Badan Lesu Bangun Tidur, Alami Gatal-Gatal. Sila Ambil Perhatian Kebersihan Tilam

MUNGKIN ada dalam kalangan kita terlupa akan kebersihan tilam yang digunakan hampir setiap hari.

Kesibukan tugas harian kadangkala menyebabkan kita alpa untuk mengambil peduli tentang kepingan pelapik tidur yang empuk itu.

Tilam salah satu keperluan wajib ada di setiap kediaman. Harga dan tahap keempukannya bergantung pada material yang digunakan.

Bagaimana tilam di kediaman korang, adakah ia dalam keadaan baik? Nak tahu cara terbaik membersihkannya? Jom ikuti tip ringkas ini.

1. Gunakan pelapik tilam (mattress cover) untuk melindungi tilam. Pilih pelapik yang boleh dicuci dan mudah ditukar ganti.

Kini terdapat pelbagai jenis pelapik tilam di pasaran. Ada yang direka untuk mengurangkan alahan debu dan tungau, malah ada juga mengurangkan keperluan untuk memvakum tilam.

2. Debu, bulu dan tungau boleh berkumpul di sebalik keempukan tilam. Kadangkala jelas kelihatan debu dan kotoran pada tilam.

Cara mudah, vakum tilam menggunakan muncung penyedut khas untuk upholsteri pada penyedut hampa gas. Jika ada antara ahli keluarga yang alergi terhadap habuk, maka korang perlu vakum atau menukar pelapik tilam lebih kerap.

3. Guna sabun khusus untuk menanggalkan kotoran atas permukaan tilam atau campurkan cecair pencuci serba guna dengan air paip sehingga ia menghasilkan buih.

Buih tersebut hanya pada kesan kotoran dengan menggunakan span. Kemudian bersihkan bahagian itu dengan span kering yang dicelup air panas. Biarkan sehingga ia benar-benar kering.

4. Setiap enam bulan sekali, tukarkan permukaan tilam depan dan belakang. Cara paling mudah melekatkan kertas tertulis tarikh permukaan tilam ditukar pada penjuru tilam sebagai peringatan.

Bilakah kita perlu menggantikan tilam?
Tiada jadual tepat, akan tetapi korang perlu peka pada beberapa petanda yang menunjukkan ia rosak dan tidak mampu memberikan fungsi maksimum. Antaranya:
– Rasa tidak selesa apabila baring dan sebaik sahaja bangun tidur esok paginya otot terasa penat dan sakit.

– Kesan haus pada tilam yang ditandai dengan kesan melorot atau benjolan padanya. Ketika bangun korang boleh dengar spring tilam berbunyi.

– Badan masih tidak selesa walaupun sudah berkali-kali cuba menyesuaikan posisi atas permukaan tilam.

– Menderita alergi dan gatal-gatal pada kulit. Sekiranya, tempoh tilam suda, maka segera menukarnya. Najis tungau boleh mencapai dua kali ganda berat tilam dalam masa 10 tahun walaupun suasana kamar tidur bersih.

– Tubuh menjadi lebih sensitif seiring peningkatan usia. Ia boleh menyebabkan kegelisahan dan masalah tidur, sekali gus memberikan impak buruk pada kesihatan. Jika tilam telah berusia lebih 10 tahun, tiba masanya korang menukar tilam baharu.

5. Cara membersihkan tilam yang dikotori kencing anak kecil. Tidak semestinya gara-gara tompokan air kencing kita perlu membuang tilam tersebut.

Ikuti langkah-langkah di bawah untuk mengembalikan seri tilam dan membuang bau hancing dan kesan tompok.
– Serap sebanyak mungkin air kencing dengan tuala kertas atau tuala lama. Hati-hati untuk tidak menekan terlalu kuat kerana ia menyebabkan air kencing terserap jauh ke dalam tilam.

– Tabur kawasan tompokan dengan serbuk penaik. Ia bertujuan membantu menyerap lembapan dan bau hancing. Biarkan selama satu jam.

– Vakum serbuk penaik tersebut.

– Bancuh larutan campuran cuka dan air dan isi ke dalam botol semburan lalu disemburkan pada tompokan air kencing tadi. Cuka membantu menyegarkan fabrik dan menghilangkan bau. Gosok sehingga kesan tompokan hilang.

– Jemur tilam di bawah sinar matahari. Cahaya matahari sangat efektif dalam menghilangkan bau dan membunuh kuman. Jika cuaca lembap, memadai sandarkan ia di dinding dan dipasangkan kipas sehingga kering.

Jika kita bijak menjaga dan membersihkan tilam sudah tentu ia boleh digunakan bertahun lamanya.

Semoga perkongsian tip ini memberikan manfaat kepada kamu semua!

6 Resipi Biskut Raya Warna Warni Ceriakan Hari Raya, Mesti Sedap!

6 resipi biskut raya warna warni ceriakan hari raya, mesti sedap!

6 resipi biskut raya warna warni ceriakan hari raya, mesti sedap!

Kita sudah berada di penghujung Ramadan. Beberapa hari sahaja lagi berbaki dan Syawal akan menjelang tiba.

Walaupun kita sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), persiapan menyambut hari kemenangan ini tetap harus dibuat. Apatah bagi korang yang sudah berkeluarga, persiapan raya seperti kuih muih tetap perlu ada bagi memeriahkan raya anak kecil yang gigih berpuasa.

Bersama ini SinarPlus kongsikan enam resipi biskut raya yang mudah untuk korang cuba. Resipi daripada Nor Khomariah Norrohman bukan sahaja mudah disediakan, rupa bentuk biskut juga cantik dan berwarna-warni!

6 resipi biskut raya warna warni ceriakan hari raya, mesti sedap!

BISKUT TEMBIKAI POTONG

Bahan-bahan

250gm mentega (buttercup)
180gm gula halus
300gm tepung gandum (diayak)
150gm tepung jagung (diayak)
5 sudu cornflakes (dikisar halus dan diayak)
1 biji kuning telur
pewarna kuning, merah dan hijau
bijan hitam (untuk hiasan)

Cara penyediaan
1. Masukkan mentega dan gula dan kacau hingga sebati
2. Masukkan kuning telur (kacau lagi hingga sebati)
3. Masukkan tepung gandum, tepung jagung dan cornflakes (letak sedikit demi sedikit) dan gaul hingga rata
4. Bahagikan doh kepada 2 atau 3 bahagian mengikut warna yang korang nak sama ada warna merah atau kuning dan warna hijau.
5. Pastikan doh warna hijau kurang sedikit dari warna merah dan kuning..
6. Bentukkan ia seperti bebola kecil ikut selera masing-masing (buat sama banyak tau)
7. Leperkan bebola hijau untuk jadikan kulit luar
8. Masukkan bulat-bulat merah atau kuning atas kulit hijau tadi dan pastikan kulit hijau tu meliputi kesemuanya
9. Buat sampai siap dulu baru dipotong dengan pisau yang tajam.
10. Bebola yang sudah siap tadi dibelah 4 macam belah telur tu
11. Susun bijan di atas doh yang di potong itu
12. Masukkan dalam cawan kertas
13. Bakar pada suhu 180 darjah Celcius selama 20 hingga 30 minit atau sehingga masak.
14. Siap!

6 resipi biskut raya warna warni ceriakan hari raya, mesti sedap!

TART TULIP

Bahan-bahan
250gm mentega/majerin
30gm gula halus
1 biji kuning telur
300gm tepung gandum
200gm tepung jagung
1/4 cawan susu pekat
1 sudu kecil esen vanila
Pewarna yg di sukai
Jem nenas

Cara- cara penyediaan

1. Pukul mentega dan gula sehingga sebati menggunakan senduk kayu. Selepas itu, masukkan telur, susu dan esen vanila.
2. Ayak tepung gandum dan tepung jagung. Masukkan ke dalam adunan secara berperingkat sehingga menjadi doh.
3. Rujuk gambar cara-cara nak buat bunga tulip.
4. Panaskan oven sebelum membakar biskut. Bakar pada suhu 170° api bawah sahaja. Bakar dalam 15 hingga 20 minit atau sehingga masak. Suhu adalah bergantung pada oven korang.
5. Biarkan sejuk terlebih dahulu dan simpan di dalam bekas kedap udara.

6 resipi biskut raya warna warni ceriakan hari raya, mesti sedap!

GERMAN COOKIES

Bahan-bahan
350 gram mentega
375 gram tepung kentang/potato starch
200 gram tepung gandum, diayak
100 gram gula aising, diayak
Secubit garam

Cara-cara penyediaan
1. Satukan tepung kentang dan tepung gandum, ayak dan ketepikan.
2. Putar mentega dengan gula aising hingga sebati dan masukkan garam. Perlahankan kelajuan dan masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang lembut. Rehatkan doh sekejap.
3. Bahagikan doh kepada tujuh bahagian dan warnakan dengan pewarna makanan rona yang disukai.
4. Ambil sedikit adunan kemudian bulat-bulatkan dan susun di atas dulang pembakar. Dengan menggunakan garfu dan tekan atas bebola tadi hingga sedikit leper dan membentuk corak. Buat hingga habis.
5. Bakar dalam oven yang telah dipanaskan dengan suhu 175 darjah Celcius selama 20 minit.
6. Sejukkan atas jaringan sepenuhnya sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.

6 resipi biskut raya warna warni ceriakan hari raya, mesti sedap!

BISKUT 3 BAHAN

1 cawan majerin ( boleh guna mentega 250g )
5 cawan tepung jagung
1 cawan susu pekat 1 cawan

Cara-cara
1. Gaul kan majerin/mentega dengan susu pekat sehingga sebati dan kemudian masukkan tepung jagung sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh.
2. Kemudian ambil sedikit adunan dan tekan menggunakan acuan dalam bentuk bunga
3.Bakar suhu 160 darjah Celsius menggunakan api bawah je. Bakar selama 20 hingga 30 minit atau bergantung pada oven masing-masing.

6 resipi biskut raya warna warni ceriakan hari raya, mesti sedap!

BISKUT SARANG SEMUT

1 buku mentega
3/4 cawan gula
1 cawan tepung kastad
1 cawan tepung jagung
3 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil esen vanilla
1 biji kuning telur
Cawan kertas secukupnya
Chocolate rice secukupnya

Cara:
1. Ayak tepung kastad, tepung jagung, tepung gandum dan baking powder.
2. Pukul mentega dan gula hingga putih.
3. Kemudian masukkan telur dan esen vanilla.
4. Masukkan tepung sikit demi sedikit sehingga korang mendapat adunan yang sempurna.Sekiranya lembik tambah lagi tepung.
4. Parutkan doh dengan pemarut dan sudukan ke dalam cawan kertas.
5. Taburkan choc rice sebagai hiasan
6. Bakar suhu 170 darjah Celsius selama 20 minit.

6 resipi biskut raya warna warni ceriakan hari raya, mesti sedap!

OREO CRUNCHY COOKIES

Bahan A
200gm mentega
10gm shortening
110gm gula kastor
1/2 sudu kecil esen vanila

Bahan B
250gm tepung gandum
30gm tepung jagung
30gm cornflakes – kisar halus
30gm serbuk badam – disangai
30gm serbuk Oreo
1/4 sudu teh baking powder

Hiasan : Coklat masakan putih (di cairkan) dan serbuk oreo

Cara-cara :
1. Pukul bahan A hingga berkrim. Masukkan bahan B dan uli hingga menjadi doh.
2. Canai dan terap. Susun di atas dulang pembakar dan bakar pada suhu 150 darjah Celsius selama 25 hingga 30minit hingga masak.
3. Sejukkan dahulu.
4. Cairkan ciklat masakan putih dengan kaedah double boil dan isikan ke dalam piping bag.
5. Paipkan coklat pula di atasnya dengan coklat masakan putih dan tabur serbuk oreo sebagai hiasan.
6. Sejukkan dahulu atau tunggu hingga coklat set sepenuhnya barulah simpan dalam bekas kedap udara.

Jangan risau jika korang belum membuat biskut raya. Cubalah resepi yang kami kongsikan ini. Sempat lagi nak buat kuih raya. Selamat mencuba!

Sumber: FB Nor Khomariah Norrohman

6 Manfaat Makan Daging Segar, Ini Kaedah Tepat Nikmatinya

MEMANG menjadi kebiasaan, tatkala Aidilfitri menjelma, pelbagai sajian akan terhidang di atas meja. Selain ayam, daging lembu atau kambing antara yang sering disediakan.

Sebenarnya, terlalu banyak pendebatan mengenai pengambilan daging dari segi aspek kesihatan. Ada yang berpendapat, ia langsung tidak elok untuk kesihatan.

Menjelaskan kekeliruan itu, daging yang diproses sebenarnya yang sangat tidak digalakkan untuk dikonsumsi, kata Pegawai Dietetik, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Nur Adilah Muhammadun Basar kepada SinarPlus baru-baru ini.

Hakikatnya, daging merupakan salah satu sumber protein yang baik. Dari sudut kalori dan lemak, daging lembu adalah pilihan yang lebih sihat berbanding kambing, arnab, unta dan lain-lain.

Ini kerana 100 gram (g) daging lembu mengandungi 217 kalori, 26.1g protein dan 4.2g lemak berbanding kambing yang mengandungi 258 kalori, 25.6 g protein dan 8.8g lemak.

Mengulas lanjut, Pegawai Dietetik Medical Mythbuster Malaysia, Nur Hafizah Mahamad Sobri berkata, daging merupakan satu sumber gabungan zat penting seperti protein jenis tinggi bioavailabiliti, zink, glutein dan besi heme.

Nur Hafizah Mahamad Sobri.

“Segala zat yang terkandung dalam daging sukar untuk didapati dalam kuantiti yang baik dalam makanan lain. Sebagai contoh, besi heme hanya boleh didapati di dalam daging dan bagi individu yang tidak mengambil daging, mereka akan berhadapan masalah anemia atau sel darah merah yang rendah yang memerlukan kebergantungan kepada suplemen,” terang Nur Hafizah.

Namun demikian, pengambilan daging perlu dikawal. Dalam erti kata lain, kuantiti yang diambil perlu cukup, tidak lebih atau tidak terlalu kurang.

“Kuantiti yang disarankan kepada golongan dewasa untuk gabungan pengambilan daging atau ayam atau telur adalah separuh hingga dua hidangan dalam sehari.

“Perbandingan mudah, satu hidangan tersebut bersamaan dengan satu biji telur atau daging atau ayam bersaiz tapak tangan. Maksudnya, maksimum pengambilan (gabungan) menu tersebut mestilah tidak melebihi dua tapak tangan atau dua biji telur,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Healthy Eating, menurut seorang pakar pemakanan, Reed Mangels, pada setiap hari, setiap daripada kita memerlukan 0.8 hingga 1g protein per kilogram (kg) berat badannya.

“Jadi, jika anda memiliki berat badan 55kg, maka anda perlu sebanyak 44 hingga 55g daging segar.

Bagaimana pula untuk si kecil? Berdasarkan Keperluan Nutrisi Bilangan Kementerian Kesihatan Indonesia, anak-anak berumur 1 hingga 3 tahun, kumpulan ini memerlukan 1,600 kalori, 26 gram protein dan 44g lemak. “Bagaimanapun, ia perlu digabungkan dengan menu pemakanan seimbang seperti sayur-sayuran, buah-buahan, makanan protein hingga produk tenusu,” katanya.

Berikut manfaat sekiranya kita menikmati daging segar seperti yang dilaporkan www.healthline.com, www.livestrong.com, www.nutritionadvance.com dan www.idntimes.co.id:

1. Memperkuatkan jisim otot.

Daging diklasifikasikan sebagai sumber protein yang berkualiti tinggi. Menikmati daging dengan kuantiti yang disyorkan akan menurunkan risiko sarcopenia atau hilangnya jisim dan kekuatan otot seiring pertambahan usia.

The American Journal of Clinical Nutrition, sarcopenia adalah masalah kesihatan yang serius di antara orang dewasa yang lebih tua tetapi dapat dicegah dengan peningkatan pengambilan protein.

“Sumber protein makanan terbaik adalah makanan yang berasal dari haiwan seperti daging lembu, ikan dan produk susu,” kata jurnal berkenaan.

2. Meningkatkan prestasi sukan.

Salah satu nutrien yang terdapat dalam daging lembu adalah carnosine iaitu sebatian penting untuk fungsi otot.

Menurut Nutrition Advance, tahap ketinggian carnosine dikaitkan dengan penurunan keletihan dan peningkatan prestasi semasa latihan.

3. Mencegah anemia

Kekurangan zat besi merupakan salah satu penyebab anemia dan gejala utamanya adalah keletihan dan tubuh badan berasa lemah.

Daging lembu adalah sumber zat besi yang bagus terutama dalam bentuk besi heme dan paling mudah didapati kerana hanya terdapat dalam sumber protein haiwan.

Jika dibandingkan dengan besi bukan heme, besi heme lebih mudah diserap oleh badan. Oleh yang demikian,  memakan daging adalah salah satu kaedah terbaik untuk mencegah anemia.

4. Meningkatkan kepekaan insulin.

Daging lembu juga dipercayai dapat meningkatkan kepekaan insulin dan mengurangkan risiko diabetes.

Asid linoleat yang terdapat di dalamnya membantu meningkatkan kepekaan insulin. Selain itu, sebatian L-carnitine yang terkandung di dalam badan lembu dapat meningkatkan tahap glukosa dan profil kolesterol keseluruhan pada pesakit diabetes jenis 2.

5. Sumber kompleks vitamin B.

Tubuh manusia memerlukan pelbagai jenis kompleks vitamin B dan daging boleh menjadi sumber vitamin B kompleks yang baik.

Daging lembu turut mengandungi vitamin B12 yang diperlukan oleh sistem saraf, vitamin B3 yang dapat menyokong sistem pencernaan dan vitamin B2 yang baik untuk kesihatan kulit dan mata.

6. Mempercepatkan penyembuhan luka.

Salah satu penyebab jangkitan luka yang paling biasa adalah penyaluran oksigen ke tisu yang rosak. Kekurangan mineral boleh melambatkan pembentukan dan pembaikan tisu. Justeru, mineral yang terkandung dalam daging membantu dalam penyembuhan kerana berperanan menyebarkan oksigen melalui darah.

ANEKDOT

NUTRISI yang terkandung dalam 100 gram daging lembu:

  • Kalori (kilokalori) 250
  • Lemak (15 gram)
  • Lemak tepu (6 gram)
  • Lemak trans (1.1 gram)
  • Protein (26 gram)
  • Kalsium (18 miligram)
  • Zat besi (2.6 miligram)
  • Vitamin D (7 IU)
  • Vitamin B6 (0.4 miligram)
  • Vitamin B12 (2.6 µg)
  • Magnesium (21 miligram)

Jika diperhatikan daripada kandungan nutrisi, daging lembu tidak mengandungi serat. Justeru, menikmati daging lembu harus diimbangkan dengan pengambil serat daripada buah atau sayur.

Sumber: Halodoc

Macam-Macam Khasiat Aloe Vera. Boleh Dimakan, Buat Jus Pun Sedap

ALOE Vera atau pokok lidah buaya antara tumbuhan yang paling mempunyai banyak khasiat. Ia baik untuk kegunaan baik dalaman mahupun luaran kita

Rupa bentuk aloe vera yang mana bahagian luar daun agak keras dan tebal berfungsi memerangkap dan menyimpan air.

Air itu kemudiannya berubah kepada bentuk jeli. Tahukah korang, jeli berkenaan mempunyai pelbagai khasiat terutamanya pada kulit.

Hasil daripada beberapa kajian, aloe vera telah digunakan lebih 5,000 tahun untuk kesihatan dalaman dan luaran badan manusia.

Antara komponen yang terkandung dalam tumbuhan tersebut ialah air, pelbagai vitamin seperti vitamin A, C, E, B1, B2, B3, B6 dan B12.

Aloe vera juga mengandungi mineral iaitu kalsium, magnesium, zink, kromium, selenium, sodium dan zat besi), enzim serta asid amino.

Lantaran kepelbagaian itu, maka tidak hairanlah hampir setiap kediaman mempunyai pokok aloe vera atau nama santifiknya Aloe barbadensis ini.

Selain diguna pada luaran dengan menyapu pada kulit ia juga boleh dijadikan jus.

Perkongsian daripada Norshuhada Samsuddin barangkali boleh dijadikan rujukan. Jadi, korang tidak perlu lagi membeli jus kotak aloe vera.

“Sesiapa yang menanam aloe vera cubalah menu simple ini. Rasa sedap & sangat refreshing.”

Resipi Aloe Vera Jelly

Bahan-bahan

-Aloe vera
-Gula
-Daun pandan
-Air

Cara penyediaan

1. Bersihkan aloe vera yang dituai dengan air bersih.
2. Potong duri kiri dan kanan serta kulit hijau.


3. Potong dadu isi aloe vera mengikut saiz pilihan.
4. Letakkan aloe vera yang siap dipotong ke dalam penapis dan lalukan air sehingga lendirnya hilang.

5. Cucinya dengan bersih.
6. Masukkan ke dalam periuk yang berisi air secukupnya, gula dan daun pandan.
7. Jerangkan atas api sehingga gula larut lalu matikan api.
8. Sejukkan terlebih dahulu kemudian bolehlah simpan di dalam bekas tertutup di dalam peti ais.


9. Apabila hendak minum, bancuhkan dengan minuman kegemaran. Sambil minum jeli tersebut boleh dimakan. Sedap sangat!

Korang yang ada aloe vera di rumah jangan lupa mencuba. Bagi yang belum menanamnya, ayuh mulakan sekarang. Tidak rugi berbudi kepada tanah, pasti akan ada hasilnya nanti.

Sumber: Norshuhada Samsuddin

Netizen ‘Perang’ Laksa, Berbalah Jenis Ikan. Kenali 10 Jenis Laksa Di Malaysia

LAKSA adalah salah satu sajian tradisional signatur rakyat Malaysia. Boleh dikatakan setiap negeri mempunyai resipi laksa tersendiri.

Menu versatil itu lazimnya menjadi pilihan hidangan untuk santapan pada majlis-majlis keraian dan harian.

Baru-baru ini tular perbalahan warganet tentang ‘standard’ laksa negeri masing-masing hingga mencetuskan perdebatan antara laksa Johor dan laksa negeri-negeri lain.

Semuanya bermula apabila seorang pengguna bertanyakan cara-cara untuk memasak laksa.

Lalu, individu lain membalas komen bahawa laksa Johor diperbuat daripada ikan parang dan ditegaskan supaya jangan jatuhkan martabat orang Johor menggunakan ikan lain.

Ikan tenggiri
Ikan parang

Beliau juga menyatakan penggunaan ikan selayang dan kembung yang harganya murah selalunya digunakan dalam pembuatan laksa di negeri-negeri Utara dan Pantai Timur.

Ikan kembung
Ikan selayang

Rentetan kenyataan itu, warga maya mula membidas hujah mengatakan laksa Utara ‘lebih pure’ kerana menggunakan bahan laksa sebenar berbanding laksa Johor berasaskan spageti.

Perbahasan terus menjadi hangat susulan campur tangan netizen negeri lain yang menyokong geng laksa Utara.

Perbalahan itu, secara tidak langsung tersasar daripada topik asal, tambahan pula ada yang mengaitkan dengan isu kayangan.

Jangan gaduh-gaduh semua. Jom SinarPlus kongsikan 10 jenis laksa yang terdapat di negara kita.

Setiap resipi mempunyai kelainan dan keunikan tersendiri. Ada rasa berlemak, ada rasa pedas dan ada juga berbeza dari segi jenis laksa digunakan.

Oleh itu, raikanlah perbezaan bukannya saling menjatuhkan!

Mungkin ada tertanya-tanya berapa jenis laksa yang ada di negara kita dan apakah perbezaannya?

Teruskan baca ya!

1. Laksa Johor

Laksa Johor merupakan hidangan yang unik kerana ia menggunakan spageti berbeza laksa lain menggunakan laksa beras.

Kuahnya pula merupakan kuah kari pekat dan harum aromanya. Bahan asas untuk kuah ialah rempah ratus, ikan parang dan santan.

Laksa tersebut disajikan dengan ulam-ulaman segar seperti limau kasturi, bunga kantan, daun selasih, kacang panjang dan tauge. Sambal turut diletakkan di atasnya.

2. Laksa Kedah dan Laksa Lemak Kedah

Laksa Kedah mungkin pada mata kasar nampak seakan-akan sama dengan laksa Penang.

Hakikatnya kedua-duanya berbeza. Kuah laksa Kedah menggunakan isi ikan yang dihancur lumat manakala laksa Penang menggunakan isi ikan yang dicarik-carik sahaja.

Laksa Penang menggunakan jus asam jawa, tetapi laksa Kedah menggunakan asam keping sebagai penambah rasa masam.

Selain itu, kuah laksa Penang menggunakan banyak cili merah segar manakala laksa Kedah lebih mengutamakan penggunaan cili kering.

Kuahnya kelihatan sedikit gelap. Ia lazimnya disajikan dengan ulaman seperti hirisan timun, daun selom, bawang merah dan cili padi hijau. Boleh juga tambah telur rebus jika suka, dijamin lebih lazat dan mengenyangkan!

Pada masa sama, menggunakan laksa beras sebagai mi dan kuahnya pula warna kuning. Manakala bagi versi Laksa Lemak Kedah, kuah lemaknya lebih kurang dengan kuah laksa Penang, cuma ditambah santan memberikan rasa lemak.

3. Laksa Penang

Laksa Penang atau dikenali asam laksa merupakan laksa dari negeri Pulau Pinang. Ia disukai ramai kerana rasa masam dan masin yang sebati. Bahan utama ialah ikan rebus segar, daun kantan dan bunga kesum. Ada juga yang menambah nanas yang dikisar.

Selain itu, belacan bakar dan isi udang juga ditambah bagi membangkitkan rasa laksa.

Sebagai bahan hiasan dan ulaman ia disajikan bersama telur rebus, potongan bawang, limau nipis dan sayur-sayuran yang dihiris halus.

4. Laksa Terengganu

Laksa Terengganu merupakan hidangan berkuah yang popular di Terengganu.

Ia hadir dengan dua jenis kuah sama ada mentah atau masak. Kuah mentah merupakan santan yang dicampur air panas tanpa dimasak. Ia ditambah lada hitam, isi ikan dan bawang sebagai penyedap rasa.

Kuah yang masak pula ialah kuah gulai seakan-akan kuah laksa Johor. Mi untuk laksa diperbuat daripada tepung gandum atau laksa beras, sama seperti laksa Penang.

5. Laksa Sarawak

Kuahnya berwarna kemerah-merahan dan pekat kerana penggunaan sambal belacan atau sambal udang kering yang dicampur dengan bahan-bahan seperti serai, bawang putih, lengkuas, asam jawa dan santan.

Bezanya dengan laksa Penang dan laksa Terengganu ia menggunakan bihun. Jadi, ia nipis dan rasa kuah lebih menyerlah.

Laksa Sarawak dihidangkan bersama, telur, udang, cili padi, tauge, bawang goreng dan daun ketumbar. Korang boleh perah limau nipis, lagi mengancam!

6. Laksa Lemak Kelantan

Laksa Kelantan berbeza daripada penyediaan kuahnya. Bagi bahagian kuah berlemak diperbuat menggunakan santan dan ikan rebus sebagai bahan-bahan utama.

Laksanya pula menggunakan laksa beras. Jika ke negeri Cik Siti Wan Kembang, laksa lemak yang dihidangkan dimasak segar bukannya menggunakan laksa kering yang direbus.

Laksa disajikan bersama sambal cili kering, belacan dan garam sebagai penyedap rasa. Ulamannya pula terdiri daripada kacang panjang, timun dan tauge, kacang panjang dan timun dihiris halus.

7. Laksam

Antara hidangan sarapan popular di negeri Pantai Timur khususnya Terengganu dan Kelantan.

Laksam tidak menggunakan laksa beras sebaliknya, mi seakan-akan kuetiau diperbuat daripada campuran tepung beras dan sedikit tepung gandum. Ia dikukus, digulung dan dipotong kecil sebagai mi supaya kuah mudah meresap.

Kuah berlemak sama seperti kuah laksa lemak Kelantan. Laksam selalunya disajikan bersama sambal cili api atau sambal ‘jantan’.

8. Laksa Ipoh

Laksa jenis ini mungkin jarang korang lihat. Laksa Ipoh atau laksa telur bersarang bukan sahaja terkenal di Ipoh, malah pengaruhnya meluas ke daerah lain seperti di Kuala Kangsar.

Kelazatannya terletak pada kuah gulai yang berlemak. Sedap tak terkata, tanpa sedar menghirup kuah sehingga licin!

Laksa Ipoh mungkin diinspirasikan daripada laksa Penang dan kuahnya pula dari mi kari. Hirisan timun dan bawang melengkapkan sajian ini.

9. Laksa Kuala Perlis

Walaupun Perlis merupakan negeri Utara, laksa Kuala Perlis atau dipanggil laksa kola tidak sama dengan laksa Penang.

Beza kedua-dua jenis laksa dari segi pembuatan laksa berasnya. Laksanya adlah menggunakan tepung ubi kayu, tepung beras dan beras kisar.

Tekstur laksa kuala juga halus berbanding laksa beras biasa. Kuahnya seakan dengan laksa Penang, cuma tidak terlampau pekat. Laksa ‘legend’ itu akan dimakan dengan hirisan timun, bawang dan telur rebus.

10. Laksa Mi Pangkor

Laksa Mi Pangkor cukup terkenal di Lumut, Perak. Ia mempunyai rasa unik.

Menariknya, sambal laksa mi Pangkor menggunakan belacan manakala mi adalah sejeni mi khas.

Untuk memudahkan penyediaan, korang boleh menggunakan mi lidi atau spageti sebagai opsyen.

Laksa mi Pangkor menggunakan sup ikan kembung, sup ketam atau sup sotong. Namun, kebiasaannya sup ikan kembung digunakan.

Keenakan terserlah apabila dinikmati bersama sambal udang, kacang panjang dan sedikit lobak masin. Ada juga menambahkan hirisan bawang putih sebagai bahan penyedap.

Foto: Noor Rabi Atul Adawiyah, Asharina Abdul Wahid, Azizah Daud

Tip Terbaik Untuk Peminat Apple Yang Membeli IPhone Terpakai. Kenali Set Retail Dan Refurbished

Tip terbaik untuk peminat Apple yang membeli iPhone terpakai. Kenali set retail dan refurbished

IPHONE adalah antara teknologi yang hebat dan ramai yang menyimpan impian memilikinya walaupun harganya agak mahal.

Jika ingin mendapatkan iPhone tanpa mengeluarkan belanja yang berlebihan, membeli iPhone terpakai merupakan pilihan terbaik. Namun, ada beberapa perkara yang harus diberikan perhatian sebelum membuat sebarang pembelian peranti terpakai jenama ini.

Tahukah korang bahawa ada dua jenis iPhone yang terpakai? Sama ada ia wujud sebagai unit retail atau refurbished .

Kedua-duanya tentunya dihasilkan oleh Apple. Retail adalah barang yang korang beli terus dari wakil jualan Apple sebagai peranti baru, manakala model refurbished pula yang diperbaharui. Ia biasanya ditawarkan oleh Apple sebagai model pengganti.

Apabila pemilik iPhone mengunjungi pengedar rasmi Apple kerana mempunyai masalah dari segi pembuatan, peranti tersebut ditukar.

Peranti yang ditukarkan itu akan diperbaharui atau refurbished dan dijual.

Oleh itu, korang yang berminat untuk membeli iPhone terpakai, periksa model telefon yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum membuat pembayaran. Berikut adalah langkahnya;

1. Pergi ke bahagian setting

Tip terbaik untuk peminat Apple yang membeli iPhone terpakai. Kenali set retail dan refurbished

2. Klik general dan pilih about

Tip terbaik untuk peminat Apple yang membeli iPhone terpakai. Kenali set retail dan refurbished

3. Semak huruf pertama di bahagian Model Number

Tip terbaik untuk peminat Apple yang membeli iPhone terpakai. Kenali set retail dan refurbished

Tidak kira apa saja jenis iPhone yang korang gunakan, peranti iOS korang dilengkapi dengan nombor model tertentu yang bermula dengan huruf “M” atau “F”.

Semua telefon pintar Apple yang dimulai dengan huruf M adalah unit retail, manakala yang ditandai dengan N bermaksud diperbaharui atau unit refurbished.

Melalui perkongsian yang dibuat di laman Twitter @afzanvalley, terdapat juga huruf lain yang mempunyai makna berbeza iaitu:

N = iPhone replacement (gentian)

P = personal, yang ada buat ukiran (engraving) kat belakang iPhone.

Manakala 3A dan selain daripada yang disenaraikan ini bermaksudnya set iPhone itu adalah set demo.

Tidak hanya itu, korang juga berkemungkinan untuk mendapat model iPhone terbaru yang telah diperbaharui atau refurbished. Ini kerana Apple tetap menjual model baru yang mempunyai kekurangan dari segi pembuatan di mana ia memerlukan penggantian komponen tertentu.

Oleh itu, berhati-hati lah dalam membuat pembayaran untuk barangan terpakai supaya korang tidak tertipu.

Sumber: Twitter @afzanvalley

Awas! Ini 4 Tanda Ibu Bapa Perlu Pantau Anak-Anak Membesar

TUMBESARAN bayi dan kanak-kanak merupakan aspek paling signifikan yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa.

Jika anda memikirkan tidak perlu memantau tahap pertumbuhan bayi pada bulan pertama kelahiransi comel itu, pandangan tersebut silap sama sekali.

Pakar Perunding Neonatologis, Pusat Perubatan Sunway Velocity, Dr Hasmawati Hassan berkata, secara asasnya, terdapat empat aspek utama yang perlu diberi tumpuan oleh penjaga bagi memantau perubahan anak-anak mereka dari semasa ke semasa.

Dr Hasmawati.

“Walaupun setiap kanak-kanak akan memaparkan pelbagai peringkat perkembangan pada usia yang berlainan, terdapat beberapa tanda amaran awal yang ibu bapa perlu awasi dan sedari,“ katanya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Berikut adalah perinciannya:

i) Motor kasar

Matlamat utama: Memastikan agar kanak-kanak itu mampu berjalan yang bermula dengan kawalan kepala.

Pada usia enam bulan, mereka harus mampu untuk duduk tanpa sokongan buat sementara waktu.

Selain itu, mereka juga boleh menarik sesuatu untuk berdiri pada usia sembilan hingga 10 bulan dan mampu untuk berjalan pada usia 12 hingga 14 bulan.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Gagal mencapai kawalan kepala atau memusing kepala pada usia empat hingga enam minggu.
  • Gagal bergolek menjelang usia lima bulan.
  • Gagal duduk menjelang usia lapan bulan.
  • Gagal berdiri dengan sokongan menjelang usia 10 bulan.
  • Gagal berjalan menjelang usia 15 bulan.

ii) Motor halus

Matlamat utama: Pembangunan memegang atau menggunakan dua jari.

Tangan seorang bayi baru lahir akan kekal tergenggam sehingga bulan ketiga dan mereka harus mencapai kemajuan secara berterusan dengan beralih kepada genggaman dua jari pada usia sembilan hingga 12 bulan.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Genggaman erat tangan selepas tiga bulan.
  • Abduksi (ibu jari menjauhi jari telunjuk) dan fleksi ibu jari yang berterusan selepas tiga bulan.
  • Tidak cuba untuk mencapai objek selepas lima bulan.
  • Sebaran jari yang berterusan semasa percubaan untuk mengambil objek selepas lima bulan.
  • Genggaman tapak tangan yang berterusan selepas sembilan bulan.
  • Kegagalan untuk memegang menggunakan dua jari dengan baik selepas setahun.

iii) Kelakuan dan pembangunan sosial

Matlamat utama: Penilaian kebolehan bayi itu untuk berinteraksi dan bertindak balas kepada persekitaran.

Ia merangkumi paparan kegelisahan mereka terhadap orang yang tidak dikenali pada usia tujuh bulan hingga mampu meminum menggunakan cawan pada usia 12 bulan.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Pada usia enam hingga sembilan bulan, si kecil amat senyap, tidak tersenyum atau ketawa.
  • Kanak-kanak tidak respons kepada nama mereka.
  • Tidak ada kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali.
  • Pada usia sembilan hingga 12 bulan, mereka masih mempunyai kegelisahan terhadap orang yang tidak dikenali dan tidak faham untuk melambai selamat tinggal.

iv) Pertuturan dan pendengaran

Matlamat utama: Memastikan agar kanak-kanak itu boleh bercakap, bermula dengan bisikan lembut, memberi respons kepada bunyi dan kebolehan untuk mengeluarkan kata-kata mudah secara lisan seperti ‘mama‘ atau ‘dada‘.

Tanda-tanda amaran awal:

  • Tiada senyuman pada usia tiga bulan.
  • Tidak ada percubaan untuk ketawa pada usia enam bulan.
  • Tidak memberi respons kepada nama mereka pada usia enam hingga sembilan bulan atau masih senyap pada usia sembilan hingga 12 bulan.

PemantauanDalam pada itu, Pakar Perunding Paediatrik dari pusat perubatan yang sama, Dr Melanie Majaham berkata, ibu bapa memang sangat disarankan mengunjungi pakar pediatrik secara berkala bergantung kepada umur bayi atau jika mereka menghadapi sebarang masalah perubatan utama.

Dr Melanie.

“Pada setiap lawatan, perkembangan bayi akan dipantau dan sebarang isu berkaitan akan dikesan. Misalnya, jika berlaku  peningkatan berat badan yang lemah atau masalah kegemukan.

“Doktor-doktor juga turut akan membincangkan butiran seperti frekuensi penyusuan, pelan penyusuan dan penanda jarak utama yang perlu dicapai bersama dengan ibu bapa,“ katanya.

Oleh yang demikian, jelas Dr  Melanie, janji temu tipikal biasanya akan disekalikan dengan jadual vaksin, tetapi lawatan akan menjadi lebih kerap jika ia melibatkan sebarang masalah perubatan atau memerlukan ujian-ujian lain seperti ujian darah atau air kencing.

Selaras dengan kemajuan teknologi yang dicapai, pakar itu berkata, terdapat pelbagai jenis saringan, ujian dan rawatan boleh dilakukan dengan lebih efektif.

Antaranya Ujian Saringan Pembangunan Denver yang digunakan sebagai satu rujukan untuk memantau peringkat perkembangan dan juga skor M-CHAT (Senarai Pemeriksaan Diubahsuai untuk Autisme Kanak-Kanak) untuk mengesan tanda-tanda awal gangguan spektrum autisme.

Ujar Dr Melanie lagi, seorang kanak-kanak sepatutnya diberi penilaian lanjut oleh sekumpulan pakar bagi memastikan golongan itu sihat sejak dari peringkat kecil lagi.

“Selain pakar psikologi, kanak-kanak juga perlu dirujuk kepada pakar pediatrik pembangunan, pakar terapi pekerjaan, pakar terapi fisioterapi dan pakar terapi pemakanan dan pertuturan supaya kanak-kanak itu boleh mendapat manfaat dan dapat mencapai potensi penuh mereka,“ ujar beliau.

Siap Masak Lauk Pantang Sebelum Bersalin, Mudahkan Suami. Menu Wanita Ini Dikongsi Hampir 10,000

MAKANAN berpantang selalunya menjadi sajian wanita dalam fasa selepas bersalin. Lazimnya, berkhasiat, tidak berminyak dan tidak berlemak. Memang sihat!

Bagi sesetengah kaum, ada pantang larang pemakanan tertentu perlu dipatuhi selepas bersalin. Malah, ada yang terlalu ketat hingga menyekat pengambilan air! Ingat itu adalah mitos mengarut dan jarang diamalkan.

Tenggiri masak singgang kuning. Kunyit, bawang putih, halia sengaja diletak dalam kuantiti yang banyak untuk dimakan bersama ikan.

Seiring peredaran zaman majoriti wanita kini amat mementingkan pemakanan berkhasiat selepas bersalin. Inisiatif itu bertujuan untuk memulihkan luka dalaman dan membantu penghasilan susu ibu berkualiti.

Sup lobak putih & merah

Perkongsian wanita dikenali Khalidah Alhusna menyediakan makanan berpantang lebih awal sebagai persediaan tempoh berpantang memberi inspirasi.

Beliau yang dijadualkan bersalin anak ketiga pada 12 Jun depan pada mulanya bercadang menempah makanan pantang.

Bagaimanapun, tidak dapat berbuat demikian lantaran penjual makanan tersebut tidak menerima pesanan dalam masa singkat. Ekoran itu, beliau bertindak memasak lapan menu berbeza sebelum dibekukan.

Daging masak lada hitam dan daging goreng kunyit hidup antara menu untuk minggu ke-3 atau ke-4 selepas bersalin.

Menariknya, setiap sajian diasingkan kepada beberapa hidangan dalam kuantiti kecil. Kata Khalidah, ia cukup untuk dinikmati selama 34 hari sepanjang tempoh berpantang.

“Makanan pantang frozen style untuk memudahkan kerja suami yang akan bantu uruskan kerja rumah dan anak-anak bila mummy berpantang.

“Kisahnya terjadi, sebab tiba-tiba orang yang kita nak order makanan pantang tak jadi ambil order last minute. Nak tak nak, walaupun tunggu hari, heret juga perut ke dapur. Bolehlah lauk untuk 34 hari, ” kongsi Khalidah di laman Facebook.

Antara menu yang disediakan ialah sup lobak putih dan merah, sup ayam, singgang kuning ikan tenggiri, daging masak lada hitam dan daging goreng kunyit hidup.

Sup ayam dimasak hanya menggunakan bahagian dada ayam.

Selain itu, wanita tersebut turut menyediakan sajian mentah siap dipotong dan ayam diperap dengan garam dan kunyit.Katanya, langkah itu juga akan memudahkan suaminya menyediakan makanan setiap hari tanpa mengambil masa yang lama.

Sayur mentah yang siap dipotong hanya perlu dimasukkan ke dalam pengukus manakala ayam diperap dimasak dengan air fryer.

“Syukur, alhamdulillah siaplah serba sedikit menu untuk pantang. Dari sudut positifnya kita tahu sumber makanan yang dimasak tu sedap dan kena dengan cita rasa sendiri,” katanya.

Semoga dengan perkongsian tersebut dapat memberikan korang yang bakal bersalin memasak sendiri makanan pantang.

Tambahan pula status Perintah Kawalan Pergerakan dan penularan wabak Covid-19, lebih baik sediakan makanan sendiri di rumah.

Secara tidak langsung kita menyokong seruan Kementerian Kesihatan untuk melakukan kawalan kendiri di rumah.

Sumber: Khalidah Alhusna

Awas, Kanak-Kanak Juga Menghidap Darah Tinggi!

LAZIMNYA, kita sering mendengar bahawa tekanan darah tinggi adalah satu komplikasi yang melibatkan golongan dewasa sahaja.

Namun demikian, jangan terkejut jika SinarPlus katakan, terdapat data khusus yang menyatakan penyakit itu boleh berlaku kepada kanak-kanak yang masih kecil.

Merujuk satu kajian yang dijalankan di Malaysia pada tahun 2017 terhadap kanak-kanak berumur 5 hingga 6 tahun, 9.7 peratus daripada mereka mempunyai risiko yang besar mendapat masalah tekanan darah tinggi.

Kebanyakannya berkait rapat dengan faktor berat badan sama ada mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.

Jadi, untuk merungkai sejauhmana tahap keseriusan hipertensi dalam kalangan si cilik, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Pediatrik Nefrologi merangkap Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Selayang, Selangor, Dr Selva Kumar Sivapunniam.

Dr Selva.

Ketika wawancara dijalankan melalui aplikasi Zoom baru-baru ini, Dr Selva meluahkan kerisauan ekoran situasi kanak-kanak yang menghidap penyakit darah tinggi atau hipertensi termasuk kencing manis berada pada tahap membimbangkan.

Memberi contoh statistik dunia, Dr Selva berkata, di Amerika Syarikat, 12.6 peratus kanak-kanak perempuan dan 19.2 peratus kanak-kanak lelaki mempunyai masalah prahipertensi.

Sementara di China, sebanyak 20.2 peratus kanak-kanak perempuan dan 16.3 peratus lelaki bergelut dengan situasi menakutkan itu.

Di Malaysia pula, 3 hingga 5 peratus populasi kanak-kanak mengalaminya.

“Ia dapat dibuktikan apabila rawatan yang diberikan kepada pasakit dalam kelompok itu lebih tinggi berbanding penyakit-penyakit lain,” ujarnya.

Masalah hipertensi sememangnya bukan boleh dipandang enteng. Kata pakar berkenaan, apabila bacaan darah tinggi melonjak naik, si kecil boleh mengalami sawan, kesukaran bernafas, tingkah laku akan berubah termasuk hilang tahap kesedaran!

Namun, untuk mengelakkan itu semua, Dr Selva berkata, ibu bapa adalah perintang yang boleh mencegah kondisi anak mereka daripada menjadi terlalu buruk.

“Mereka sebenarnya boleh meramalkan tahap kesihatan anak masing-masing berpandukan kepada dua elemen iaitu bacaan Indeks Jisim Badan dan ukur lilit pinggang. Ya, dua (elemen) berkenaan sememangnya berpunca daripada pengaruh pemakanan dan gaya hidup yang tidak elok,” tegas Dr Selva.

Boleh cetus penyakit lain

Mengulas lanjut, Dr Selva berkata, pada kelazimannya, kanak-kanak yang berumur tiga tahun ke bawah akan didiagnos dengan hipertensi adalah disebabkan daripada masalah perubatan lain yang melibatkan beberapa organ dalaman seperti buah pinggang, jantung dan kelenjar.

“Bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang berumur 6 tahun ke atas pula, ia seringkali dikaitkan dengan masalah berat badan tidak normal dan amalan gaya hidup yang tidak sihat,” ungkap Dr Selva.

Kepada SinarPlus pakar itu memaklumkan, doktor memiliki carta panduan bacaan tekanan darah bagi kanak-kanak mengikut jantina, umur dan ketinggian mereka.

“Cara tekanan darah diukur penting untuk memastikan kesahihan bacaan sebelum diagnosis dibuat,” ungkapnya.

Memperincikan lebih lanjut mengenai perkara itu, ujar pakar berkenaan, tekanan darah dibaca dalam unit milimeter merkuri (mmHg).

“Nombor yang ditulis di atas merujuk kepada tekanan sistolik, manakala angka di bawah pula merujuk kepada tekanan diastolik. Tekanan darah boleh diukur secara manual dengan menggunakan alat yang dikenali sebagai sphigmomanometer merkuri atau mesin automatik.

“Ini kerana tekanan darah itu merujuk kepada tindak balas semasa jantung mengepam darah. Oleh itu, tekanan ini meningkat sewaktu jantung mengecut dan menolak darah ke saluran darah (sistolik) dan menurun sewaktu jantung kendur (diastolik). Proses ini akan berterusan sehingga umur kanak-kanak itu meningkat,” jelas Timbalan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia itu.

Dr Selva turut memberitahu, apabila kanak-kanak itu menjadi dewasa, penyakitnya tidak akan sesekali terhenti (mereka akan menjadi orang dewasa yang mempunyai hipertensi).

Secara umumnya, kongsi Dr Selva, kanak-kanak lelaki mempunyai tekanan darah lebih tinggi berbanding kanak-kanak perempuan.

“Jika masalah itu berlarutan, ia akan menjadi penyumbang utama kepada penyakit yang melibatkan organ-organ lain antaranya buah pinggang, jantung, otak dan mata,” beritahu beliau.

Makan ubat darah tinggi

Felo Klinikal Kardiologi Pediatrik, Institut Jantung Negara, Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan turut melontarkan pandangannya mengenai masalah hipertensi dalam kalangan kanak-kanak.

Dr Yusoff.

“Apa yang saya boleh katakan, tekanan darah tinggi bagi kanak-kanak berbeza jika hendak dibandingkan dengan orang dewasa.

“Lazimnya, tekanan darah tinggi dalam kalangan orang dewasa yang berlaku kerana proses penuaan, tetapi punca tekanan darah tinggi dalam kalangan kanak-kanak dikaitkan dengan beberapa situasi,” katanya yang menyokong salah satu kenyataan Dr Selva.

Berikut adalah situasi tambahan yang boleh menjadi pencetus si kecil boleh menderita penyakit hipertensi:

i) Masalah organ dalaman seperti jangkitan atau kerosakan buah pinggang (75 peratus).

ii) Saluran aorta jantung sempit (15 peratus).

iii) Hormon-hormon berlebihan (5 peratus).

iv) Lain-lain situasi (5 peratus). Sebagai contoh, membabitkan beberapa jenis kanser, obesiti dan ubat steroid berlebihan.

Menjawab kepada satu soalan lain, kata Dr Yusoff, terdapat masalah tekanan darah tinggi yang bersifat sementara dan bersifat kekal.

“Tekanan darah tinggi dalam kalangan kanak-kanak menggunakan definisi yang berbeza daripada definisi orang dewasa kerana ia bergantung kepada umur dan ketinggian seseorang itu.

“Contohnya kanak-kanak berusia 1 tahun mempunyai tekanan darah normal 85/40mmHg, manakala kanak-kanak berusia 5 tahun mempunyai tekanan darah normal 100/60mmHg. Pun demikian, bacaan 100/60mmHg dikira tinggi bagi kanak-kanak 1 tahun tersebut,” jelasnya.

Mengenai alat bacaan tekanan darah kanak-kanak pula, ujar pakar itu, ia turut berbeza kerana pam yang lebih kecil akan digunakan.

“Jika tekanan darah tidak begitu tinggi, kanak-kanak tidak mengalami sebarang gejala. Namun, jika tekanan darah terlampau tinggi, beliau akan mengalami gejala seperti sakit kepala, mata bengkak, kesukaran bernafas, sakit dada dan sawan,” katanya.

Adakah perlu ibu bapa melakukan ujian tekanan darah untuk mengetahui sama ada anak mereka mempunyai masalah hipertensi?

Jawab Dr Yusoff: “Tiada saranan khusus untuk kanak-kanak yang membesar dan berkembang dengan sihat untuk menjalani ujian tersebut. Cukup sekadar pemeriksaan kesihatan di klinik berdekatan secara berkala.”

Kepada satu soalan, pakar itu berkata, seperti orang dewasa, kanak-kanak juga perlu makan ubat darah tinggi jika menghidap hipertensi buat selama-lamanya lebih-lebih lagi jika mereka mempunyai penyakit lain seperti buah pinggang kronik.

“Tiada cara lain. Selain, makan ubat darah tinggi, mereka juga disarankan untuk kerap melakukan senaman, jangan makan makanan yang terlebih garam dan kalori berlebihan. Ringkas kata, pastikan anak-anak kita yang sedang membesar tidak obes. Itulah jalan penyelesaiannya,” beritahu beliau lagi.

Pendekatan yang disyorkan itu turut dipersetujui oleh Dr Selva. Timbalan Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia itu turut mengesyorkan agar pesakit menggunakan pendekatan Diet Untuk Menghentikan Hipertensi.

“Pesakit darah tinggi kena makan makanan yang kurang lemak, garam dan gula. Mereka wajib lebihkan pengambilan buah-buahan segar dan sayur-sayuran serta makanan bijirin,” kata beliau.

Sekali lagi pakar itu menegaskan, peri penting untuk ibu bapa memantau berat badan anak.

“Berat badan yang berlebihan akan menunjukkan tanda-tanda peningkatan gula dalam darah dan dapat meningkatkan risiko kepada darah tinggi.

“Jadi, saya sarankan, ibu bapa yang mempunyai anak kecil berumur 3 tahun ke atas untuk membuat pemeriksaan sekurang-kurangnya setahun sekali terutamanya jika ahli keluarga atau waris mempunyai sejarah menghidap penyakit yang sama,” sarannya.

Jika si kecil mempunyai kebarangkalian untuk diserang darah tinggi, penjaga perlu mengambil beberapa langkah awal. Antaranya meminta bantuan daripada doktor untuk mendapatkan corak yang sesuai untuk menjaga berat badan anak dalam julat normal.

ANEKDOT

Berikut langkah-langkah secara terperinci bagi pemeriksaan bacaan tekanan darah pada kanak-kanak:

  1. Kanak-kanak akan diberi tempoh rehat untuk tenangkan diri untuk seketika antara 5 hingga 10 minit.
  2. Bacaan tekanan darah pada tangan kanan diambil.
  3. Perlu dipastikan juga kanak-kanak duduk dengan selesa dan tangannya mencapai paras jantung mereka.
  4. Bagi mengelak berlakunya ralat, pembalut yang menggunakan saiz kuff yang sesuai digunakan.
  5. Jika bacaan tekanan darah menunjukkan paras yang tinggi, kanak-kanak akan diberi tempoh berehat sekali lagi sebelum pemeriksaan kedua dilakukan.
  6. Selepas pemeriksaan kedua, kanak-kanak perlu melakukan rawatan dan perbincangan lanjut bersama doktor kerana mempunyai masalah tekanan darah tinggi.

Sumber: Pakar Perunding Pediatrik Nefrologi dan Ketua Jabatan Pediatrik, Hospital Selayang, Selangor, Dr Selva Kumar Sivapunniam.    

Baru 5 tahun, Anas Faqih sudah menderita hipertensi            

MESKIPUN usianya kini baru sahaja mencecah lima tahun, Anas Faqih Abdullah sudah perlu memakan ubat dan hadir rutin pemeriksaan lanjutan secara bulanan untuk mengawal tekanan darah tingginya.

Mengakui akan hakikat itu, ibu kepada dua orang anak, Norshima Jailani, 32, ketika dihubungi mengungkapkan rasa syukur kerana segalanya masih mampu dikawal lagi.

“Sejak tahun lepas lagi, Anas hadapi masalah obesiti. Berat badan yang mencecah 40 kilogram dan itulah yang menjadi punca kepada masalah kesihatan yang ditanggungnya kini,” kata wanita yang berasal dari Jerlun, Kedah itu.

Kepada SinarPlus, selepas mengetahu derita yang ditanggung permata hatinya, Norshima berkata, dirinya seboleh-bolehnya akan memastikan perancangan diet Anas Faqih dapat dipatuhi.

“Ya lah, anak saya jenis yang suka sangat makan yang diproses seperti  nuget, sosej dan daging burger. Anas juga juga gemar makan pulut ikan masin.

“Jadi, tidak hairanlah jika beliau boleh makan begitu sahaja ikan masin selepas digoreng. Bayangkan dulu, setiap hari Anas akan minta saya gorengkan ikan masin untuknya,” beritahu wanita tersebut.

Bercerita mengenai diagnosis penyakit darah tinggi Anas, ujar Norshima, semuanya bermula apabila mereka sekeluarga secara kebetulan membuat pemeriksaan kesihatan.

“Saya dan suami memang lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Jadi, kami bawa bersama anak-anak untuk turut sama melakukan pemeriksaan. Saya agak teliti dalam bab kesihatan memandangkan ibu dan ayah saya memang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi,” beritahunya.

Namun, tanpa disangka-sangka, doktor mengesahkan anak kesayangan beliau  ‘mewarisi’ penyakit itu.

“Saya memang terkejut. Namun, doktor minta saya tidak panik. Apa yang saya perlu lakukan adalah sentiasa memantau kondisi berat badan Anas. Pada masa sama, saya kena sentiasa patuh kepada plan diet yang telah disarankan oleh doktor agar tekanan darah anak saya sentiasa dalam keadaan baik,” katanya yang turut menasihatkan ibu bapa di luar sana supaya melakukan pemeriksaan kesihatan.

“Bila anak-anak kecil sakit, kita memang susah hati. Jadi, jangan biarkan hal itu berlaku. Pergilah jumpa doktor kerana apabila penyakit sudah melarat, mungkin ia akan menjadikan kesihatan anak kita semakin memburuk,” pesannya.

Migrain: Kaum Wanita Berisiko Diserang 3 Kali Ganda

SOALAN 1

DOKTOR, saya kerap alami sakit kepala dan ada yang mengatakan ia seperti simptom migrain. Bolehkah doktor memperincikan lebih mendalam perbezaan antara sakit kepala biasa dengan migrain kerana masih ramai yang keliru mengenainya termasuk saya.

– INGIN TAHU, FARIZAH MD NOOR, 27, BATU PAHAT, JOHOR

JAWAPAN:

PUAN, sakit kepala merupakan salah satu simptom yang sering dialami dalam kalangan masyarakat kita. Sebenarnya, terdapat pelbagai punca sakit kepala berlaku.

Dalam istilah perubatan, terdapat dua kategori simptom sakit kepala  iaitu primer dan sekunder.

Primer adalah merujuk kepada sakit kepala yang tidak disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius. Ia sering dikaitkan dengan faktor persekitaran, hormon, pemakanan dan genetik.

Terdapat beberapa jenis sakit kepala primer iaitu migrain, sakit kepala tegang dan sakit kepala kluster.

Kajian saintifik menunjukkan sakit kepala migrain sering dikaitkan dengan faktor genetik yang berpunca daripada perubahan hormon dan kimia dalam badan. Hal itu akan menyebabkan salur darah di dalam otak mengembang dan seterusnya menyebabkan sakit kepala.

Oleh yang demikian, sekiranya individu memiliki sejarah keluarga yang memiliki masalah migrain, mereka lebih terdedah untuk mewarisinya.

Berdasarkan soalan yang puan kemukakan, saya kategorikan anda dalam kategori sakit kepala primer iaitu tidak disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius.

Wanita lebih berisiko

Dalam pada itu, kajian lain juga menunjukkan kaum wanita berisiko tiga kali ganda untuk mendapat migrain berbanding lelaki.

Sakit kepala migrain juga mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang dapat dibezakan dengan jenis sakit kepala yang lain. Antara ciri-cirinya adalah:

i) Didahului oleh gangguan visual seperti merasa silau.

ii) Melihat bintang-bintang atau bintik-bintik.

iii) Melihat kilauan cahaya sebelum simptom sakit kepala bermula.

Untuk makluman puan, migrain juga akan menyebabkan sakit kepala berdenyut pada sebahagian kiri atau kanan kepala sahaja. Mereka yang terkesan juga boleh mengalami gejala loya atau muntah, di samping beerasa tidak tahan dengan bunyi bising atau cahaya.

Pun demikian, serangan migrain juga dapat dirawat hanya dengan ubat tahan sakit yang boleh didapati di farmasi seperti paracetamol, ibuprofen atau diclofenac sodium.

Selain itu, penggunaan ubat yang mengandungi kafein dan ergotamine dapat membantu untuk mengurangkan gejala kerana kedua-dua bahan itu dapat mengecutkan salur darah yang mengembang.

Namun begitu, pengambilan kafein secara berlebihan pada bukan waktu serangan migrain dapat menyebabkan serangan berlaku.

Jadi, nasihat saya kepada mereka yang sering mengalami gejala sakit kepala migrain, jauhi perkara yang menyumbang kepada kesakitan seperti elakkan hal-hal berikut seperti pengambilan alkohol, makanan yang mengandungi monosodium glutamate, merokok dan kekurangan tidur termasuk stres.

Peka simptom red flag semasa sakit kepala

SOALAN 2

DOKTOR, saya sering sakit kepala dan kadangkala kesakitan itu menganggu rutin harian saya. Adakah saya berisiko terkena barah otak? Apakah langkah susulan yang boleh saya buat doktor? Mohon pencerahan.

– LEKAKI GUSAR, MOHAMAD ZIYAD FAEEZ, 34, TANAH MERAH, KELANTAN

JAWAPAN:

TIDAK dapat dinafikan gejala sakit kepala sering dialami oleh masyarakat terutama di zaman ekonomi yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

Tuan, tekanan bekerja, memikirkan hutang-piutang dan juga tanggungan yang dipikul secara tidak langsung menimbulkan gejala sakit kepala.

Walaupun ramai dapat menangani simptom tersebut, tidak kurang juga yang sebaliknya.

Namun demikian, adakah sakit kepala yang dialami membahayakan atau menandakan risiko kepada masalah kesihatan yang lebih serius?

Itulah yang dimaksudkan dengan sakit kepala sekunder yang merupakan sakit kepala yang disebabkan masalah kesihatan yang serius seperti kecederaan dan pendarahan dalam otak, ketumbuhan (seperti barah otak), jangkitan kuman atau masalah struktur pada bahagian otak.

Selain masalah struktur pada otak, sakit kepala sekunder juga dapat disebabkan oleh jangkitan kuman pada telinga atau sinusitis.

Pun demikian, sakit kepala sekunder atau sakit kepala yang berpunca daripada masalah kesihatan yang serius tidak hanya menunjukkan gejala sakit kepala, malah terdapat simptom-simptom lain yang dikenali sebagai red flag selalunya mengiringi sakit tersebut.

Antara tanda-tandanya adalah seperti muntah secara berterusan, penglihatan kabur, ketegangan leher, gangguan pertuturan, emah anggota badan, sawan, perubahan sikap, mempunyai sejarah jatuh atau kecedaraan pada kepala dan kesakitan (kepala) yang lebih teruk daripada biasa.

Wajib ke hospital

Individu yang mengalami gejala sakit kepala diiringi simptom red flag memang disaran mendapatkan rawatan di hospital dengan segera kerana sakit kepala sekunder mampu menyebabkan pelbagai komplikasi berlaku akibat kegagalan fungsi otak.

Pada peringkat awal, tuan akan diperiksa terlebih dahulu terutama sekali status neurologi atau sistem saraf.

Seterusnya, jika perlu atau simptom sakit kepala yang ditunjukkan disebabkan oleh kecedaraan atau masalah bahagian otak, pesakit biasanya akan menjalani imbasan komputer tomografi (CT scan) untuk mengesan sebarang kecedaraan, pendarahan atau ketumbuhan dalam otak.

Selanjutnya, pesakit akan dirujuk ke doktor pakar pembedahan otak atau perubatan otak untuk rawatan selanjutnya.