Ibu Bapa Pelik Bila Lihat Anak Tak Menangis Walau Kepala Terhantuk Di Sana Di Sini, Penjelasan Pakar Buatkan Mereka Terkedu…

KEBIASAANNYA, bayi atau kanak-kanak akan menunjukkan reaksi seperti menangis apabila ingin mengadu atau menunjukkan tanda protes.

Namun demikian, tidak semua mempunyai perilaku seperti itu.

Baru-baru ini, seorang pakar perubatan mendedahkan situasi yang berlaku pada satu keluarga.

Pendedahan itu dilakukan menerusi thread pada ciapan Twitternya, @DrRedzaZainol baru-baru ini.

Seperti yang diceritakan oleh pasangan suami isteri kepada Dr Redza, anak mereka digambarkan seorang yang sangat kuat.

Sejak kecil, si cilik itu tidak pernah menangis, meskipun kepalanya terhantuk di sana-sini.

“Ada sekali itu kami letakkannya di dalam buaian. Beliau meronta-ronta tidak mahu duduk di dalam buaian berkenaan. Saya paksa juga anak saya untuk bermain kerana melihat kanak-kanak lain semua seronok bermain.

“Apa yang mengejutkan kami adalah setelah dipaksa, tindakan itu berakhir dengan insiden yang mana anak kami terjatuh sehingga berdarah pada dahinya. Kami sangat pelik kerana beliau langsung tidak menangis seolah-olah tidak merasai kesakitan itu,” demikian kata-kata yang dikongsikan suami isteri kepada pakar pediatrik itu.

Kata Dr Redza lagi, setelah beberapa ketika, pasangan berkenaan mula menyedari bahawa anak mereka yang berusia tiga tahun itu suka bermain dan senyum seorang diri.

Si kecil itu akan menghabiskan masa seorang diri dengan kereta mainan dan akan menyusunnya memanjang dan akan mengamuk jika diganggu.

Lebih menghairankan, meskipun sudah menginjak umur tiga tahun, anak tadi masih belum boleh bercakap, waima hanya sekadar panggilan ibu atau ayah.

Mengulas mengenai situasi yang dihadapi oleh keluarga itu, Dr Redza menjelaskan bahawa kanak-kanak berkenaan sebenarnya menunjukkan ciri-ciri autisme.

Berikut antara tanda-tanda awal autisme seperti yang dihuraikan Dr Redza:

i) Tiada kontak mata.
ii) Tidak memberi respons apabila dipanggil.
iii) Tidak suka dipeluk dan gemar bermain seorang diri.
iv) Suka mengulangi perkataan yang disebut oleh orang lain (echolalia).
v) Kerap melakukan pergerakan badan yang berulang-ulang seperti mengayunkan badan, berpusing-pusing dan mengepak-ngepakkan tangan.
vi) Obses yang mendalam terhadap sesuatu objek.
vii) Lambat bercakap atau tidak boleh bercakap.

Justeru, kata Dr Redza yang sering berkongsi mengenai ilmu kesihatan kanak-kanak dan kekeluargaan, pasangan itu akhirnya telah mendapatkan jawapan yang selama ini dinanti-nantikan oleh mereka.


“Abaikan gerak hati daripada keluarga dan saudara-mara yang kadangkala hanya untuk menyedapkan hati ibu bapa sahaja. Bantulah anak kecil anda.

“Bantu juga saya sebarkan ilmu ini supaya lagi ramai mak ayah jadi lebih peka dengan kesihatan anak. Moga anak-anak ni dapat dibantu dari awal lagi,” katanya.

Sementara itu, menurut laman web autismmalaysia.com, masalah autisme tidak dapat dikenal pasti hanya dengan melihat secara fizikal.

Autisme dapat dilihat melalui defisit dalam komunikasi sosial dan interaksi serta tingkah laku yang berulang.


“Autisme adalah gangguan spektrum. Ini bermakna bahawa sesetengah individu terjejas dengan autisme pada tahap yang rendah, sesetengah di peringkat sederhana dan sesetengah di tahap yang tinggi.

“Masalah itu lazimnya muncul pada usia awal kanak-kanak (sebelum 3 tahun) dan boleh dikenal pasti seawal usia 18 bulan,” kata laman web itu.

Seperkara lagi, tidak ada punca sebenar autisme, tetapi ia mempunyai kaitan dengan faktor genetik, persekitaran dan biologi.

Mulut Berasid, Air Liur Kering Punca Gigi Ibu Hamil Mudah Rosak. Ini Cara Terbaik Untuk Atasinya

KEHAMILAN akan membuatkan seseorang mengalami perubahan fisiologi badan dari aspek fizikal dan rohani termasuklah kesihatan mulut.

Ketika mengandung, terdapat kes yang mana ibu hamil mengadu mereka mengalami masalah gusi yang mudah bengkak.

Seorang doktor gigi, Dr Azila Mohd Kasim melalui entri Facobooknya menjelaskan, gusi wanita yang sedang mengandung sememangnya mudah bengkak dan terdedah kepada jangkitan.

Dr Azila Mohd Kasim.

“Keadaan ini berpunca daripada perubahan hormon yang menyebabkan bertambahnya pengaliran darah di dalam badan yang dikenali sebagai pregnancy gingivitis,” beritahu beliau.

Bagaimanapun, kongsi Dr Azila, ibu hamil juga cenderung mengalami pregnancy epulis yang merujuk keadaan seperti tumbuh benjolan kecil pada gusi antara celahan gigi.

“Paras hormon yang meningkat sewaktu kehamilan juga boleh menyebabkan tisu pemegang gigi atau ligamen dan tulang rahang di sekeliling akar gigi terjejas lantas menyebabkan gigi longgar,” jelas Dr Azila.

Justeru, kata pakar itu, ibu-ibu tidak perlu bimbang kerana situasi berkenaan normal dan ia boleh berlaku kerana perubahan hormon. Ia akan mengecut selepas bersalin.

PEMERIKSAAN BERKALA

Mengulas lanjut, selain masalah gusi, kerosakan gigi adalah masalah kedua sering dialami ibu hamil, beritahunya

“Hal itu biasanya berlaku kerana mulut cenderung berasid dan air liur kering.


“Kebanyakan ibu hamil mengalami mabuk pada waktu pagi (morning sickness) dan muntah. Ketika muntah, jus gastrik bersifat asid dari perut akan termasuk ke dalam mulut yang akhirnya boleh menghakis permukaan gigi,” tambah beliau.

Jadi, bagi mengatasi gigi rosak, saran Dr Azila, ibu hamil perlu sentiasa berkumur dengan air kosong atau air masak untuk membilas keluar asid di dalam mulut.

Selain itu, mereka juga disarankan minum air masak secukupnya untuk mengurangkan kesan asid.

“Kadangkala, ubat gigi juga boleh menyebabkan loya. Jadi, saya sarankan bakal ibu supaya sentiasa mencuba perisa ubat gigi berbeza sehingga berjumpa yang sesuai.

“Jika tetap tidak boleh menggunakan sebarang ubat gigi, pilih ubat kumur berflorida ada manfaatkan ubat kumur untuk meneutralkan kembali keadaan mulut. Ini bagi membantu remineralisasi lapisan gigi yang telah diserap asid,” ulasnya panjang lebar.

Sehubungan, pesan Dr Azila, wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah dengan kesihatan mulut.


Mereka perlulah menjalani pemeriksaan yang berkala bagi mengelakkan sebarang masalah pergigian daripada terjadi ketika mengandung.

Kesedaran dan pengetahuan yang tinggi tentang bagaimana untuk menjaga kebersihan mulut dengan berkesan adalah penting.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua ibu hamil di luar sana.

ANEKDOT

TIP untuk ibu hamil bagi mengawal masalah kesihatan mulut:

1. Semasa hamil, anda wajib ke klinik gigi untuk dapatkan pemeriksaan dan maklumkan kepada doktor gigi keadaan terkini.

2. Setiap kali selepas makan atau muntah, hendaklah berkumur-kumur atau minum air masak bukannya minum air manis.

3. Kurangkan minum minuman bergas atau asam-asam kerana ia menghasilkan asid dan membuatkan gigi cepat haus dan sensitif.

Sumber: Dr Azila Mohd Kasim.

Cuaca Panas Yang Melanda Malaysia Kini, Hati-Hati Empat Golongan Berisiko Ini Yang Akan Lebih Terkesan

SEJAK kebelakangan ini, cuaca memang sangat panas. Apabila bahang dapat dirasai seawal pukul 9 pagi, kita memang digalakkan minum lebih banyak air.

Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini dalam satu kenyataan turut meramalkan bahawa fenomena cuaca panas dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac 2021.

Rentetan itu, Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang melalui entri Facebooknya, berkongsi masalah kekeringan air dalam badan yang boleh mencetuskan komplikasi yang teruk.

Antaranya seseorang boleh diserang strok haba.

Tulisnya, strok haba atau heat stroke berlaku apabila berlaku peningkatan suhu badan mencecah hingga 41 darjah Celsius dalam masa 10 hingga 15 minit sahaja.

“Sebenarnya, ramai orang yang kurang tahu mengenai tanda-tanda strok haba.

“Apabila seseorang itu diserang strok haba, mereka akan mengalami sakit kepala yang berdenyut-denyut, mual, kurang berpeluh, meskipun cuaca sangat panas dan rasa ingin pitam,” kongsi Dr Samhan.

Bagaimanapun, jika keadaan itu lebih parah, beritahu pakar itu, mereka akan berhadapan masalah denyutan nadi yang pantas, otot kejang selain kulit sangat kering dan kemerah-merahan.

Berikut antara kelompok yang berisiko tinggi diserang strok haba:

i) Mereka yang terlibat dengan aktiviti fizikal di luar seperti ahli sukan, tentera, polis dan lain-lain.

ii) Kanak-kanak yang berumur bawah 5 tahun.

iii) Orang dewasa yang berumur 40 tahun ke atas (mempunyai risiko 10 kali ganda).

iv) Penghidap penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis dan tiroid.


Sementara itu, laman web kesihatan thediagnosa.com turut memperincikan tiga lagi kesan sampingan lain akibat masalah kekeringan air dalam badan.

Antara impaknya adalah seperti berikut:

1. Kegagalan buah pinggang.

Kurang air dalam badan boleh menyebabkan buah pinggang gagal berfungsi. Ia adalah disebabkan ketika air berkurangan dalam badan, darah akan disalurkan pada organ-organ yang penting seperti otak dan jantung. Organ seperti buah pinggang akan mengalami kekurangan bekalan darah dan menyebabkan kegagalan buah pinggang boleh berlaku.

2. Sawan.

Elektrolik atau garam seperti potassium dan sodium membantu dalam penghantaran maklumat di dalam badan. Muntah atau cirit-birit (akibat kekurangan air) boleh mengganggu elektrolit tersebut dan mendedahkan seseorang itu kepada serangan sawan.

3. Tekanan darah rendah.

Tekanan darah rendah yang disebabkan masalah dehidrasi adalah sesuatu yang berbahaya kerana bekalan darah ke organ akan semakin berkurangan dan boleh menyebabkan organ dalam badan gagal untuk berfungsi. Lebih parah, ia boleh berakhir dengan kematian pesakit.

Jadi, kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami dehidrasi yang teruk perlulah dirawat di jabatan kecemasan segera.

Ingat, pakai pakaian yang ringan dan kawal pergerakan semasa musim panas terutamanya di kawasan terbuka dan tidak berbumbung.

Jika perlu, gunakan topi dan manfaatkan payung bagi melindungi diri daripada cuaca panas kini.


Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda semua.

“Benda Boleh Jimat Kenapa Beli Mahal.” Rumah Flat Persis Apartmen Mewah, Wanita Kongsi Tip Deko Bajet

RUMAH flat pun boleh bertukar persis apartmen mewah andai bijak disusun atur. Cantik dan kemas hanya menggunakan bajet minimum, ruang kediaman bertukar sedap mata memandang.

Setiap kediaman mempunyai ruang yang sama keluasannya. Apa yang membezakan ialah dekorasi dan ambience di dalamnya. Perkongsian foto kediaman Ayu Roses di sebuah grup dekorasi menjadi tular. Warganet rata-rata mengagumi kreativiti ibu empat cahaya mata ini dalam menata hias ruang kediaman seluas 712 kaki persegi miliknya. Tidak kurang yang terinspirasi.

Foto ruang tamu sebelum (kiri) dan selepas (kanan).

Masuk rumah terus jumpa dapur

Kongsi Ayu, pelan lantai kediamannya ini memanjang dari pintu masuk terus ke ruang tamu. “Selepas masuk rumah, akan terus jumpa dapur. Tema dekorasi ialah asalkan sedap mata memandang,” kata Ayu.

Ayu dalam temu ramah dengan Sinar Plus mengganggarkan kos membeli perabot dan barang-barang kediaman ialah kira-kira RM1,000 yang dibuat menerusi atas talian.

“Saya tak buat kira-kira pula. Rasanya hanya menukar meja makan, kabinet televisyen, cermin hiasan dan kertas dinding. Kebanyakannya saya beli di Shopee, habis dalam RM1,000 lebih,” kata Ayu.

Nampak putih, rupanya kelabu

Bagi ruang tamu, Ayu menggunakan cat dinding daripada jenama Jotun Gardex Gloss rona kelabu muda (light grey). Susunan perabot yang minimum dan kemasan lembut daripada rona bumi teratur menjadikan ia tenang dipandang.

“Ayu sengaja tidak letak karpet pada ruang tamu supaya mudah nak sapu atau mop rumah. Ayu juga tidak letak meja kopi kerana anak-anak tengah melasak. Ayu biarkan ia bagi memberi ruang anak-anak bermain,” kata wanita ini.

Menjawab soalan daripada warganet, almari berlaci yang diletakkan pada ruang ini adalah pemberian daripada makciknya. Ia asalnya warna asal kayu jati kemudian dicat warna putih. Manakala cermin besar yang digantung pada dinding menjadi titik fokal utama yang menyerlahkan.

Ruang makan

Ruang makan terletak bersebelahan dengan ruang tamu. Pada ruang ini, diletakkan meja makan dan sebuah rak yang dijadikan kaunter bar. Kaunter bar itu kata Ayu menjadi tempat dia dan suami minum petang atau makan tengah malam. Ia juga pembahagi ruang antara ruang dapur dan ruang makan atau ruang tetamu.

“Cermin berbingkai warna rose gold Ayu beli di Eco Shop. Saiznya 5 inci X 3 inci. Bajet tak sampai sampai RM35 pun. Kalau beli cermin hiasan, harga tak lari daripada RM200 lebih. Jadi kita pilih yang super duper jimat sahaja.

“Dulu selalu berangan nak ada kaunter bar. Alhamdulillah ada rezeki beli sikit-sikit. Ayu suka guna rak Ikea Kallax sebab best boleh buat macam. Untuk kaunter ini bajet dikeluarkan hanya dalam RM650,” kata Ayu.

Pada ruang terhad, Ayu kreatif mewujudkan mini dapur kering dengan meletakkan sebuah rak putih dan rak dinding yang meyimpan pelbagai perkakas elektrik seperti mesin pengisar, periuk nasi dan pembakar roti.

“Konon-konon ini mini dry kitchen. Ruang ini Ayu guna rak Kallax untuk letak barang elektrik yang jarang digunakan. Mesin pengisar dan pembakar roti tu anak selalu bawak lari ke ruang tamu.

“Daripada pintu masuk akan terus nampak ruang tamu. Jadi Ayu letak langsir Ikea supaya orang yang lalu lalang di luar pintu rumah tidak nampak terus ke dalam,” kata Ayu.

Benda boleh jimat kenapa nak beli yang mahal?

Ruang dapur sebelum dekorasi (kiri) dan selepas (kanan).

Walau pun tanpa kabinet dapur bina dalam, dapur kediaman ini kemas tersusun. Ruang yang hanya seluas 6 kaki x 6 kaki ini boleh memuatkan seorang sahaja dalam satu masa.

Terdapat banyak rak terbuka diletakkan pada ruang ini. Kebanyakan bekas-bekas penstoran berwarna putih menjadikan ia seragam dan kelihatan kemas. Ayu memanfaatkan ruang bawah sinki untuk meletakkan tong gas memasak, peralatan pembersihan dan perkakas tajam berbahaya.

“Bekas putih itu ialah bekas ais krim. Makcik Ayu tak guna so kita kutip bawak balik. Bekas ni ala Trofast Ikea yang harga RM12. Benda boleh jimat kenapa nak beli yang mahal kan,” kongsi Ayu.

Ruang storan dapur sebelum dekorasi (kiri) dan selepas (kanan).

Perkongsian Ayu mendapat 22,000 reaksi dan lebih 2,000 komen. Katanya perkongsian ini di harapkan dapat membantu memberikan idea ahli grup yang selalu ingin mendapatkan solusi dekorasi kediaman yang memanjang.

Sumber: Ayu Roses dan KaMi SuKa DeKo DeKo

Ambil Kira Saiz Ruang, Warna Perabot, Langsir, Jubin Sebelum Cat Rumah Kita. Jangan Sembarangan

NAMPAKNYA, semangat orang ramai untuk meraikan Aidilfitri memang berkobar-kobar tahun ini.

Ramai yang mengharapkan situasi ‘terkurung’ dalam rumah tidak berulang sekali lagi.

Justeru, dua minggu sebelum lebaran tiba, pastinya sudah ramai golongan kaum Adam terutamanya sudah melayari internet untuk mencari ilham mengecat kediaman.

Daripada banyak sudut, ruang utama lazimnya yang akan diberi penekanan khusus.

Justeru, hari ini SinarPlus ingin berkongsi pemilihan rona warna yang tepat sebelum mengecat.

Pastinya, tidak boleh sembarangan dan tidak boleh praktikkan sikap ‘asalkan boleh’ jika mahu menaikkan seri ruang.

Oleh itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Mohd Husaini Hassan yang mengendalikan Hassan Hardware Sdn Bhd mengenai panduan pemilihannya.

MOHD HUSAINI.

Ujar Mohd Husaini, terdapat beberapa ciri yang perlu difahami oleh pemilik kediaman untuk memulakan proses mengecat ruang tamu.

“Tak semestinya warna yang disukai mereka, sesuai untuk ‘dicurahkan’ ke dinding rumh. Ia perlu mengambil kira beberapa kriteria penting, jika tak ruang akan menjadi caca-merba,” katanya.

Antaranya ciri-ciri yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

i. Perwatakan.

Pilihan warna cat rumah adalah pilihan peribadi pemilik rumah.

Warna yang dipilih secara tidak langsung membolehkan para tetamu mengetahui watak kita.

Jika memutuskan untuk memilih nuansa yang terang dan berani, tetamu akan membuat kesimpulan bahawa tuan rumah adalah orang yang ceria dan peramah.

ii. Nilai tarikan.

Warna cat dinding adalah salah satu magnet utama yang akan menarik perhatian sesiapa ketika memasuki sesuatu ruang.

Pemilihan warna yang kemas dan sesuai dapat berfungsi melenyapkan suasana suram yang barangkali menyelubungi ruang sebelum itu.

iii. Manipulasi.

Warna juga boleh memanipulasi ruang. Sebagai contoh, cat berwarna putih di ruang tamu dapat memberikan kesan luas dan lapang berbanding warna-warna lain.

iv. Psikologi.

Setiap satu daripada warna yang ada mempunyai kesannya tersendiri sehingga mampu mempengaruhi mood, fikiran, tubuh dan emosi seseorang.

Berikut adalah lima warna terbaik yang disyorkan bagi menampakkan ruang tamu lebih luas:

1. Putih.

Warna putih akan memantulkan cahaya dan memberi kesan lebih terang dan terbuka pada sesetengah ruang di dalam rumah.

Lebih mudah, pemilihan warna putih juga membantu pemilik rumah menyesuaikan hiasan rumah dengan warna kegemaran tanpa sebarang batasan kerana sifatnya yang neutral terutamanya di ruang tamu.

Jika warna putih bukan menjadi pilihan, cubalah memilih warna kelabu pucat.

Warna itu akan memberi kesan luas apabila cahaya memantul di ruang tamu.

3. Coklat muda.

Selain itu, cuba gunakan warna coklat muda yang lembut di seluruh permukaan dinding dan siling di ruang tamu.

Pastinya, pemilik rumah akan mendapat kesan bilik yang lebih luas dengan serta-merta.

4. Biru muda.

Warna biru muda sangat sinonim dengan benda semula jadi seperti laut, pantai dan langit.

Warna cat biru untuk ruang tamu juga dapat membuatkan penghuni di dalam rumah berkenaan terasa segar kerana menimbulkan suasana yang sejuk dan mendamaikan.

5. Kuning lembut.

Pilihan warna kuning juga mampu membuat ruang tamu nampak lebih ceria dan luas.

Bukan itu sahaja, warna kuning lembut sebenarnya alternatif terbaik jika ingin digabungkan bersama cat putih.

Kaedahnya, cuba elakkan daripada memilih warna kuning yang terlampau terang pada ruang tamu yang sempit.

Kata Mohd Husaini, kesilapan yang biasa dilakukan oleh pelanggannya adalah salah memilih tona warna pada ruang yang sempit.

“Cara mudahnya, pilihlah apa sahaja warna lembut dan ringan kerana ia menambah seri kediaman terutamanya melibatkan ruang dalaman yang tertutup seperti ruang tamu,” katanya sambil menambah pemilihan warna cat juga perlu diserasikan dengan saiz ruang, warna perabot, langsir dan jubin.

ANEKDOT

7 KESILAPAN yang sering dilakukan semasa mengecat rumah:

1. Memilih warna tidak sama seperti dalam sampel.
2. Terlebih atau terkurang kuantiti cat.
3. Cat dicampurkan dengan air atau thinner.
4. Tidak menggunakan peralatan yang betul.
5. Mengaplikasikan teknik mengecat yang salah.
6. Tidak menutup atau mengalas kawasan yang berhampiran agar tidak terkena cat.
7. Tidak membersihkan permukaan dinding yang hendak dicat.

Sumber: pointnpaint.blogspot.com

Mudah Hamil Jika Berpuasa

DARI aspek perubatan, berpuasa mendatangkan banyak kebaikan kepada tubuh badan.

Sejak dari zaman dulu lagi, banyak pakar dan ilmuan melaksanakan kajian tentang manfaat di sebalik amalan wajib ke atas umat Islam itu.

Sekumpulan pakar sains yang membentangkan hasil penyelidikan mereka di Maghribi pada tahun 1994 sebulat suara bersetuju bahawa Ramadan tidak sesekali memudaratkan manusia.

Malah, Pengarah Perubatan Pusat Perubatan Pencegahan Marin, San Rafael, California, Amerika Syarikat, Elson M Haas mengatakan, berpuasa dapat mengubati pelbagai penyakit berbahaya.

Antaranya seperti bronkitis, alergi, asma, jantung koroner, hipertensi, diabetes, epilepsi, kanser dan insomnia.
Selain itu, amalan itu jika dilakukan secara konsisten juga mampu mempengaruhi tahap kesuburan dan pengawalan hormon seseorang.

Pasti ramai tertanya-tanya, apakah perkaitan antara kesuburan dengan puasa?

Bagi memperincikan lebih lanjut mengenainya, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Dr Murizah Mohd Zain.

Dr Murizah.

Membuka tirai bicara, Dr Murizah berkata, secara umumnya, satu daripada enam pasangan akan mengalami kesukaran untuk hamil dan memerlukan bantuan kesuburan.

Namun demikian, kata beliau, terdapat pelbagai perkara yang menyumbang kepada faktor itu (kesuburan) pasangan sama ada pada wanita itu sendiri atau pada lelaki atau kedua-duanya sekali.

“Pun demikian, salah satu penyebab yang telah terbukti mengganggu kesuburan adalah berat badan atau obesiti,“ katanya.

Ujar pakar itu, wanita yang mengalami masalah berat badan sama ada berlebihan atau obes, lebih sukar hamil kerana berlakunya gangguan ovulasi dan kitaran haid tidak teratur.

Keadaan itu, kata Dr Murizah akan mengganggu kualiti telur yang dihasilkan.

“Ia (kualiti telur) akan menurun dan bukan itu sahaja, kualiti dinding rahim yang diperlukan untuk penempelan kandungan juga akan jatuh.

“Sekiranya seorang wanita memulakan rawatan kesuburan, masalah obesiti boleh mengurangkan keberkesanan rawatan. Wanita yang mempunyai masalah itu memerlukan ubat-ubatan dalam dos yang lebih tinggi.

“Bukan itu sahaja, peratus kejayaan kaedah bantuan reproduksi seperti inseminasi intrauterin atau permanian beradas juga akan menurun dengan setiap pertambahan berat badan yang berlaku. Lelaki yang obes pula turut terkesan kerana mengalami gangguan kesuburan akibat kualiti sperma daripada air maninya (oligoasthenoteratospermia),“ jelasnya.

Kadar rintangan insulin

Dalam pada itu, pelbagai kajian saintifik telah dijalankan mengenai amalan berpuasa yang mampu menurunkan kadar kerintangan insulin, kata Dr Murizah.

“Hal itu penting terutama bagi pesakit yang mengalami Sindrom Polisistik Ovari (PCOS) dan obesiti kerana paras insulin yang terkawal boleh mengurangkan rembesan hormon testosteron oleh ovari dan hormon wanita akan kembali mendominasi lantas meningkatkan peluang pesakit PCOS untuk hamil,“ jelasnya.

Beritahu Dr Murizah, lebih 50 peratus pesakit PCOS lazimnya adalah obes dan akan mengalami haid yang tidak teratur.

“Ingin saya maklumkan, penurunan sebanyak 10 peratus daripada berat badan asal boleh memberi 40 peratus peluang kepada pesakit PCOS agar kembali ‘meraih‘ haid yang teratur dan kehamilan spontan berupaya berlaku tanpa pengambilan sebarang ubat kesuburan,“ katanya.

Justeru, apa yang boleh para wanita lakukan?

Saran beliau, kaum Hawa disaran memodifikasikan tingkah laku ke arah gaya hidup sihat sama ada melalui pola pemakanan dan latihan jasmani.

Pun demikian, ujar Dr Murizah, terdapat kerisauan seandainya seseorang wanita berpuasa terlalu lama iaitu sekitar 18 jam.

Situasi itu katanya, boleh mendatangkan gangguan pada hormon reproduksi seperti hormon dari pituitari perangsang folikel dan luteotropin.

“Sebenarnya, lebih ‘harmoni‘ dan selamat adalah berpuasa sekitar 12 jam, namun di Malaysia, kita berpuasa sekitar 11 hingga 12 jam sahaja,“ katanya.

Selain berat badan, ujar Dr Murizah, masalah kesuburan mempunyai hubung kait dengan perbuatan merokok.

“Lebih 50 peratus daripada lelaki dewasa di Malaysia adalah perokok. Mereka yang merokok akan mengalami dua kali ganda kesukaran kerana tabiat itu boleh menyebabkan kuantiti dan kualiti sperma menurun kerana bahan-bahan toksik di dalam rokok,“ katanya.

Bukan itu sahaja, wanita iaitu isteri perokok atau perokok pasif juga akan mengalami kesukaran untuk hamil.

Justeru, ujar pakar terbabit, Ramadan adalah waktu terbaik ke arah mempraktikkan amalan gaya hidup sihat termasuk berhenti daripada merokok.

Rembesan hormon endorphin

Sementara itu, Pegawai Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Muhamad Ariff Abd Rahman turut melontarkan pandangannya.

Ujar beliau, secara amnya, kajian mengenai puasa dan kesuburan adalah terhad.

“Namun, puasa itu sendiri memberi peluang kepada tubuh badan untuk reboot atau memperbaiki sistem pencernaan. Puasa juga adalah satu medium untuk mengimbangkan hormon sambil membantu proses perkumuhan dan detoksifikasi tubuh badan,“ katanya.

Selain itu, ujar Muhamad Ariff, ketika seseorang berpuasa, proses pembakaran lemak adalah lebih tinggi.

“Merujuk kepada satu petikan dalam artikel kajian di luar negara, amalan spiritual seperti mendirikan solat dan membaca al-Quran yang dilazimi boleh membantu dalam proses rembesan hormon endorphin yang lebih tinggi. Hormon itu nanti akan membantu merendahkan tahap tekanan emosi seseorang.

“Hasilnya, ia boleh meningkatkan lagi tahap kesuburan seseorang melalui ibadah berpuasa,“ ujarnya.

Muhammad Ariff menambah, terdapat satu kajian di Mesir (2016) yang melibatkan sekumpulan wanita yang menjalankan rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) ketika dirinya berpuasa pada bulan Ramadan.

Dapatan kajian menunjukkan, puasa sama sekali tidak menjejaskan hasil rawatan IVF, malah memberi kesan yang baik terhadap emosi, tekanan dan kemurungan yang dihadapi oleh pasangan.

Bagaimanapun, pemilihan makanan adalah aspek paling penting untuk diberi penekanan.

“Pertama sekali, pastikan pengambilan kalori yang mencukupi semasa bersahur dan sewaktu berbuka puasa. Di bazar Ramadan memang banyak makanan. Namun, pilihlah juadah yang direbus, dibakar atau dikukus bagi mengekalkan berat badan yang sihat.

“Antara contoh makanan yang baik adalah seperti popia basah, tauhu sumbat dan kuih yang tidak mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti apam atau karipap,“ ujarnya.

Jangan lupa minum air yang mencukupi semasa berbuka puasa untuk kekal hidrasi, kata Muhamad Arif.
“Elak juga minum minuman berkafein dan makan makanan yang tinggi garam,“ katanya.

Puasa sunat secara konsisten bantu Noor Farhana hamil

NOOR FARHANA SUBERI, 32, mengakui, puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis yang diamalkannya secara konsisten membantu menurunkan berat badannya sebanyak 16 kilogram (kg)!

Sebelum ini, ujar wanita itu, berat badannya adalah 75kg. Hasilnya, beliau berjaya hamil anak sulung.

“Selepas berbincang dengan doktor dan pakar pemakanan, mereka kata, tiada cara lain selain saya diminta untuk turunkan (berat badan) agar tahap kesuburan saya boleh meningkat,“ ujarnya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Berkongsi mengenai rutin harian, selain mengamalkan puasa sunat, Noor Farhana berkata, beliau akan berjalan kaki lebih kurang 45 minit hingga sejam dalam sehari.

“Alhamdulillah, saya lakukannya sejak enam bulan lalu. Saya juga berharap puasa pada kali ini menyuntik aura baharu selepas berhempas-pulas menurunkan berat badan.

“Selain berjalan dan berpuasa, saya juga mengamalkan senaman lompat tali secara perlahan-lahan hingga kini mampu mencecah 4,000 lompatan (satu jam) sehari,“ beritahunya.

Namun demikian, ujar Noor Farhana juga, aspek pemakanan juga sangat dititikberatkan.

“Saya sudah beralih dan menggunakan minyak zaitun dalam masakan dan hanya memilih makanan yang rendah minyak. Sejak beberapa bulan lalu, saya juga sudah ‘berpantang‘ daripada membeli makanan segera dan minuman manis,“ tambah beliau sambil memberitahu, usia kandungannya kini telah memasuki tujuh minggu.

Justeru, kepada wanita yang ingin hamil, inilah masa terbaik untuk anda menurunkan berat badan. Pun demikian, dari aspek pemakanan juga perlu diberi perhatian.

ANEKDOT

JENIS-JENIS ujian kesuburan:

1. Ujian pangkal rahim.

Pap smear adalah sejenis saringan untuk memeriksa sel-sel di pangkal rahim (servis). Ia dilakukan bagi mengesan kehadiran sel-sel prakanser atau sel-sel kanser di serviks. Semasa prosedur itu, sel-sel dari pangkal rahim akan diambil dan diperiksa untuk sebarang pertumbuhan tidak normal.
(Nota: Ujian ini tidak boleh dilakukan oleh orang Islam semasa bulan puasa.)

2. Ujian hormon darah.

Ujian tersebut dilakukan untuk mengesan ovulasi (keluar telur) dilakukan dengan mengukur tahap progesteron dalam sampel darah. Ia dilakukan semasa haid iaitu diambil di antara hari kedua hingga hari keempat untuk memeriksa ketidakseimbangan hormon folikel hormon luteotropin.

3. Imbasan ultrabunyi.

Tujuan pemeriksaan itu dilakukan untuk mengikuti perkembangan saiz folikel. Proses itu juga dinamakan sebagai imbasan folikel bagi mengenal pasti sama ada wanita itu sedang berovulasi dan untuk menentukan jika folikel sudah pecah dan mengeluarkan telur.

4. Histerosalpingogram.

Histerosalpingogram dilakukan untuk memeriksa tiub falopio. Ujian itu melibatkan suntikan cecair kontras melalui pangkal rahim. Pada masa yang sama, x-ray diambil pada bahagian bawah perut untuk melihat sama ada pengaliran kontras melalui saluran falopio.

5. Laparoskopi dan histeroskopi.

Laparoskopi merupakan satu pembedahan kecil menggunakan teropong (laparoskop) melalui abdomen dan kemudian pewarna disuntik melalui serviks untuk memeriksa tiub tersumbat.
Histeroskopi pula proses teropong dengan menggunakan teleskop untuk melihat dalam rahim bagi memeriksa keadaan seperti fibroid atau polip.
(Nota: Ujian ini tidak boleh dilakukan oleh orang Islam semasa bulan puasa.)

6. Analisa air mani.
Ujian sperma untuk memeriksa rupa bentuk, bilangan sperma dan kualitinya.
Beberapa faktor yang akan diambil kira oleh doktor untuk mengetahui tahap kesuburan seseorang lelaki seperti bentuk sperma, pergerakan sperma, tahap pH, jumlah air mani, kecairan air mani dan kiraan sperma.
(Nota: Ujian ini tidak boleh dilakukan oleh orang Islam semasa bulan puasa)

7. Ujian darah untuk saringan risiko jangkitan
Antara ujiannya adalah Anti-HIV-1 dan 2 untuk mengesan virus imunodefisiensi manusia (HIV), HBsAg/Anti-HBC untuk hepatitis B dan ujian makmal penyelidikan penyakit venereal iaitu ujian saringan untuk sifilis.

Sumber: www.myhealth.gov.my

Hias Rumah Untuk Raya, 6 Tip Ini Jadikan Ruang Tamu Elegan Dan Tenang

HARI raya bakal menjelang lebih kurang dua minggu lagi. Walau pun amalan kunjung mengunjung tidak dapat dilakukan kali ini bagi mengelakkan penularan Covid-19, korang mesti mahu ruang kediaman tetap kemas dengan mood mengalu-alukan.

Berikut adalah antara faktor dan elemen dekorasi yang boleh diwujudkan untuk mencipta suasana ruang tamu yang tersusun dan menarik. Jom mengemas dan deko deko!

PENCAHAYAAN

Ruang yang berperanan untuk menyambut tetamu pastinya memerlukan pencahayaan yang berbeza berdasarkan mood semasa. Pencahayaan putih (day light) untuk urusan-urusan yang penting dan rasmi atau teknikal manakala bagi mood santai anda boleh menggunakan menggunakan pencahayaan kuning (warm light).

Sebagai langkah selamat, pasangkan dua jenis lampu pada kediaman. Sebagai contoh, lampu siling atau halogen bercahaya putih, manakala candeliar, lampu meja dan lampu berdiri pula dilengkapi mentol bercahaya kuning. Jika tidak memasang lampu dengan pelaras cahaya (dimmer) anda boleh memilih mentol berkuasa rendah yang memberikan cahaya yang lembut pada ruang tamu.

LUKISAN

Lukisan atau gambar berbingkai adalah elemen hiasan dinding yang boleh digunakan untuk menimbulkan mood yang tenang. Lukisan pemandangan di tepian pantai misalnya membawa imaginasi kita menyelami pemandangan dalam lukisan tersebut dan berasa seolah-olah berada di tepi pantai.

Foto-foto kenangan sewaktu korang masa kecil juga boleh dibingkaikan dan dipamerkan pada dinding dalam pola susunan yang menarik.

FABRIK KAYA TEKSTUR

Gunakan fabrik yang bertekstur seperti baldu, tafetta, jacquard atau sutera untuk sesetengah perkakas kemasan lembut. Sebagai contoh, kusyen pada sofa, langsir atau upholsteri sofa.

WARNA

Gunakan warna cat dinding yang mencetuskan mood tenang dan mencetuskan ambiens yang mesra. Warna-warna seperti kelabu muda, pastel dan cerah. Korang juga boleh gunakan kertas dinding tetapi pastikan motifnya tidak terlalu ‘serabut’. Pilihlah yang motif yang tidak ketara dan warna yang tidak terlalu terang.

SUSUNAN PERABOT

Susunan perabot memainkan peranan penting dalam mencipta ruang yang mesra. Peletakan perabot secara berkelompok membentuk suasana yang mesra perbincangan. Sofa hendaklah diletakkan berdekatan antara satu sama lain agar tetamu berasa tidak terasing atau tersisih. Ambil kira trafik agar letakan perabot tidak mengganggu lalu lintas keluar masuk ke ruang tamu.

AROMA

Aspek bau-bauan tidak boleh dipandang enteng dalam mencipta mood yang mengalu-alukan di ruang tamu. Cetusan bau-bauan yag menyenangkan akan menambah keselesaan dan ketenangan. Nyalakan lilin aroma terapi atau bakar minyaknya menggunakan bekas khas bagi mendapatkan kesan bauan yang optimum. Penyembur wangian yang boleh dijadualkan semburannya kini membanjiri pasaran dengan pilihan wangian yang variasi. Letakkan satu di ruang tamu agar suasana sentiasa harum dan segar.

BUNYI-BUNYIAN

Bunyi-bunyian, walau pun tidak boleh dilihat tetapi tetap memainkan peranan penting dalam mencipta mood di ruang tamu. Agar suasana ruang tamu relak, cuba wujudkan water feature kecil di sudut ruang tamu anda. Manusia sentiasa mahu rapat dengan alam untuk mendapatkan ketenangan. Maka bunyi air air mengalir ibarat terapi minda yang memberikan kerehatan pada minda.

Biskut Raya Tak Perlu Bakar Rasa Coklat Kaw Kaw, Resipinya Mudah Hingga 5k Perkongsian

LEBIH kurang daripada dua minggu, umat Islam bakal menyambut perayaan Aidilfitri. Bila menyebut tentang sahaja hari raya, mesti terbayang di fikiran pelbagai sajian yang terhidang di meja makan. Salah satunya yang mejadi kemestian ialah biskut raya.

Mungkin ada sesetengah daripada kita lebih memilih untuk membeli sahaja biskut raya kerana lebih mudah. Atau disebabkan oleh kekangan kerja atau tiada ketuhar pembakar untuk membakar biskut raya.

Dengan resipi biskut raya yang mudah ini, korang boleh buat sendiri biskut raya tanpa perlu risau tiada ketuhar.

Resipi biskut raya tanpa perlu dibakar ini adalah kiriman oleh Muhammad Ali di laman Facebook Masak Apa Hari Ni yang mendapat 5,000 perkongsian. Mari kita ikuti catatan dan resepi mudah ‘Choco Rich Ball’ tanpa ketuhar ini.

RESEPI TANPA BAKAR BISKUT RAYA CHOCO RICH BALL

“Resipi yang sangat sangat sedap. Kaya dengan rasa dark chocolate. Kejap sahaja habis kalau buat untuk anak anak…resepi ni tak ada ‘inspired by.’ Memang hasil cipta daripada saya sendiri. Jom buat!

“Satu adunan dapat lebih kurang 60 keping biskut dalam paper cup mini bergantung kepada pada saiz yang dibentuk,” kata Ali.

Bahan-bahan

BAHAGIAN CHOCOLATE BALL

325 gram chocolate compound (Dark Chocolate)
300 gram biskut Marie
250 gram mentega
120 gram serbuk koko
100 gram susu Pekat
Mini cookies paper cup macam dalam gambar
.
BAHAGIAN TOPPING

500 gram chocolate compund (Dark chocolate)
4 sudu kecil minyak masak

Cara – cara penyediaan

CARA MEMBUAT CHOCOLATE BALL

1. Cairkan 250 gram mentega dan 325 gram coklat compound. Boleh pakai kaedah double boil atau microwave.

Kalau double boil. Masukan sekali mentega & coklat tu. Api perlahan. Apabila sudah cair tutup api. Terus masukan bahan-bahan susu pekat dan serbuk koko. Semasa ia panas-panas, kacau sampai sebati. Microwave pun sama. Apabila mentega dan coklat cair, masukan bahan-bahan lain dan kacau sebati.

2. Hancurkan 300 gram biskut marie. Jangan pakai biskut lain. Hancurkan dulu awal-awal sebelum langkah pertama tadi.
3. Masukkan biskut yang dihancurkan ke dalam adunan mentega dan coklat dan gaul sehingga sebati.
4. Bentukkan campuran tadi kepada bentuk bulat dengan menggunakan tangan. Jangan gentel sebab dia akan crack. Mampatkan dan buat bentuk kecil-kecil dan masukan dalam mini paper cup tadi.
5. Buat lubang di tengah-tengan biskut yang telah siap. Guna apa apa sahaja janji ada lubang kecil kat tengah. Pakai lidi sate pun boleh. Janji yang belum digunakan.
6. Masukkan nutella ke dalam lubang yang dibuat dengan menggunakan piping bag.
7. Setkan ke dalam peti selama 10 minit.

CARA MEMBUAT BAHAGIAN TOPPING

1. Cairkan 500 gram dark chocolate.
2. Masukkan 4 sudu kecil minyak masak ke dalam dark chocolate yang dicairkan dan kacau sehingga sebati.
3. Tuangkan dark chocolate tadi ke atas biskut dengan menggunakan sudu.
4. Hias ikut kreativiti anda.
5. Biarkan coklat kering mengikut suhu bilik. Bila kita sentuh ia tidak melekit. Tidak perlu letak dalam peti ais.
6. Biskut sudah sedia untuk dimakan dan boleh letak di luar sahaja. Senang kan. Memang sedap, serius tak tipu
.
Selamat Mencuba!

Sumber: Muhammad Ali

Resipi Kek Gula Hangus Elok Bersarang Tak Perlu Perap. Hanya Guna Sukatan Cawan!

DUA minggu lagi umat Islam bakat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Kaum wanita khususnya ibu-ibu tentunya sudah memikirkan juadah yang ingin dihidangkan.

Kek Gula Hangus antara kek ‘orang lama’ yang digemari pelbagai lapisan usia. Rasanya yang lemak manis dan sedikit pahit daripada gula hangus serta tekstur yang sedikit kenyal menjadikan ia popular terutamanya pada hari raya.

Perkongsian resipi daripada Nina Mahdar ini boleh dijadikan panduan. Resipinya tidak perlu disukat dengan penimbang, hanya menggunakan cawan metriks. Mudah kan? Korang mesti cuba.

“Hari ni saya kongsikan cara saya buat kek gula hangus atau kek sarang semut. Resepi mudah dan tak perlu di perap. Kalau nak dapatkan kek yang tinggi boleh double kan adunan resepi,” kongsi Nina.

Resepi kek gula hangus sarang semut (Sukatan cawan metrik)

Bahan-bahan
1 cawan gula
1 cawan air panas
1/2 cawan mentega (di cairkan)
3 biji telur (gred A)
1 sudu kecil esen vanila
1 cawan susu pekat
1 cawan tepung
1 sudu kecil soda bikarbonat

Cara membuatnya:

1. Cairkan gula sehingga kelihatan perang.
2. Masukkan air panas dan kacau rata sehingga gula benar2 larut. Ketepikan.
3. Cairkan mentega dan ketepikan.
4. Kacau telur, susu pekat dan esen vanila menggunakan whisk.
5. Kacau rata sehingga sebati.
6. Kemudian masukkan mentega cair tadi.
7. Satukan bikarbonat ke dalam tepung dan ayak.
8. Masukkan ke dalam adunan telur tadi. Kacau rata.
9. Akhir sekali tuang gula hangus tadi. Kacau sehingga adunan tidak berketul. Boleh di tapis.
10.Tuang ke dalam loyang yang sudah digriskan.
11.Bakar pada suhu 170’c selama lebih kurang 30 minit atau sehingga masak.

Sumber: Nina Mahdar

Ringkas Tapi Enak, Ayam Sos Tiram Wajib Dicuba

Ringkas tapi enak, ayam sos tiram wajib dicuba

JIKA korang sedang mencari resipi masakan ayam yang ringkas, resipi sos tiram ini patut dicuba.

Selain mudah dimasak, ia juga sebagai penyelamat bagi ibu moden yang sedikit sibuk.

Boleh juga dijadikan menu untuk anak-anak membawa bekal ke sekolah.

Cubalah! Menu ini ringkas dan cepat dimasak, rasanya sangat enak pasti digemari sekeluarga.

Bahan-bahan;

  • Ayam
  • Halia (dihiris)
  • Bawang putih (dihiris)
  • Bawang merah (dihiris)
  • Cili besar merah (dihiris)
  • Sedikit air
  • Sos tiram
Boleh juga dijadikan menu untuk anak-anak membawa bekal ke sekolah.
Ayam halia versi cili kering.

Cara-cara membuatnya;

1. Tumis halia bersama bawang putih, bawang merah dan cili besar merah hingga wangi dan layu.

2. Masukkan ayam dan biar sekejap sehingga air ayam keluar. Masukkan sedikit air mengikut kepekatan kuah yang diingini.

3. Masukkan sos tiram. Kacau dan biarkan mendidih. Apabila kuah sudah pekat, sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba! Semoga bermanfaat.