5 Perkara Ibu Bapa Boleh Buat Segera Jika Si Manja Diserang Jangkitan Cacar Air

CACAR air atau chicken pox (Varicella zoster) adalah satu penyakit yang merebak akibat jangkitan virus varicella-zoster.

Menurut portal kesihatan healthline.com, penyakit cacar air akan mudah menjangkiti anak kecil yang berusia di bawah 10 tahun.

Namun demikian, ia juga boleh menyerang orang dewasa dan umumnya gejala yang muncul lebih berat daripada anak kecil.

Simptomnya bermula dengan kemunculan ruam pada kulit.

“Ruam tersebut akan berubah menjadi bintik merah berisi cairan yang terasa gatal yang kemudian akan mengering, menjadi koreng dan terkelupas dalam waktu 7 hingga 14 hari.

“Antara bahagian-bahagian tubuh yang biasa ditumbuhi bintik cacar air adalah wajah, belakang telinga, kulit kepala, dada, perut, lengan dan kaki,” beritahu mereka.

Namun, jika masalah itu menyerang kanak-kanak, sudah pasti ibu bapa memerlukan persediaan lebih rapi bagi mengendali mereka sehabis baik.

Pegawai Perubatan Pediatrik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, Dr Redza Zainol melalui bebenangnya di Twitter turut berkongsi mengenai penyakit berkenaan.

Ujarnya, terdapat lima perkara utama yang ibu bapa boleh lakukan jika si kecil berhadapan masalah cacar air.

Berikut perinciannya:

i) Jika keadaan anak masih aktif, boleh jaga anak di rumah sahaja.

Chicken pox adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit. Jadi, elakkan ahli keluarga lain daripada terdedah kepada pengidap chicken pox,” katanya.

Cara terbaik, tunggu sehingga semua ruam menjadi kering dan tidak ada ruam baharu yang muncul.

“Selalunya, ia akan ambil masa seminggu untuk ruam itu kering dan menjadi keruping.

“Ingat, asingkan pakaian, tuala, alat untuk makan dan minum supaya tidak bercampur dengan ahli keluarga yang lain,” pesan pakar itu.

ii) Redakan demam anak dengan ubat demam paracetamol.

“Dos syrup paracetamol adalah 15 miligram per kilogram setiap 6 jam.

“Awas, jangan guna aspirin untuk redakan demam anak! Jika aspirin diberi kepada kanak-kanak yang dijangkiti chicken pox, ia boleh menyebabkan penyakit Reye’s syndrome yang merosakkan hati dan otak anak,” jelas Dr Redza.

iii) Sapu dengan losyen calamine setiap kali selepas mandi.

Penggunaan losyen akan memberi kelembapan dan kelegaan pada kulit anak.

iv) Bantu kurangkan kegatalan kulit si kecil.

“Ibu bapa perlu bantu anak-anak dengan memberi ubat cecair antihistamine untuk dimakan.

“Namun, beri ketika perlu sahaja dan pastikan mengikut dos seperti yang dicadangkan. Jangan berlebihan pula yaa,” pesannya.

v) Pastikan kuku anak sentiasa pendek.

Ini kerana ketika anak menggaru kulit, kuman daripada bawah kuku akan masuk ke kawasan ruam dan menyebabkan jangkitan bakteria (secondary infection) pada kulit.

“Bagi bayi, ibu bapa boleh pakaikan sarung tangan (mitten) supaya mereka tidak menggaru kulit yang gatal itu.

“Bukan itu sahaja, tip untuk mengurangkan kesan parut pada kulit pula, jangan sesekali membiarkan anak-anak daripada mengopek keruping yang muncul kerana chicken pox itu,” kongsinya.

Oleh itu, buat ibu bapa yang mungkin belum mempunyai pengalaman menjaga anak kecil dengan masalah cacar air, tip yang dinyatakan boleh dijadikan panduan awal untuk merawat mereka di rumah.

Persediaan awal penting agar kesihatan anak kecil sentiasa terpelihara dengan baik apatah lagi ketika kita semua berada dalam fasa ‘berkurung’ kini.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.

Keindahan Memukau, Pulau Layang-Layang Milik Malaysia Jadi Rebutan Termasuk China

KEINDAHAN alam semula jadi khususnya tatkala bersantai di pulau pasti memukau pandangan dan menyuntik 1,001 ketenangan.

Malaysia antara negara memiliki pulau tropika yang kekal terpelihara. Tidak terhad di Semenanjung, bahkan di Kepulauan Borneo turut ‘menyajikan’ pulau mempesonakan jiwa.

Apa yang menjadikan pulau-pulau tersebut lebih istimewa adalah kerana keindahannya cukup terjaga dan privasi berbanding pulau-pulau di negara lain.

Tidak keterlaluan yang terlalu sibuk dengan kunjungan para pelancong dari seluruh pelusuk dunia.

Pulau Layang-Layang yang terletak di Sabah misalnya, merupakan sebahagian daripada gugusan Kepulauan Spratly. Keindahannya di daratan dan laut memukau perhatian ramai.

Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa pulau tersebut milik negara ini memandangkan kedudukannya berhampiran dengan Negeri di Bawah Bayu.

Tahukah korang, pulau berkenaan juga dituntut oleh negara Republik Rakyat China, Republik China (Taiwan), Filipina dan Vietnam.

Pulau Layang-Layang terletak 162 batu nautika bersamaan 300 kilometer dari barat laut Kota Kinabalu iaitu dianggarkan 200 batu nautika Zon Eksklusif seperti yang dibenarkan menurut Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pulau berkenaan timbul hampir 2,000 meter dari dasar laut. Ia berukuran sepanjang 1.2 kilometer (km) dan selebar 200 meter (m).

Pulau berbentuk bujur itu amat menarik apabila menawarkan pelbagai pemandangan dasar laut, kepelbagaian batu karang dan ikan terumbu, termasuk haiwan laut dalam yang menjadi daya tarikan kumpulan penyelam.

Pulau Layang-Layang juga menjadi tempat perlindungan pada ribuan ekor burung yang bermigrasi.

Setelah pihak kerajaan mengisytiharkan terumbu-terumbu Pulau Layang-Layang terletak dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) pada 20 September 1979, Kabinet mengarahkan agar kajian mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang di dalam wilayah negara.

Pada tahun 1989 kerajaan telah memutuskan supaya kawasan terumbu itu dimajukan sebagai tempat pelancongan.

Ciri-ciri ekopelancongan menambah daya tarik pelancong asing, sekali gus membina jenama umum bahawa Pulau Layang-Layang adalah milik Malaysia.

Resort Avillion Layang-Layang (Dive Resort) menerima kunjungan pelancong asing dari Jepun, Perancis, Korea Selatan dan China.

Penerbangan ke Pulau Layang-Layang mengambil masa selama sejam dari Kota Kinabalu.

Wilayah laut Pulau Layang-Layang mempunyai keindahan ekologi laut kerana terdapat pelbagai terumbu karang. Oleh kerana itu, kawasan ini menjadi tarikan eko pelancongan di Malaysia dan bahkan terkenal di dunia.

Dalam pada itu, melindungi kepentingan laut adalah misi utama kerajaan sehingga ia juga tersenarai dalam Wawasan 2020.

Pada tahun 1990, sektor marin memberi sumbangan 33 juta ringgit atau 13 peratus dari jumlah keseluruhan output Malaysia.

Sektor marin itu terdiri daripada subsektor perkapalan, pengeluaran minyak dan gas dan perikanan. Ini termasuklah wujudnya subsektor seperti eko pelancongan laut, rekreasi dan pemprosesan makanan laut.

Pangkalan tentera

Malaysia kemudian membina pertahanan di sekitar pulau-pulau tersebut untuk melindungi kepentingan ekonomi dan integriti wilayah.

Di lokasi tersebut, Malaysia membina pangkalan tentera di hujung timur Pulau Terumbu Layang-Layang sebagai pos induk anggota TLDM ditempatkan dan bertugas di kawasan Kepulauan Spratly Selatan termasuk dermaga untuk kepentingan pelancongan.

Pada tahun 1983 Malaysia meletakkan Pasukan Khas Laut di Pulau Terumbu Layang-Layang.

Pada tahun 1985 pula, kemudahan ketenteraan ditambah sehingga membolehkan ia menjadi markas untuk pasukan pertahanan udara.

Ciri-ciri tentera ditujukan untuk menggentarkan negara lain yang akan cuba mempersengketakan pemilikan pulau ini. Sengketa pemilikan Pulau Layang-Layang dan kepulauan Spratly ini tidak pernah surut.

Kebijaksanaan pemerintah Malaysia hari ini berjaya memastikan kedaulatan wilayah Pulau Layang-Layang kekal milik kita.

Sumber: Urang Sabah

Kebab Tortilla Sentuhan Istimewa, Usahawan Muda Ini Sanggup Keliling Negara Cari Resipi, Olah Formula Tersendiri

kebab

SELAIN martabak, kebab antara makanan kegemaran rakyat Malaysia.

Sekiranya kita melancong ke negara-negara bukan Muslim,  menu itulah yang menjadi penyelamat.

Masakan tidak, kelibat peniaga kebab dari negara-negara Arab termasuk Turki yang menjualnya boleh ditemui di merata-rata tempat di seluruh dunia.

Tinggalkan seketika cerita itu, SinarPlus pada kali ini mengajak pembaca mengenali kebab air tangan orang tempatan.

kebab

Kepada penulis, Mohd Zafur Mahamad Supar yang mengusahakan Epul Kebab F&B berkata, beliau dan isterinya, Nurazlin Mahmuddin, 29, cuba menampilkan sedikit kelainan.

Untuk perusahaannya, beliau memperkenalkan kebab pita dan kebab tortilla yang berintikan daging berempah perapan istimewa dan jus kuah yang cukup menyelerakan.

“Biasanya kalau makan kebab, kita hanya menikmati daging yang dipanggang atau dibakar sebelum disumbat ke dalam roti, tetapi saya ketengahkan inti yang berbeza.

“Saya menggunakan daging yang diperap dengan ramuan rempah-ratus yang saya ‘formulakan’ sendiri selepas belajar di banyak tempat.

“Apa yang saya buat, kesemua daging akan dicucuk besi akan digril, kemudian barulah disaluti rempah. Ia akan dimasak garing, namun isinya lembut,” katanya yang gembira idea uniknya itu diterima ramai.

“Saya sebenarnya banyak bereksperimen. Selepas dua tahun saya belajar dan makan kebab di seluruh negara, barulah saya dapat mengolah resipi sendiri.”

Bekas peniaga pasar malam itu berkata, dek penangan wabak Covid-19, beliau nekad memulakan perniagaan dengan menyewa premis kedai di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor beberapa bulan lalu.

kebab

Pun demikian, disebabkan perlaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh, kata Mohd Zafur, pihaknya hanya membuat penghantaran dari rumah ke rumah di kawasan Klang termasuk di beberapa tempat lain jika mendapat permintaan.

“Alhamdulillah, saya mempunyai pelanggan tetap dan ada yang buat tempahan setiap hari. Sebab itu, saya berani sewa kedai supaya penyediaan makanan lebih selesa dan sempurna untuk mereka,“ katanya.

Bukan sahaja kebab pita dan tortilla yang dijual pada harga RM5 hingga RM9 menjadi rebutan, malah roti john di premis itu turut laris dijual.

Jika pembaca SinarPlus mahu merasai kenikmatan maksimum sajian itu yang mempunyai rasa lain daripada yang lain, cubalah membuat pesanan melalui platform Facebook Epul F&B. Pasti berbaloi!

kebab

Epul Kebab F&B

  • Alamat: Lot 26528, Jalan Teluk Kapas, Kampung Rantau Panjang, Klang
  • Waktu operasi: 12 tengah hari hingga 7 malam
  • (Penghantaran bermula pada pukul 1 tengah hari hingga 6 petang)
  • Harga: RM5 hingga RM7
  • Facebook: Epul F&B

Kebab merupakan sajian ringkas yang enak dimakan pada waktu lewat petang atau malam.

Disebabkan tempoh Sekatan Pergerakan Penuh, pasar malam tidak dibenarkan beroperasi, manakala kedai makan tidak boleh menerima pelanggan.

Pun demikian, masih terdapat ramai peniaga yang melaksanakan khidmat penghantaran terus ke rumah.

Jika teringin untuk menikmati kebab pelbagai inti istimewa, pembaca SinarPlus boleh mempertimbangkan 4 lokasi yang disenaraikan.

kebab

Alif Kebab

  • Alamat: No 83, Jalan Sentosa, Kampung Melayu Batu 16, Rawang, Selangor
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 8 malam & 2.30 petang hingga 7 malam (penghantaran)
  • Harga: RM4 hingga RM10
  • Facebook: Alif Kebab

kebab

Kebab Arab Bakar

  • Kawasan penghantaran: Sekitar Sentul dan Kuala Lumpur
  • Harga: RM5
  • Facebook: Mohamad Salehudin

kebab

Naziha‘s Kebab Station

  • Alamat: Seksyen 24 dan D‘Laman Foodcourt Seksyen 19, Shah Alam, Selangor
  • Harga: RM5 hingga RM12.50
  • Facebook: Naziha‘s Kebab Station

kebab

Kebab Bowl

  • Alamat: Persiaran Setia Alam, Eco Ardence, Shah Alam, Selangor
  • Waktu operasi: 3 petang hingga 8 malam
  • Harga: RM7 hingga RM14
  • Facebook: Kebab Bowl (Ardence Labs)

Sedapnya Makan Buah Kundang Cicah Sambal Belacan. Ini Antara Khasiat Ramai Tidak Tahu

Sedapnya makan buah kundang cicah sambal belacan. Ini antara khasiat ramai tidak tahu

BUAH kundang, setar, temia, rembunia atau nama saintifiknya Bouea Macrophylla dari keluarga Anacardiaceae merupakan tumbuhan asal Malaysia dan dikebanyakan negara Asia.

Buah kundang juga dikenali dengan pelbagai nama seperti Ma Prang (Thailand), ramania atau gandaria (Indonesia), mayun thee (Burma) dan thanh tra (Vietnam).

Pokoknya berkanopi besar boleh mencecah ketinggian hingga 18 meter. Ia boleh dibiak menggunakan biji benih atau cantuman mata tunas. Pembiakan menggunakan biji benih memakan masa enam hingga lapan tahun untuk berbuah dan empat hingga lima tahun jika dibiak menggunakan mata tunas.

kundang

Buah berbentuk bulat dan lonjong itu berwarna hijau ketika muda dan bertukar warna kuning apabila matang.

Apa yang pasti buah kundang tergolong dalam kategori buah nadir yang jarang ditemui lagi di Malaysia. Berbeza di Thailand buah tersebut mula dikomersilkan dengan menonjolkan variasi yang lebih baik dan manis.

Buah kundang kaya dengan serat dan berjus. Ia boleh dimakan segar bersama kulitnya apabila matang yang mana rasanya masam-masam manis bergantung pada jenis.

Buah yang muda juga boleh dimakan segar, tetapi agak masam dan enak dicampur dengan sambal belacan, ditambah dalam rojak atau dijadikan jeruk.

Daun muda pokok buah kundang kadangkala dijadikan ulam. Ironinya, buah kundang kaya dengan kandungan Vitamin A, C dan serat.

Sedapnya makan buah kundang cicah sambal belacan. Ini antara khasiat ramai tidak tahu

Antara khasiat sampingan ialah:

1. Makanan pencegah kanser

Kaya dengan Vitamin C yang merupakan antioksidan terbaik membantu mencegah kanser dan mengelakkan sel-sel kulit menjadi rosak.

Selain itu, ia membantu mengurangkan simptom demam seperti loya, sakit-sakit badan dan selesema.

2. Mengurangkan risiko sakit jantung

Kandungan antioksidan yang tinggi membantu memelihara kesihatan jantung dengan mengembangkan saluran darah untuk mencegah penyakit Arherosclerosis.

3. Ubat sakit kepala

Melalui kaedah tradisional, daunnya ditumbuk lumat dan ditepekkan pada dahi seperti koyok untuk membantu mengurangkan kesakitan.

4. Kurangkan tekanan darah tinggi

Apa sahaja makanan baik untuk jantung automatik, juga ideal buat tekanan darah dengan memberi bukaan salur darah, sekaligus membantu mengurangkan tekanan darah
tinggi.

Aduhai, kecur air liur melihat perkongsian warganet di media sosial apabila buah kundang dimakan dengan pelbagai cara mengikut cita rasa masing-masing.

Sumber: Jabatan Pertanian Malaysia

Jangan Guna Minyak Masak Berulang Kali, Memudaratkan Jantung. Berikut Tip Pilih Minyak Yang Betul

MENGGORENG adalah salah satu cara yang sering digunakan dalam aktiviti memasak harian.

Boleh dikatakan sebahagian besar sajian kegemaran rakyat Malaysia berasaskan konsep gorengan yang menggunakan minyak.

Sejak kebelakangan ini harga minyak masak kelapa sawit menjadi topik hangat kerana dipercayai mengikut harga pasaran dunia. Hanya minyak masak dalam polibeg sahaja diberikan subsidi yang mana stoknya terhad kedai runcit ataupun pasar raya.

Adakah korang pernah memeriksa jenis minyak masak yang terbaik? dan minyak masak jenis apa pilihan kegemaran?

Pakar Perunding Dr Malinda Health & Beauty Academy, Dr Malinda berkongsi tentang pemilihan minyak masak yang sesuai digunakan.

“Pening sebab banyak sangat artikel yang kata minyak itu bagus, ada yang kata minyak ini pulak tak okey. Malah pendapat juga berubah-ubah dan pelbagai pendapat daripada pakar. Sebagai pegguna kita juga sering keliru.

“Nak jaga kesihatan katakan, mahal sikit pun tidak mengapa. Tapi, sebenarnya indah khabar daripada rupa. Mitos dan politik industri,” tulisnya.

Selain itu, beliau turut mengakui berpengalaman membeli minyak-minyak yang dimomokkan bagus dan tersenarai di rak premium di pasar raya.

Justeru, agar kita tidak keliru, Dr Malinda berkongsi beberapa tip pemilihan minyak masak.

“Masak menggoreng ialah antara cara yang memindahkan haba pada makanan pada kadar lebih cepat dan memberi aroma rasa lebih enak.

“Bukan langsung tidak boleh menggunakan cara ini, tetapi kita kena pandai pilih jenis minyak yang digunakan,” ujarnya.

Dr Malinda menyenaraikan dua tip untuk memilih minyak masak:

1. Jenis minyak

– Pilih yang mengandungi paling rendah Polyunsaturated Fats (asid lemak poli tak tepu) kerana minyak yang tinggi bahan itu apabila dipanaskan tidak stabil, lebih mudah teroksidasi dan menjadi tengik (rancid).

– Minyak jenis lemak tepu atau saturated fat contohnya minyak kelapa telah dimomokkan sebagai minyak tidak sihat itulah sebenarnya lemak paling stabil apabila dipanaskan.

2. Smoke point

– Apa itu smoke point? Smoke point merujuk pada suhu yang mana minyak menjadi terlalu panas dan akan menghasilkan asap. Apabila memasak melepasi suhu ‘smoke point’, penghasilan radikal bebas akan meningkat.

Radikal bebas antara penyebab proses pengaratan pada besi dan pereputan pada kayu dan ia boleh menyebabkan kita ‘mereput’ dan ‘berkarat’ dari dalam.

Selepas mengetahui betapa pentingnya tentang smoke point minyak yang digunakan, persoalan seterusnya ialah cara untuk mengetahui smoke point sesuatu jenis minyak?

Dr Malinda turut berkongsi tentang perkara ini.

“Maaf ya, ia tidak ada tertulis pada label minyak masak. Kita sebagai pengguna yang perlu membuat sedikit pembacaan untuk kesihatan diri. Anda juga juga boleh merujuk carta yang disertakan di bawah.

“Justeru, prinsip pemilihan minyak masak adalah pilih yang mempunyai smoke point paling tinggi dan mempunyai kandungan kandungan lemak tepu paling tinggi.

“Kombinasi kedua-dua faktor di atas akan menyebabkan minyak yang dipilih lebih stabil dan sesuai untuk digunakan pada suhu tinggi,” kongsinya.

Tutur beliau, kedua-dua kriteria di atas ada pada minyak kelapa.

“Minyak sawit juga mempunyai smoke point yang tinggi, 235 darjah Celcius dan kandungan lemak tepu 49 gram.

“Jadi kalau menggoreng the best ialah menggunakan minyak kelapa. Minyak sawit pun boleh. Tidak perlu membazirkan duit untuk membeli minyak ‘mahal’ yang mempunyai smoke point yang rendah dan kandungan lemak politak tepu yang tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menekankan tentang kekerapan penggunaan minyak yang mungkin membahayakan.

“Minyak yang digoreng berulang kali juga menyebabkan smoke point semakin rendah! Jangan guna berulang kali. Memanglah sayang, tapi kena lagi sayang jantung lebih dari kita sayang minyak masak,” katanya.

Justeru, korang yang sudah mengetahui tentang cara memilih minyak masak ini bolehlah membuat pilihan terbaik. Semoga ia bermanfaat untuk kesihatan.

Sumber: Dr Malinda

Guna Air Fryer Masak Kuih Mudah Dan Cepat. Churros, Kuih Bakar Gerenti Sedap

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

AIR fryer menjadi barang kelengkapan dapur wajib bagi setiap rumah. Ia berfungsi dengan mengedarkan udara panas ke sekeliling makanan yang dimasak sehingga ia masak, tanpa menggunakan minyak!

Dari orang bujang sehingga kepada mereka yang sudah berkeluarga, ramai yang memilih peralatan ini. Ini kerana ianya sangat mudah dan cepat untuk sesiapa sahaja memasak pelbagai hidangan dari sarapan, makan tengah hari, makan malam, dan pencuci mulut.

Dengan menggunakan air fryer, korang tidak perlu risau selepas memasukkan makanan ke dalamnya. Yang penting pastikan suhu dan tempoh masa disetkan betul. Tunggu sahaja ia selesai dan korang tidak perlu mencuci banyak peralatan selepas itu.

Selain lauk pauk, mesti korang tertanya-tanya sajian kuih muih yang boleh dimasak menggunakan air fryer kan? SinarPlus mengumpulkan empat resepi yang boleh korang cuba menggunakanm alatan ini

1. Kuih Bakar

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

Bahan-bahan

Tepung gandum
Telur
Gula
Daun pandan
Susu pekat
Esen vanila
pewarna hijau

Cara penyediaan
Campurkan semuanya menggunakan pengisar. Kemudian, tuangkan ke dalam loyang dan taburkan di atasnya dengan biji bijan. Selepas itu, masukkan ke dalam air fryer selama 30 minit pada suhu 170 darjah Celcius.

2. Churros

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

Bahan-bahan

Air
Mentega
Garam
Esen Vanila
Tepung Serbaguna
Telur
Gula Dan Sedikit Gula Perang

Cara penyediaan

Campurkan semua bahan di atas dapur anda dan apabila menjadi doh, masukkan ke dalam bakul penggoreng udara anda. Biarkan selama 11 minit pada suhu 180 darjah Celcius.

3. Donat

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

Bahan-bahan

Susu
Tepung Serbaguna
Gula Pasir
Mentega
Yis Kering Aktif
Telur
Esen Vanila
Garam

Cara Penyediaan

Pertama, aktifkan ragi dengan menggabungkan air suam, gula, dan ragi dan biarkan sehingga menjadi berbuih. Kemudian campurkan dengan bahan lain sehingga menjadi doh. Uli dan bentuknya menjadi bola dan biarkan selama 1 jam. Setelah 1 jam, bentuklah cincin, letakkan di dalam bakul penggoreng udara anda, dan masak selama 6 minit pada suhu 190 darjah Celcius.

4. Lemang

Guna air fryer masak kuih mudah dan cepat. Churros, kuih bakar gerenti sedap

Bahan-bahan

Nasi Pulut
Santan
Garam
Air

Cara Penyediaan

Daripada menggunakan buluh untuk memasak campuran nasi, kita harus menggunakan cawan muffin dan menyusunnya di dalam bakul penggoreng udara. Lemang hendaklah dimasak pada suhu 180 darjah Celcius selama 30 minit.

Perkara yang menjadikan air fryer lebih menarik adalah ia menjadikan makanan menjadi rangup dan lembap. Tidak terlalu kering dan sedap!

Pun begitu, tidak semua sajian boleh dimasak di dalam air fryer. Teruskan mencuba untuk mengetahui resipi terbaik yang boleh dibuat menggunakan air fryer di rumah korang.

Sumber: TikTok 

Makin Ramai Anak Muda Alami Slipped Disc, Cuba Tip Ini

Makin ramai anak muda alami slipped disc, cuba tip ini

PRAP! Tengah angkat barang berat, tiba-tiba rasa meletup dan sakit pada bahagian pinggang dan belakang.

Situasi tersebut merupakan slipped disc atau sakit pada tulang belakang. Ia boleh berlaku kepada sesiapa
sahaja khususnya golongan berusia antara 20 sehingga 50 tahun.

Namun begitu, tahukah korang slipped disc antara masalah kesihatan yang sering dialami generasi muda.

Ini disebabkan ia boleh terjadi disebabkan beberapa faktor selain mengangkat barang berat.

Slipped disc pada tulang belakang juga dikenalpasti sebagai PID (prolapsed interverterbral disc).

Slipped disc merupakan pengalihan nucleus pulposes dari lokasi normal yang duduk di pertengahan disk, sekali gus menyebabkan anggota badan kebas atau lemah.

Sebab-sebab slipped disc dikatakan berpunca daripada proses penuaan pada disk tulang belakang dek mengalami faktor mekanikal, trauma, nutrien, dan genetik.

Duduk lama sangat buat ramai sakit pinggang? 4 tip ini boleh mencegah, pasti berkesan!

Sakit belakang boleh diklasifikasikan kepada peringkat akut, kronik dan berulang (recurrent). Sakit akut amnya terjadi selepas bersin, batuk kuat, mencangkung lama atau angkat sesuatu barang di lantai dalam posisi salah (lebih lagi jika barang berat).

1. Sakit belakang akut

  • Sakit yang dialami dalam tempoh sehari hingga tiga bulan.

2. Sakit belakang kronik

  • Sakit yang dialami melebihi tiga bulan.

3. Sakit belakang berulang (recurrent)

  • Sakit yang berulang dalam tempoh kurang tiga bulan

Sakit belakang berpunca:

1. Perubahan kepada disc
2. Kecederaan otot
3. Postur tidak betul
4. Patah tulang belakang (jarang)
5. Kelemahan otot stabiliti

Penyakit slip disc merupakan penyakit yang sangat berbahaya jika berada tahap serius. Perkembangan penyakit itu harus diawasi dan berjaga-jaga dengan punca yang mencetuskan kesakitan atau kebas.

Punca

1. Umur
Lazimnya, penyakit slip disc berlaku dalam kalangan golongan berusia kerana bahagian luaran yang melindung disc semakin haus dan mengakibatkan ia mudah bergerak dari kedudukan asal.

2. Pergerakan tiba-tiba
Setengah pergerakan dan posisi badan yang dilakukan secara tiba-tiba atau cara salah membawa kepada masalah slip disc.

3. Mengangkat objek berat
Proses mengangkat objek berat menyebabkan tekanan tinggi pada tulang belakang.

Ini secara tidak langsung mengakibatkan disc bergerak keluar dari tempat asalnya sehingga mendatangkan sakit.

4. Berat badan
Apabila seseorang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti tulang belakang tidak dapat menampung berat badan, sekali gus menyebabkan terdedah pada slip disc.

5. Otot lemah
Individu yang tidak mengamalkan gaya hidup aktif atau bersenam untuk menguatkan otot juga berisiko tinggi mengalami slip disc.

Otot yang lemah tidak dapat membantu menyokong tulang belakang dengan kukuh.

6. Kehidupan tidak aktif
Keadaan ini merujuk kepada golongan berkerja di pejabat yang duduk tempoh lama tanpa melakukan pergerakan lain.

Tabiat duduk sahaja memberikan tekanan tinggi pada tulang belakang bahagian bawah.

Gejala
1. Kesakitan dan rasa kebas biasanya pada satu sisi badan.
2. Kesakitan yang meluas pada tangan atau kaki.
3. Kesakitan yang bertambah buruk pada waktu malam atau dengan pergerakan tertentu.
4. Kesakitan yang bertambah buruk selepas berdiri atau duduk.
5. Sakit ketika berjalan jarak pendek.
6. Kelemahan otot yang tidak dapat dijelaskan.
7. Kesemutan, kesakitan, atau rasa terbakar di kawasan yang terjejas.

Kesemua gejala itu akan berubah bergantung pada individu. Oleh itu, pesakit disarankan segera merujuk pakar perubatan.

Beberapa komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pesakit adalah lumpuh pada bahagian kaki dan tidak mampu mengawal pembuangan air kencing dan air besar.

Ujian pemeriksaan
Bagi memastikan seseorang itu mempunyai slip disc ataupun tidak langkah pertama menjalani X-ray tulang belakang.

Cakera intervertebra tidak kelihatan dalam x-ray kerana ia berwarna gelap. Apa yang boleh dilihat ialah jarak di antara tulang belakang semakin berkurang berbanding dengan tulang belakang lain.

Selain daripada itu, CT Scan dan terutamanya MRI boleh dibuat. Di dalam pengimejan jenis gambar cakera intervertebra dapat dilihat dengan lebih jelas.

Rawatan
Rawatan bagi penyakit slipped disc termasuk kaedah konservatif ke kaedah surgikal.

Kaedah konservatif melibatkan pengambilan ubat untuk mengurangkan gejala dialami.

Antara ubat yang diberikan ialah:

1. Ubat tahan sakit
– Ia membantu pesakit meredakan kesakitan dialami.

2. ‘Muscle relaxants’
– Ia membantu melegakan kekejangan otot yang berlaku.

3. Ubat saraf
– Ia melegakan sakit saraf yang terlampau teruk.

Selain itu, terdapat juga pilihan surgikal atau pembedahan apabila kaedah ubat-ubatan tidak dapat membantu.

Antara pembedahan ‘Mikrodiscetomy’ yang merupakan kaedah membedah keluar bahagian disc yang terkeluar dari tempat asalnya dan bukan keseluruhan disc tersebut.

Selain itu, rawatan ‘Disc replacement’ iaitu kaedah yang mana keseluruhan disc akan dikeluarkan dan disc tiruan.

Elak makan sebelum tidur, petua rasa segar ketika bangun pagi

Langkah-langkah pencegahan

Pastikan postur yang betul dalam semua posisi semasa duduk, berdiri, baring atau melakukan aktiviti harian dengan mengambil kira beberapa perkara:

1. Semasa baring
a) Pilih tilam tegap (firm) yang menyokong tulang belakang dengan baik.
b) Posisi dicadangkan, mengiring dan melengkung tubuh ke hadapan dengan bantal di antara dua lutut.

2. Semasa berjalan
a) Memakai kasut bertumit rendah yang selesa.

3. Semasa duduk
a) Menggunakan kerusi bersandar (back rest) yang boleh menyokong tulang belakang dengan baik.
b) Gunakan bantal kecil atau lumbar roll untuk menyokong bahagian belakang.

4. Semasa berdiri
Sekiranya berdiri terlalu lama, rehatkan satu kaki secara bergilir- gilir di atas bangku kecil yang rendah.

a) Gunakan teknik mengangkat atau mengalih yang betul.
b) Lakukan senaman secara tetap.
c) Menjaga berat badan.
d) Amalkan kecergasan keseluruhan.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr Zubaidi Ahmad

Leceh Nak Buat, Tapi Sedap! Rojak Kateh Sering Jadi Buruan Warga Terengganu

Leceh nak buat, tapi sedap! Rojak kateh sering jadi buruan warga Terengganu

PERNAH dengar rojak kateh? Kalau rojak buah atau rojak mi mesti sudah biasa korang jumpa bukan?

Rojak kateh merupakan makanan tersohor di negeri Terengganu. Ia diperbuat daripada kaki atau kateh lembu.

Juadah tersebut bukan sekadar pembuka selera, namun merupakan hidangan tradisional eksklusif di negeri pantai timur itu.

Bahan utamanya terdiri daripada urat kaki lembu atau dikenali keting yang direbus lembut bersama kuah cuka berlada.

Rasanya masam, manis dan pedas menjadikan rojak kateh antara hidangan paling digemari warga Terengganu.

Cuma proses penyediaan memakan masa lama, namun itulah yang menjadikan sajian itu istimewa.

Leceh nak buat, tapi sedap! Rojak kateh sering jadi buruan warga Terengganu
Gambar Sinar Harian.

Bahan-bahan:

Kateh atau kaki lembu (tunjang atau urat kaki lembu)

  • Cili kering
  • Gula
  • Garam
  • Cuka masak
  • Gula merah atau nissan
  • Air asam jawa

Cara membuat:

1. Kateh atau kaki lembu dibakar. Selepas dibakar cuci kesan arang sehingga bersih.

2. Kemudian rebus, lalu dibiarkan di dalam peti semalaman.

3. Setelah itu barulah dipotong kecil-kecil daging tersebut dan direbus sekali lagi sehingga empuk.

Leceh nak buat, tapi sedap! Rojak kateh sering jadi buruan warga Terengganu
Gambar Sinar Harian.

Cara membuat (kuah cuka berlada)

1. Di dalam satu periuk masukkan air asam jawa, cili kering, gula, garam, cuka masak dan gula merah (gula Melaka atau nissan). Masak sekejap sahaja.

2. Kemudian, masukan kateh lembu yang telah direbus dan kacau selama dua hingga tiga minit.

3. Sedia untuk dinikmati. Rasai kelazatannya.

Selamat mencuba!

Harga Murah Dan Topping Unik, Ais Kepal Cik Ana Viral Sepanjang PKP

ais kepal

SEJAK kebelakangan ini, cuaca di luar sangat panas. Masakan tidak, belum lagi waktu tengah hari menjelma, bahangnya sudah terasa.

Keadaan itu biasanya akan membuatkan kita cepat dahaga. Sudah pasti perkara yang bermain di dalam benak adalah mahu menikmati minuman berais, cendol atau ais batu campur.

Di negeri utara Semenanjung Malaysia, terdapat satu minuman yang menjadi ‘kegilaan‘ ramai.

Tidak lain tidak bukan adalah ais kepal yang  lazimnya dihiasi dengan variasi hidangan tambahan (topping) seperti buah-buahan, kekacang dan perasa.

ais kepal

Kepada SinarPlus, Mardiana Rasudin berkata, beliau bersyukur apabila percaturannya membuka bisnes ais kepal dengan mewujudkan premis yang dinamakan Cabin Ais Kepal Cik Ana di Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah mendapat sambutan luar biasa.

Ujar wanita berusia 36 tahun itu yang mesra disapa Cik Ana, sejak perniagaannya dibuka pada tahun 2017, beliau tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan para pelanggan yang ‘mengidam‘ sentuhan air tangannya.

Daripada 10 jenis pilihan yang ditawarkan, ais kepal buah campur dan ais kepal milo strawberi antara menu paling laris dijual.

ais kepal

Difahamkan pada setiap kali hujung minggu, penduduk setempat akan beratur panjang mendapatkan minuman viral yang dijual pada harga bermula RM3 hingga RM8 sahaja.

Apakah rahsia di sebalik kelazatan ais kepal Cik Ana?

Sambil tertawa ketika kami berbual menerusi corong telefon, usahawanita itu berkata, barangkali disebabkan variasi topping termasuk bancuhan krim berwarna putih yang dihasilkan mengikut resipinya sendiri.

“Banyak kali juga saya dan seorang kawan lagi mencuba untuk mendapatkan bancuhan krim yang betul-betul sedap selain milo.

“Selepas berekperimentasi, akhirnya menjadi juga. Bancuhan krim untuk ais kepal pun saya jual pada harga RM200 untuk satu bekas seberat hampir 13 liter,” ujarnya.

ais kepal

Cik Ana berkata, produk tambahan yang berupa krim itu sanggup dijualnya kepada mereka yang berminat demi membantu lebih ramai individu khususnya golongan wanita yang mahu menjana pendapatan melalui jualan ais kepal.

“Mungkin dengan jualan bancuhan ini dapat memudahkan mereka menjalankan perniagaan sama dengan saya,” tuturnya yang turut melakukan perkhidmatan penghantaran dari rumah ke rumah.

Mengenai seleksi buah-buahan, selain strawberi, mangga, Cabin Ais Kepal Cik Ana turut menyediakan buah kiwi dan naga yang segar.

Selain ais kepal, Cik Ana turut menjual minuman ais kisar yang mempunyai 15 pilihan menu.

ais kepal

Cabin Ais Kepal Cik Ana

  • Alamat: Taman Lagenda, Padang Serai, Kedah
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Ais kepal buah campur dan ais kepal milo strawberi
  • Harga: Bermula RM3 hingga RM8
  • Facebook: Mardiana Ana

Mencari ais kepal yang enak dan kena dengan tekak memang tidak mudah lebih-lebih pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini yang menyaksikan banyak premis ditutup.

Jika di Kedah, Cabin Ais Kepal Cik Ana jadi perhatian, bagaimana pula dengan lokasi-lokasi lain?

Bagi membantu pembaca SinarPlus memilih destinasi yang menjanjikan kepuasan maksimum, berikut empat lokasi lain yang dicadangkan:

ais kepal

Ais Kepal JB

  • Alamat: No 23, Jalan Riang 9, Taman Gembira, Johor Bahru, Food Truck B5 Street Market dan Tebrau Food Truck Arena Johor
  • Waktu operasi: Bermula 10 pagi hingga 5 petang
  • Menu signatur: Ais kepal milo dan Manggo Kepal 2.0
  • Harga: Bermula RM3
  • Facebook: Kepal (Ais Kepal JB)

ais kepal

Ais Kepal Ipoh

  • Alamat: 99 Jalan Sultan Yussuf (@ Kong Heng Square), Ipoh, Perak
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 4 petang dan 10 pagi hingga 5.30 petang (Sabtu dan Ahad)
  • Menu signatur: Ais kepal mangga asam, limau kasturi asam dan pelangi
  • Harga: Bermula RM3
  • Facebook: Bits & Bobs – Sejak Selalu

ais kepal

Ais Kepal D‘Kuala

  • Alamat: Kampung Beruas, Pekan, Pahang
  • Waktu operasi: 2 petang hingga 7 malam
  • Menu signatur: Ais kepal buah
  • Harga: Bermula RM5
  • Facebook: AisKepal D‘Kuala

ais kepal

Ais Kepal-Kepal Delicious

  • Alamat: Berhadapan SMK Mudzafar Shah, Simpang Empat, Semanggol, Perak
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 8 malam
  • Menu signatur: Ais kepal milo special
  • Harga: RM2.50 hingga RM8
  • Facebook: Ais Kepal-Kepal Delicious

5 Khasiat Tersembunyi Teh Hijau, Bukan Hanya Bikin Langsing Sahaja Tau!

SECAWAN teh hijau bukan sahaja menghilangkan dahaga, malah lebih daripada itu kebaikannya untuk tubuh badan manusia.

Berdasarkan historiografi, teh jenis berkenaan yang dihasilkan daripada daun spesies Camellia sinensis disifatkan sangat berkhasiat dan bernutrisi dalam kalangan penduduk negara China zaman dulu.

Menariknya tentang teh hijau, ia tidak melalui proses pelayuan dan pengoksidaan seperti penghasilan teh oolong dan teh hitam.

Dalam satu kajian yang dijalankan ke atas lebih 40,000 penduduk dewasa di Jepun, mereka yang mengamalkan minum air berkenaan sebanyak lima cawan sehari telah menunjukkan jangka hayat yang lebih panjang!

Memperincikan lebih mendalam mengenai faedah teh hijau, SinarPlus mewawancara Pakar Perkhidmatan Dietetik dan Pemakanan, Pusat Perubatan Pakar Tawau, Nur Aliah Syazwanie Ahmad Shukri baru-baru ini.

Nur Aliah.

Nur Aliah berkata, pada peringkat awal, teh hijau merupakan sejenis ubat yang digunakan secara meluas dalam kalangan tabib di China.

“Kemudian, beberapa tahun selepas itu, barulah ia dijadikan sebagai sejenis minuman. Ia dihidangkan ketika panas, sejuk, suam dan terdapat dalam bentuk serbuk juga,“ katanya membuka topik bicara.

Kesesuaian masa

Menjelaskan lebih lanjut, pakar itu menjelaskan, teh hijau terdapat pelbagai jenis kategori yang mana setiap fungsinya sedikit berbeza. Berikut adalah huraiannya:

i) Sencha
Sencha merupakan teh hijau yang selalu diambil. Ia dibuat mengikut kaedah pemprosesan yang paling umum. Biasanya, daun sencha dikukus dan digelek untuk menghasilkan teh yang asli.

ii) Fukamushi sencha
Teh hijau jenis itu dikukus kira-kira dua kali lebih lama daripada sencha. Teh yang dihasilkan akan memberi rasa yang lebih kuat dan warna hijau yang lebih gelap.

iii) Gyokuro
Teh tersebut akan ditutup dengan kain atau tapisan buluh kira-kira 20 hari sebelum dipetik. Ia dilakukan bertujuan untuk mengehadkan jumlah cahaya yang masuk. Penghasilan catechin daripada asid amino (theanine) yang ditekan akan menghasilkan astringensi yang lebih rendah dan rasa yang kaya. Aromanya serupa dengan rumput laut nori.

iv) Kabusecha
Merupakan sejenis teh hijau ditanam dalam keadaan tertutup seperti gyokuro. Namun, jangka masanya matang lebih pendek. Dalam tempoh seminggu, kabusecha sudah boleh dipetik dan aroma tehnya memang harum.

v) Matcha
Antara jenis teh hijau yang popular di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Matcha dikatakan digunakan secara menyeluruh termasuk dalam upacara minum teh tradisional di Jepun.

vi) Tencha
Tencha ditanam mengikut kaedah kultur tertutup bagi menyekat sebahagian besar sinar matahari. Ia lazimnya akan dikukus dan dikeringkan. Setelah mengeluarkan tangkai dan urat daun, bintik daun teh akan menjadi tencha.

vii) Genmaicha
Genmaicha berasal daripada perkataan Jepun iaitu bermaksud beras perang. Beras perang dicampur dengan teh hijau asli iaitu sencha dengan nisbah seimbang. Kandungan kafein bagi genmaicha lebih rendah berbanding teh hijau lain.

viii) Hojicha
Hojicha pula diperbuat daripada teh sencha yang dipanggang untuk menghasilkan aroma yang menarik.

ix) Shincha
Shincha ialah sejenis teh baharu yang baru dikenali. Ia dipetik bermula dari kawasan beriklim sederhana. Selain itu, jenis-jenis teh yang lain terdiri daripada ichibancha, nibancha dan sanbancha.

Meskipun teh hijau diuar-uarkan mempunyai 1,001 khasiat, ia tidak boleh diminum secara semberono. Semuanya perlu mengikut kuantiti dan masa yang sesuai, kata Nur Aliah.

Ujar pakar itu lagi, lazimnya individu yang bekerja atau pelajar yang ingin fokus ketika pembelajaran berlangsung akan memilih untuk minum secawan teh hijau atau kopi. Pun demikian, teh hijau merupakan pilihan yang lebih baik.

“Namun, ramai yang masih tidak tahu bahawa terdapat kafein dalam teh hijau, selain mengandungi satu lagi komponen yang kita panggil L-theanine, sejenis asid amino yang akan membangkitkan rasa tenang.

“Kedua-dua komponen itu (kafein dan L-theanine) akan ‘bekerjasama’ bagi melancarkan fungsi otak. Oleh sebab itu, minuman ini lebih sesuai untuk diambil pada waktu pagi,“ kata Nur Aliah.

Bagi atlet dan mereka yang bergiat aktif dalam arena sukan pula, satu kajian membuktikan seseorang yang meneguk teh hijau sebelum memulakan aktiviti fizikal atau senaman, dapat membakar lemak lebih cepat.

“Kena ingat, walaupun teh hijau banyak ‘keuntungannya‘ ketika diambil pada waktu pagi atau pada saat mahu melakukan senaman, ada masanya teh hijau tidak sesuai untuk diambil pada waktu tertentu.

“Antaranya ketika sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Mengapa? Ini kerana ia akan menyebabkan rintangan terhadap penyerapan nutrien bagi sesetengah individu dan akan menyebabkan gangguan tidur bagi individu yang sensitif terhadap kafein,“ jelasnya.

Justeru, paling ideal, teh jenis itu disarankan diminum dua hingga tiga cawan teh hijau sehari dan ia sudah memadai.

Bunuh sel kanser

Fakta-fakta yang dikemukakan oleh Nur Aliah turut dipersetujui oleh Pakar Dietetik, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivy Cheah.

Ivy.

Ivy menyifatkan teh hijau merupakan antara minuman paling berkhasiat di dunia kerana kaya dengan antioksida dan polifenol, meskipun turut ‘terselit‘ kandungan kafein.

“Satu penyelidikan mendapati bahawa kandungan kafein dalam teh hijau adalah sebanyak 1 gram (g) iaitu antara 11 hingga 20 miligram (mg). Jadi, dapat disimpulkan bahawa satu hidangan teh hijau diukur pada setiap satu sudu kecil (2g) daun teh atau secawan (240 mililiter) yang mana mengandungi sekitar 22 hingga 40mg kafein di dalamnya,“ jelasnya.

Pakar itu memberitahu, sekiranya teh jenis tersebut dinikmati secara berterusan dan konsisten, ia bakal memberi implikasi positif kepada seseorang individu.

Berikut antara khasiat teh hijau yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik:

1. Merendahkan risiko kencing manis tahap 2.

Kajian menunjukkan teh berkenaan menurunkan sensitiviti insulin dan paras gula dalam darah. Satu penyelidikan di Jepun mendapati mereka yang minum teh hijau mempunyai risiko kurang mendapat kencing manis sebanyak 42 peratus.

2. Mengurangkan risiko sakit jantung.

Teh hijau dapat mengurangkan kolestrol dan triglycerides peminumnya, selain membantu menurunkan risiko penyakit jantung.

Ia juga meningkatkan keupayaan antioksidan darah dengan melindungi partikel lipoprotein berketumpatan rendah kolesterol daripada proses pengoksidanan yang membawa kepada sakit jantung.

Kesan tersebut berupaya membantu peminumnya daripada bahaya sakit jantung sebanyak 31 peratus.

3. Membantu mencegah daripada diserang kanser.

Kajian terbitan Journal of Cellular Biochemistry menjelaskan kandungan polifenol yang terdapat dalam teh membantu sebagai pencegah kanser.

Menurut Prof Joshua Lambert dari Penn State‘s Center, Amerika Syarikat, epigallocatechin 3 gallate (EGCG) yang ditemui dalam teh hijau akan membantu menghancurkan sel-sel ‘ganas‘ dan pada masa sama, mengikat, melindungi dan mendorong peningkatan produksi protein p53 untuk melawan kanser.

Dalam pada itu, daun teh hijau kering mempunyai 40 peratus kandungan polifenol yang mampu meneutralkan radikal bebas penyebab kanser seperti:

a) Kanser payudara: Kajian mendapati bahawa wanita yang minum teh hijau boleh mengurangkan risiko mendapat kanser payudara sebanyak 22 peratus.

b) Kanser prostat: Lelaki yang minum teh jenis ini kurang berisiko untuk mendapat penyakit berkenaan hingga 48 peratus.

c) Kanser kolon: Penyelidikan ke atas 69,710 wanita di China mendapati mereka yang minum teh hijau berisiko hingga 57 peratus lebih rendah untuk mendapat kanser kolon.

4. Membantu menurunkan berat badan.

Amalan yang selalu dilakukan oleh rata-rata individu. Langkah itu amat bertepatan kerana teh hijau meningkatkan kadar metabolisme badan sekali gus membantu untuk seseorang untuk kurus.

Beberapa penyelidikan menunjukkan minuman berkhasiat ini menurunkan lemak badan terutamanya pada bahagian perut.

5. Mencegah penuaan.

Zat polifenol yang terkandung di dalamnya dapat membantu meneutralkan radikal bebas berbahaya penyebab kerosakan kulit dan melambatkan proses penuaan.

Oleh itu, kata Ivy, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, orang ramai boleh manfaatkan kebaikan teh hijau untuk kesihatan dan kecantikan.
“Cuma kena ingat, janganlah berlebih-lebihan,“ pesannya.

Syazwani berjaya hilangkan 35.5kg dalam masa 8 bulan

BERAT badan Syazwani A Wahab sebelum ini mencecah 106.7 kilogram (kg). Dalam erti kata mudah, wanita berusia 29 tahun itu berada dalam kategori obesiti.

Syazwani.

Kata Syazwani, apabila badan terlalu berat, semua perkara sukar dilakukan. Mahu bergerak aktif seperti bersenam atau berbasikal? Semua itu pastinya memang payah dilakukan.

“Sedih dengan situasi itu, saya mula membuat carian di Google mengenai cara terbaik untuk menguruskan badan yang obes ini. Daripada banyak informasi yang saya baca, saya lihat salah satu satu caranya adalah minum teh hijau.

“Ramai yang telah mencubanya dan masing-masing bercerita tentang kejayaan mereka. Hal itu secara tak langsung menaikkan semangat dan mendorong saya untuk lakukan perkara sama,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Pun demikian, kata wanita itu, cita-cita tanpa keazaman hanyalah sia-sia sahaja. Justeru, beritahu Syazwani, beliau mendidik dirinya sendiri untuk berdisiplin ketika mengamalkan petua tersebut.

“Selama 8 bulan lamanya, saya minum teh hijau setiap pagi selepas sarapan. Seperti testimoni mereka yang pernah mencuba, saya dapati ada perubahan yang positif.

“Masakan tidak, selepas beberapa bulan, saya dapat rasakan badan saya menjadi ringan dan nafsu makan pun berkurang,“ kata anak kelahiran negeri Terengganu itu dengan penuh kegembiraan.

Jangan tidak percaya, berat badan terkini Syazwani hanya 71.2kg. Beliau kehilangan lebih daripada 35kg!

Justeru, saran wanita itu, kepada orang ramai yang berhajat menurunkan berat badan, cubalah mengamalkan meminum air teh hijau sekurang-kurangnya satu cawan sehari seperti yang dilakukannya.

“Meskipun ada kekurangan dari segi rasanya kerana penambahan gula sangat tidak digalakkan, insya-ALLAH, jika diminum secara konsisten, inisiatif itu pasti berhasil,“ katanya.

Bagaimanapun, beritahu Syazwani, pada masa sama, dirinya turut mengelak menikmati makanan dan minuman yang manis, selain mengehadkan masa makan malam iaitu sebelum jam 8 malam.

“Saya juga mengatur pola pemakanan saya dan makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang. Satu lagi, saya juga tak lupa bersenam bagi memastikan berat badan sekarang kekal atau dapatkan turunkan sedikit lagi,“ katanya.

ANEKDOT

RISIKO minum teh hijau secara berlebihan:

  • Meningkatkan kebimbangan atau resah.Degupan jantung yang laju akan menyebabkan otak tidak menghantar signal dengan baik dan sukar untuk berfikir.
  • Menyebabkan gangguan tidur.
  • Komponen kafein yang terdapat dalam teh hijau akan merangsang saraf untuk lebih segar dan sedar.
  • Mengalami ketidakselesaan pada perut.Individu yang mengambil teh hijau secara berlebihan akan mengalami sembelit mahupun gastrik disebabkan ketidakseimbangan jumlah kafein.
  • Bagi ibu mengandung, pengambilan teh hijau dalam kapasiti banyak akan menyebabkan risiko kecacatan pada janin atau boleh menyebabkan keguguran.
  • Katekin iaitu komponen dalam teh hijau akan mengurangkan penyerapan zat besi.Individu yang mengalami anemia hendaklah dapatkan konsultasi daripada doktor atau pakar pemakanan terlebih dahulu.

Sumber: Pakar Perkhidmatan Dietetik dan Pemakanan, Pusat Perubatan Pakar Tawau, Nur Aliah Syazwanie Ahmad Shukri.

5 WAKTU paling sesuai minum teh hijau:

1. Elakkan minum teh hijau terlalu awal.

  • Seeloknya diminum pada sekitar jam 10 hingga 11 pagi.

2. Minum sebelum makan.

  • Minum teh hijau sebelum atau selepas hidangan makanan.

3. Sebelum bersenam.

  • Sebaiknya waktu sesuai minum teh hijau adalah 30 minit sebelum bersenam.

4. 2 jam sebelum tidur.

  • Minum teh hijau sebelum tidur dapat membantu membakar lemak ketika sedang tidur.

5. Sepanjang hari.

  • Jika ingin melakukan detoksifikasi badan menggunakan teh hijau pula, ia perlu diminum sedikit demi sedikit sepanjang hari.

Sumber: hellodoktor.com