Apabila melihat seseorang memandu di atas jalan raya, pelbagai stereotaip dan tanggapan berkenaan cara pemanduan boleh dibuat oleh pemandu lain dengan hanya melihat pada umur, jantina dan pekerjaan.
Malah, jenis dan warna kenderaan juga kadang kala membawa stereotaip berkenaan cara pemanduan seseorang. Sebagai contoh di Malaysia, Myvi sering dikaitkan sebagai ‘King of the road’ kerana stereotaip rakyat Malaysia yang beranggapan mereka memandu dengan laju dan secara merbahaya. Walhal kita semua tahu, bukan semua pemandu Myvi memandu seperti itu.
Terma ‘memandu seperti psikopat’ merujuk kepada seseorang yang memandu secara merbahaya. Persoalannya di sini, adakah mereka yang memandu secara merbahaya ini berkongsi karakteristik yang sama?
Dalam satu kaji selidik yang dilakukan pada Novemeber lalu, pengkaji telah mengumpul 2,000 pemandu dengan latar belakang pelbagai jenama dan model kereta untuk menyertai satu ujian psikopat.
Pemandu mana yang cenderung menjadi psikopat?
Hasil kajian mendapati pemandu yang memandu kereta BMW lebih cenderung untuk menjadi psikopat dengan skor 12.1 daripada 36. Menariknya, pemandu BMW sudah sinonim dengan pemanduan secara merbahaya di atas jalan raya.
Dengan carian di Google, ayat ‘Why are BMW drivers…’ akan disambung dengan hasil carian seperti ‘terlalu sombong’, ‘bodoh’ dan ‘dibenci’.
Kajian turut mendedahkan bahawa skor purata ujian ini untuk semua pemandu dengan latar belakang pelbagai jenama dan model hanya sekitar 6.6 sahaja. Ini bermakna, pemandu BMW mempunyai lebih banyak ciri-ciri psikopat dengan hampir dua kali ganda berbanding dengan pemandu kereta lain.
Skor psikopat pemandu BMW diikuti rapat oleh pemandu Audi, dengan skor 11.7 daripada 36. Ini bermakna mereka turut berpotensi untuk mempunyai sifat narsisisme dan suka berbohong kepada orang lain.
Sumber: Autocar
Skor psikopat ini turut menyenaraikan Fiat dengan markah 7.0, Mazda (6.4) dan Honda (6.3). Namun harus diingatkan, kajian ini dibuat berdasarkan kereta yang kebiasaannya digunakan di United Kingdom.
Kalau kajian ini dibuat di Malaysia, agak-agak pemandu kereta mana yang bakal mengungguli carta pemandu psikopat tersebut? Berikan jawapan anda di ruangan komen!
Sumber: Scrap Car Comparison