Sosej Telur Hancur Mudah, Penuhi Selera Anak-Anak

Sosej telur hancur mudah, penuhi selera anak-anak

JIKA sebut sosej dan daging burger, anak-anaklah yang paling teruja.

Biasanya menu lauk harian seperti ayam, daging, ikan, sotong, udang dan sebagainya.

Apa kata kali ini kita ubah sedikit membuat menu mudah hanya menggunakan telur dan sosej.

Selain boleh dimakan bersama roti, ia juga boleh dijadikan lauk untuk dinikmati bersama nasi putih.

Ia hanya menggunakan bahan yang mudah didapati, cara membuatnya juga cukup senang.

Menu ini sangat sesuai dengan mama moden yang sibuk sepanjang hari.

Jimat masa mama dan anak-anak pun pasti sangat berselera.

Sosej telur hancur mudah, penuhi selera anak-anak

Bahan-bahan:

  • Minyak masak (sedikit)
  • Mentega
  • Sosej
  • Bawang merah (hiris)
  • Cili padi
  • Telur
  • Sos cili

Cara-cara membuat;

1. Masukkan minyak masak, mentega, hirisan bawang merah, cili padi, telur (pecahkan duluan ya), tumis sehingga nampak kekuningan dan akhir masukkan sosej dan sos cili.

2. Jangan lupa tambahkan serbuk perasa dan garam.

Sumber : Yatie Owner

Sosej telur hancur mudah, penuhi selera anak-anak

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile Untuk Pesakit Kanser Dan Penyakit Metabolik

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik

KAJIAN tentang peranan pemakanan dan kanser amat luas. Ilmu pengetahuan berkaitan dengannya semakin bertambah hari demi hari dengan penyelidikan yang terus memainkan peranan penting dalam pemakanan berkaitan kanser.

Menurut TK Farmas Solution & Industries, American Institute for Cancer Research dan World Cancer Research Fund menganggarkan bahawa 30 sehingga 40 peratus daripada semua jenis kanser boleh dicegah melalui diet seimbang, aktiviti fizikal, dan pemantauan berat badan yang ideal.

Jelasnya, kesan diet terhadap risiko kanser telah diperolehi dari kajian ke atas kaitan antara corak pemakanan dan kadar kanser di populasi yang berlainan di seluruh dunia.

“Ia telah dicatatkan sejak tahun 1970-an lagi di mana negara-negara maju di Barat seperti Amerika dan Eropah mempunyai diet yang tinggi dengan produk haiwan, lemak dan gula, telah menyumbang kepada kadar kanser yang tinggi terutamanya kanser kolorektum, payudara dan prostat.

“Sebaliknya negara membangun pula biasanya mempunyai diet berdasarkan satu atau dua makanan ruji berkhasiat, pengambilan makanan dari sumber haiwan yang rendah, serta kurang lemak dan gula.

“Ini menghasilkan kadar kanser yang rendah berbanding negara maju berdasarkan kajian TJ Key dan rakan dari Unit Epidemiologi Penyelidikan Kanser UK, University of Oxford, Oxford, UK yang menemui kadar kanser negara membangun adalah 20% lebih rendah berbanding negara maju,” kata  TK Farmas Solution & Industries.

Secara umumnya, tidak kira jenis kanser, atau kecenderungan genetik, diet seimbang, ditambah dengan senaman yang teratur adalah amat penting untuk pencegahan dan rawatan kanser.

Pengambilan nutrisi berkhasiat dapat mengurangkan risiko kanser dan juga penting bagi pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan.

Sesetengah pesakit bimbang bahawa antioksidan seperti Vitamin C, E dan beta-karoten mungkin mengurangkan keupayaan membunuh tumor ketika menjalani rawatan kimoterapi dan radiasi. Ini sebenarnya tidak berlaku.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik
Antioksidan meneutralkan radikal bebas.

Berdasarkan kajian oleh Pengarah Pusat Kerjasama WHO dalam Perubahan Global, Alam Sekitar dan Kesihatan Awam yang diterbitkan American Journal of Clinical Nutrition, dalam kedua-dua kajian manusia dan haiwan, antioksidan meningkatkan keberkesanan kimoterapi serta radiasi untuk membunuh tumor sambil melindungi tisu badan dari kerosakan.

Menurut kajian tersebut, antioksidan amat bermanfaat kepada kimoterapi dan radiasi. Walaupun kedua-dua rawatan dapat mengurangkan tumor, ia juga boleh menjejaskan tisu-tisu normal seperti jantung, buah pinggang, lapisan usus dan sumsum tulang.

Mujurlah, antioksidan seperti vitamin dapat melindungi tisu normal dari kerosakan tersebut.

Baca juga Sakit kepala selepas bersenam, petanda badan tidak normal

Sebagai contoh, kajian ke atas haiwan oleh Wang dan rakan di dalam jurnal Cancer Research menunjukkan bahawa Vitamin E melindungi hati terhadap kesan rawatan kimoterapi doxorubicin sambil meningkatkan keupayaan ubat untuk meneruskan kesannya ke atas kanser.

Berdasarkan kajian tersebut, Vitamin E juga mempunyai aktiviti anti-kanser yang unik. Seterusnya kajian oleh Shklar dan rakan dari Universiti Harvard pada tikus yang mempunyai kanser hati, Vitamin C dan K meningkatkan keberkesanan membunuh sel kanser sambil mengurangkan kerosakan organ dari enam jenis rawatan kimoterapi yang berbeza.

Menurut kajian Taper dan rakan di dalam International Journal of Cancer pula, Vitamin A (isotretinoin) meningkatkan keupayaan membunuh tumor bagi rawatan kimoterapi vincristine dan daunorubicin dalam 24 pesakit dengan leukemia limfoblastik akut.

Dalam kajian klinikal Pieters dan rakan dari Jabatan Sains Farmaseutikal, Universiti Antwerp, Belgium terhadap haiwan, suntikan Vitamin C sebelum radioterapi memberikan perlindungan kepada badan haiwan tanpa menjejaskan pembunuhan tumor, justeru menunjukkan bahawa Vitamin C diberikan sebelum radioterapi dapat membantu pesakit bertolak ansur dengan rawatan.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik
Biji aprikot liar kaya dengan vitamin B17.

Namun masih ramai yang tidak mengetahui akan kebolehan Vitamin B17. Vitamin B17 atau dikenali sebagai Laetrile merupakan salah satu bahan aktif utama di dalam biji aprikot liar organik. Vitamin B17 Laetrile telah dilaporkan mempunyai sifat antioxidatif, antibakteria, anti-radang, dan imunoregulatori.

Ini telah dibuktikan secara saintifik oleh Minaiyan dan rakan dari Jabatan Farmakologi, Pusat Penyelidikan Fakulti Farmasi dan Sains Farmaseutikal, Universiti Sains Perubatan Isfahan, Iran, di mana biji aprikot liar mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk menghapuskan radikal bebas serta melindungi membran lipid sel daripada teroksidasi.

Selain itu, biji aprikot liar juga kaya dengan sebatian polifenol yang berfungsi untuk melawan keradangan atau anti-radang.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik
Bagaimana B17 bertindak terhadap sel kanser.

Menurut kajian di dalam Research in Pharmaceutical Sciences, vitamin B17 Laetrile mampu melindungi lapisan mukosa usus daripada kecederaan kimia dan enzim proteolitik sekaligus melindungi kesihatan usus pesakit kanser ketika menjalani rawatan.

Malahan, hasil kajian Zheng dan rakan pada 2019 ini juga menunjukkan vitamin B17 Laetrile mampu mengurangkan tahap sel-sel imunosupresif atau faktor berkaitan keradangan untuk memusnahkan permukaan tumor, menghalang tumor dari merebak dan merencatkan pertumbuhan tumor.

Vitamin B17 Laetrile yang mempunyai kebolehan anti-radang ini juga sangat penting terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit seperti ekzema, psoriasis, alahan dan asma kerana ianya mampu mengurangkan keradangan dan iritasi pada kulit dan paru-paru.

Tambahan lagi, banyak kajian berkaitan vitamin B17 Laetrile telah dijalankan menunjukkan vitamin B17 Laetrile mampu meningkatkan sistem imunisasi badan.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik
Kelebihan Polifenol.

Kajian yang dijalankan Baroni dan rakan dari Universiti Campania “Luigi Vanvitelli”, Naples, Itali mendapati vitamin B17 Laetrile dapat meningkatkan fungsi imun dengan cara meningkatkan penghasilan T-limfosit dan mengurangkan penghasilan protein yang terlibat dalam pembesaran tumor.

T-limfosit merupakan sejenis sel darah putih yang memainkan peranan penting dalam sistem imun badan. T-limfosit dihasilkan di tulang sum-sum dan melindungi badan daripada jangkitan dan dikatakan mampu melawan sel kanser.

Penggunaan vitamin B17 Laetrile telah lama diamalkan oleh pesakit kanser sebagai pelengkap kepada rawatan mereka disamping menjalani rawatan konvensional seperti kimoterapi dan radioterapi. Kebolehan vitamin B17 Laetrile untuk melawan kanser juga telah dibuktikan melalui banyak kajian di seluruh dunia.

Kajian dilakukan oleh Makarevic dan rakan (2014) dari Jabatan Urologi, Hospital Universiti Goethe, Frankfurt am Main, Jerman membuktikan vitamin B17 Laetrile mampu mengurangkan pertumbuhan dan pembiakan sel kanser pundi kencing.

Selain itu, kajian yang diterbitkan di dalam jurnal Immunopharmacology and Immunotoxicology oleh Y. Chen dan rakan dari Jabatan Patogenobiologi, Bethune College of Medicine, Universiti Jilin, China pada 2013 juga menunjukkan vitamin B17 Laetrile mampu membunuh sel-sel tidak normal yang boleh menyebabkan penyakit kanser, cyst, fibroid serta tumor sekaligus mampu menggalakkan perkembangan sel sihat.

Malahan kajian terbaru mengenai kelebihan vitamin B17 Laetrile bukan sahaja mampu membunuh sel kanser, tetapi juga mampu merencatkan pertumbuhan endometriosis.

Ini dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan oleh Hu dan rakan (2019) di Hospital Wilayah HuBei, China. Endometriosis adalah penyakit yang seringkali menyakitkan di mana tisu yang serupa dengan tisu yang biasanya melapisi bahagian dalam rahim, iaitu endometrium tumbuh di luar rahim. Endometriosis paling kerap melibatkan ovari, tiub fallopio dan tisu yang melapisi pelvis.

Kepentingan Vitamin B17 Laetrile untuk pesakit kanser dan penyakit metabolik

Berdasarkan ini, Dr. Ismail Lasa, Pakar Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan berpendapat Vitamin B17 Laetrile ini mampu membantu menggalakkan perkembangan sel sihat di dalam tubuh badan sekaligus mampu mengurangkan risiko penyakit kanser dan penyakit metabolik selain dapat meningkatkan kecergasan seseorang khususnya bagi mereka yang sedang menjalani rawatan terapi.

Bagaimanapun, Dr. Ismail Lasa juga tidak menggalakkan pengambilan biji aprikot yang mentah kerana dikhuatiri terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantarannya ke Malaysia.

Ini amat berisiko kepada kesihatan badan apabila boleh menyebabkan keracunan serta kesan sampingan seperti cirit-birit, muntah, sakit kepala, demam dan sebagainya.

Menurut pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM yang juga Pengasas Farmas Health, Profesor Dr. Syed Zainal Husin Wafa, lambakan produk berasaskan biji aprikot di pasaran kini cukup merisaukan kerana kebanyakan produk tersebut menggunakan biji aprikot yang tidak berkualiti dan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Justeru itu, bagi mendapatkan keberkesanan vitamin B17 Laetrile terhadap pemulihan kanser dan penyakit metabolik yang lain perlu dipastikan bahawa vitamin B17 Laetrile adalah dari biji aprikot liar yang organik serta perlu mengambilnya dengan dos yang mencukupi.

Oleh sebab itu, beliau menasihati pengguna agar memilih produk berasaskan biji aprikot ini dengan berhati-hati. Produk tersebut perlulah diproses mengikut piawaian teknologi farmaseutikal yang tinggi, melalui penyediaan klinikal, mempunyai status HALAL dan paling penting adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, Kementerian Kesihatan Malaysia.

‘Berat Badan Saya Turun 10kg Dalam Jangka Masa Seminggu Lebih Saja’

“Pada awalnya, badan saya tiba-tiba bertukar menjadi sangat lemah dan hilang selera makan. Lebih menakutkan lagi, berat badan turun jatuh dengan mendadaknya iaitu hampir mencapai 10 kilogram (kg) hanya dalam jangka masa satu minggu lebih sahaja.”

Demikian pengakuan ikhlas seorang pesakit vaskulitis, Rosli Khairullah, 51, yang disahkan mengalami penyakit tersebut beberapa bulan lalu.

Ujar Rosli, beliau tidak mahu orang lain mencontohinya kerana beliau antara pesakit yang lambat mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini, saya melakukan ikhtiar dengan rawatan secara tradisional di kampung sahaja. Namun, setelah dipujuk oleh anak-anak, akhirnya saya bulatkan tekad untuk berjumpa pakar setelah hampir berbulan-bulan berada dalam kondisi yang sangat teruk,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Ujar lelaki itu, beliau juga kerap berasa sakit kepala, sakit pada sendi kaki dan tangan serta demam selain kulitnya dipenuhi dengan ruam (kecil) berwarna kemerah-merahan.

“Saya jadi keliru ketika itu. Setelah ujian darah dilakukan, akhirnya doktor memaklumkan bahawa saya disahkan mempunyai masalah vaskulitis iaitu penyakit yang berkaitan dengan keradangan darah.

“Alhamdulillah, seawal dua minggu sahaja, sakit yang dialami sebelum ini berkurang. Keadaan saya kini juga semakin pulih setelah diberi ubat antikeradangan,” ujar bapa kepada empat orang anak itu.

Beliau juga secara berkala akan membuat pemeriksaan dengan doktor mengikut jadual yang telah disusun.

Ujar Rosli, simptom-simptom dan gejala-gejala yang dihadapinya bukan sembarangan dan beliau sendiri ngeri melihat keadaan dirinya sendiri ketika itu.

Sehubungan itu, lelaki itu berpesan agar orang ramai yang mempunyai kondisi serupanya segera bertindak pantas.

“Jangan berlengah lagi kerana jika kita tidak bernasib baik, penyakit yang kita alami boleh melarat,” pesannya.

Penyakit Vaskulitis: Pilih Diet Antiradang, Fokus Makan Setiap Dua Jam Sekali

BERSAMA

Pegawai Perubatan,

Klinik Ajwa Shah Alam,

Dr Arisman Wenge Abdul Rahman

SOALAN 1

DOKTOR, apakah diet yang paling sesuai untuk pesakit yang berhadapan masalah keradangan salur darah atau vaskulitis? Ia kerana salah seorang daripada keluarga saya baru sahaja didiagnos mempunyai penyakit itu, mohon penjelasan daripada doktor.

– INGIN TAHU, ROHAINA MD RASHID, 41, Bukit Kayu Hitam, Kedah.

JAWAPAN:

Pertama sekali, nasihat saya,  puan perlu membuat rundingan dengan pakar diet terlebih dulu bagi  mendapatkan cadangan mereka.

Namun demikian, pesakit disarankan agar memilih diet yang mengandungi banyak kandungan antiradang dan mengelak mengambil makanan yang menyumbang kepada keradangan.

Puan, berikut saya senaraikan makanan-makanan antiradang bagi memudahkan urusan pemilihan makanan dilakukan untuk pesakit vaskulitis:

1. Buah-buahan dan sayur-sayuran

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa sayur-sayuran berdaun kaya dengan vitamin K seperti bayam dan kangkung yang boleh mengurangkan keradangan. Begitu juga dengan sayur brokoli dan buah-buahan seperti ceri dan rasberi.

2. Biji-bijian

Oatmeal, beras merah, roti gandum dan biji-bijian lain yang tinggi serat turut dapat membantu.

3. Kekacang

Kekacang memiliki serat yang tinggi ditambah dengan sifat antioksidannya.

4. Ikan

Salmon, tuna, dan sardin semuanya mempunyai banyak asid lemak omega-3 yang boleh melawan keradangan.

5. Herba dan rempah

Kunyit yang terdapat dalam serbuk kari mengandungi curcumin yang bertindak sebagai antioksidan baik. Begitu juga dengan bawang putih yang mengekang kemampuan tubuh badan untuk membuat sesuatu yang meningkatkan keradangan.

Berkisar mengenai diet yang harus dielakkan oleh pesakit vaskulitis pula, pastikan mereka mengelak makan makanan yang mempunyai karbohidrat halus seperti roti putih dan pastri serta makanan bergoreng seperti kentang goreng.

Selain itu, mereka juga perlu mengelak mengambil marjerin, minuman bersoda (minuman manis) dan daging merah seperti burger, stik dan daging yang diproses, contohnya sosej.

Sekiranya pesakit mempunyai masalah kurang selera makan atau penurunan berat badan yang tidak dirancang, cuba makan setiap dua jam walaupun hanya beberapa suapan dengan memberi fokus kepada makanan berkalori tinggi dan mempunyai protein tinggi.

Pada masa sama, pesakit vaskulitis juga disarankan memilih minuman dengan kalori seperti susu, jus, minuman isotonik atau smoothie.

Paling penting, ambil minuman di antara waktu makan, bukannya semasa makan.

Hindari juga makanan berlemak, berminyak, makanan pedas atau makanan yang sangat manis.

Sekiranya pesakit diberitahu bahawa sel darah putih sangat rendah dan berisiko tinggi mendapat jangkitan, pastikan mereka mengelak makan daging mentah, ikan mentah termasuk sushi, telur mentah atau susu yang tidak dipasteur.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada data yang mampu membuktikan kesan pemakanan terhadap mekanisme dalam kes vaskulitis itu sendiri.

‘Belum ada data jelas terapi alternatif vaskulitis sehingga kini

SOALAN 2:

Doktor, saya ingin bertanya, adakah terdapat beberapa pendekatan lain yang boleh dilakukan pesakit vaskulitis agar penyakit itu tidak berulang dan tanpa perlu mengambil ubat secara berterusan?

-INSAN BUNTU, ILHAM MUNIR HADZRI, 29, Kuala Terengganu, Terengganu.

Jawapan:

Tuan, sebenarnya sangat sukar untuk doktor menjawab pertanyaan tersebut kerana terdapat banyak jenis vaskulitis dan perbezaan dari segi rawatan dan prognosisnya.

Ada jenis yang ringan dan ada juga yang dikategorikan sebagai kes berat sehingga timbul komplikasi terhadap organ lain yang mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat atau boleh mengancam nyawa.

Pada pendapat saya, jika ingin tahu mengenai terapi alternatif selain bergantung dengan ubat semata-mata, jawapanya adalah  tidak ada data yang jelas mengenai terapi alternatif untuk vaskulitis sehingga kini.

Tuan, pencetus kes vaskulitis berulang atau relapse adalah masih tidak diketahui dengan jelas. Walaupun sudah banyak persoalan telah diajukan mengenai faktor-faktor seperti jangkitan kuman baharu dan tekanan, namun tidak ada hubungan yang pasti di antara faktor itu atau pencetus lain yang mungkin terkait dengan serangan vaskulitis yang berulang-ulang.

Konsep lebih jelas untuk mendapatkan kesembuhan bagi mengelakkan komplikasi dan penyakit itu berulang dengan kerap adalah dengan mendapatkan rawatan awal.

Sebagai contoh, kes kerosakan saraf atau nerve damage. Kajian menunjukkan semakin awal vaskulitis dikenal pasti dan dirawat, semakin besar kemungkinan pemulihan daripada kerosakan saraf.

Bahayakah Jika Anak Kecil Suka Duduk Menggunakan Posisi W? Ini Fakta Kesihatan Yang Perlu Ibu Bapa Tahu

ADA sesetengah daripada kanak-kanak sangat gemar duduk menggunakan posisi berbentuk huruf W.

Pernah suatu ketika dahulu, tular kenyataan di media sosial yang menyatakan bahaya anak-anak yang duduk menggunakan posisi berkenaan.

Perkara itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terutamanya anak-anak yang mempunyai tabiat berkenaan.

Menurut portal kesihatan medcom.id, kanak-kanak di bawah umur tiga tahun yang duduk dalam kedudukan tersebut dinggap normal.

Bagaimanapun, jika kebiasaan itu berterusan selepas anak kecil itu menjangkau usia tiga tahun, ia boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan keseluruhan mereka.

Apakah keadaan itu benar?

SinarPlus kemudian menyelak informasi menerusi entri Facebook Public Health Malaysia.

Tulisnya, jika ibu bapa ternampak anak-anak duduk dalam posisi W, ia mungkin suatu perkara yang normal pada usia anak kecil sekitar tiga tahun.

Ia adalah kerana pada ketika itu, tubuh mereka masih fleksibel dan perkara itu tidak menyakitkan mereka.

Bukan itu sahaja, ia sama sekali tidak akan mendatangkan bahaya pada perkembangan otot peha sekiranya duduk dalam posisi itu sekali-sekala.

Untuk pengetahuan ibu bapa di luar sana, kanak-kanak suka akan posisi berkenaan kerana ia memberi tapak yang lebih luas dan memberi keseimbangan yang lebih stabil semasa mereka sedang bermain.

Sebenarnya, terdapatnya satu kajian yang menunjukkan 99 peratus kanak-kanak yang duduk dalam posisi W akan meninggalkan tabiat tersebut selepas mereka semakin membesar tanpa sebarang intervensi.

Jadi, usah bimbang, kajian yang sama juga membuktikan duduk dalam posisi W tidak mengakibatkan Hip Dysplasia.

Pesanan penting kepada ibu bapa adalah untuk memerhatikan pergerakan anak anak semasa beralih daripada posisi W ke posisi lain.

Ia turut diakui oleh Pakar Ortopedik Pediatrik, Hospital Johns Hopkins All Children, Amerika Syarikat, Dr Greg Hahn.

Katanya, kebanyakan kanak-kanak yang berjalan sedikit mempunyai kecenderungan memilih duduk dalam posisi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mendapati kedudukan duduk W hanyalah variasi normal bagi kanak-kanak dan tidak memerlukan rawatan.

Namun demikian, jika mereka kelihatan kekok sama ada seperti dalam keadaan kesakitan atau tidak seimbang, segeralah dapatkan pemeriksaan doktor.

Seperkara, jika otot anak kecil kelihatan lemah, kerap jatuh, peha membengkak dan berlaku masalah koordinasi serta keseimbangan (tidak simetri), jangan berlengah-lengah lagi, ia mungkin petanda tidak baik kepada kesihatan
anak kecil berkenaan.

Oleh itu, cara lainnya, ibu bapa perlu memberi galakkan kepada anak kecil untuk berubah posisi semasa duduk dengan mencuba beberapa posisi seperti:

i) Duduk bersila
ii) Duduk melunjur
iii) Duduk bersimpuh
iv) Duduk melutut

Jadi, diharapkan dengan perkongsian ini memberi informasi yang jelas kepada ibu bapa di luar sana.

Foto: FREEPIK DAN SUMBER INTERNET

Semak Kualiti Internet Anda Guna Speedtest, Sesuai Atau Tidak Untuk Strim Video

Semak kualiti internet anda, guna Speedtest sesuai atau tidak untuk strim video

MINGGU lalu, Speedtest memperkenalkan kemampuan menyemak kawasan liputan rangkaian telekomunikasi melalui aplikasi.

Ini memudahkan pengguna untuk mengetahui pelan apa yang sesuai untuk dilanggan dan syarikat telekomunikasi mana yang patut dipilih.

Terkini, Speedtest menawarkan perkara lain pula yang mungkin boleh membantu sewaktu berkurung dalam rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Perkhidmatan penstriman video, biasanya cukup pintar untuk mengetahui resolusi apa yang patut distrim bergantung pada kelajuan internet pengguna.

Tetapi ada perkhidmatan yang memberi pilihan untuk tetapkan penstriman sentiasa pada resolusi tinggi.

Tetapi ini akan menjadikan pengalaman menonton tidak seronok kerana akan terjadi pelbagai masalah seperti tersekat-sekat dan banyak lagi.

Semak kualiti internet anda, guna Speedtest sesuai atau tidak untuk strim video

Kini, Speedtest menyertakan kemampuan menyemak kualiti internet anda sama ada mampu untuk menstrim video atau tidak.

Jika mampu, resolusi apa yang ia mampu distrim turut akan dipaparkan. Biasanya ujian kelajuan internet menguji masa muat naik, muat turun dan masa pendam.

Tetapi dengan kemaskini terbaru ini ia menguji kemampuan menstrim pada pelbagai resolusi, masa memuat dan masa penimbalan.

Secara asasnya, Speedtest kini menjadi sebagai tempat menguji tanda aras kemampuan menstrim video. Maklumat yang dipaparkan lebih banyak berbanding Fast.com dari Netflix.

Cuba buat ujian video pada Speedtest untuk iOS hari ini dengan membuka aplikasi Speedtest di telefon korang (atau memuat turunnya dari Apple App Store jika belum memilikinya).

Semoga bermanfaat!

Sumber: amanz

Pembedahan Pintasan Perut Bukan Sekadar Untuk Kurus Semata-Mata

ADA di antara kita yang sudah berusaha sepenuhnya untuk mengurangkan berat badan, namun masih menemui jalan buntu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dunia kini sedang mengalami epidemik kegemukan kerana hampir setiap dua dari lima orang (39 peratus) mempunyai berat badan berlebihan pada tahun 2016 dan 13 peratus mengalami kegemukan.

Menurut statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional pada tahun 2019 pula, Malaysia mempunyai kadar obesiti dan berat badan yang paling tinggi dalam kalangan negara-negara Asia dengan 64 peratus lelaki dan 65 peratus wanita.

Pastinya, obesiti bukan satu masalah yang mudah untuk diatasi kerana terdapat banyak faktor yang mempengaruhi corak makan dan senaman sesetengah individu.

Memberi solusi kepada masalah tersebut, pembedahan pintasan perut atau bariatrik mungkin salah satu jalan keluar yang boleh dipertimbangkan.

Sebenarnya, bariatrik yang memfokuskan kepada pembedahan mengecilkan perut sesuai dijalankan ke atas mereka yang mempunyai Indeks Jisim Badan melebihi 35 dan gagal mendapatkan penurunan badan kekal dan konsisten dengan cara lain.

Perlu diingatkan, pembedahan berkenaan bukannya sebagai pembedahan kosmetik, sebaliknya fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar kelihatan kurus, tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti adalah punca pelbagai penyakit kronik.

Apakah yang berlaku selepas menjalani pembedahan berkenaan?

Jawapannya, selepas pembedahan itu dilakukan, pesakit akan berasa cepat kenyang dan kurang selera makan serta menyebabkan sistem tubuh mengambil tenaga daripada lemak pada badan sebagai ganti kepada makanan yang biasa diambil.

Hasilnya, berat badan akan berkurangan dan pesakit akan dapat melihat kesan positif seperti pengurangan berat badan yang ketara, tekanan darah menurun, memulihkan pesakit yang mengalami diabetes tahap 2 dan merendahkan kolesterol.

Selain itu juga, ia dapat memulihkan masalah pernafasan ketika tidur, pedih ulu hati, memperbaiki pergerakan anggota badan malah pembedahan tersebut juga dapat menghilangkan sakit teruk pada sendi-sendi tulang akibat berat badan yang berlebihan.

Antara berita baik manfaat pembedahan berkenaan juga dikaitkan dengan masalah kitaran haid wanita obes yang tidak teratur sehingga mengganggu kesuburan juga dapat diperbaiki.

Bukan itu sahaja, dari segi psikologi juga, ia memberi kesan bagus kerana ia meningkatkan keyakinan diri dan pengawalan emosi terutamanya ketika berada di hadapan khalayak ramai.

Pastinya, pembedahan pintasan perut telah terbukti mampu mengurangkan berat badan sebanyak 60 peratus dalam tempoh dua tahun sahaja tau!

Lebih mengujakan, pembedahan bariatrik bukan sahaja menyebabkan penampilan fizikal akan bertambah baik, malah kebanyakan penyakit metabolik seperti kencing manis, kolesterol dan darah tinggi berjaya dikawal.

Pun demikian, menurut Pakar Perunding Bedah Umum, Payudara, Endokrin dan Bariatrik, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Kirubakaran Malapan, rata-rata pesakit yang menggunakan salah satu daripada kaedah berkenaan akan susut lebih kurang 15 kilogram iaitu kira-kira 10 ke 15 peratus daripada berat badan asal dalam masa yang sangat singkat.

“Bagaimanapun, sikap pesakit juga penting dan mereka perlu dipujuk mengurangkan jumlah makanan selain meningkatkan senaman.

“Sebagai panduan, pasukan multidisiplin terlibat akan merumuskan program lengkap untuk
membantu diet sihat, rejimen senaman dan yang paling penting adalah mengubah gaya hidup dan kesihatan individu berkenaan,” katanya menerusi satu e-mel baru-baru ini.

Beberapa selebriti tempatan popular seperti Aishah, Chef Zam, Rahim (Sepahtu) dan Micheal Ang telah menjalani pembedahan berkenaan dan hasilnya boleh dilihat pada hari ini.

Semoga perkongsian di atas bermanfaat kepada semua dan tolong ‘nyahkan’ daripada fikiran bahawa pembedahan tersebut hanya bertujuan kurus semata-mata.

Sumber: Public Health Malaysia

Terkejut Didiagnos Kanser Walau Sudah Bertahun Tinggalkan Tabiat Merokok

MOHD Jazli Jasmin, 39, tidak menyangka, batuk yang berlarutan hingga beberapa bulan lamanya merupakan petanda beliau menghidap kanser paru-paru tahap 3.

Kata bapa kepada dua orang anak itu, ujian itu amat berat baginya kerana beliau sudah hampir beberapa tahun meninggalkan tabiat merokok.

“Pada awalnya, saya fikir batuk yang agak lama itu hanyalah batuk biasa sahaja. Namun demikian, selepas dipujuk oleh isteri, saya membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan lanjut,” ujarnya yang merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di Pasir Gudang, Johor itu.

Mohd Jazli Jasmin.

Selepas pemeriksaan dilakukan, Mohd Jazli mengakui sangat terkejut dan sukar menerima hakikat bahawa dirinya didiagnos sebagai seorang penghidap kanser paru-paru pada tahun 2019.

Mohd Jazli memberitahu SinarPlus, beliau mengakui pengetahuannya tentang penyakit berisiko itu memang agak kurang.

Lagipun, keputusannya meninggalkan tabiat merokok itu pun selepas pemergian arwah abangnya yang menderita kanser mulut kira-kira sembilan tahun lalu.

Setelah ‘diaudit’ kembali, lelaki itu berkata, punca dirinya mengalami kanser berkenaan berkemungkinan besar atas faktor asap rokok selain faktor genetik.

“Meskipun saya sudah lama tidak merokok, saya masih terdedah dengan asap rokok terutamanya ketika bersama rakan sekerja lain.

“Saya terima ketentuan takdir ALLAH. Mohon doakan agar saya dapat bertahan dan cepat sembuh daripada kanser ini dan boleh kembali bekerja seperti sediakala.

“Saya juga kini sedang mengikuti jadual rawatan yang telah ditetapkan oleh pihak hospital dan keadaan saya masih baik-baik lagi,” ujarnya pada akhir perbualan.

Dengkuran Kuat Ketika Tidur Boleh Timbulkan Komplikasi Bahaya. Ini Penjelasannya…

SATU kajian yang dilakukan oleh Yayasan Tidur Kebangsaan Amerika Syarikat sebelum ini telah merekodkan lebih 6 juta rakyat Malaysia menghidap masalah tidur berdengkur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA).

Sebenarnya, apakah sebab-sebab dengkur boleh terjadi dan apakah ia mempunyai perkaitan rapat dengan trend hidup manusia zaman kini?

Mengulas mengenai situasi berkenaan, SinarPlus berkongsi pandangan seorang pegawai perubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.

Dr Iskandar Mirza.

Menerusi ciapan Twitternya @DIskandarmirza, beliau berkata, berdengkur adalah bunyi yang kuat dan garau berlaku semasa udara melalui bahagian sempit saluran pernafasan pada bahagian tekak dan menyebabkan bahagian tersebut bergetar semasa bernafas.

Perlu diketahui bahawa sesetengah pesakit boleh mendapat masalah dengkur kronik. Bahaya!

“Berdengkur kebiasaan berkait rapat dengan masalah OSA yang mana pemeriksaan akan dilakukan dengan lebih terperinci oleh doktor,” beritahu Dr Iskandar Mirza.

Berikut antara simptom-simptom OSA yang perlu diberi perhatian oleh seseorang:

i. Tersedar pernafasan berhenti semasa tidur.
ii. Terlalu mengantuk pada waktu pagi.
iii. Susah untuk memberi perhatian.
iv. Sakit kepala pada waktu pagi.
v. Sakit tekak semasa bangun tidur.
vi. Tidur yang tidak berkualiti.
vii. Terasa tercekik atau mengah pada waktu malam.
viii. Tekanan darah tinggi.
ix. Berdengur terlalu kuat sehingga mengganggu tidur pasangan.

Pun demikian, nasihat Dr Iskandar Mirza, jika pembaca mempunyai beberapa simptom seperti disebutkan di atas, segeralah membuat temu janji bersama doktor kerana diagnosis akan dilakukan secara pemeriksaan menyeluruh dan akan melakukan pengimejan diagnostik dan melakukan ujian tidur.

Dalam pada itu, Dr Iskandar Mirza turut menyenaraikan penyebab-penyebab kepada masalah berdengkur iaitu:

1. Anatomi mulut iaitu palate lembut (lelangit) yang tebal dan rendah boleh menyempitkan ruangan pernafasan.

2. Mengambil alkohol sebelum tidur akan membuat otot pada tekak menjadi lemah dan merendahkan sistem pertahan semula jadi untuk melawan masalah salur pernafasan sempit.

3. Masalah nasal iaitu masalah selesema yang kronik atau masalah nostril yang tidak normal boleh menyebabkan berdengkur.

4. Tidur yang tidak mencukupi kerana ia akan menyebabkan otot pada tekak menjadi lemah.

5. Posisi tidur kerana apabila tidur dalam posisi baring melintang, kesan graviti adalah paling tinggi terhadap tekak dan menyebabkan bahagian pernafasan menyempit.

Menghuraikan risiko untuk mendapat masalah berdengkur, Dr Iskandar Mirza berkata, mereka mungkin datang dalam kalangan orang lelaki yang mempunyai masalah obesiti, individu yang mempunyai masalah anatomi pernafasan, individu yang mengambil alkohol, terdapatnya gangguan nasal selain mempunyai sejarah keluarga untuk penyakit OSA.

“Jangan ambil mudah dengan masalah tidur berdengkur kerana komplikasinya sangat merbahayakan kesihatan diri.“Antara (komplikasinya) adalah mengantuk pada waktu pagi, selalu berasa hampa atau marah, susah untuk memberi perhatian, risiko tekanan darah tinggi (strok) dan risiko untuk berlaku kemalagan jalan raya kerana terlalu mengantuk,” jelasnya.Mengenai rawatan pula, beritahu Dr Iskandar Mirza, jika pesakit mempunyai masalah OSA, terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan seperti rawatan oral appliances dengan membuatkan salur pernafasan sentiasa terbuka semasa tidur.

RAWATAN oral appliances.

Selain itu, rawatan continuous positive airway pressure (CPAP) juga boleh diberikan kepada pesakit dengan tekanan daripadanya boleh membuka ruangan sempit pada bahagian tekak semasa tidur selain rawatan upper airway surgery yang dilakukan oleh pakar bedah telinga, hidung dan tekak (ENT).

RAWATAN continuous positive airway pressure (CPAP).

ANEKDOT

RAWATAN tidur berdengkur yang boleh diamalkan di rumah:

1. Tukar cara dan gaya hidup seharian.
2. Kurangkan berat badan.
3. Mengelak mengambil alkohol sebelum tidur.
4. Merawat masalah selesema kronik.
5. Elak daripada kurang tidur dan tidur secara melintang.

Sumber: Pegawai Perubatan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.

Ikan Tenggiri Masak Asam Versi Kampung, Pembuka Selera!

Ikan Tenggiri masak asam versi kampung, pembuka selera!

KORANG pernah makan masakan asam? Tak kisahlah ikan, ayam atau apa sahaja.

Bila teringat pasti terasa kecur air liur kerana masakan berkuah asam begini sangat membuka selera.

Resipi ikan Tenggiri masak asam ini juga merupakan antara resepi lauk simple yang wajib dicuba. Mudah dan cepat untuk disediakan.

Walaupun dimasak dengan cara yang sangat ringkas tapi rasanya cukup lazat.

Resipi kampung ini juga sesuai untuk orang yang hilang selera makan kerana rasanya yang masam, manis dan pedas pastinya melengkapkan selera.

Makan dengan nasi panas-panas. Aduhai, sedapnya. Bertambah-tambah!

Bahan-bahan;

  • Bawang merah dan putih (dihiris)
  • Halia (dihiris)
  • Serai (dititik)
  • Ikan tenggiri (digoreng)
  • Cili api *optional
  • Bawang besar (dipotong bulat)
  • Air perahan asam jawa
Ikan Tenggiri masak asam versi kampung, pembuka selera!
Masak asam versi Terengganu.

Cara-cara membuatnya;

1. Tumis bawang putih dan merah, halia serta serai sehingga garing kekuningan. Gunakan minyak bekas gorengan ikan tadi.

2. Masukkan air perahan asam jawa.

3. Boleh dimasukkan sedikit sos tiram, jika mahu.

4. Renihkan semuanya dengan sedikit gula dan garam.

5. Masukkan cili api untuk sedikit rasa pedas, jika mahu. Masukkan bawang besar yang dipotong bulat.

Sedia untuk dihidang. Selamat mencuba!

Sumber: Syed Mohd Nazli Jamalullail