Glaukoma, ‘Pencuri’ Penglihatan Tanpa Simptom

SOALAN: 

DOKTOR, adakah biasa jika warga emas sering berhadapan dengan masalah glaukoma? Bagaimana kaedah terbaik untuk mengelak masalah itu dan petua terutamanya dari segi pemakanan yang boleh dipraktikkan oleh ibu saya? Mohon pencerahan.

– ANAK PRIHATIN, MOHD ALIMI SAAD, 34, TANAH MERAH, KELANTAN.

JAWAPAN:

Glaukoma adalah satu keadaan di dalam mata yang disebabkan oleh tekanan tinggi melibatkan bebola mata yang merosakkan saraf iaitu ibu saraf ataupun optic nerve.

Sebenarnya, ia adalah ‘pencuri’ penglihatan yang senyap kerana pesakit tidak mengalami apa-apa simptom.

Secara umumnya, mereka yang mempunyai masalah glaukoma akan mula hilang penglihatan secara sedikit demi sedikit dari tepi ataupun periferi sehingga akhirnya mereka akan mendapat penglihatan terowong (tunnel vision).

Untuk pengetahuan semua, kebanyakan pesakit yang mengalami glaukoma adalah warga emas.

Sebenarnya, terdapat banyak faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan glaukoma. Antaranya disebabkan darah tinggi, kencing manis dan faktor keturunan.

Pada masa sama, terdapat beberapa cara terbaik untuk mengelak daripada masalah itu menghantui ibu bapa kita.

Caranya adalah melalui pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas terutamanyanya jika mempunyai sejarah keturunan dalam keluarga.

Semasa melakukan pemeriksaan saringan, terdapat beberapa perkara yang akan diberi penekanan oleh doktor iaitu:

  1. Keadaan saraf mata.
  2. Tekanan di dalam mata.

Sekiranya perlu, doktor akan menyarankan pesakit untuk mendapatkan saringan medan penglihatan mata dengan menggunakan mesin.

Selain itu, warga emas perlu berhati-hati dengan suplemen ataupun herba-herba yang mereka ambil.

Kadangkala terdapat ubat-ubatan, suplemen ataupun herba yang tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana mengandungi steroid.

Steroid boleh menyebabkan pesakit mendapat glaukoma tahap kedua dan keadaan itu boleh menyebabkan kebutaan yang tidak boleh disembuhkan semula.

Sakit kepala, mual simptom luar biasa

SOALAN

DOKTOR, adakah normal jika mata mengalami bengkak dan gatal? Pada masa sama, saya berasa mual dan pening serta sakit kepala? Mohon perincian daripada doktor.

– INSAN GUSAR, NATASHA HUDA AHMAD ZIKRI, 24, KULAI, JOHOR.

JAWAPAN

PUAN, sebenarnya simptom bengkak dan gatal agak biasa berlaku terutamanya mereka yang mengalami alahan.

Suka untuk saya ingatkan di sini, ramai orang akan mengalami alahan terhadap habuk, makanan, bulu binatang, asap dan sebagainya.

Secara amnya, keadaan itu dikenali sebagai konjunktivitis alahan.

Mengenai simptomnya, seseorang itu akan berhadapan masalah bengkak, mata merah dan berair serta gatal.

Namun demikian, pada pengamatan saya, agak kurang normal sekiranya simptom-simptom berkenaan diiringi dengan gejala lain seperti sakit kepala, mual dan sebagainya.

Oleh itu, nasihat saya, sebaik-sebaiknya berjumpa dengan doktor segera kerana mungkin individu tersebut mengalami keracunan makanan atau wap yang berbahaya seperti karbon monoksida dan sebagainya.

Gedung Cak, Sajian Unik Nostalgia Dari Aceh

BAGI penduduk negeri Kedah, kuih gedung cak atau bengkang atap mungkin tidak asing lagi bagi mereka.

Namun, difahamkan populariti kuih tradisional berkenaan semakin tenggelam kerana kesukaran untuk membuatnya.

Menjejak sejarah sajian berkenaan, seorang wanita yang mahir membikin kuih gedung cak, Siti Rohaya Mohd Khair atau mesra disapa Rohaya berkata, kuih berkenaan berasal dari Aceh, Indonesia.

“Pada zaman dulu, penduduk Aceh yang berhijrah ke Tanah Melayu dan memilih daerah Yan, Tanjung Dawai dan Kota Kuala Muda sebagai lokasi penempatan mereka.

“Selain membawa budaya, mereka juga berkongsi keenakan kuih gedung cak. Itu sebab kuih ini terkenal di sini dan turut disajikan pada majlis keramaian tertentu,“ katanya.

Ujar ibu kepada tiga orang anak itu, sekali pandang kuih berkenaan saling tidak tumpah seperti kuih pulut panggang, tetapi ia menggunakan daun nipah sebagai pembungkus.

“Kuih gedung cak memang menggunakan daun nipah. Mungkin ramai yang tidak tahu yang daun nipah dapat menghasilkan bau yang sangat wangi, apatah lagi ketika kuih sedang dibakar atas api,“ katanya yang kini menetap di Penaga, Pulau Pinang.

Selain mempunyai aroma yang memukau, ujar Rohaya, daun itu juga dipercayai dapat membangkitkan selera orang ramai yang menjamahnya.

“Bahan asas untuk membuat kuih tradisi ini senang sahaja didapati. Antaranya tepung pulut sebagai bahan utama, gula Melaka dan kelapa parut.

“Masa yang diambil untuk menyiapkan kuih ini juga tidak lama iaitu sekitar 25 hingga 30 minit sahaja. Insya-ALLAH jika dimasak dengan teknik yang betul, kuih gedung cak mampu bertahan sehingga dua hari,“ katanya yang mempelajari resipi berkenaan daripada kakak iparnya.

PROFIL

  • Nama: Siti Rohaya Mohd Khair
  • Umur: 49 tahun
  • Asal: Yan, Kedah
  • Menetap: Penaga, Pulau Pinang

RESIPI KUIH GEDUNG CAK

Bahan-bahan

  • 3 cawan tepung pulut
  • 5 cawan kelapa parut
  • 2 cawan gula pasir atau gula merah
  • 3 cawan air
  • Daun nipah (untuk bungkusan)
  • Lidi / kokot

Cara penyediaan:

  1. Gula pasir atau gula merah dimasak bersama air sehingga menjadi air gula. Ketepikan seketika.
  2. Kemudian, tepung pulut digaul dengan kelapa parut dan masukkan air gula yang telah sejuk.
  3.  Daun nipah dibuang tulangnya dan dipotong serta dibentuk secara memanjang (seperti kuih otak-otak).
  4.   Seterusnya, adunan disendukkan ke atas daun nipah dan dilipat lalu hujung daun nipah disisipkan dengan bilah lidi atau dengan menggunakan pengokot.
  5. Kuih dibakar di atas api yang sederhana selama 10 minit.

Sumber: Siti Rohaya Mohd Khair.

Epidural Punca Utama Kaum Ibu Alami Sakit Belakang? Ini Penjelasan Pakar Fisioterapi Mengenai Keadaan Itu

BOLEH dikatakan majoriti wanita yang hamil pasti pernah mengalami sakit belakang terutamanya pada bahagian pinggang dan juga pinggul.

Masalah itu biasanya akan mengganggu aktiviti harian termasuklah ‘meragut’ keselesaan ketika tidur pada waktu malam.

Menurut laman web spine-health.com, dianggarkan seramai 50 hingga 70 peratus daripada jumlah keseluruhan wanita akan mengalami sakit belakang apabila hamil.

Portal yang sama turut menyatakan, sakit belakang dan ketidakselesaan pelvis biasanya bermula antara bulan kelima hingga ketujuh ketika hamil.

Sebilangan kecil wanita mungkin mengalami kesakitan seawal empat hingga 16 minggu.

Menghuraikan lebih lanjut mengenai masalah itu, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pakar Fisioterapi Physiomobile, Nurul Farahena Edora Jeffry.

Tulisnya di Facebook, masalah sakit belakang terutama pada bahagian yang mendapat suntikan epidural sering menyebabkan ramai tertanya-tanya adakah ia penyebab sebenar dalam kalangan ibu-ibu hamil.

“Untuk pengetahuan semua para ibu yang dikasihi, proses kehamilan itu sendiri melibatkan perubahan hormon yang secara tidak langsungnya memberi kesan melembutkan struktur sokongan saluran kelahiran.

“Contohnya seperti ligamen-ligamen tulang pinggul dan tulang belakang,” ujar Nurul Farahena.

Jadi, katanya lagi, ibu-ibu di luar sana kena tahu bahawa kesan daripada ‘pelembutan’ struktur-struktur ligamen itulah yang membuatkan para ibu juga berisiko tinggi untuk mendapat masalah slipped disc.

Namun, ada yang mengatakan epidural penyebab kepada masalah sakit belakang yang berterusan. Apakah ia benar?

Kongsinya, epidural adalah salah satu alternatif penahan sakit semasa bersalin.

Antara artis yang telah menggunakannya termasuklah Rozita Che Wan dan Scha Al-Yahya.

“Sebenarnya, sakit belakang bukanlah penyakit yang jarang terjadi, malah terlalu ramai orang ada masalah sakit belakang.

“Tidak kira jantina dan tidak kira ibu hamil tersebut pernah mendapat epidural atau sebaliknya,” ulasnya.

Apa yang pasti, maklum beliau, terima epidural ataupun tidak, wanita mengandung pasti akan mengalami sakit belakang.

“Jadi, ia adalah normal. Namun demikian, jika rasa sakit pada belakang dan pinggul terlalu kuat dan masih tidak berkurangan walaupun sudah berehat, seeloknya lakukanlah pemeriksaan dan dapatkanlah rawatan dengan pakar yang bertauliah,” pesannya.

ANEKDOT

CARA-CARA untuk melegakan rasa sakit pada tulang belakang dan pinggul:

1. Senaman.

Lakukan beberapa senaman regangan untuk bahagian belakang, pinggang dan pinggul bagi mengurangkan tekanan pada otot dan tulang belakang, sekali gus membantu dalam memberikan kelegaan bagi masalah yang dialami.

2. Urutan.

Ambil masa untuk berehat dan urut pada bahagian yang sakit dan tidak selesa secara lembut dan perlahan-perlahan agar dapat membantu meningkatkan peredaran darah pada bahagian yang sakit serta mengurangkan rasa tegang pada bahagian otot.

3. Posisi tidur yang betul.

Jika tidur dalam keadaan mengiring, letakkan bantal lembut pada kaki dan di sisi bawah perut. Ia berfungsi untuk menyokong tubuh dan memberi keselesaan.

4. Tuam.

Gunakan pek panas (hot pack) dan tuam pada bahagian yang tidak selesa seperti belakang, pinggang atau pinggul selama 15 minit. Ia membantu memberikan kelegaan dan meningkatkan peredaran darah.

5. Menggunakan maternity belt.

Maternity belt membantu dalam menyokong tulang belakang dan memberikan postur tubuh yang lebih baik dan mengurangkan rasa sakit pada belakang dan pinggul.

6. Pemakaian kasut yang sesuai.

Elakkan daripada memakai kasut yang bertumit tinggi dan tidak selesa kerana ia akan mengurangkan sokongan terhadap pusat graviti dan mengganggu postur tubuh.

7. Rehat secukupnya.

Dapatkan rehat yang cukup dan elakkan daripada stres yang melampau, selain mengamalkan gaya hidup yang sihat dan pemakanan yang seimbang.

Sumber: ifixphysiotherapy.com.my

Muncul Ruam Selepas Makan Roti, Piza. Doktor Jelaskan Punca-Puncanya

pat dalam gandum dan bijirin.

“Ia memberikan keanjalan pada kuih dan donut, meningkat serta mengekalkan bentuknya.

“Untuk pengetahuan semua, gluten adalah gabungan dua protein (gliadin dan glutenin) dan ia bergabung dengan kanji dalam endosperm (biji benih) pelbagai bijirin,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beritahu Dr Zubaidi, gluten merupakan sumber protein yang baik.

“Secara faktanya, makanan yang dibuat daripada gluten mempunyai protein yang banyak dan ia juga ditambah dalam makanan lain bagi meningkatkan kandungan protein di dalamnya.

“Seperti roti, ia mempunyai banyak gluten. Gluten juga ditambah pada minuman, kicap soya dan juga aiskrim,” ujarnya.

Menjawab kepada satu soalan lain, ungkapnya, gangguan gluten (gluten related disorder) adalah penyakit yang dicetuskan apabila seseorang itu mengambil sumber itu (gluten) di dalam makanannya.

“Keadaan itu boleh menyebabkan coeliac diseasenon-celiac gluten sensitivity, alergi gandum, gluten ataxia dan dermatitis herpetiformis,” jelas beliau.

Jika diamati, di Asia Tenggara, penyakit tersebut jarang berlaku, tetapi masalah tersebut semakin kerap didapati di Malaysia.

“Ini kerana menu makanan orang Malaysia sudah mula mengikut gaya Barat yang menjadikan ia (gluten) dalam sumber utama makanan.

“Kini, banyak makanan berasaskan tepung yang ditambah dengan gluten kerana ia dapat meningkatkan masa penapaian ketika membuat makanan seperti donut dan piza,” ujarnya.

Oleh itu, jika seseorang itu mendapati dirinya benar-benar sensitif terhadap gluten, segeralah beralih kepada makanan seperti beras merah, jagung dan bijirin.

Rujuklah pakar dalam kadar segera agar mereka dapat membantu menyusun jadual makanan yang boleh anda ambil.

Semoga artikel SinarPlus ini bermanfaat kepada semua!

Gelato Paling Enak, Ketahui 10 Jenis Aiskrim Di Seluruh Dunia

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia

SIAPA yang tidak suka aiskrim? Pencuci mulut ini digemari ramai tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Rasa lemak dan berkrim menyebabkan ia sukar ditolak. Dengan pelbagai perisa dan rupa bentuk yang menarik, aiskrim adalah sajian popular di seluruh dunia.

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia

Lebih-lebih lagi dalam cuaca yang panas, mengecapi pencuci mulut ini adalah satu kenikmatan yang tidak terhingga.

Penduduk New Zealand paling ramai memakan aiskrim per kapita berbanding negara lain iaitu kira-kira 28 liter seorang setahun. Vanila adalah perisa aiskrim paling popular dan diminati ramai manakala perisa kedua digemari ialah coklat.

Antara perisa aiskrim yang paling pelik yang pernah dicipta ialah perisa cili, bawang putih, avokado.

Secara komersialnya, aiskrim adalah pencuci mulut yang paling laris di seluruh dunia. Bagaimanapun, ais krim berbeza dicipta mengikut budaya sesebuah negara.

1.Dondurma

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Ais krim Turki yang dinamakan ondurma ini diperbuat menggunakan susu kambing, gula dan serbuk dari Wild Orchids iaitu salep. Ianya tebal dan mempunytai tekstur yang melekit.

2.Sorbet

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Sorbet adalah pencuci mulut yang beku yang dihasilkan daripada air gula dan cecair berperisa seperti jus buah. Aiskrim jenis ini berasal dari Timur Tengah dan tidak mengandungi produk tenusu.

3.Faloodeh

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Faloodeh adalah pencuci mulut tradisional orang Iran yang menyerupai sorbet. Di dalamnya terdapat mee nipis diperbuat daripada pati sirap yang mengandungi gula dan air mawar.

4.Mochi

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Kelazatan makanan ini diperbuat dari beras Jepun yang ditumbuk, dikenali sebagai Mochi berintikan aiskrim. Ia diciptakan pada 1980-an oleh oleh perniagaan Jepun-Amerika, Frances Hasimoto.

5.Gelato

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Ini dikatakan aiskrim paling terkenal di dunia. Sajian orang Itali ini dihasilkan menggunakan ramuan asas lemak susu dan gula. Kepadatan dan rasa yang perisa yang ‘kaya’ membezakan gelato dengan jenis aiskrim yang lain.

6.Aiskrim gulung

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Aiskrim gulung yang berasal dari Thailand. Proses pembuatannya dilakukan pada permukaan yang sejuk dengan ‘topping’ dan perisa tambahan seperti campuran biskut, coklat dan buah-buahan. Selepas semua bahan disebatikan, ia akan dilepa pada permukaan yang sejuk sebelum dikikis dalam keadaan gulungan nipis.

7.Soft Serve

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Soft serve adalah ais krim berasaskan tenusu beku yang dibezakan dengan teksturnya yang lebih lembut dan kurang padat. Tidak seperti ais krim biasa, Soft serve hanya mempunyai tiga hingga enam peratus lemak susu yang menjadikan ia lebih lembut.

8.Kulfi

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Aiskrim jenis ini berasal dari India. Diperbuat dari susu, Kulfi mempunyai tekstur yang lebih padat dan rasa berkrim. Ia adalah pilihan aiskrim yang lebih sihat kerana tidak menggunakan bahan seperti telur dan bahan pengawet. Kulfi popular di India, Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh, Afghanistan, Nepal, Burma dan negara Timur Tengah.

9.Granita

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Granita berasal dari Itali Sicily. Ia adalah pencuci mulut separa beku yang dibuat dari air, gula dan pelbagai perisa. Granita lebih kurang seperti sorbet tetapi lebih rangup dan tekstur lebih kasar.

10.Snow cream

Gelato paling enak, ketahui 10 jenis aiskrim di seluruh dunia


Pencuci mulut ini yang sangat popular di Taiwan. Ia diperbuat daripada dengan campuran ais parut yang halus dengan buah-buahan segar, susu pekat manis, coklat dan ‘topping’ lain.

Ais krim merupakan pencuci mulut musim panas yang paling digemari pelbagai peringkat usia di seluruh dunia. Justeru, tidak hairanlah pelbagai jenis ais krim tercipta di seluruh dunia.

3 Jenis Sambal Petai Membuka Selera. Walau Berbau Kuat, Jadi Pujaan Ramai

3 jenis sambal petai membuka selera. Walau berbau kuat jadi pujaan ramai

PETAI adalah ulaman terkenal Asia Tenggara. Ia sangat digemari walaupun baunya kuat.

Sebut sahaja tentang petai, pasti korang akan terbayangkan sambal petai yang pedas dimakan bersama nasi panas. Ia sangat menyelerakan.

Petai atau nama saintifiknya Parkia speciosa dikenali sebagai Bitter Bean atau Stink Bean. Ia sememangnya cukup terkenal dalam masakan di Asia Tenggara.

Walaupun petai mempunyai bau yang kuat dan haring, rasanya ‘lemak-lemak pahit’ menjadi kegemaran masyarakat kita, tidak kira tua mahupun muda.

Olahan masakan seperti sambal dan masak lemak menggunakan petai membuatkan air liur kecur. Terbayangkan keenakan kepingan hijau itu dimakan dengan nasi.

Selain dimasak, masyarakat Malaysia memakannya secara mentah dengan menjadikan petai sebagai ulam. Petai sebagai ulam lazimnya dimakan bersama nasi dengan bahan pencecah seperti sambal atau budu.

Melalui perkongsian di Facebook Resep Bude, terdapat tiga resipi yang boleh dimasak menggunakan petai cara orang Indonesia.

3 jenis sambal petai membuka selera. Walau berbau kuat jadi pujaan ramai

1.Sambal Petai Kentang

Bahan-bahan
200 gm petai yang dikupas (cuci bersih)
2 biji kentang (potong dadu)
200 gm kacang panjang
Garam secukupnya.
Minyak untuk menumis.

Bahan dikisar:
6 Bawang merah
3 Bawang putih
5 tangkai cili merah
1 biji Buah keras
Sedikit udang kering

Cara penyediaan
1. Panaskan minyak dan goreng kentang hingga lembut. Angkat dan ketepikan.
2.Tumis bahan yang dikisar sehingga wangi lalu masukkan kacang panjang dan kentang dan kacau sebati
3.Masukkan petai dan tambah garam secukupnya.
4.Kacau sekejap yang matikan api.
5.Sambal petai siap dihidangkan. Makan dengan nasi panas memang sedap!

3 jenis sambal petai membuka selera. Walau berbau kuat jadi pujaan ramai

2.Sambal Petai Udang

Bahan-bahan

250 gm udang (dikupas kulit)
200 gm petai
Daun limau purut
Daun kunyit
Serai

Bahan dikisar:
8 biji bawang merah
4 biji bawang putih
10 tangkai cili merah
1 biji buah keras

Cara penyediaan
1.Tumis bahan yang dikisar bersama daun limau purut, serai, dan daun kunyit.
2.Setelah naik bau, masukkan sedikit garam dan gula.
3.Kemudian masukkan pula udang dan petai.
4.Gaul rata sehingga udang dan petai masak sempurna.
5.Angkat dan ia sedia untuk hidangkan.

3 jenis sambal petai membuka selera. Walau berbau kuat jadi pujaan ramai

3.Sotong kering petai

Bahan-bahan

250 gm sotong kering (dipotong dan direbus sebentar)
2 papan petai (dikupas)
7 biji bawang merah (dikisar)
3 biji bawang putih (dikisar)
10 tangkai cili merah
5 tangkai cili hijau
1 biji buah tomato (dicincang)
1 batang serai (ditunbuk)
1 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil gula
2 inci halia (ditumbuk)
2 helai daun salam
Serbuk lada sulah
Garam
30 ml air
Minyak masak secukupnya

Cara penyediaan
1.Panaskan minyak. Tumis bawang merah dan bawang putih yang dikisar sehingga naik bau.
2.Masukkan cili dan petai. Tumis bahan ini sehingga petai masak.
3.Masukkan pula daun salam, serai, halia dan sotong kering. Gaul rata.
2. Perasakan masakan dengan garam, kicap manis, gula dan lada sulah. Tambahkan air.
4. Biarkan sebentar supaya bahan-bahan meresap ke dalam sotong.
5. Apabila air kelihatan agak kering sedikit, tutup api. Sajian ini siap untuk dihidang.

Sesekali mencuba resepi masakan negara lain memberikan variasi, jadi korang tidaklah cepat bosan.

Langkah penyediaannya mudah dan rasajuga sedap. Malah bahan yang digunakan semuanya mudah didapati.

Sumber: Facebook Resep Bude

Tak Ramai Suka Dada Ayam, Jom Masak Menu Goreng Kunyit

Tak ramai makan bahagian dada ayam, apa kata cuba goreng kunyit mudah ini

AYAM merupakan sumber protein menjadi pilihan ramai khususnya golongan yang sedang diet bagi menurunkan berat badan secara sihat.

Pun begitu, jika dibandingkan bahagian dada ayam kurang disukai ramai berbanding paha, kepak, kaki leher.

Mungkin kerana bahagian itu mempunyai isi daging banyak, walhal ia mengandungi tinggi kandungan protein dan rendah kalori.

Justeru bagi mereka yang kurang gemar untuk menikmati bahagian tersebut, mungkin boleh mencuba menu mudah ayam goreng kunyit untuk memikat selera.

Lebih-lebih dinikmati bersama nasi putih panas dan sambal kicap.

Bahan-bahan:
– 2 ketul dada ayam (dipotong kecil)
– 1 sudu besar tepung serbaguna (boleh tambah sesudu lagi jika mahu lebih garing)
– 1 sudu besar serbuk kunyit
– 1 sudu besar serbuk kari
– 1 sudu kecil garam
– 1 biji bawang merah (dihiris tebal)
– 1 inci halia (dihiris halus)
– Lada merah (dihiris halus)
– Lobak merah (dihiris halus)
– Bunga kobis
– Kacang panjang

Ringkas tapi enak, ayam sos tiram wajib dicuba
Ayam masak halia juga juadah yang mudah disediakan.

Cara-cara penyediaan:
1. Gaul rata ayam yang dipotong kecil bersama tepung serbaguna, garam, serbuk kunyit dan serbuk
kari.

2. Panaskan minyak dan goreng ayam. Jika ayam melekat biarkan seketika.

3. Tunggu ayam sedikit garing, kemudian lerai-leraikan isi ayam yang melekat tadi.

4. Goreng sehingga ayam garing. Kemudian, masukkan sayur lobak dan bunga kobis.

5. Seterusnya masukkan bahan lain dan goreng sehingga masak.

6. Angkat dan toskan minyak.

7. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!

Sumber: Nina Mahdar

Microsoft Tampil Dengan Sistem Windows 11 Terbaharu, Lebih Canggih Dan Selamat

microsoft windows 11

BARU-BARU ini, Microsoft mengumumkan sistem Windows 11 terbaharu yang disifatkan lebih mantap dan bakal memberi pengalaman menakjubkan khususnya kepada generasi muda.

Mana tidaknya, sistem operasi yang lebih praktikal dan selamat itu bukan sahaja dilengkapi Microsoft Store serba baharu, bahkan mampu mengoptimumkan keupayaan dalam pembelajaran dan permainan.

Bukan itu sahaja, sistem canggih itu menampilkan antara muka lebih segar dan pada masa sama, meningkatkan produktiviti pengguna untuk menonjolkan lagi kreativiti dan hasil kerja yang lebih baik.

microsoft windows 11

Berkongsi kecanggihan sistem tersebut, Ketua Pegawai Produk Microsoft, Panos Panay berkata, tempoh 18 bulan lalu mencetuskan perubahan ketara dalam corak dan gaya hidup pengguna terhadap penggunaan PC.

“Pandemik wabak Covid-19 mendorong penggunaan daripada peranti yang praktikal kepada sesuatu yang lebih peribadi. Hakikat inilah yang memberi inspirasi untuk kami membina generasi Windows baharu yang boleh dimanfaatkan lebih bilion pengguna.

“Justeru, dengan Windows 11 mendorong kami untuk membina sesuatu baharu yang mana semua orang boleh mencipta, belajar, bermain dan paling penting, berhubung sesama mereka dengan cara yang lebih baik,” ujarnya.

Buat pengguna Microsoft, mungkin satu berita baik apabila julung kalinya, aplikasi Android boleh didapati dalam Microsoft Store dan pengguna juga boleh memuat turun aplikasi tersebut menerusi Amazon App Store.

Menarik bukan? Hanya perlu klik pada butang start yang terletak di tengah skrin, fail yang sudah digunakan sebelum ini boleh merentasi pelbagai platform dan peranti walaupun dokumen tersebut pada peranti Android atau iOS.

microsoft windows 11

Butang start yang menggunakan kuasa perkomputeran awan dan Microsoft 365 itu membolehkan pengguna menikmati fleksibiliti tetingkap dan pelbagai aplikasi secara serentak dengan menyusun secara bersebelahan pada skrin mereka.

Lebih mengujakan, Windows 11 akan disediakan pada PC baharu selain perkhidmatan naik taraf percuma untuk PC Windows 10 terpilih pada lewat tahun ini.

Apa yang best mengenai Sistem Windows 11 terbaharu? Berikut butirannya:

  1. Lebih pantas.

Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat penting lebih pantas dengan ciri Widgets yang mana berita terpilih berasaskan teknologi kecerdasan buatan dan pelayar internet terbaik dalam kelasnya, Microsoft Edge.

  1. Lebih selamat.

Direka spesifik sebagai sistem operasi lebih selamat, sesuai untuk kaedah kerja dari rumah dan pembelajaran hibrid. Ini kerana sistem operasinya menggunakan teknologi keselamatan sedia terbina dan dikendalikan berasaskan konsep Zero Trust untuk melindungi data dan capaian pada setiap peranti.

  1. Jaminan lebih 150 penyelesaian.

Seperti Windows 10, Microsoft komited untuk menjamin keserasian aplikasi pada Windows 11 dengan App Assure, perkhidmatan yang membantu menyediakan lebih 150 penyelesaian untuk masalah aplikasi tanpa sebarang kos tambahan.

  1. Perkakas sistem penuh.

Windows 11 juga menggunakan sepenuhnya potensi perkakasan sistem, memanfaatkan teknologi permainan terkini dan memberikan pengalaman permainan online menerusi DirectX 12 Ultimate yang membolehkan pengguna menikmati grafik mengagumkan selain DirectStorage (keupayaan memuat naik lebih pantas).

  1. Visual menarik.

Auto HDR membawakan rangkaian warna lebih terang bagi pengalaman visual menarik, selain capaian lebih 100 permainan PC bermutu tinggi khususnya pengguna Xbox Game Pass for PC or Ultimate.

  1. Capaian hubungan.

Windows 11 menawarkan cara lebih pantas untuk berhubung orang tersayang dengan menempatkan Microsoft Teams di palang Taskbar. Keupayaan berhubung menerusi pesanan ringkas, aplikasi sembang, suara atau video tidak kira di mana jua anda berada.

  1. Ekosistem.
microsoft windows 11

Menawarkan peluang baharu kepada pereka dan pencipta dengan membina ekosistem Windows 11 yang lebih terbuka dan membawakan lebih banyak aplikasi, permainan, filem, rancangan dan kandungan web kepada pengguna:

i) Pencipta dan aplikasi vendor perisian bebas (ISV) boleh memperkenalkan aplikasi tanpa mengira rangka kerja binaan aplikasi seperti Win32 atau Progressive Web App (PWA).

ii) Perubahan progresif kepada dasar perkongsian hasil Microsoft yang bermaksud pereka boleh menyumbang 100 peratus daripada hasil dagangan mereka.

iii) Pencipta aplikasi masih boleh menggunakan ekosistem perdagangan Microsoft dengan perkongsian hasil kompetitif pada kadar 85/15.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari https://blogs.windows.com/windowsexperience/2021/06/24/introducing-windows-11/.

Diet Susu Boleh Turun Berat Badan, Hasil Sangat Menakjubkan

RAMAI dalam kalangan kita yang ‘alergi‘ dengan susu. Bukan kerana minuman itu menyebabkan kesihatan mereka terganggu, tetapi disebabkan rasa loya dan mual.

Biasanya, jika seseorang ‘alah‘ dengan susu sejak dari zaman kanak-kanak, perilaku itu akan terbawa-bawa sehingga dewasa.

Sedangkan, susu mempunyai nutrisi penting yang mampu menjaga organ tubuh agar tetap berfungsi dengan baik, di samping melindungi daripada serangan penyakit.

Ingat susu bukan hanya untuk bayi dan kanak-kanak sahaja!

Berdasarkan satu kajian sahih, pengambilan susu di Amerika Syarikat didapati telah menurun sebanyak 6 peratus sejak tahun 2015 lagi. Puncanya, rakyat di sana lebih gemar kepada makanan jenis vegan tanpa laktosa, produk bebas tenusu dan berasaskan tumbuhan sahaja.

Pun demikian, di Malaysia tiada data nasional yang boleh dikongsi.

Sempena Hari Susu Sedunia yang disambut baru-baru ini, SinarPlus akan mengupas lanjut mengenai topik ini bersama Pakar Dietetik, Nutrifit 365 dari Johor Bahru, Johor, Siti Amirah Sujali.

Siti Amirah.

Siti Amirah menjelaskan, terdapat banyak jenis susu yang dijual di pasaran. Namun, semuanya bergantung kepada jenama dan kualitinya tersendiri. Berikut antara jenis susu dan penerangannya:

1. Susu penuh krim.Susu yang mempunyai kandungan kalori yang tinggi kerana kandungan lemak yang agak banyak. Secara puratanya, terdapat 10 ke 15 gram (g) per sajian. Sangat sesuai untuk kanak-kanak, individu yang mengalami indeks jisim tubuh (BMI) yang rendah dan juga warga emas bagi menambah kalori dalam keperluan harian mereka.

2. Susu rendah lemak.Pemilihan susu rendah lemak sesuai untuk mereka yang mempunyai BMI yang berlebihan, obes, mempunyai penyakit kronik seperti penyakit jantung, penyakit kencing manis, kolesterol dan darah tinggi.

3. Susu skim.Ia merupakan pilihan yang lebih sihat untuk individu yang ingin menurunkan berat badan. Sesuai juga untuk mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, kolesterol dan darah tinggi.

4. Susu berperisa.Susu jenis itu biasanya dicampur dengan bahan tambahan seperti gula, bahan perisa, pewarna dan juga kondisioner makanan yang dibenarkan.

5. Susu kambing.Susu kambing mempunyai kandungan kalsium dan protein yang lebih tinggi sedikit jika dibandingkan dengan susu lembu. Kebiasaannya, ia menjadi pilihan oleh golongan yang mempunyai masalah intoleransi laktosa dan mereka yang mengamalkan diet vegan.

Ujar Siti Amirah, sejak beribu tahun lamanya, susu telah lama dianggap sebagai minuman yang sihat dan memberi manfaat kepada peminumnya.

Antara faedah-faedah yang dimiliki jika meminumnya secara konsisten:

a) Susu kaya dengan nutrien.

  • Susu mempunyai kandungan mineral dan vitamin yang bagus untuk tubuh badan seperti kalsium, magnesium, fosforus, zat besi, potasium, zink, vitamin A, vitamin K, vitamin B dan vitamin D.
  • Kalsium merupakan mineral yang sangat penting untuk membantu dalam pembentukan tulang (mengelak osteoporosis), gigi yang kuat dan sihat.
  • Vitamin D pula merupakan vitamin larut lemak yang dapat membantu mengekalkan tulang dan gigi yang kuat. Ia juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan tahap kalsium dan fosforus di dalam badan.

b) Sumber protein yang baik.

  • Membantu untuk tumbesaran, mengekalkan dan memperbaiki sistem pertahanan tubuh yang baik, menggantikan tisu-tisu yang rosak ataupun tercedera.
  • Mengurangkan risiko dan jangkitan kuman serta dapat membantu mencapai berat badan yang normal.
  • Kekurangan pengambilan protein seperti susu dalam pemakanan seharian boleh menyebabkan kehilangan jisim otot, kesihatan terganggu dan badan mudah berasa letih.

c) Mengandungi sterol tumbuhan.

  • Fungsinya bagi membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah.
  • Sterol tumbuhan merupakan molekul organik yang terdapat dalam tumbuhan yang telah terbukti secara klinikal boleh menghalang kolestrol daripada diserap ke dalam darah.

d) Memberi tenaga yang optimum.

  • Segelas susu yang diminum mampu memberikan tenaga lebih kurang 150 kalori. Susu mempunyai beberapa jenis dan setiap jenis susu menyumbang kepada jumlah kalori yang berbeza untuk segelas susu.

Bantu kurus

Kepada SinarPlus, kata Siti Amirah, secara umumnya, tiada masa yang spesifik yang disarankan, namun jika susu diminum pada waktu pagi, seseorang akan menjadi lebih produktif. Sementara, pengambilan pada waktu malam pula membantu seseorang tidur lebih lena.

“Susu mengandungi amino asid yang bernama tryptophan yang mendorong kita untuk tidur dan mengandungi melatonin (hormon) yang membantu mengatur kitaran tidur dan bangun seseorang,“ beritahunya.

Mengulas mengenai susu sebagai sumber protein yang baik seperti yang diperkatakan oleh Siti Amirah, kami berkongsi hasil penyelidikan yang diterbitkan oleh American Journal of Clinical Nutrition pada tahun 2010.

Berdasarkan kajian yang diketuai Danit R. Shahar itu, golongan dewasa yang menikmati sebanyak 580 miligram kalsium setiap hari kehilangan kira-kira 5.44 kilogram selepas enam bulan. Tahap vitamin D yang lebih tinggi dalam darah juga dikaitkan dengan penurunan berat badan yang berjaya.

Pandangan Shahar turut dipersetujui oleh Pengarah Program Pengurusan Berat, Hospital Miriam, Rhode Island, Amerika Syarikat, Vincent Pera.

“Susu adalah sumber vitamin D yang hebat dan juga menggantikan makanan lain yang lebih tinggi lemak dan kalori. Saya semakin yakin bahawa terdapat sesuatu yang bermanfaat mengenai vitamin D dalam mengatur berat badan seseorang,“ katanya.

Dalam pada itu, laman web ndtv.com melaporkan, dalam satu kajian yang dijalankan pada tahun 2004 menyaksikan, individu yang mengikuti diet rendah kalori iaitu menggunakan tiga hidangan produk tenusu setiap hari, kehilangan berat badan lebih banyak.

“Malah, sejumlah penyelidikan telah menyimpulkan bahawa mereka yang mengikuti diet tinggi susu cenderung mempunyai pengurusan berat badan yang lebih baik. Pengambilan kalsium dalam jumlah yang cukup juga didapati dapat mengurangkan risiko kegemukan, sindrom metabolik, diabetes tahap 2 termasuk penyakit kardiovaskular,“ katanya.

Ibu hamilBagaimana pula dengan ibu hamil? Menjawab pertanyaan itu, Pegawai Dietetik, Hospital Columbia Asia, Seremban, Negeri Sembilan, Hoormila Sagar terlebih dahulu berkata, susu atau sebarang produk tenusu sangat berkesan untuk mendorong pertumbuhan janin dan ukuran kelahiran neonatal.

Hoormila.

Katanya, kajian Achon pada tahun 2019 meringkaskan beberapa penyelidikan tentang kesan dan kaitan penggunaan susu ibu termasuk produk tenusu sewaktu kehamilan dan pada fasa penyusuan.

“Hasil kajian antara lain menunjukkan hubungan positif di antara penggunaan susu atau produk tenusu dengan berat kelahiran bayi termasuk penurunan risiko kelahiran bayi,“ jelas pakar itu.

Berdasarkan Pengambilan Nutrien bagi rakyat Malaysia, wanita hamil yang berusia 13 hingga 19 tahun perlu mengambil 1,300 miligram (mg) kalsium, manakala wanita hamil yang berumur 20 hingga 49 tahun pula 1,000mg kalsium dalam sehari.

Gantikan dengan soya, sayuran atau ikan jika alah pada susu               

JIKA seseorang yang alah atau alergi dengan susu, adakah terdapat makanan lain yang boleh diganti, misalnya memilih untuk mengambil suplemen berbentuk pil atau cecair?

Menjawab pertanyaan popular itu, Pegawai Dietetik, MSU Medical Centre, Norul Emyshahida A Majid berkata, pendekatan itu dibolehkan!

Norul Emyshahida.

“Namun demikian, pemilihannya (jenis) perlu diberi penekanan penting untuk mengelak berlakunya pengambilan (suplemen) berlebihan yang boleh memberi kesan sampingan kepada tubuh badan. Berbincanglah terlebih dahulu dengan doktor sebelum membuat sebarang keputusan,“ nasihatnya.

Ujar Norul Emyshahida lagi, terdapat satu kaedah lain untuk mendapatkan kalsium daripada sumber minuman lain iaitu soya.

Selain kaya dengan sumber protein, soya juga membekalkan kalsium untuk tulang, antioksidan bagi mencegah penyakit kronik seperti jantung serta mengelak diabetes.

Pegawai perubatan itu menambah, susu juga boleh diperoleh daripada sumber-sumber makanan lain.

“Antaranya seperti sayuran berdaun hijau, kekacang, ikan yang mempunyai tulang lembut seperti sardin dan ikan bilis, tauhu dan tempe,“ tuturnya.

Ketika ditanya tentang individu yang sensitif dengan susu tepung, Norul Emyshahida berkata, hal itu berlaku disebabkan mereka mempunyai masalah intoleransi laktosa iaitu sistem penghadaman yang tidak dapat menghadam laktosa.

“Laktosa adalah sejenis karbohidrat semula jadi yang terdapat di dalam susu.  Proses penghadaman laktosa memerlukan sejenis enzim yang disebut enzim laktase. Oleh sebab itu, mereka yang mempunyai masalah tersebut kebiasaannya tidak menghasilkan enzim laktase yang mencukupi,“ jelasnya.

Awas Masalah Vertigo, Boleh Jadi Punca Hilang Pendengaran

SEKIRANYA seseorang itu sering berasa diri berpusing-pusing sehingga kehilangan keseimbangan, berhati-hati dengan simptom itu kerana ia mungkin petanda diri diserang simptom vertigo.

Vertigo tidak boleh diabaikan dan dipandang ringan. Ini kerana jika ia kerap berlaku dan berulang-ulang secara tiba-tiba, ia sangat merbahaya kepada kesihatan diri.

Mengulas lebih lanjut mengenainya, SinarPlus mewawancara Doktor Perubatan Swasta, Klinik Hijraa Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu, Dr Ahmad Samhan Awang.

Dr Ahmad Samhan.

Dr Ahmad Samhan menjelaskan, vertigo adalah suatu keadaan yang mana pesakit merasakan pandangan di sekelilingnya berpusing-pusing dan merasakan dirinya turut berpusing sedangkan beliau tidak bergerak sama sekali.

“Vertigo tidak seperti pening biasa kerana simptomnya hanya kepala pesakit menjadi ringan, gelap dan kemudian pengsan. Sebaliknya, simptom vertigo adalah seperti loya, muntah, sakit kepala dan rasa tidak stabil ketika berjalan.

“Lebih teruk mereka yang mempunyai simptom vertigo akan merasakan kepala digerak atau dipusingkan dan jalan tidak seimbang,” beritahunya kepada SinarPlus baru-baru ini.

Menurut Dr Ahmad Samhan, terdapat dua kategori masalah vertigo iaitu:

i) Vertigo periferi

  • Berlaku disebabkan oleh masalah pada bahagian dalam telinga dan saraf yang menghantar maklumat ke otak.
  • Perubahan posisi kepala secara mendadak menyebabkan bahagian dalam telinga tidak berfungsi secara normal.
  • Masalah pada bahagian dalam telinga yang memberi kesan kepada pendengaran dan keseimbangan.
  • Keradangan di kawasan dalam telinga yang menyebabkan masalah itu.
  • Pertumbuhan tulang yang tidak normal dalam telinga.ii)

ii) Vertigo berpusat

  • Masalah pada bahagian otak terutamanya bahagian otak kecil (cerebellum) yang mengawal keseimbangan badan.

Ujar Dr Ahmad Samhan, fenomena vertigo akan meningkat dengan peningkatan umur. Wanita lebih mudah diserang masalah itu iaitu kira-kira dua hingga tiga kali lebih berbanding lelaki.

“Ia melibatkan 2.5 peratus daripada penduduk umum yang mana satu daripada lima orang dewasa akan terlibat. Pada masa sama, vertigo juga merupakan gejala biasa bagi mereka yang berumur melebihi 65 tahun,” jelasnya lagi.

Di Amerika Syarikat misalnya, satu kajian yang dibuat oleh Universiti Carlifonia San Francisco mendapati, hampir 40 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat akan merasai vertigo sekurang-kurangnya sekali seumur hidup mereka.

Apa penyebab kepada masalah itu? Ujar Dr Ahmad Samhan ia melibatkan situasi pesakit yang pernah mengalami kecederaan pada kepala, mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit vertigo, penggunaan ubat-ubatan tertentu dalam jangsa masa panjang dan mereka yang menghidap diabetes.

“Bukan itu sahaja, mereka yang sering mengalami tekanan dan mempunyai masalah jangkitan dalam telinga juga berisiko tinggi diserang vertigo,” katanya.

Adakah vertigo diklasifikasikan sebagai penyakit kronik? Jawapannya, ya.

“Vertigo boleh dikatakan penyakit kronik jika berpunca daripada kategori vertigo berpusat yang mana terkesan dengan kondisi migrain, sklerosis berganda, neuroma akustik, tumor otak dan stok,” tambah beliau.

Bahaya

Mengulas lanjut, pegawai perubatan itu berkata, masyarakat pada hari ini tidak sedar bahawa sakit kepala yang dialami sehingga rasa berpusing dan hilang keseimbangan badan merupakan gejala vertigo.

“Lebih membimbangkan, ramai merasakan situasi itu sebagai remeh sama ada ia hanya berlaku sekali atau merasakan terdapatnya sebab-sebab tertentu sehingga mereka berasa berpusing, loya dan hilang keseimbangan.

“Penting untuk diketahui bahawa, jika keadaan itu dibiarkan, ia boleh membahayakan kesihatan dan diagnosis perlu dilakukan bagi mengenali punca, bahaya dan cara mengubatinya,” katanya sambil memberitahu vertigo akan hilang dan boleh kembali dalam beberapa minit, jam atau beberapa hari.

Justeru, Dr Ahmad Samhan menyarankan, agar mereka yang mempunyai simptom yang dinyatakan segera mendapatkan rawatan lanjut di hospital lebih-lebih lagi jika mula menunjukkan perilaku kesukaran untuk bercakap, anggota tubuh badan lemah secara tiba-tiba, penglihatan kabur, pergerakan mata tidak normal, kesukaran berjalan atau demam.

“Vertigo tidak diboleh dianggap penyakit biasa tanpa sebarang rawatan kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

“Antara kesannya adalah berlaku gangguan pendengaran sehingga dalam sesetengah kes, pesakit akan kehilangan deria pendengaran.

“Selain itu, serangan vertigo selama beberapa hari sehingga pesakit tidak mampu bergerak dan tiada koordinasi pada salah satu bahagian tubuh adalah petanda pesakit diserang penyakit angin ahmar atau masalah berkaitan otak,” kata Dr Ahmad Samhan.

Mengenai rawatan, ia bergantung kepada penyebabnya, tetapi kebanyakan masalah boleh sembuh dengan sendirinya tanpa memerlukan ubat.

Pesakit yang mengalami vertigo periferi boleh mencuba ubat jenis perencat vestibular seperti berikut:

i) Antihistamine: Promethazine (phenergan) dan betahistine(betaserc).

ii) Benzodiazepines: Diazepam dan lorezepam.

iii) Antiemetics: Prochloperazine(stematil) dan metoclopramide.

“Sebaliknya, jika ia disebabkan vertigo sentral, rawatannya adalah bergantung kepada penyebab masalah tersebut,” kata Dr Ahmad Samhan.

ANEKDOT

BERIKUT makanan dan minuman yang perlu dielak bagi mengelak simptom vertigo:

  1. Makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula yang terlalu tinggi.
  2. Pengambilan makanan yang mengandungi banyak garam.
  3. Minuman berkafein.
  4.  Hadkan pengambilan alkohol kerana boleh mempengaruhi komposisi cecair di telinga dalam.
  5.  Bagi orang yang mempunyai vertigo yang berkaitan dengan migrain, elakkan makanan yang boleh mencetuskan simptom itu seperti anggur merah, hati ayam, daging, yogurt, keju, dan susu.
  6. Elakkan tabiat merokok.

Sumber: vestibular.org

KAEDAH terbaik kawal diri ketika diserang vertigo:

  1. Berehat secukupnya.
  2. Melakukan senaman dan regangan ringan.
  3. Tidur dengan kepala sedikit terangkat atau tinggi.
  4. Jangan terus bangun daripada tidur. Sebaliknya, duduk beberapa minit sebelum berdiri.
  5. Elakkan diri daripada membongkok dan mendongak.
  6. Melakukan fisioterapi untuk mengatasi gangguan keseimbangan.

Sumber: Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang.