (PHM), memaklumkan antara kawasan berisiko tinggi terdedah dengan najis tersebut adalah sekolah, institusi pendidikan dan tempat pemindahan mangsa banjir yang berlaku baru-baru ini.

Menurut PHM, menghirup habuk atau titisan air yang mengandungi najis burung yang tercemar boleh membawa kepada beberapa penyakit seperti selesema yang dipanggil psittacosis.

“Selain itu jangkitan Salmonella juga mungkin berlaku disebabkan jangkitan kuman yang boleh mangakibatkan cirit-birit, mungkin juga terdapat dalam beberapa najis burung.

“Ia juga berpotensi menyebabkan berlakunya alahan kulit,” katanya.

Public Health Malaysia@health_malaysia Persekitaran bebas dari bahan iritasi seperti najis unggas dan najis cicak sangat penting untuk kesihatan persekitaran terutama di tempat tumpuan seperti sekolah, institusi pendidikan dan tempat pemindahan mangsa banjir. Thread.

Selain menggunakan water jet untuk menyingkirkan najis cicak yang amat sukar itu, berikut merupakan beberapa petua bagi mengatasi masalah ini demi kesejahteraan seisi rumah.

Petua Atasi Masalah Najis Cicak

1. Guna kulit telur

Letak beberapa kulit telur di kawasan tingkap atau mana-mana tempat cicak boleh masuk. Boleh hancurkan dan tabur sekeliling tingkap. Hal ini disebabkan cicak tidak suka dengan bau telur dan akan menjauhkan diri daripadanya.

2. Bawang putih

Bagi mengelakkan cicak berkampung, gantungkan beberapa buku bawang putih di dapur atau bilik kerana aroma bawang putih dapat menghalau cicak kerana baunya cukup dibenci binatang itu.

3. Hapuskan masalah semut dan nyamuk

Perlu hapuskan semut dan nyamuk kerana kedua-dua ini adalah makanan cicak. Anda boleh menggunakan racun semut. Bila bekalan makanan dia tak ada kat rumah kita automatik cicak akan berkurang.

4. Jaga kebersihan rumah

Pastikan tong sampah bertutup. Hal ini disebabkan apabila ada sampah dan sisa makanan tarik perhatian lalat yang menjadi makanan cicak.

5. Jangan rapatkan perabot pada dinding

Habitat cicak suka pada tempat hangat seperti di belakang almari, belakang TV, sekitar peti ais, sekitar lampu dan belakang bingkai cermin. Justeru, jarakkan perabot sekurang-kurangnya 10 sentimeter (cm) dari dinding.

6. Ubat gegat

Letakkan ubat gegat pada almari atau kabinet di rumah anda. Bau yang dihasilkan oleh ubat gegat ini tidak disukai oleh cicak dan akan menghindarkan mereka dari kawasan tersebut.

7. Campuran tiga bahan

Boleh buat semburan penghalau cicak dengan menggunakan campuran tiga bahan ini:

1. 1/3 cuka makan
2. 1/3 air
3. 1/3 cecair pencuci pinggan

Petua Atasi Masalah Najis Cicak
Sumber: Hani Mynis

Campurkan kesemua bahan ini dah semburkan pada kawasan persembunyian cicak dan peninggalan najis binatang ini.

Selamat mencuba!

Sumber: Hani Mynis

Perangai Pemohon Latihan Industri Nauzubillah, Lelaki Ini Ajar Adab Kepada Mahasiswa

latihan industri 1

Program latihan industri merupakan satu program yang diadakan bagi memberi peluang kepada bakal graduan pengajian tinggi untuk merasai pengalaman sebenar dunia pekerjaan.

Walau bagaimanapun, bakal graduan masa kini dilihat kurang peka dengan cara komunikasi yang betul bersama pihak awam. Dapat dilihat pendekatan mereka seperti berbual dengan kawan-kawan tanpa hadir rasa hormat kepada pihak yang dihubungi.

Perkara ini diolah oleh seorang pengguna Facebook bernama Mohamad Khaled Nordin yang telah berhadapan dengan situasi dihubungi seorang bakal pelatih latihan industri yang bertanya tentang kekosongan di syarikat beliau. Jom kita ikuti kisah beliau.

Pernah dapat permohonan penempatan latihan industri daripada seorang pelajar Universiti di LinkedIn. Perangai nauzubillah. Macam tak ada adab.

Satu hari, saya ada dapat permohonan penempatan latihan industri daripada seorang mahasiswa jurusan kejuruteraan awam. Institusi pendidikannya saya rahsiakan.

Beliau private message saya di LinkedIn nak minta penempatan. Saya balas baik. Saya cuba bawa kepada pihak pengurusan saya. Dah siap bincang dengan pengurusan berapa elaun nak dibayar semua.

Tinggal nak fikir mode latihan internship saja macam mana. Sebab kemungkinan mana kita tahu akan ada varian baru dan semua pekerja diperintah bekerja dari rumah. Kalau intern duduk rumah, siapa nak guide tugasan mereka?

Saya balas dulu pada beliau. Saya akan bincang dulu dengan pihak pengurusan syarikat saya.

Sampailah satu hari, dia PM saya lagi dengan perkataan ‘update’ saja. Awak ingat saya ni kawan awak ke?

latihan industri

Punyalah naik darah waktu tu. Tapi, tak apa. Saya tak nak saya naik darah saja-saja. Saya ajar dia semula dengan sarkastik. Boleh lah lihat perbualan saya dengan pelajar ni.

Sambung semula, saya ingatkan dia nak update pasal EPL. Saya bagitahu lah dia yang Manchester City tengah leading the table.

Lepas tu, dia bagitahu yang dia nak update pasal status permohonan LI dia tu. Waktu ini, memang saya tulis contoh macam mana nak tulis dengan sopan dan beradab. Saya bagi contoh. Sampailah dia ikut hampir sebiji. Tak ada keunikan langsung. Kena suap baru nak ikut. Dia kepilkan sekali dengan resume dia dan beberapa dokumen LI daripada universiti dia.

Lepas dia ikut apa yang saya suruh. Terus saya kata ‘Good. Now you can practice the same to apply for other companies’. Sebenarnya ni ayat reject sarkastik.

Kepada fresh graduate atau mahasiswa yang mencari penempatan latihan industri:

Tolonglah. Tolonglah bersedia. Attitude kena elok, perangai kena elok, menulis pun kena elok, menulis biar sharp, bagitahu tujuan kita elok-elok. CGPA awak semua atas 3.50 memang dah bagus dah. Tapi, bukan jaminan untuk awak dapat pekerjaan.

Ramai industry leaders dapat climb corporate ladder disebabkan attitude. Attitude yang akan buat awak semua stay dan maju dalam industri.

Kami dalam industri ni, minta awak hantar CV semua tu salah satunya nak tahu karakter awak. Yang akan membezakan awak dengan orang lain adalah karakter.

Lagi satu, keunikan tu pun sama penting dengan karakter. Awak kena tunjuk apa yang membezakan awak dengan orang lain. Keunikan yang orang senang nampak. Keunikan ni boleh jadi cara awak bercakap, pemakaian, rambut botak ke rambut panjang macam rockers ke, kasut ke.

Apa-apa saja yang membezakan awak dengan orang lain.

Haa dengar ni. Kalau nak mohon pekerjaan atau penempatan LI. Benda yang penting:

1. Attitude/sahsiah diri
2. Penulisan penting/cara komunikasi dalam meeting
3. Karakter
4. Keunikan

Kalau awak ada semua ini selain daripada CGPA yang tinggi. Senang untuk awak cari pekerjaan.

Selamat bukan pelajar School of Civil Engineering, UiTM Shah Alam. Kalau ya, memang hari yang sama saya pergi ke Fakulti dan cari pelajar ni.

Sumber: Mohamad Khaled Nordin

Prosedur Tuntutan Harta Pusaka Amat Leceh, Ramai Yang Putus Asa Di Tengah Jalan

harta pusaka

Pengurusan harta pusaka adalah antara perkara yang kurang dipandang oleh masyarakat kita.

Tahukah anda, proses untuk membuat permohonan harta pusaka kepada waris si mati adalah sangat leceh. Banyak dokumen dan prosedur diperlukan, kadang-kadang ada waris yang menyerah kalah untuk meneruskan proses tuntutan kerana terlalu renyah.

Perkara ini dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Mayee Nazrich. Beliau berkongsi kisah benar yang dilalui oleh kenalannya. Jom kita ikuti perkongsian beliau.

PENTINGNYA PENGURUSAN HARTA PUSAKA

Perkongsian dari Puan Sariyah Ismail.

Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman dalam menguruskan harta pusaka abang saya yang bernilai kurang RM2 juta, tidak berwasiat, tidak dihibahkan dan penama telah meninggal dunia terlebih dahulu.

Abang saya meninggal tanpa waris isteri serta anak. Isteri arwah meninggal terlebih dahulu dan perkahwinan abang tidak dikurniakan anak.

Adik beradik pula, hanya tinggal saya yang bongsu. Abah serta mak dan abang-abang lain telah meninggal dunia juga.

Setelah melalui proses menguruskan harta pusaka arwah, baru saya faham kenapa ramai yang tidak sanggup menguruskan dan banyak harta orang Islam telah dikumpulkan ke Baitulmal.

1. Sebelum membuka fail untuk perbicaraan tuntutan sebagai pentadbir untuk menguruskan harta pusaka, kita perlu dapatkan ‘latest statement’ dari semua agensi-agensi kerajaan (termasuk Pejabat Tanah) serta bank-bank. Saya telah berulang alik ke 2 bank, ASB, Tabung Haji, KWSP serta Socso. Socso adalah kerana arwah abang penerima pencen ilat dari isteri. Saya hanya memberitahu supaya pencen diberhentikan.

2. Untuk dapatkan semua ‘statement’ tersebut, saya perlu menyediakan dokumen-dokumen seperti dibawah:

a. Sijil asal dan salinan sijil kematian dan surat beranak abang. Sijil kematian perlu kita mohon dari JPN (oleh waris terdekat) dengan membawa surat pengesahan kematian serta pengkebumian.
b. Salinan sijil arwah kakak ipar, salinan sijil nikah.
c. Sijil asal dan salinan surat beranak serta kad pengenalan diri saya sebagai bukti saya adik kandung seibu sebapa.
d. Carian terbaru, cukai tanah terbaru serta geran asal tanah.

3. Perlu diingat, Tabung Haji tidak akan membenarkan atau melayan sebarang permohonan untuk mendapatkan ‘statement of balance’. Mereka hanya proses permohonan sebagai pentadbir setelah saya dapatkan surat perintah dari mahkamah.

4. Setelah semua dokumen diperolehi, saya memohon melalui PTG secara online. Sini saya ingin berterima kasih and memuji PTG dan pihak Mahkamah kerana mereka telah memproses permohonan saya dalam jangka masa yang pendek walaupon semasa musim pandemik.

5. Sebagai persiapan ke mahkamah, selain dari dokumen-dokumen yang telah saya sebutkan di atas tadi, saya telah menyiapkan borang DDA, salinan IC, surat beranak dari semua waris, serta sijil kematian abah, mak, dan abang-abang.

6. Semasa perbicaraan, Hakim telah meminta untuk melihat segala dokumen-dokumen asal serta ‘cross reference’ dengan segala dokumen-dokumen yang telah di’upload’ semasa permohonan online. Hakim juga menjalankan siasatan untuk memastikan semuanya tulen dan benar.

Disebabkan semua waris-waris lain telah mewakilkan saya sebagai pentadbir, maka hanya saya perlu hadir di mahkamah bersama ‘DDA form’.

7. Alhamdulillah segala urusan berjalan lancar semasa perbicaraan. Saya telah menerima surat sebagai pentadbir lebih kurang sebulan dari tarikh perbicaraan.

8. Saya telah kembali semula ke bank-bank dan agensi-agensi kerajaan untuk menyerahkan surat perintah tersebut. Setiap agensi dan bank mempunyai proses yang berlainan dan ada memerlukan saya mengisi lagi borang. Bukan itu sahaja, lagi sekali saya telah diminta untuk menyerahkan berbagai salinan dokumen.

9. Sesetengah agensi seperti ASB dan Tabung Haji hanya akan memindahkan wang ke dalam akaun ASB dan Tabung Haji penerima. Mereka tidak akan memindahkan wang ke dalam akaun bank.

10. KWSP dan bank pula akan menyediakan check atau transfer terus ke dalam akaun bank kita.

Bank BSN memerlukan ‘statement’ dari bank penerima sebagai bukti itu adalah akaun penerima

11. Dari kalangan agensi kerajaan dan bank di atas, Maybank dan KWSP adalah yang paling efisyen dan kurang birokrasi. Terima kasih saya ucapkan kerana memudahkan.

12. ASB memerlukan saya mengisi borang pertambahan serta setem dari pesuruhjaya sumpah.

13. BSN pula meminta saya mengisi borang tambahan serta bukti statement bank penerima.

14. JPJ pula memerlukan pengesahan dari Puspakom serta borang juga. Yang ni mungkin kerana kereta dah lebih 15 tahun.

15. PTG seperti lazimnya, memerlukan salinan geran asal, salinan cukai terbaru serta salinan IC dan sijil kematian.

16. Yang paling leceh adalah Tabung Haji. Hakim telah mempersoalkan kenapa mereka tidak boleh mengeluarkan statement of balance.

17. Rata-rata hampir kesemuanya akan hanya selesai sebulan ke 2 bulan selepas saya menyerahkan surat mahkamah. Segalanya dimulakan dari akhir bulan Februari. Sekarang sudah pon November.

harta pusaka

Kenapa saya berkongsi disini?

Saya mahu rakyat kita terutama sekali yang beragama islam peka tentang birokrasi yang tidak seragam di negara kita. Setiap agensi dan bank ada prosedur tersendiri.

Saya tak boleh bayangkan sekiranya tuntutan melebihi RM2 juta atau kehilangan dokumen, tak tahu susur galur keluarga atau tidak sepakat dalam pengurusan dan agihan harta.

Tidakkah surat mahkamah cukup untuk pengesahan tapi perlu pula disediakan bermacam-macam lagi dokumen? Tak lakukah perintah mahkamah? Saya faham sekiranya salinan IC serta sijil kematian diperlukan, tapi perlu pula mengisi ‘indemnity’ form.

Pertanyaan saya hanya dijawab sebagai ‘inilah prosedur kami Puan kalau ada audit atau sebarang komplen berlaku’.

Bayangkan masa yang diambil untuk menguruskan harta pusaka. Saya sihat dan telah bersara, jadi senang untuk saya ke sana ke mari. Bagi waris yang tua, uzur atau sedang bekerja, berapa harikah perlu mereka mengambil cuti?

Kenapakah proses-proses tuntutan ini tidak boleh diseragamkan supaya ianya lebih memudahkan?

Memudahkan tidak bermakna segala ‘check and balance’ diabaikan.

Sebab itulah ramai yang give up dan harta orang Islam banyak tidak dituntut.

LAGI SATU WAHAI SAHABAT-SAHABATKU, LEBIH AFDAL SEKIRANYA ANDA SEDIAKAN WASIAT ATAU HIBAHKAN HARTA SEMASA HIDUP.

Sumber: Mayee Nazrich

Masalah Rumah Tangga Jangan Kongsikan Dengan Rakan Sekerja, Kalau Tidak, Ini Padahnya

masalah rumah tangga

Kehidupan berumah tangga bukannya selalunya indah. Masalah rumah tangga antara punca berlakunya kepincangan dalam hubungan antara suami dan isteri.

Walau bagaimanapun, seteruk mana jua masalah rumah tangga yang dihadapi, adalah amat tidak digalakkan untuk berkongsi dengan rakan sekerja. Seorang pengguna Facebook bernama Firdaus Mokhtar telah berkongsi satu kes tentang masalah yang serupa. Mari kita baca perkongsian beliau di bawah.

“Maaf bukan nak bercerita hal buruk isteri saya dan tak ada niat pun. Cuma saya buntu.”

Itu ayat dia bagi lepas dia kenalkan diri sebagai S. Dia sedang dalam kemelut masalah rumah tangga. Ada konflik dengan isteri entah bermula dengan perkara apa.

Cuma yang lebih memburukkan keadaan, sekarang isteri ada kawan lelaki lain. Kawan lelaki yang rapat dan selalu ada dengan isteri.

Dalam tempoh dia bergaduh dengan isteri, isteri ambil keputusan untuk tak dengar langsung cakap suami. Keluar rumah ikut suka, tak beritahu dan paling mengejutkan isteri mula tak sembahyang. Tanda protes dengan suami.

Encik S ini cuba bertenang dan dia kata dia cuma mampu berdoa untuk tak burukkan lagi keadaan. Sebab isteri dah tak boleh nak berbincang. Bila cuba berbicara dengan isteri, mesti keluar semua kata-kata kesat ke suami. Itu buatkan suami lebih banyak berdiam.

Satu hari encik S perasan isteri dia macam berubah. Berubah sudut tiba-tiba dah solat semula. Walau pun tak solat dengan suami, tapi solat lah.

Suami ni suka. Mula cuba nak bersembang sebab ingatkan dah baik. Rupanya berita lain yang dia dapat.

masalah rumah tangga

Isteri bagi amaran jangan ingat dia berubah sebab suami. Dia berubah sebab ada kawan di pejabat nasihatkan dia.

“Kau jangan ingat aku solat ni atas nasihat kau. Aku solat ni sebab seseorang telah nasihatkan aku. Dan dia selalu bawa aku pergi solat dengan dia.”

Begitu isterinya jawab. Bila diasak soalan lagi, isteri dia mengaku yang ajak dia solat tu lelaki. Kawan tempat kerja. Siap pesan ke suami;

“Kau patut berterima kasih dengan abang K. Sebab dia sudi nak bimbing aku.”

Urut dada suami tu dengar. Siap ajak solat sama selalu. Di tempat kerja bila abang K tadi nak solat, dia akan ajak sekali isteri encik S ni. Caringlah tu, ajak isteri orang pergi solat berdua. Abang K ni duda pula.

Allahu.

Dia begini, selalunya jadi begini sebab bila ada masalah di rumah, perempuan akan keluar ke tempat kerja dan mengadu masalah rumah tangga dengan lelaki di pejabat. Tak kiralah sama-sama staf, tukang kebun, office boy atau ke bos sekali pun.

Bila bercerita dengan lelaki, percayalah akan ada yang ambil kesempatan. Tunjuk simpati dan paling ngeri tunjuk baik ajak kembali ke jalan Allah padahal tak suruh isteri tadi kembali ke suami dia.

Isteri yang sedang dalam tekanan konflik tadi, kurang perhatian dan kasih sayang. Dapat pula lelaki bagi telinga untuk dengar masalah, bagi hati untuk dia mengadu kasih dan bagi nasihat keagamaan memang akan jatuh hatilah. Sekali pun dia isteri orang.

Sebab tu kami pesan, masalah rumah tangga bukan untuk mudah-mudah dikongsi dengan orang lain. Tak kesahlah perempuan cerita ke lelaki, atau lelaki cerita ke perempuan.

Rasulullah kata, lelaki ini memang ujiannya perempuan. Bila datang perempuan yang ada masalah, berharap pada seorang lelaki walau pun cuma harap untuk beri sedikit perhatian, di situ ujiannya besar dan berat.

Mula-mula betul konon nak bantu. Tapi bila hari-hari bercakap, mendengar rintihan dan rayuan, tak sudah di pejabat balik mesej-mesej pula sampai lewat malam, akhirnya jatuh hati. Bila dah jatuh hati, status isteri orang tu dah jadi benda ke berapa entah. Yang penting kemahuan sendiri dah meninggi.

“Aku kena selamatkan dia ni”. Bisik hati sendiri. Padahal itu bisikan syaitan. Patutnya selamatkan rumah tangga orang lain. Minta dia kembali pada suami dan keluarga dia.

Tapi sebaliknya berlaku. Bawa isteri orang tadi ke diri dia. Dialah penyelamat, dialah yang buatkan isteri orang berubah kembali kepada Tuhan.

Kalau betul dia kembali kepada Tuhan, dia akan kembali kepada perintah agama. Agama suruh kembali pada suami, bukan pada lelaki yang tak ada kena mengena.

Kawan-kawan, kalau di pejabat kita berlaku perkara begini dan kita tahu, nasihatkanlah sebaiknya. Kita bukannya nak sangat jaga tepi kain orang lain, tapi bila hal yang tak betul kita nampak, tegurlah.

Pesan baik-baik. Sebab punca daripada berlarutannya perkara macam ini, banyaknya zina berlaku antara kawan sepejabat. Zina yang berlaku antara isteri orang dan suami orang.

Bersepah berlaku sana sini, berpunca daripada rapatnya hubungan hati yang terkait di tempat kerja. Iyalah bila dah berkongsi masalah, dekatlah hati dan jiwa.

Dan para lelaki, jika kita didatangi isteri orang yang nak cerita masalah rumah tangga, sebolehnya jauhkanlah. Kalau kita bukan orangnya, silap hari bulan kita pun sama macam abang K tadi.

Suruh dia kembali pada suami. Kembali ke rumah tangga dia. Balik kepada anak-anak di rumah. Di sana ada jawapan setiap persoalan rumah tangga dia.

Saya tak tahu apa yang berlaku sekarang pada pasangan encik S tadi. Ada nasihat yang saya tinggalkan buat dia, harap dia tabah dan dapat berdepan ujian yang sedang menimpa rumah tangga dia dan isteri.

Begitulah.

Firdaus Mokhtar,
Moga rumah tangga kita dipelihara sampai syurga.

Sumber: Firdaus Mokhtar