Jangan Tahan Bersin, Boleh Cederakan Organ Dan Saluran Darah

in itu bagus atau sebenarnya ia memudaratkan?

Bercakap mengenai bersin, terdapat satu kes berkenaan dengan perkara itu seperti yang dilaporkan dalam kebanyakan portal antarabangsa.

Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 34 tahun di England telah dimasukkan ke wad kecemasan di Leceister Royal Infirmary Hospital selepas beliau tanpa sedar, telah memecahkan saluran pernafasan sendiri.

Ia berlaku hanya kerana lelaki tersebut cuba menahan bersin.

Media antarabangsa juga melaporkan, lelaki itu seperti terasa letupan kecil pada bahagian tekaknya, disusuli dengan rasa kesakitan yang mendalam selepas dirinya menahan bersin.

Rentetan daripada situasi itu, lelaki berkenaan mengadu mengalami kesukaran untuk menelan atau bercakap.

Pemeriksaan lanjut doktor mendapati terdapat kesan bengkak yang ketara pada bahagian tekak dan lehernya.

Lebih parah, imbasan X-ray menunjukkan tekaknya telah pecah dan angin yang disedut telah melepasi rekahan pada saluran pernafasan dan terus ke tisu berhampiran.

Disebabkan situasi itu, lelaki tersebut terpaksa makan dan minum melalui tiub bagi membolehkan tisu yang terjejas kembali pulih.

Pakar kesihatan di hospital itu berkata, tindakan menahan bersin dengan cara menutup hidung adalah sesuatu yang sangat merbahaya dan perlu dielakkan.

Tutup mulut, guna sapu tangan

Dalam pada itu, kejadian yang menimpa lelaki berkenaan turut mendapat perhatian Public Health Malaysia (PHM).

Menurut PHM, berdasarkan kajian, semasa bersin kita akan mengeluarkan lebih banyak titisan air liur iaitu sebanyak 40,000 berbanding semasa batuk (dianggarkan sebanyak 3,000 titisan air liur dikeluarkan).

“Bersin adalah satu mekanisme tubuh untuk menyingkirkan habuk, kuman atau apabila ada iritasi pada hidung dan ia melibatkan tekanan di dalam dada yang sangat kuat dan laju.

“Apabila ditahan dengan sengaja, tekanan itu akan merosakkan saluran darah pada otak, mencederakan organ dan saluran pernafasan,” tulis PHM dalam entri mereka.

Bukan itu sahaja, antara kesan lain apabila seseorang itu menahan bersin adalah gegendang telinga akan pecah, berlaku jangkitan pada telinga, risiko patah tulang rusuk dan mencederakan diafragma dan tekak.

SEORANG lelaki berusia 34 tahun telah dimasukkan ke wad kecemasan selepas dia tanpa sedar, telah memecahkan saluran…

Posted by Public Health Malaysia on Friday, January 15, 2021

Oleh itu, jika anda ingin bersin, jangan tahan, bersin pada lengan atau manfaatkan peranan sapu tangan. Semoga perkongsian di atas bermanfaat kepada pembaca.

ANEKDOT

Etika batuk dan bersin yang betul:

1. Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan ketika batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dengan serta-merta. Kuman pada tisu boleh terus hidup untuk beberapa jam.
2. Jika tidak ada tisu atau sapu tangan, gunakan lengan untuk menutup hidung serta mulut apabila bersin atau batuk.
3. Cuci tangan dengan sabun dan air bersih untuk menghalang penyebaran bakteria.
4. Pakai pelitup mulut dan hidung (facemask), terutamanya jika anda menghidap sebarang penyakit berjangkit.
5. Elakkan berada di tempat awam jika anda menghidap sebarang penyakit berjangkit.
6. Gunakan cecair pembasmi kuman jika tidak dapat membasuh tangan dengan sabun dan air.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/

Kayap Ular Apabila Bersambung Sekeliling Badan, Boleh Bawa Maut. Ini Penjelasan Pakar

RATA-RATA daripada kita pasti pernah terdengar cakap-cakap yang mengatakan bahawa kayap ular apabila sudah bersambung di sekeliling badan boleh menyebabkan kematian.

Persoalannya, adakah ia benar atau sebaliknya?

Bagi memperincikan lebih mendalam mengenai penyakit itu, pakar kesihatan dan perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ada jawapannya.

Tulisnya melalui entri Facebook semalam, kayap (herpes zoster) adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Varicella Zoster Virus (VSV) iaitu virus yang sama yang menyebabkan cacar air (chicken pox).

Untuk pengetahuan semua, sebenarnya, kayap merupakan penyakit susulan daripada penyakit cacar air.

“Apabila seseorang dijangkiti VSV, maka beliau akan mendapat simptom masalah cacar air pula.

PENYAKIT cacar air atau chicken pox.

“Kemudian selepas masalah cacar air itu pulih, virus tersebut tidak mati, sebaliknya ia akan duduk diam-diam di dalam akar saraf dan aktif semua jika sistem imun individu menurun,” beritahu beliau.

“Oleh kerana virus ini duduk dalam akar saraf, apabila ia bertukar menjadi aktif semula, ia akan menjangkiti saraf berkenaan di sepanjang laluan (dermatome) saraf.

“Pada peringkat awal, pesakit akan rasa pedih seolah-olah jalur saraf seperti sedang ‘dibakar’ dan kemudiannya, lepuhan-lepuhan berair akan muncul di kawasan berkenaan,” tambah Dr Kamarul Ariffin.

Keadaan itu ada yang memanggilnya sebagai kayap ular.

Memberi gambaran mudah, Dr Kamarul Ariffin menjelaskan, jalur saraf tersebut secara fizikalnya akan memanjang. Jika di bahagian badan, ia akan terjadi di sepanjang tulang rusuk.

“Biasanya ia akan berlaku pada sebelah bahagian badan, leher, muka dan beberapa bahagian lain.

“Memandangkan ruam dan lepuhan tersebut muncul pada jalur yang panjang, ia mirip ular yang melingkar,” tulisnya lagi.

Sebenarnya, amat jarang sekali kayap melingkar sekeliling badan, tetapi perkara tersebut tidak mustahil boleh berlaku.

Jika ia berlaku lazimnya kerana pertahanan imun tubuh pesakit itu terlalu rendah.

Jangkitan kayap yang teruk boleh menyebabkan beberapa komplikasi lain, antaranya:

i) Postherpetic.
Ia merupakan kesakitan pada jalur saraf, walaupun ruam sudah tiada. Ada pesakit yang masih sakit pada jalur itu walaupun sudah berbulan-bulan lamanya.

ii) Buta dan pekak.
Jika terkena pada saraf muka dan mata, muka boleh lumpuh dan mata boleh buta.
Sekiranta terkena pada saraf telinga, boleh pekak.

iii) Radang otak dan selaput otak.
Ia jarang tercetus tetapi jika ia berlaku, jangkitan itu sesuatu yang amat serius. Jika tidak dirawat, boleh undang maut tau!

Pendek kata, penyakit kayap boleh menyebabkan kematian kerana faktor komplikasi yang serius lebih-lebih lagi kalau seseorang mempunyai imuniti rendah, bukan kerana ia melingkar di sekeliling badan.

Walaupun ada pesakit yang boleh pulih sendiri tanpa rawatan, doktor biasanya akan memberi ubat antiviral, salap (sapuan) dan ubat tahan sakit untuk mengurangkan ketidakselesaan pesakit serta membantu memendekkan tempoh pemulihan.

Jadi, diharapkan perkongsian yang diberikan itu jelas.

Tolong jangan lagi momokkan orang ramai kematian akibat kayap berlaku gara-gara ia sudah mengelilingi badan ya…

Semoga ilmu yang dikongsi memberi manfaat kepada pembaca.

Sumber: Facebook Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

Telinga Berbau Busuk, Ini Antara Puncanya Yang Perlu Kita Ketahui

TELINGA merupakan organ yang biasanya menghasilkan kotoran. Namun demikian, dalam keadaan kesihatan tertentu, telinga akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Telinga yang mengeluarkan bau yang menyesakkan hidung pastinya akan membuat individu itu dan orang di sekelilingnya merasa sangat tidak selesa.

Jadi, jangan hairanlah kalau orang lain akan menjauhkan diri daripada kita dek kerana situasi itu.

Menurut portal kesihatan antarabangsa, healthline.com, sebenarnya, telinga yang berbau boleh menjadi petanda bahawa terdapat masalah kesihatan pada kawasan telinga kita.

Punca telinga berbau mesti dimaklumkan dengan jelas agar kesihatan organ pendengaran terpelihara.

Perilaku melengah-lengahkan rawatan akan membahayakan salah satu daripada deria terpenting manusia itu.

Berikut antara sebab mengapa telinga seseorang berbau tidak kira dalam kalangan dewasa mahupun kanak-kanak:

1. JANGKITAN BAKTERIA, KULAT.

Jangkitan telinga tengah dan luar adalah penyebab bau yang paling biasa. Biasanya, jangkitan boleh disertai dengan nanah. Sebab itulah bau yang ‘dihasilkan’ tidak menyenangkan.

Selain itu, jangkitan bakteria dan kulat pada telinga juga menjadi punca.

Justeru, pemeriksaan telinga penting untuk mendedahkan punca jangkitan tersebut.

Setelah diagnosis jangkitan telinga disahkan, pesakit akan diberi antibiotik untuk mengurang atau menghilangkan bau itu.

2. AMALAN MENJAGA KEBERSIHAN TELINGA YANG KURANG.

Bukan hanya masalah kotoran pada lubang, kawasan kulit di depan dan di belakang cuping telinga juga boleh menyebabkan bau busuk.

Ia kerana ‘aroma’ tersebut boleh terhasil daripada peluh, minyak, habuk dan sebagainya.

Kebersihan perlu dipertimbangkan dengan teliti, terutamanya di kawasan belakang cuping telinga.

Ini kerana kawasan tersebut mempunyai lipatan kulit yang berpotensi menjadi tempat pembiakan kuman dan kotoran.

Biasanya, kawasan berkenaan juga mudah ‘dilupakan’ untuk digosok ketika mandi, bukan?

Selain itu, anda tidak perlu membersihkan kawasan di dalam lubang telinga (baik dengan kapas atau alat lain) kerana kerana earwax dapat keluar dengan sendirinya secara berterusan dan biasanya tidak dapat dilihat melalui mata kasar.

3. KOLESTEATOMA.

Kolesteatoma merupakan satu keadaan yang mana pertumbuhan sel kulit yang tidak normal berlaku pada kawasan tengah telinga.

Bagaimanapun, pertumbuhan sel di kolesteatoma tidak berpotensi menjadi barah atau kanser.

Kolesteatoma dapat berkembang dan merosakkan tisu telinga dan tulang tengkorak di sekitarnya.

Pada peringkat awal, gejalanya adalah telinga akan berbau busuk. Kemudian, terdapatnya tekanan atau kesakitan pada belakang telinga sehingga boleh menjejaskan pendengaran seseorang.

Ketahuilah bahawa kolesteatoma boleh mempengaruhi pendengaran, keseimbangan badan dan fungsi pada otot muka.

4. OBJEK ASING.

Objek asing adalah antara sebab telinga berbau.

Ia biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka gemar meletakkan objek tertentu dalam telinga. Biasanya si kecil tidak memberitahu perilaku itu kepada ibu bapa.

Objek asing yang dimaksud adalah seperti makanan, mainan atau serangga.

Bau benda asing di dalam telinga boleh datang daripada objek itu sendiri atau mungkin berpunca daripada jangkitan yang telah merebak.

Namun demikian, bergantung pada ukuran objek, gangguan pendengaran juga mungkin berlaku. Bahayanya!

5. KETUMBUHAN.

Dalam beberapa kes, tumor boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan daripada telinga.

Tumor yang paling kerap berlaku pada telinga biasanya berlaku dari sel saraf pada dalam telinga.

Gejala lain yang muncul termasuk kehilangan pendengaran secara beransur-ansur, kehilangan keseimbangan, vertigo dan kebas pada wajah.

Selain itu, barah juga boleh menyerang tisu yang sihat dan menyebabkan luka yang kemudiannya akan menyebabkan jangkitan bakteria.

Keadaan tersebut akan mencetuskan keluarnya nanah dari telinga yang disertai dengan bau yang sangat tidak menyenangkan.

Selain itu, ini satu peringatan penting. Sekiranya anda mengalami masalah telinga berbau, elakkan menitiskan apa-apapun jenis ubat atau memasukkan alat pembersih ke telinga tanpa arahan doktor!

Semoga ilmu yang dikongsi ini memberi manfaat kepada pembaca. #kitajagakita

Implikasi Buruk Kerap Berjaga Malam Punca Seseorang Cepat Gemuk, Mudah Dapat Diabetes

SETELAH penat bekerja seharian, waktu malam merupakan waktu yang paling sesuai untuk berehat.

Namun demikian, ada di antara kita lebih gemar berjaga hingga larut malam atas alasan-alasan tertentu seperti bermain permainan video atau menonton televisyen.

Ketahuilah bahawa tabiat berjaga sehingga lewat malam sebenarnya memberi impak yang negatif kepada kesihatan diri seseorang individu itu.

Lazimnya, orang dewasa memerlukan 6 hingga 8 jam tidur sehari. Kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang, manakala golongan warga usia emas memerlukan masa yang lebih pendek di antara 4 hinga 5 jam sehari.

Menurut Pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Kulim, Kedah, Dr Nurul Nadia Ismail, gangguan tidur merujuk kepada perubahan pada corak tidur.

Beliau berkata, terdapat beberapa tanda dan gejala jika seseorang itu mempunyai masalah gangguan tidur, antaranya:

i) Tidur yang terlalu banyak (hypersomnia).
ii) Tidur yang terlalu sedikit (insomnia).
iii) Kelakuan yang luar biasa semasa tidur contohnya, berjalan dalam tidur (sleep walking), bangun tiba-tiba dalam ketakutan (sleep terror), kisaran gigi (tooth-grinding) dan sebagainya.

Terdapat tiga kategori gangguan tidur jenis insomnia iaitu:

i) Insomnia sementara yang hanya berlaku dalam beberapa hari.
ii) Insomnia jangka pendek iaitu berlangsung daripada beberapa hari hingga tiga minggu.
iii) Insomnia kronik iaitu gangguan yang terjadi daripada beberapa bulan sehingga beberapa tahun dan ia akan lebih parah sekiranya insomnia jangka pendek tidak ditangani dengan baik.

Sementara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Twitternya, @KKMPutrajaya berkata, kerap berjaga sehingga lewat malam tidak baik untuk kesihatan.

Tabiat berjaga sehingga lewat malam boleh memberikan 4 kesan utama seperti berikut:

1. Gangguan fungsi kognitif, pelupa dan tiada daya tumpuan.

Ia boleh menyebabkan penyusutan ‘white matter’ pada otak yang penting bagi proses pembelajaran.

2. Obesiti dan diabetes.

Gangguan pada metabolism badan dan perubahan hormon (insulin dan kortisol) yang menyebabkan individu lapar dan berkeinginan mencari makanan berkarbohidrat atau gula daripada biasa.

3. Emosi terganggu.

Kurang tidur akan menyebabkan kawasan otak yang mengawal aktiviti membuat keputusan dan membuat perancangan teratur berhenti berfungsi. Jadi, ia akan merangsang gerak hati dan kelakuan yang berisiko.

4. Impak kesihatan

Impak kesihatan terhadap imuniti badan boleh menyebabkan infeksi badan seperti selsema dan lain-lain kerana ianya boleh membawa kepada kanser.

Jadi, ingatlah, walaupun hanya satu malam sahaja anda ‘berjaga’, ia akan menjejaskan jam biologikal asal dan seterusnya akan mengganggu regulasi gula dalam darah.

Oleh itu, diharapkan dengan perkongsian tersebut, kita akan lebih menghargai waktu malam dengan melakukan perkara berfaedah dan mendapatkan rehat yang secukupnya.

Rumit Rupanya Buat Nasi Ulam, Guna Lebih 15 Jenis Ulam-Ulaman

JIKA anda mengandaikan untuk membuat nasi ulam ibarat petik jari sahaja, sangkaan itu meleset sama sekali.

Menurut seorang pembikin menu berkenaan, Suzieta Mohamad Noor, 49, atau mesra dipanggil Makcik Netti, meskipun berkebolehan memasak nasi ulam namun beliau jarang sekali melakukannya.

“Bukan apa, sajian ini agak rumit. Untuk mendapatkan kesedapan asli, ia memerlukan lebih daripada 10 jenis ulam-ulaman yang kadangkala sukar untuk diperoleh,” katanya.

Antara ulam-ulaman tersebut seperti daun selom, daun kaduk, daun selasih, daun kemangi, daun putat, pucuk gajus, daun bebuas dan daun pegaga.

Selain itu, daun kesum, daun kunyit, daun cekur, bunga kantan, daun limau purut, daun mengkudu, daun ulam raja, daun sekentut, daun goncar dan pucuk samak.

“Untuk menaikkan aroma dan rasa, bahan-bahan lain seperti lengkuas, serai, kacang panjang dan kacang botol lazimnya saya akan gunakan sekali. Hasilnya, memang sedap,” ujar suri rumah sepenuh masa itu.

Pun demikian, ujar beliau, nasi ulam stail utara air tangannya sebenarnya tidak memerlukan kesemua ulam yang disenaraikan itu.

“Berapa pun jenis ulam-ulaman yang ada, menu itu masih boleh dihasilkan. Namun, selalunya saya akan buat tidak kurang daripada 10 jenis ulam-ulaman yang mudah didapati di sekitar rumah sahaja,” jelasnya yang mempelajari memasak kulinari itu daripada neneknya, Rahmah Abu Seman.

Ujar Makcik Netti, di utara Semenanjung, nasi ulam jarang boleh didapati pada hari-hari biasa kecuali ketika bulan Ramadan sahaja.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, nasi ulam ada ditawarkan di kafe-kafe hipster di sekitar Lembah Klang, namun harganya mencecah RM25 hingga RM28 sepinggan.

Makcik Netti berkata, jika bercerita tentang manfaat nasi ulam, ia sangat bagus untuk membantu membuang angin dalam badan dan melancarkan peredaran darah.

Sebelum berundur diri, wanita itu berkongsi tips menghasilkan nasi ulam yang enak.

“Sebaik-baiknya gunakan kerisik kerana aroma dan bau nasi ulam akan lebih ‘terangkat’. Ada juga yang menggunakan kelapa sangai bagi menggantikan kerisik, namun bergantung kepada resipi masing-masing,” tambah beliau.

Bagi pemilihan jenis ikan kering pula, beliau lebih gemar menggunakan ikan kurau masin atau ikan talang masin yang mempunyai isi yang tebal.

Tutur Makcik Netti, nasi ulam stail utara selalunya dimakan bersama sayur keladi pedas.

PROFIL

  • Nama penuh: Suzieta Mohamad Noor.
  • Umur: 49 tahun.
  • Asal: Jitra, Kedah.
  • Menetap: Kuala Kangsar, Perak.

RESIPI NASI ULAM

Bahan-bahan

  • Nasi putih
  • Ulam-ulaman (lagi banyak jenis ulamnya lagi sedap)
  • Sedikit kerisik
  • 7 ulas bawang merah
  • Sesudu kecil lada hitam (ditumbuk)
  • 2 batang serai
  • Lengkuas
  • 7 biji cili merah
  • Secubit garam
  • Ikan kering

Cara penyediaan:

  1. Semua ulam-ulaman dimayang halus.
  2. Bakar ikan kering dan biarkan sejuk seketika sebelum ditumbuk halus.
  3. Sangai(tumis) seketika serai, lengkuas, bawang merah dan cili merah sebelum ditumbuk.
  4. Masukkan nasi ke dalam mangkuk dan gaul bersama serai, lengkuas, bawang merah, cili merah yang telah ditumbuk tadi bersama kerisik dan lada hitam.
  5. Masukkan ulam-ulaman, gaul rata dan akhir sekali masukkan isi ikan kering yang telah ditumbuk.

Sumber: Suzieta Mohamad Noor

ANEKDOT

RESIPI NASI GAUL

Bahan-bahan

  • 1/2 kilogram beras
  • 5 ulas bawang kecil
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 sudu minyak sapi
  • 1 ekor ayam (dipotong 12 ketul)
  • 1 cawan sos tomato
  • 5 cawan air
  • Sedikit garam
  • Rempah tumis (4 sekawan)

Cara penyediaan:

1) Rebus ayam menggunakan 5 cawan air. Kemudian, masukkan sos tomato, rempah tumis dan garam.

2) Rebus hingga ayam empuk. Apabila ayam sudah empuk, angkat ayam dan ketepikan. Air rebusan tadi jangan dibuang.

2) Seterusnya, hiris bawang kecil dan bawang besar. Panaskan kuali dan cairkan minyak sapi. Tumis bawang bersama minyak sapi hingga warnanya bertukar menjadi kekuningan.

3) Basuh beras dan toskan. Masukkan bawang dan minyak sapi. Kemudian, gaul rata bersama beras.

4) Masukkan air rebusan ayam dan tunggu sehingga nasi masak.

Bahan-bahan acar

  • 1 biji timun (diracik kasar)
  • 2 biji tomato (diracik kasar)
  • 3 biji lada merah
  • 3 biji lada hijau
  • 1 biji bawang besar (dimayang halus dan digaul bersama 1 sudu kecil garam)
  • 1/2 cawang sos tomato
  • Sedikit belacan (dibakar terlebih dahulu)
  • 1 cawan air panas

Cara penyediaan:

1) Hancurkan belacan dengan menggunakan air panas ke dalam mangkuk.

2) Kemudian, masukkan timun, tomato, cili merah, cili hijau dan bawang besar.

3) Masukkan sos tomato dan gaul rata kesemua bahan-bahan tersebut.

4) Acar siap dihidangkan bersama nasi gaul dan menu lauk-pauk pilihan.

Sumber: yaniskitchen-ilyani.blogspot.com

Jangan Biarkan Gout Ganggu Kehidupan Kita. Berikut Petua Makanan Yang Perlu Dielak Dan Digalakkan

PENYAKIT gout adalah penyakit biasa yang berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ia sering terjadi dalam kalangan kaum lelaki yang berada dalam lingkungan umur 30-an dan ke atas.

Bukan hanya melibatkan kaum Adam, kaum wanita juga boleh mengalami masalah berkenaan terutamanya selepas putus haid atau menopause.

Meskipun penyakit gout dianggap sebagai penyakit keturunan, terdapat ramai pesakit gout yang tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidapnya…

Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad baru-baru ini berkongsi mengenai penyakit itu di Instagram miliknya.

Katanya, hanya orang yang pernah diserang gout sahaja yang akan memahami apa yang dikatakan gout.

Antaranya, rasa bengkak pada sendi hujung jari kaki, berdenyut-denyut dan kesakitan yang tidak boleh diceritakan sehinggakan sukar untuk melelapkan mata.

“Gout adalah masalah keradangan pada bahagian sendi dan dikelaskan sebagai penyakit artritis.

“Keradangan sendi ini disebabkan oleh tahap asid urik yang tinggi di dalam darah yang mana kebanyakannya melibatkan masalah sendi kecil seperti sendi jari kaki,” tulis Dr Zubaidi.

Memperincikan lebih lanjut tentang gout, Dr Zubaidi menjelaskan, asid urik merupakan bahan kumuh yang dihasilkan oleh tubuh selepas berlakunya pencernaan dan penghadaman makanan yang kaya dengan asid amino purin.

“Purin adalah asid amino yang terdapat daripada sumber makanan berprotein.

“Apabila kita makanan yang kaya dengan purin, tubuh tidak mampu membuang asid urik, kita berisiko diserang gout atau gouty arthritis iaitu keradangan pada sendi. Ia menyebabkan sendi menjadi bengkak, sakit dan tidak boleh dibengkokkan.

Namun demikian, usah risau kerana asid urik selalunya boleh dikeluarkan dari tubuh melalui air kencing.

“Asid urik yang tinggi dapat diturunkan apabila pesakit gout minum air secukupnya dan mengambil makanan yang kurang purin,” katanya.

Namun begitu, ada beberapa kes yang mana pesakit mengalami serangan gout walaupun tahap bacaan asid urik normal.

Ia berlaku kerana terdapatnya faktor keradangan (chronic inflammation) yang berada dalam tubuh badan mereka.

Berikut saranan makanan yang dicadangkan oleh Dr Zubaidi untuk pesakit gout:

i) Pertama, pesakit gout perlu menurunkan berat badan. Pesakit yang obesiti selalu mengalami keradangan dalam tubuh. Faktor keradangan tersebut yang akan menyebabkan asid urik membentuk kristal. Oleh itu, pesakit yang obesiti lebih mudah mendapat serangan gout walaupun tahap urik asid mereka normal.

ii) Minum air secukupnya kerana ia membantu lebih banyak asid urik dikeluarkan melalui air kencing.

iii) Memilih makanan yang mempunyai karbohidrat kompleks seperti buah-buahan, sayur-sayuran segar dan bijirin penuh. Ketahuilah bahawa sayur-sayuran seperti bayam, asparagus dan bunga kobis tidak meningkatkan risiko serangan gout.

iv) Makanan dan minuman manis bergula yang juga mempunyai indeks glikemik tinggi seperti kuih muih manis, roti dan kek juga harus dielakkan kerana ia meningkatkan tahap asid urik dalam darah.

v) Elakkan pengambilan lemak trans seperti makanan bergoreng, marjerin dan makanan berproses yang dijual dalam plastik dan tin. Elakkan juga makanan yang mempunyai lemak tepu tinggi seperti daging merah, daging terproses, lemak ayam/itik dan produk tenusu tinggi lemak. Sebaliknya, banyakkan pengambilan minyak sihat seperti minyak zaitun.

vi) Pilih protein sihat iaitu daging haiwan tanpa lemak, telur dan kekacang.

vii) Vitamin C dan vitamin E bukan sahaja membantu menurunkan paras asid urik tetapi juga mengurangkan tahap keradangan dalam tubuh.

viii) Kopi kosong tanpa gula dan susu sejat juga membantu mengurangkan risiko mendapat serangan gout.

Terdapat beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan oleh pesakit gout bagi merendahkan risiko serangan gout. Antaranya:

i. Elak makan organ dalaman haiwan seperti hati, paru, perut, jantung dan lain-lain kerana ia mengandungi paras purin yang tinggi dan meningkatkan paras asid urik dalam darah.

ii. Jauhi daging merah dengan mengurangkan pengambilan daging lembu, kambing dan haiwan berkaki empat yang lain.

iii. Tidak semua makanan laut dan ikan sesuai untuk pesakit gout. Ikan bilis, kerang kerangan, sardin dan ikan tongkol misalnya mengandungi purin yang lebih tinggi. Jadi, bersederhanalah dalam mengambil ikan.

“Oleh itu, suka untuk saya ingatkan sekali lagi, dua faktor yang dapat menurunkan risiko mendapat serangan gout iaitu minum air kosong secukupnya dan ambil makanan yang mengandungi tahap purin yang rendah. Semoga bermanfaat,” tulis Dr Zubaidi di hujung entri perkongsiannya.

Telur Sarang Rangup, Ini Cara Buat Yang Betul

Telur sarang rangup, ini cara buat yang betul

MENU telur sentiasa menjadi kegemaran ramai. Cara memasaknya juga sangat mudah dan paling pantas.

Biasanya kanak-kanak juga lebih suka memakan telur berbanding lauk lain seperti ayam, ikan atau daging.

Namun telur juga menjadi lauk sampingan untuk melengkapkan hidangan makan tengah hari ataupun malam.

Jika kebiasaan telur dimasak sambal, lemak, kari, kicap, acar atau sebagainya, apa kata kali ini cuba membuat telur sarang.

Telur sarang ini turut menjadi pilihan ramai selain daripada telur dadar. Bentuknya sama namun berbeza sedikit bahan yang digunakan.

Rasanya lebih sedap kerana telur sarang ini sangat rangup tetapi perlulah buat dengan cara yang betul.

Bahan-bahannya;

  • Telur sebiji
  • 2 setengah sudu besar air putih/paip
  • Garam sedikit
  • Minyak yang banyak
Telur sarang rangup, ini cara buat yang betul

Cara-cara membuatnya;

1. Panaskan kuali dengan api yang besar, tuang minyak yang banyak.

2. Kacau telur, masukkan air dan kacau lagi sampai berbuih-buih telurnya.

3. Kemudian tuangkan telur dalam minyak yang telah panas, tarik mangkuk tinggi-tinggi supaya telur jatuh dengan tali halus dalam kuali dan merebak ke seluruh minyak.

4. Tutup api atau kecilkan. Sila tunggu dengan sabar.

5. Bila sudah nampak garing di tepi, terbalikkan telur tersebut.

6. Terbalikkan lagi sekali bila sudah garing. Angkat dan toskan.

7. Jika tak suka telur garing sangat, boleh kurangkan masa masak.

Selamat mencuba!

Sumber: Alia Ismail

Apabila Anak Kecil Dijangkiti Kudis Buta, Ini Tindakan Yang Perlu Ibu Bapa Lakukan

APABILA anak-anak diserang kudis buta, mak ayah memang pening kepala kerana bukan mudah untuk mengendalinya.

Apatah lagi, si kecil akan kerap menggaru jika mereka terasa gatal.

Kudis buta yang menjangkiti kanak-kanak biasanya berlaku pada kedua-dua belah tapak tangan, celahan jari, ketiak, kaki dan buku lali.

Baru-baru ini, Pegawai Perubatan Bahagian Kecemasan dan Trauma Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Dr Ahmad Luqman Bukhari berkongsi mengenai kaedah terbaik menguruskan masalah anak kecil yang mempunyai masalah tersebut menerusi Facebooknya.

Dr Ahmad Luqman Bukhari.

Kata Dr Ahmad Luqman, kudis buta akan kelihatan seperti ruam-ruam kecil yang berselerak, kulit di sekeliling pun akan berubah warna menjadi kemerahan-merahan dan terdapat bahagian-bahagian tertentu yang bernanah dan berkuping.

Ujar beliau, lazimnya kutu yang bernama Sarcoptes Scabiei adalah punca kepada masalah kudis buta.

Biasanya, kutu tersebut akan hidup pada permukaan kulit.

Memberi gambaran mudah, Dr Ahmad Luqman menjelaskan, kutu betina akan ‘menjalankan tugasnya’ dengan menggorek masuk ke dalam kulit dan kemudian bertelur di kawasan tersebut.

Jika kutu-kutu itu terjatuh atas pakaian, permaidani atau cadar, kutu berkenaan boleh bertahan hidup di situ selama 3 hari tau!

“Jadi, jika ada orang lain yang tersentuh kawasan itu, habislah, senang-senang saja boleh terkena jangkitan.

“Selalunya kalau dalam satu rumah, di sekolah atau di asrama, bukan seorang sahaja yang akan terkena penyakit ini, tetapi orang lain turut sama dijangkiti,” tulis Dr Ahmad Luqman.

Oleh itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan, berikut saranan beliau terutamanya untuk ibu bapa yang mempunyai anak kecil menghidap masalah kudis buta:

i) Semua ahli keluarga perlu dirawat serentak.

ii) Tidak boleh berkongsi-kongsi barangan atau pakaian untuk sementara waktu supaya orang lain tidak dijangkiti.

iii) Semua pakaian, tuala, cadar dan sarung bantal mesti dicuci dengan air panas untuk menghapuskan kutu itu.

iv) Tilam, permaidani atau objek yang tidak boleh dibasuh dijemur terus di bawah sinaran cahaya matahari.

v) Elakkan menghantar kanak-kanak yang dijangkiti ke sekolah atau pusat asuhan selagi rawatan belum selesai kerana ia sangat mudah menjangkiti individu lain.

vi) Pastikan kuku anak sentiasa pendek agar kulit tidak calar-balar dan berdarah teruk apabila mereka menggaru.

“Jika ada anak kecil kalian yang mengalami masalah kudis begini, segeralah membawa mereka ke fasiliti kesihatan untuk dapatkan rawatan.

“Losyen permethrin, emulsi benzyl benzoate (EBB) dan losyen lindane antara pilihan rawatan yang akan diberi. Ubat antihistamin juga akan dibekalkan untuk mengurangkan kegatalan,” beritahu Dr Ahmad Luqman.

Justeru, jika ada di antara pembaca yang berhadapan masalah itu, jangan berlengah-lengah lagi.

Segara dapatkan rawatan, insya-ALLAH, apabila kutu tersebut berjaya dihapuskan, kudis dan gatal akan sembuh.

Tiada Kaitan Antara Demam Kura Dengan Kura-Kura, Sebaliknya Nyamuk Tiruk Yang Menjadi Punca

SIMPTOM demam dan pada masa sama menggigil-gigil biasanya akan dikaitkan dengan penyakit demam kura oleh masyarakat kita tanpa mengira peringkat usia.

Sebenarnya, apakah itu penyakit demam kura dan adakah ia mempunyai kaitan dengan kura-kura?

“Ramai di antara kita yang menggunakan istilah demam kura menggangap penyakit itu adalah demam terketar-ketar sehingga dinamakan seperti demikian kerana pergerakan kura-kura yang digambarkan (terketar-ketar).

“Ia sebenarnya tidak tepat sama sekali,” ulas Pakar Kesihatan dan Perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan melalui entri Facebooknya.

Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Sebenarnya, kesilapan istilah itu terjadi kerana masyarakat kini tidak tahu maksud perkataan kura dan kura-kura.

Kura-kura merupakan sejenis binatang reptilia yang mempunyai cengkerang yang keras di belakangnya dan dapat hidup di air dan di darat.

Buat pengetahuan semua pembaca SinarPlus, kura juga bermaksud bahagian belakang tangan dan limpa (spleen).

Perkataan kura dalam istilah demam kura merujuk kepada maksud ketiga (perkataan itu) iaitu organ yang menjalankan fungsi kawalan kualiti darah.

Memperincikan lebih mendalam mengenai penyakit itu, ujar Dr Kamarul Ariffin, sel darah merah yang rosak dan mikroorganisma akan disaring keluar daripada peredaran darah.

Bahan binaan darah daripada sel darah yang rosak akan disimpan untuk tujuan kitar semula.

Jika berlaku kehilangan darah, limpa akan cuba menggantikan kehilangan tersebut dengan bekalan darah dalam simpanannya.

Oleh itu, deman kura sebenarnya adalah istilah khusus untuk demam malaria iaitu penyakit yang disebabkan oleh jangkitan plasmodium (protozoa parasit), yang menular melalui gigitan nyamuk tiruk.

Menjawab satu soalan lain, Dr Kamarul Ariffin menjelaskan, simptom-simptom demam malaria adalah seperti demam, menggeletar, sakit sendi, muntah-muntah dan kekejangan.

Antara tanda-tanda fizikalnya pula adalah pembengkakan limpa (splenomegaly) dan hati (hepatomegaly).

“Ya, itulah kaitannya! Demam kura adalah demam yang diringi dengan bengkak kura (limpa).

“Lepas ini jangan kaitkan lagi demam menggeletar dengan kura-kura. Haiwan itu tidak bersalah. Haiwan yang bersalah adalah nyamuk tiruk,” tulis Dr Kamarul Ariffin berseloroh.

Justeru, buat orang ramai di luar sana, jika kalian mempunyai simptom-simptom seperti yang disebutkan tadi, dinasihatkan agar segera dapatkan pemeriksaan doktor. Ingat, demam kura boleh bawa maut jika tidak dirawat!

Pun demikian, cara paling berkesan bagi mengelak demam malaria adalah dengan cegah pembiakan nyamuk.

“Dengan cara cegah pembiakan nyamuk, jangan kata malaria, denggi dan zika pun boleh dicegah sekali,” pesan Dr Kamarul Ariffin. #kitajagakita

Postur Badan Ketika Tidur Pun Penting Untuk Tulang, Elak Terkena Skoliosis

Bukan sahaja duduk, postur badan ketika berdiri dan tidur penting untuk tulang

SELALU rasa sengal atau lenguh-lenguh pada sendi tubuh badan anda?

Sebenarnya, korang mungkin salah teknik mengamalkan postur tubuh badan!

Untuk pengetahuan anda, postur ini perlulah betul dan tepat pada setiap masa tidak kira ketika sedang berdiri, duduk ataupun tidur.

Bercakap tentang postur, apa maksud yang sebenarnya? Buat korang yang mungkin belum tahu, ia adalah penjajaran tubuh badan.

Menurut National Institutes of Health (NIH), terdapat dua jenis postur iaitu;

1. Statik – Bagaimana posisi tubuh badan ketika tidak bergerak
2. Dinamik: Bagaimana posisi tubuh badan ketika sedang bergerak

Postur yang bagus akan mampu menyokong sendi, otot, tendon, ligamen dan juga tulang belakang agar tidak terjejas ketika sesuatu aktiviti berjalan.

Disebabkan itu, setiap anggota tubuh badan termasuklah leher, bahu, lutut, pinggul, belakang dan lain-lain perlu dijajarkan dengan baik.

Jika tidak, maka akan berlakulah pelbagai impak negatif seperti tulang belakang bengkok (skoliosis) yang akan menjejaskan kehidupan seharian.

Postur badan ketika tidur pun penting untuk tulang, elak terkena skoliosis

A. Kekalkan postur tubuh badan yang baik ketika berdiri!

Secara umumnya, cara berdiri yang betul haruslah lurus dan tegak bagi tujuan menyokong tulang belakang.

Haruslah kalian tahu bahawa tulang belakang secara semulajadinya memiliki tiga lengkungan iaitu pada leher, tengah belakang serta bawah belakang.

Jadi, kepala dengan leher perlulah sejajar dengan bahu (tidak terlalu ke depan atau ke belakang) dan begitu juga pinggang serta pinggul.

Antara tip yang boleh diamalkan jika postur ini sukar dikekalkan adalah pastikan kedudukan cuping telinga sejajar dengan bahu anda.

Ataupun, kalian juga boleh membeli dan menggunakan pendakap yang akan menyokong tulang belakang agar ia sentiasa tegak dan lurus.

Postur badan ketika tidur pun penting untuk tulang, elak terkena skoliosis

B. Bagaimana jika sedang duduk?

Tidak dinafikan bahawa postur tubuh badan ketika sedang duduk paling susah dibetulkan terutamanya mereka yang terpaksa duduk lama dalam sehari.

Mereka ini adalah dalam kalangan pekerja pejabat atau kilang yang memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam dalam sehari duduk untuk bekerja.

Meskipun sukar, adalah penting untuk kalian cuba duduk tegak dan tidak terlalu membongkok ke hadapan mahupun ke belakang.

Antara tip yang boleh dicuba adalah dengan memastikan punggung sentiasa duduk di bahagian belakang kerusi sementara belakang disandarkan.

Namun duduk terlalu lama juga adalah tidak bagus, jadi cuba curi masa untuk berdiri dan berjalan sekitar 30 minit bagi tujuan merehatkan tubuh badan
korang.

Postur badan ketika tidur pun penting untuk tulang, elak terkena skoliosis

C. Bagaimana pula ketika tidur?

Mungkin ramai yang menyangka bahawa kalian boleh tidur dalam apa jua posisi asalkan berbaring di atas tilam yang sangat empuk.

Tidak, kalian perlu tahu bahawa tilam yang empuk hanyalah sekadar bonus dan postur tubuh badan perlu diberi perhatian tatkala sedang tidur.

Cara untuk mendapatkannya adalah bereksperimen dengan pelbagai gaya tidur sama ada menelentang, meniarap ataupun ke sisi.

Kemudian, cuba rasakan kesannya apabila bangun pada esok pagi bagi mendapatkan idea tentang posisi tidur paling ideal buat individu.

Sekiranya ada penyakit tertentu berkaitan fizikal atau mental, dapatkan pandangan doktor tentang posisi tidur yang terbaik.

Namun, pasti akan ada ketika di mana kita semua terlupa atau terleka mengenai postur tubuh badan yang terbaik.

Oleh itu, tip paling utama yang boleh kalian amalkan adalah dengan melakukan senaman seperti yoga untuk lebih peka dengan postur fizikal dan mental
anda.

Selain itu, Menurut Profesor Ortopedik Neel Anand, korang perlu setiap masa memeriksa tubuh badan ketika melakukan sebarang aktiviti seharian.

Caranya adalah memandang cermin dengan kerap untuk meneliti sama ada postur kalian itu sesuai atau tidak dengan aktiviti yang dijalankan.

Ataupun korang juga boleh minta individu di sekeliling memerhati dan menegur sekiranya berlaku kesilapan dalam hal ini.

Sangat mudah bukan? Jadi, jangan lagi kalian tidak mengambil berat mengenai postur badan kerana kesannya adalah pada tubuh badan kalian pada hari tua kelak!

Sumber: Hellodoktor