Stail Makan Berhidang Dalam Talam, Rumah Makan Nasi Talam Wajib Dikunjungi

nasi talam taiping

BUDAYA menikmati makanan dalam talam, nampaknya semakin jarang dilihat.

Namun sekali-sekala apabila pulang ke kampung halaman, menjamah sajian dengan cara itu sambil bersila beramai-ramai di atas tikar mengkuang memang seronok dan membangkitkan nostalgia lama.

Jika diamati, konsep berkenaan juga jarang dipraktikkan oleh pengusaha makanan di negara ini.

nasi talam taiping

Pun demikian, jika pembaca SinarPlus berkunjung ke Taiping, Perak pada suatu hari nanti, Rumah Makan Nasi Talam yang terletak di Batu 5, Jalan Kuala Kangsar, Changkat Jering menyediakan itu semua.

Pengurusnya, Muhammad Afiq Safuan Mohd Sukri berkata, pihaknya berbesar hati dan berbangga kerana dapat mengetengahkan idea berkenaan di tengah bandar Taiping.

Menariknya lagi ujar pemuda berusia 23 tahun itu, mereka bukan sahaja menyediakan lauk kampung warisan keluarganya, malah turut menghidangkan masakan autentik Indonesia.

nasi talam taiping

“Di Rumah Makan Nasi Talam, kami mengambil sedikit ilham cara peniaga di Padang, Indonesia yang meletakkan macam-macam lauk di atas piring.

“Sebagai tambah nilai, lauk-pauk itu akan disusun kemas atas talam bagi ‘mencantikkan’ lagi persembahan juadah,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Pun demikian, pinggan ‘orang lama-lama’ dan bekas nasi yang diperbuat daripada rotan paling menambat hati ramai.

“Elemen itu kami jadikan sebagai daya penarik tambahan dan tak sangka pendekatan itu membuatkan kedai ini dikenali ramai dan viral,” kata anak bongsu daripada dua beradik itu.

Selain Muhammad Afiq, abangnya, Muhammad Arif Safuan, 25; bapa tirinya, Adywarno, 57, dan bapa saudaranya, Mohammad Farez Wahidi Ismail, 29, turut membantunya mengusahakan Rumah Makan Nasi Talam itu yang dibuka sejak tahun 2017.

nasi talam taiping

Ditanya siapakah tukang masak di premis itu? Kata peniaga muda itu, ibunya, Umi Kalsum Ismail, 45, telah bertungkus-lumus selama setahun lamanya mempelajari menu masakan Padang.

“Beliau juga mendalami ilmu bagaimana mahu membuat rempah sendiri. Jadi, rempah yang kami guna bukannya jenis segera, tetapi dihasilkan dengan cara menggiling untuk menjadikan rasanya lebih sedap dan tahan lama.

“Sebab itu, antara menu paling laris di sini adalah seperti Gulai Rempah Giling Ikan Sembilang. Kesedapannya memang susah nak cakap,” selorohnya sambil tertawa.

Bukan itu sahaja, Muhammad Afiq turut mengesyorkan lebih 30 jenis lauk lain. Antara yang wajib dicuba adalah seperti Kambing Bakar Bumbu Padang dan Ikan Talapia Gepuk Berlado.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), operasi Rumah Makan Nasi Talam ditutup, namun juadah lauk-pauk viral dijual di tapak Pasar Malam Air Kuning, Taman Mas, Taiping, Perak bermula jam 11 pagi hingga 6 petang.

nasi talam taiping

Rumah Makan Nasi Talam

  • Alamat: Batu 5, Jalan Kuala Kangsar, Changkat Jering, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 11 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Gulai Rempah Giling Ikan Sembilang, Kambing Bakar Bumbu Padang dan ikan Talapia Gepuk Berlado
  • Harga: Set talam bermula RM20 hingga RM85.90
  • Facebook: Rumah Makan Nasi Talam Taiping

Taiping, Perak bukan sahaja terkenal dengan destinasi pelancongan, bahkan turut dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik global dalam Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia.

Sekiranya berpeluang untuk berkunjung ke bandar bersejarah itu, perjalanan anda pastinya tidak lengkap jika tidak singgah di beberapa destinasi makanan popular di sana.

Selain Rumah Makan Nasi Talam yang terletak di Changkat Jering itu, terdapat premis lain yang wajib diserbu.

Berikut empat lagi lokasi yang boleh dipertimbangkan oleh pembaca SinarPlus jika anda berpeluang berkunjung di Taiping selepas tamat larangan merentas negeri nanti.

port makan-makan taiping

The Train

  • Alamat: 1, Jalan Stesen, Bangunan keratapi lama, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 2 petang hingga 8 malam
  • Menu signatur: Kepak ayam dan sandwich
  • Harga: Bermula RM7 hingga RM19
  • Facebook: The TRAIN

port makan-makan taiping

Cheeky Summer

  • Alamat: 92, Jalan Barrack, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 9 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Smoothie bowl
  • Harga: Bermula RM12 hingga RM15.90
  • Facebook: Cheeky Summer

port makan-makan taiping

Bismillah Cendol

  • Alamat: 233, Jalan Barrack, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 8 pagi hingga 6 petang
  • Menu signatur: Cendol, laksa penang dan pasembor
  • Harga: RM1.60 hingga RM3.60
  • Facebook: Bismillah Cendol

port makan-makan taiping

Le’pak Kitchen

  • Alamat: Jalan Taman Kaya, Taman Sungai Mas, Taiping, Perak
  • Waktu operasi: 1 petang hingga 7 malam
  • Menu signatur: Nasi goreng chicken chop
  • Harga: Bermula RM9.90 hingga RM19.90
  • Facebook: Le’pak Kitchen

4 Kaedah Terbaik Menangi Hati Anak Kecil. Tak Susah Pun

APABILA si kecil tidak mendengar cakap atau hanya buat tidak tahu tatkala ditegur, pasti ibu bapa akan tertekan dan berasa geram.

Jika situasi sebegitu sering terjadi, mak ayah lazimnya akan melenting tidak tentu fasal. Maka, keluarlah perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

Jika sudah tidak mampu lagi menahan kesabaran, kebanyakan ibu atau ayah akan meninggikan suara dan mengherdik si anak. Lebih memburukkan keadaan, ada yang sanggup merotan atau mengenakan denda sehingga zuriat mereka dilingkari perasaan trauma dan menyimpan dendam.

Namun, pepatah Melayu menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ringkas kata, jika anak-anak dididik dengan cara yang betul, kanak-kanak yang baru mahu mengenal dunia ini mendengar kata.

Berbincang mengenai topik anak-anak enggan mendengar cakap penjaga, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar (Pelawat) Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Johor, Dr Nor Rahidah Abd Rahim.

Dr Nor Rahidah.

Ujar Dr Nor Rahidah, proses mendidik anak-anaknya sebenarnya bermula dari peringkat awal dan ia perlu dilakukan tanpa henti.

“Segala masalah boleh diatasi dengan syarat ibu bapa perlu tahu punca mengapa anak tidak mahu mendengar kata. Selepas itu, mereka (ibu bapa atau penjaga) mesti juga bersedia untuk berubah,” katanya.

Terdapat empat pendekatan yang perlu diberi penekanan untuk  memenangi hati anak-anak. Berikut adalah perinciannya seperti yang dikongsikan oleh pakar itu:

1. Wujudkan konsep ‘perlekatan’.

Ujar Dr Nor Rahidah, ibu bapa perlu membina ikatan atau hubungan erat dengan anak-anak kecil dengan seoptimum mungkin.

“Anak-anak yang berumur antara 6 hingga 12 tahun sangat memerlukan ruang untuk ibu bapa memahami mereka.

“Oleh itu, ibu bapa harus bijak membina emosi agar anak-anak akan berasa selesa dan akhirnya timbul kepercayaan dalam diri si kecil,” tambah beliau.

2. Peka perkembangan psikososial anak.

Kanak-kanak yang berumur antara 6 hingga 12 tahun banyak menghabiskan masa di sekolah bersama guru-guru dan mereka sudah mula mempunyai kecenderungan untuk bertindak sendiri (dari segi kelakuan).

“Jadi, pada waktu itu, anak-anak akan lebih percaya dan akan melihat perhubungan di luar pertalian kekeluargaan sebagai ikutan mereka.

“Biasanya, mereka akan mesra dan mudah berkongsi luahan hati bersama orang yang memberi mereka pengajaran dan ilmu. Sebab itu, kadangkala ibu bapa akan mempersoalkan mengapa anak kecil sangat mudah mendengar arahan daripada guru di sekolah, namun ia tidak berlaku di rumah,” kata beliau.

3. Gaya keibubapaan.

Dalam konteks berkenaan, Dr Nor Rahidah berkongsi mengenai gaya keibubapaan khalifah.

Ujarnya, ia perlu disesuaikan dengan umur kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang berumur enam tahun ke bawah akan dilayan seperti ‘raja’ iaitu penuh dengan kasih sayang.

“Apabila mereka mencapai umur tujuh hingga 14 tahun pula, mereka perlu dilayan seperti ‘khadam’ iaitu meminta anak-anak melakukan tugas harian di rumah agar hidup berdikari.

Hasilnya, ujar pakar itu, mereka akan menerima teguran dan faham bahawa nasihat itu demi kebaikan diri.

“Pada sama sama, ibu bapa perlu tahu, anak-anak generasi kini segalanya sudah tersedia dan mereka sangat pandai. Jadi, ibu bapa juga perlu pandai ‘mengayat’ bagi memenangi hati anak kecil,” sarannya.

Pada masa sama, proses mendidik perlu dilakukan secara berterusan.

“Jika pada usia masih bayi hingga 7 tahun, anak-anak sudah diasuh dengan betul, saya yakin peringkat perkembangan berikutnya tidak akan mempunyai sebarang masalah. Mereka boleh menerima teguran dan nasihat yang diberikan,” jelas beliau.

4. Memahami keperluan anak.

Bukan itu sahaja, ujar Dr Nor Rahidah, ibu bapa juga perlu arif dalam mendalami jiwa dan keadaan anak masing-masing memadai dengan menjadi penjaga yang baik dan bukan impikan ibu bapa yang sempurna.

“Saya yakin, ada di antara ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak syurga (seperti autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif) yang memerlukan pemantauan perkembangan yang lebih spesifik.

“Ibu bapa kategori ini memerlukan kaedah yang berbeza. Ia tidak sama seperti memberi arahan kepada anak kecil lain yang normal,” ujarnya.

Apakah pendekatan paling efisien? Beritahu beliau,  ibu bapa perlu bermula dengan hubungan mata terlebih dahulu.

“Seterusnya, barulah cuba memberi arahan yang pendek sahaja kerana kanak-kanak dengan masalah spesifik mempunyai kekangan untuk mengingati arahan yang panjang dan berbelit-belit,” ujarnya.

Pun demikian, tutur Dr Nor Rahidah, mak ayah juga perlu peka dengan ‘kemajuan’ tumbesaran anak-anak.

“Ini kerana secara saintifiknya ada sesetengah kanak-kanak memiliki perkembangan tubuh badan yang tidak seiring dengan perkembangan pada struktur otaknya.

“Bila hal ini berlaku, mereka gagal untuk berfikir secara logik dan tidak tahu menahu akan sebab dan akibat mengenai sesuatu perkara yang berlaku,” jelas beliau.

Bagi Dr Nor Rahidah, tiada ‘terapi’ asas bagi mengatasi masalah anak tidak mahu mendengar cakap, melainkan mak ayah sedaya upaya cuba memahami dan mendalami isi hati si manja.

“Kuncinya, bina terlebih dahulu emosi yang betul dan stabil agar anak kita arif dalam menyampaikan perasaan yang dirasai sama ada sedang marah, sedih atau kecewa,” katanya.

Hebat Hasil Tangan Anak Tempatan. Desain Kereta Elektrik Pertama Malaysia Membuatkan Ramai Terpukau

desain MEV pertama malaysia

PERNAH bayangkan, satu hari nanti negara akan memiliki kenderaan elektrik sendiri? Mesti ramai yang teruja untuk melihat varian kereta canggih buatan tempatankan?

Jika dilihat perkembangan automotif dunia yang semakin sofistikated, trend jentera elektrik sudah mula popular di negara maju khususnya Jerman, Amerika Syarikat, Perancis, China dan Eropah.

Misalnya di China, kereta elektrik mini memang cukup popular kerana harganya yang dikatakan mampu milik dan mesra alam.

desain MEV pertama malaysia

Lapor scmp.com, negara yang memiliki populasi paling ramai di dunia itu dikatakan menjadi salah satu pengeluar kenderaan elektrik paling top pada tahun ini.

Mana tidaknya, seramai 500 pembuat kereta elektrik dari China berjaya menembusi pasaran automotif global dengan beberapa jenama popular seperti Nio, Xpeng dan Li Auto.

Barangkali melihat kepesatan Internet of Things dan kecerdasan buatan (AI) membuatkan pengeluar jentera elektrik negara itu berlumba-lumba untuk menggegarkan industri automotif dunia.

xpeng china
xpeng china

Memang tidak dinafikan, Tanah Besar itu memiliki keupayaan luar biasa sekali gus mahu menyaingi kehebatan Tesla.

Padanlah China berusaha untuk mencapai sasaran 20 peratus kenderaan elektrik menjelang tahun 2024 seiring visi Made in China 2025.

Hebat bukan? Bercakap mengenai jentera canggih yang dikuasakan dengan pemanduan autonomi, Malaysia pun sebenarnya ada ramai pereka yang cukup berpengalaman.

Sebagai contoh, Ketua Rekabentuk Industri Mimos Berhad, Saharudin Busri yang kreatif memaparkan idea rekaan konsep kereta elektrik Malaysia (MEV) sempena Hari Reka Bentuk Perindustrian Sedunia baru-baru ini.

desain MEV pertama malaysia
desain MEV pertama malaysia

Konsep kereta elektrik tersebut mengambil ilham daripada reka bentuk hatchback segmen-B model Volkswagen Golf.

Beliau difahamkan mengambil masa tiga minggu untuk menghasilkan desain MEV itu.

Sekali pandang, saling tak tumpah seperti Perodua Myvi bukan? Boleh jadi, varian pilihan paling laris di Malaysia itu menjadi contoh sesuai untuk pasaran tempatan.

desain MEV pertama malaysia

Perkongsian di Facebook memberikan pelbagai reaksi positif warganet yang rata-ratanya kagum dengan kecanggihan desain EV-SUV tersebut.

Memang mantap idea anak tempatan. Pastinya ramai tidak sabar untuk menunggu kenderaan elektrik tersebut dihasilkan.

Jom kita lihat beberapa desain kreatif yang dihasilkan bekas pereka Proton tersebut yang cukup mengagumkan.

desain MEV pertama malaysia
desain MEV pertama malaysia
desain MEV pertama malaysia

Menarik bukan? Mungkin lebih ramai lagi bakat anak tempatan wajar ditonjolkan demi kemajuan industri automobil negara.

Moga cetusan idea tersebut boleh memberi ilham kepada anak muda yang bercita-cita untuk pereka desain kereta nasional satu hari nanti. #kitalaluibersama #perkasakansuaraMalaysia

Asam Pedas Ayam Versi Melaka, Mudah, ‘Kaw’ Rasanya

Asam pedas ayam versi Melaka, mudah, 'kaw' rasanya

SELALUNYA asam pedas dimasak menggunakan ikan sebagai bahan utamanya.

Namun begitu, sajian tersebut juga enak diletakkan isi ayam dan daging.

Konsep dan teknik memasak asam pedas biasanya sama cuma bahan digunakan sedikit berbeza mengikut daerah dan negeri.

Jadi kali ini jom kita cuba asam pedas ayam Melaka yang rasanya semestinya ‘kaw’!

Bahan-bahan:

  • Minyak masak
  • 1 sudu halba
  • Daun limau purut
  • Bawang merah (dikisar)
  • Bawang putih (dikisar)
  • Halia (dikisar)
  • Kunyit hidup (dikisar)
  • 2 senduk cili kering kisar
  • Air asam jawa
  • Ayam (dibasuh bersih)
  • Garam
Asam pedas ikan sembilang kaw versi campak-campak
Asam pedas ikan sembilang.

Cara-cara:
1. Panaskan minyak dan tumis halba sehingga wangi.
2. Masukkan daun limau purut.
3. Kemudian, masukkan pula bawang merah, bawang putih, halia dan kunyit hidup yang dikisar.
4. Seterusnya, cili kering kisar. Tumis hingga garing.

5. Masukkan air asam jawa. Boleh tambah air bahan kisar.
6. Selepas itu masukkan ayam, tutup kuali dan tunggu sehingga masak.

Selamat mencuba!

Sumber: Norlailanazira Mohd Agos

Makan Durian Sebelum, Selepas Vaksinasi, Apa Kata Pakar

SABAN tahun bermula pada bulan Jun hingga Ogos, negara kita akan mengalami ‘demam durian’.

Sana sini terutama di tepi jalan, peniaga menjual pelbagai jenis raja buah itu dengan harga mengikut gred.

Wabak pandemik yang masih berleluasa sehingga kini sedikitpun tidak menghalang mereka berbuat demikian kerana permintaan dalam kalangan orang ramai tetap tinggi. Malah pembelian secara online juga boleh diakses dengan mudah.

Bercerita tentang soal durian atau nama saintifiknya Durio zibethinus, baru-baru ini kecoh apabila warganet berhujah secara serius tentang implikasi negatif menikmati durian selepas proses vaksinasi Covid-19.

Itu semua menjadi bualan selepas seorang lelaki didakwa meninggal dunia disebabkan makan durian selepas menerima suntikan.

Menurut laporan akhbar tempatan, kematian itu dilaporkan berlaku di sebuah restoran. Mangsa yang membungkus makanan dan minuman dikatakan tiba-tiba terjatuh dari kerusi tempat duduknya sehingga tidak sedarkan diri.

Melihat situasi berkenaan, masyarakat mula tertanya-tanya sejauhmana bahayanya durian sehingga memberi dampak buruk kepada kesihatan.

Enggan persoalan itu berlegar begitu sahaja, SinarPlus mengambil inisiatif mendapatkan pandangan seorang pegawai farmasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Fahmi Hassan.

Fahmi Hassan.

Memberi respons terhadap kejadian mengejut itu, Fahmi dengan pantas menyanggah dakwaan kononnya pemergian mangsa berpunca daripada durian yang dimakan sejurus selepas beberapa jam mengambil vaksin.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali dan kematian lelaki itu sebenarnya disebabkan oleh serangan jantung. Jadi, bukan salah durian,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tidak ancam nyawa

Kepada SinarPlus, berkali-kali pegawai farmasi terkenal itu menegaskan bahawa menikmati durian selepas vaksinasi bukan satu isu yang boleh mengancam kesihatan seseorang.

Jelas beliau, durian ialah sejenis buah yang berkhasiat dan tinggi serat.
“Sekiranya ia diambil secara berpada-pada, ia adalah selamat dan tidak akan memberikan impak terhadap kesihatan termasuklah selepas menerima suntikan vaksin Covid-19. Jadi, pemahaman yang tular menyebut ada yang maut selepas makan durian sebelum atau selepas vaksin perlu diperbetulkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi menyarankan agar setiap daripada kita membuat pemantauan dari segi diet yang seimbang sebelum membuat rumusan bahawa sesuatu makanan atau sajian tidak elok untuk dihadam.

“Sekiranya keputusan untuk mengurangkan atau tidak mengambil durian disebabkan untuk mengawal kuantiti pengambilan karbohidrat seharian, ia adalah satu tindakan yang wajar.

“Ingin saya jelaskan di sini, durian mengandungi kandungan tenaga yang tinggi. Jadi, terdapat kemungkinan seseorang itu rasa tidak selesa atau ‘panas’ selepas memakan durian disebabkan oleh aktiviti metabolisme badan,” terangnya.

Namun, jika keputusan mahu mengelak durian dek termakan dengan kata-kata momokan yang berhamburan tanpa henti melalui media sosial, ia adalah satu percaturan yang terpesong.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, mengambil durian dalam kuantiti yang sedikit sememangnya tiada isu berbangkit terutama kepada mereka yang sihat, waima kepada golongan yang mempunyai penyakit kronik.

Pun demikian, amaran diberikan kepada pesakit diabetes dan gangguan fungsi ginjal.

“Sekiranya kumpulan pesakit itu makan secara keterlaluan melebihi paras bahaya dan masuk ke dalam aliran darah, keadaan ini boleh menyebabkan hiperkalemia iaitu keadaan yang mana kadar kalium dalam darah terlalu tinggi.

Gejala yang muncul akibat hiperkalemia boleh menyebabkan pesakit lemah otot, mengalami kesemutan dan gangguan degupan gantung,” ujarnya.

Fahmi turut menjelaskan satu lagi kepercayaan karut yang dipercayai ramai.Tegasnya, pihak yang mengusulkan perlunya makan paracetamol sebelum divaksinasi untuk mengelak demam juga satu saranan yang tidak munasabah.

“Teknik yang sebenar adalah ambil panadol apabila demam atau sakit sahaja,” jelasnya.

Selain itu, terdapat beberapa lagi mitos lain yang dikongsikan oleh Fahmi dan semuanya itu dusta sama sekali.

Antara intipati yang tidak boleh dipercayai adalah:

  • Tidak demam selepas vaksin menunjukkan suntikan itu tidak berfungsi.
  • Perlu elak makan makanan pedas sebelum divaksin.
  • Tidak boleh mandi selepas divaksin.
  • Perlu mengurung diri selepas proses vaksinasi kerana boleh menjangkiti orang lain.

“Apabila terlalu banyak mitos inilah yang menyebabkan berlaku salah faham dalam komuniti kita. Ingat, vaksin Covid-19 tidak mengandungi virus hidup. Seseorang itu tidak akan positif (saringan) atau menjangkiti orang lain gara-gara vaksin,” katanya.

Redakan tekanan

Untuk mengukuhkan fakta-fakta yang dikemukakan Fahmi, penulis kemudian menghubungi Doktor Perubatan Swasta, Klinik Hijraa Chendering, Kuala Terengganu, Terengganu, Dr Ahmad Samhan Awang.

Dr Ahmad Samhan.

Senada dengan pegawai farmasi itu, Dr Ahmad Samhan berkata, tidak wujud kesan sampingan menikmati durian sebelum atau selepas vaksin.

Pada masa sama, beliau meyakinkan semua pihak bahawa tiada kajian yang menunjukkan durian boleh memudaratkan kandungan ibu yang sedang hamil.

“Jadi, suka untuk saya kongsikan di sini, wanita yang mengandung juga tidak perlu gusar untuk memakan durian, namun, kena kawal kuantiti pengambilannya,” pesannya.

Sebelum meneruskan perkongsiaan mantan pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur itu, SinarPlus membentangkan kandungan yang terdapat dalam sebiji durian seperti yang dimuat naik oleh Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman web mereka.

  • Tenaga (83 kcal)
  • Karbohidrat (15 gram (g))
  • Protein (1.5g)
  • Lemak (1.8g)
  • Kalsium (21.5 miligram (mg))
  • Kolesterol (0mg)
  • Vitamin C (12.6mg)
  • Kalium (37.7mg)
  • Natrium (21.5mg)
  • Ferum (1.0mg)

Membicarakan tentang khasiat durian, Dr Ahmad Samhan menyenaraikan satu persatu kelebihan raja buah itu. Antaranya:

1. Durian kaya dengan vitamin C.
Berfungsi sebagai antioksidan dan antipenuaan serta menjaga kesihatan kulit. Setiap 100 gram durian mempunyai lebih kurang 24 miligram vitamin C.

2. Meningkatkan mood, rasa gembira.
Durian mempunyai amino asid triprophan yang boleh memberi suasana yang ceria dan gembira buat si pemakan. Bukan itu sahaja, ia juga membantu meningkatkan kualiti tidur seseorang.

3. Melancarkan sistem penghadaman.
Raja buah itu sangat membantu mereka yang mempunyai masalah sembelit kerana kandungannya yang tinggi serat.

4. Meredakan tekanan.
Durian mempunyai kandungan vitamin B6 atau dikenali sebagai pridoksin yang boleh meredakan tekanan seseorang.

5. Menjamin kesihatan gigi.
Selain itu, durian membantu dalam aspek penjagaan kesihatan gigi dan mulut kerana mengandungi phosphor.

6. Kesihatan tulang.
Durian juga mengandungi banyak potassium atau kalium yang baik untuk kesihatan tulang dan sendi.

“Di sebalik semua kebaikan itu, dalam seulas durian juga mempunyai kalori yang tinggi dan boleh menyebabkan kegemukan jika diambil berlebihan.

“Badan kita juga boleh menjadi terlalu panas akibat metabolisme penghadaman kerana buah ini akan menghasilkan gas dan alkohol yang boleh menyebabkan seseorang sakit perut. Oleh itu, berpada-padalah ketika makan durian,” pesannya.

Dr Fatimah betulkan persepsi salah pantang larang makan durian

SEORANG ahli akademik tampil memperbetulkan kembali mitos yang dimomokkan mengenai makanan yang tidak boleh dimakan ketika dan selepas menikmati durian.

Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim ketika dihubungi baru-baru ini menegaskan, kebanyakan intipati yang ditularkan salah sama sekali.

“Jika kita membuat carian di Google misalnya, memang terlalu banyak larangan yang menjadi bualan. Namun, saya percaya, cerita-cerita itu timbul kerana ramai yang menghadapi masalah sama atau ia hanya satu kebetulan sahaja,” katanya.

Antara makanan yang viral kononnya tidak boleh dimakan ketika atau selepas kenyang menjamah durian adalah seperti susu, daging, ketam, buah-buahan sejuk dan kopi

“Sebenarnya, salah satu daripadanya saya kerap praktik iaitu makan durian dengan susu. Susu mengandungi kasein yang boleh meneutralkan kesan gas daripada durian, sekali gus bagus untuk sistem penghadaman.

“Siapa yang cakap susu tidak boleh makan campur dengan durian? Itu hanya mitos sahaja. Rugilah hidup kalau macam itu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Fatimah juga menyarankan agar orang ramai mengambil tahu tahap kesihatan badan masing-masing.

Dr Fatimah.

“Jadilah seorang yang kritikal terhadap pemakanan terutamanya mereka yang mudah sakit dan telah disahkan menghidap sesuatu penyakit.

“Jika doktor atau pakar pemakanan melarang anda mengambil makanan tertentu, pasti ada sebab kukuh,” ungkapnya.

Memberi contoh, pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang boleh terkesan dengan durian kerana kandungan bahan kimia potassium yang tinggi.

“Penting untuk orang ramai tahu, potassium yang berlebihan dalam badan (tidak ditapis keluar oleh buah pinggang) akan mengganggu fungsi kontraksi otot jantung dan seterusnya boleh membawa maut,” jelas beliau.

Bagaimanapun, ulas pakar itu lagi, kepada mereka yang sihat pula, tidak ada masalah untuk menggabungkan makanan tersebut.

“Tidak akan berlaku tindak balas kimia yang signifikan dalam sistem penghadaman sehingga menyebabkan kematian,” ujarnya.

Pun begitu, ingatlah setiap makanan yang dimakan secara berlebihan boleh mendatangkan banyak mudarat.

“Satu lagi, makanan yang tak sesuai untuk kita, belum tentu tak sesuai kepada orang lain. Jadi, janganlah pukul sama rata melarang atau mengiakan semuanya,” nasihat Dr Fatimah.

Hanya Guna 8 Bahan Sahaja, Sajian Ketupat Sotong Boleh Dihidangkan Menjelang Aidiladha

SEMPENA Hari Raya Aidiladha yang akan disambut pada Selasa depan, apa kata kita mempelbagaikan lagi sajian.

Jika sebelum ini, ketupat, nasi impit atau lemang mendominasi meja makan, namun pada kali ini, SinarPlus cadangkan agar kita menampilkan kelainan dengan membuat ketupat sotong.

Tidak susah pun untuk menyiapkannya kerana hanya memerlukan beberapa jenis bahan yang mudah untuk diperoleh.

Untuk menerangkan lebih lanjut cara pembuatannya, penulis mendapatkan Siti Maizatul Hanim Ahmad atau mesra dengan panggilan Maizatul yang berasal dari Perlis.

Maizatul berkata, ketupat sotong yang popular di negeri Pantai Timur itu merupakan satu sajian yang memiliki aura yang mewah.

“Ini kerana harga sotong yang dijual di pasaran biasanya mencecah RM35 hingga RM50 dan mungkin akan lebih mahal menjelang musim perayaan,“ ujarnya.

Kata wanita itu, pendekatan membuat menu lazat tersebut sama seperti dengan ketupat biasa, cuma beras pulut disumbat ke dalam isi perut sotong.

Siti Maizatul Hanim.

“Untuk mendapatkan hasil yang sempurna, kita rendamkan pulut bersama santan dan secubit garam lebih kurang sejam lamanya.

“Kemudian, masukkan pulut dan kepala sotong ke dalam perut (sotong). Jangan lupa cucuk dengan lidi pendek pada bahagian atasnya secara bersilang bagi elak isinya terkeluar. Kena ingat, jangan terlalu lama membiarkan sotong di dalam kuali kerana isinya boleh bertukar menjadi liat,“ terang beliau yang mempelajari resipi klasik itu daripada abang ipar beliau, Luqman Idris yang berasal dari Kelantan.

Bagi menaikkan aroma masakan, ujar wanita berusia 26 tahun itu, beberapa helai daun pandan perlu ditambah, sebelum memasukkan santan yang dicampurkan bersama gula melaka, halia dan garam. Kesemua proses tersebut memakan masa kurang dari 40 minit.

“Sebelum ini, saya memang menjual ketupat sotong dengan harga RM10 untuk 4 atau 5 ekor sotong bergantung kepada saiznya. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, saya hanya ambil tempahan daripada pelanggan sahaja,“ ujarnya yang juga menjual aneka nasi dan pulut kuning secara dalam talian.

Hainan Chicken Rice, Resipi Mudah Disediakan

Hainan Chicken Rice, resipi mudah disediakan.

MESTI korang tertanya-tanya macam mana nak sediakan nasi ayam hainan yang mudah dan cepat kan?

Jangan risau. Melalui perkongsian @JiaLeWoh di aplikasi tiktok ni, korang boleh dapatkan nasi ayam setaraf di restoran!

Kalau makan di kedai, harganya pasti mahal dan ‘portion’ yang diberi sedikit saja. Oleh itu, korang boleh cuba resipi ini. Pasti sedap dan boleh makan berulang kali.

https://www.tiktok.com/embed/v2/6986639001134320923?lang=en-US

Bahan bahan
2 cawan beras (dicuci)
Dada ayam
Bawang merah
Bawang putih
Minyak bijan

1 sudu planta
2 mangkuk air
1 sudu garam
Halia
Daun pandan

Cara penyediaan
1. Panaskan planta dan minyak bijan. Tumis bawang merah dan bawang putih sehingga naik bau.

2. Masukkan beras dan kacau sebati. Tambahkan air dan garam, biarkan sehingga mendidih dan tuangkan ke dalam periuk nasi bersama halia, daun pandan dan dada ayam.

3. Biarkan nasi masak seperti biasa.

4. Campurkan kicap manis, kicap pekat dan minyak bijan ke dalam mangkuk. Kacau sebati.

5. Apabila nasi siap dimasak, keluarkan ayam, daun pandan dan halia. Leraikan nasi dan hidang ke atas pinggan.

6. Potong dada ayam dan letak di atas nasi bersama kicap. Siap!

Mudah saja bukan? Bahan-bahan yang digunakan juga senang didapati. Korang boleh sediakan Hainan Chicken Rice ini ketika hujung minggu nanti. Selamat mencuba!

Air Selusuh Untuk Ibu Hamil, Bahaya Jika Diamalkan

Doktor Kesihatan Wanita dan Kehamilan MedTweetMY

Dr Muhammad Izzat Abdul Razak

SOALAN:

DOKTOR, saya biasa terdengar amalan mengambil air selusuh dapat membantu memudahkan proses kelahiran. Adakah kenyataan itu benar? Untuk pengetahuan doktor, ini merupakan kelahiran anak pertama saya.

  • IBU MUDA, KHAIRUNNISA MD SARANI, 27, GURUN, KEDAH.

JAWAPAN: PUAN, saya akui amalan meminum air selusuh lazimnya diamalkan dalam kalangan komuniti masyarakat Melayu.

Kebiasaannya, air selusuh akan dipraktikkan dengan menggunakan air kosong yang telah diletakkan beberapa jenis herba seperti akar kacip fatimah atau bunga sanggul fatimah.

Mungkin herba berkenaan dibeli dari Tanah Suci Makkah dan dibawa balik ke sini.

Jadi, orang zaman dulu gemar memberi air selusuh kepada komuniti ibu-ibu mengandung terutamanya mereka yang sudah dekat dengan fasa bersalin.

Mereka percaya, apabila herba itu direndamkan di dalam air kosong, ia akan menyerap dan menyerupai hormon oksitosin di dalam badan manusia.

Bukan itu sahaja, mereka juga percaya bahawa air selusuh akan memulakan kontraksi agar wanita itu cepat melahirkan bayi.

Namun demikian, perkara yang perlu dibimbangkan adalah hormon oksitosin yang diberikan dalam bentuk herba.

Sebenarnya, apabila ia diberi dalam bentuk sedemikian rupa (herba), doktor sama sekali tidak dapat mengawal dos tersebut. Itulah yang menjadi kegusaran para doktor.

Puan, dalam ilmu perbidanan moden (obstetrik), kita juga menggunakan hormon oksitosin dalam bentuk sintatik atau dinamakan sebagai pitocin.

Saya akui, pitocin lebih selamat untuk dipraktiskan kerana doktor boleh mengawal dos yang sesuai untuk setiap ibu yang bakal melahirkan bayi.

Pada pandangan saya, jika air minuman doa atau air zam-zam termasuk air bacaan ayat suci al-Quran diamalkan, ia sama sekali tidak menjadi sebarang masalah. Oleh itu, nasihat saya, tidak perlu amalkan air selusuh yang mengandungi bahan-bahan herba yang kita tidak ketahui puncanya sehingga berlaku kontraksi yang sangat teruk.

Lebih parah, keadaan itu akan mengganggu pergerakan atau peredaran darah kepada bayi.

Kesannya, jantung anak pada kardiotokografi itu akan menjadi tidak normal dan memerlukan pembedahan caeser dilakukan untuk menyelamatkan bayi yang dikhuatiri sudah lemas.

Bukan itu sahaja, amalan air selusuh juga akan ‘mendesak’ pintu pangkal rahim untuk buka walaupun ia belum bersedia. Bahaya!

Oleh itu, pada pandangan saya, untuk ibu-ibu hamil di luar sana, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum menentukan baik buruk sesuatu tindakan itu diambil termasuk amalan air selusuh.

Selain itu, ibu-ibu hamil juga boleh praktiskan satu doa bagi memudahkan urusan kehamilan masing-masing.

Doa yang saya maksudnya itu adalah doa Nabi Yunus yang bermaksud: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (YA ALLLAH)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang zalim.”

Sebaik-baiknya, amalkan doa tersebut ketika sudah tiba masa untuk bersalin dan jangan sesekali amalkan air seluruh yang tidak diketahui kandungannya secara jelas.

Genetik punca masalah kehamilan kantung

SOALAN:

DOKTOR, beberapa bulan lalu saya alami keguguran yang mana kandungan saya hanya mempunyai kantung sahaja. Saya ingin bertanya, jika saya mengandung lagi selepas ini, apakah perkara sama boleh berlaku? Saya juga ingin tahu, apakah punca masalah itu boleh terjadi? Mohon perincian daripada doktor.

  • INGIN TAHU, ROSDIANA ISMAIL, 28, KUALA KANGSAR, PERAK.

JAWAPAN: Puan, sebelum pergi lebih jauh, izinkan saya menjelaskan secara ringkas mengenai situasi kehamilan kantung.

Secara mudahnya, kandungan kantung adalah satu keadaan yang mana telur yang disenyawakan tetap akan menempel pada dinding rahim.

Sebenarnya, keadaan itu berlaku seperti kehamilan yang biasa, tetapi situasi kantung kosong berlaku setelah telur yang telah menempel pada dinding rahim tidak berkembang menjadi embrio.

Puan, lazimnya, dalam keadaan sebegitu, kehamilan tersebut tidak dapat diteruskan kerana ia akan kekal dalam keadaan kantung dan bakal berakhir dengan keguguran.

Mengenai sebab-sebab berlakunya kandungan kantung, jelas sekali terjadi kerana masalah genetik.

Ia kerana ketidaknormalan pada kromosom disebabkan oleh kualiti telur wanita atau kualiti sperma yang tidak berapa bagus.Bagaimanapun, kehamilan kantung kosong sama sekali tidak berkait dengan faktor pemakanan.

Secara asasnya, kehamilan seperti itu berlaku sekali sahaja dan tidak berulang-ulang untuk kehamilan yang berikutnya.

Mengenai proses keguguran, lazimnya, ia akan bermula dengan keadaan yang sakit pada bahagian ari-ari dan pendarahan sedikit demi sedikit sehingga semua janin itu dikeluarkan.

Jadi, semasa proses menunggu itu, kadangkala ibu akan berasa tidak selesa disebabkan oleh kesakitan yang dialaminya.

Oleh itu, jika tidak ada apa-apa tanda yang menunjukkan ibu akan mengalami keguguran secara spontan, doktor akan segera berbincang dengan ibu mengenai prosedur-prosedur rawatan yang dapat membantu sepanjang komplikasi itu berlaku.

Jangan Keliru Abuk-Abuk Sagu Dengan Tepung Gomak. Ini Cara Penyediaannya

BOLEH dikatakan kuih abuk-abuk sagu memang sudah jarang ditemui di warung-warung waima di pasar malam sekalipun.

Menurut seorang guru cemerlang, Rosni Johari, di beberapa negeri di utara juga, sajian berkenaan susah untuk dicari, sedangkan untuk membuatnya tidaklah terlalu sukar.

Rosni Johari.

“Kuih ini mengambil masa lebih kurang sejam sahaja untuk menyiapkannya. Namun untuk menghasilkan kuih yang betul-betul sedap, kena patuh kepada beberapa petua,” kata guru yang mengajar subjek Sains Rumah Tangga di Sekolah Menengah Kebangsaan Penanti, Bukit Mertajam, Pulau Pinang membuka bicara.

Antaranya, ujar Rosni, pembikinnya wajib menggunakan gula melaka yang asli.

“Jika orang ramai ingin tahu, gula melaka yang asli biasanya lebih lembut dan gebu. Jika ia keras, itu bermaksud gula tadi sudah dicampur dengan bahan lain iaitu gula putih. Bukan itu sahaja, dari segi rasanya juga, kita dah boleh tahu sama ada gula melaka yang digunakan asli atau sebaliknya,” katanya.

Selain itu, sebaik-baiknya guna kelapa muda yang dipanggil oleh orang utara Semenanjung sebagai nyok kemantan dipilih untuk menyiapakan kulinari warisan itu.

“Nyok kemantan mampu membuatkan kuih abuk-abuk sagu bertahan selama tiga hari jika disimpan di dalam peti sejuk,” katanya sambil menambah proses mengukus kuih yang ideal hanya memakan masa antara 10 hingga 15 minit sahaja.

Sebelum itu kata Rosni, terdapat kekeliruan dalam kalangan penduduk utara yang menyangkakan kuih abuk-abuk sagu adalah kuih tepung gomak.

“Ini disebabkan mereka terbayangkan kuih abuk-abuk disalut bersama debu kacang hijau, tetapi sebenarnya mereka silap,” katanya.

Beliau memberitahu SinarPlus, resipi kuih abuk-abuk sagu turut tersenarai dalam buku SRT pada era 1970-an dan beliau sendiri mempelajari membuatnya daripada naskhah berkenaan.

Disebabkan kesukaran untuk mendapatkan kuih tradisi berkenaan, anak jati Pulau Pinang itu berkata, beliau mengambil pendekatan membuatnya sendiri, di samping menjual untuk rakan-rakan dan jiran-jiran terdekat yang ingin merasa kesedapan dan keenakan kuih berkenaan.

PROFIL

  • Nama: Rosni Johari
  • Umur: 45 tahun
  • Asal: Butterworth, Pulau Pinang
  • Menetap: Lunas, Kedah
  • Facebook: Rosni Johari

RESIPI KUIH ABOK-ABOK SAGU

Bahan-bahan

  • 1 cawan sagu
  • 1 cawan kelapa parut (putih sahaja)
  • 1/2 cwn air pandan
  • Gula Melaka (diracik halus)
  • Sedikit garam
  • Sedikit pewarna hijau – Daun pisang (dijadikan kelongsong balutan)

Cara penyediaan:

  1. Pertama sekali, tapis sagu yang sudah direndam.
  2. Kemudian, campurkan sagu dengan kelapa parut, garam dan air pandan sehingga sebati.
  3. Seterusnya, daun pisang dijadikan kelongsong, masukkan satu sudu adunan sagu, gula melaka dan diikuti dengan adunan sagu semula (di bahagian atas).
  4. Bungkus kemas dan masukkan kuih abok-abok sagu ke dalam pengukus.
  5. Akhir sekali, kuih tadi siap untuk dikukus selama 10 hingga 15 minit.

Sumber: Rosni Johari

Aiskrim Durian ‘Homemade’ 5 Bahan, Sedap Dan Gebu

Aiskrim Durian ‘homemade’ 5 bahan, sedap dan gebu

DURIAN merupakan buah kegemaran ramai orang. Malah raja buah ini sentiasa menjadi tumpuan peminatnya terutama pada musim durian sekitar Jun hingga Ogos setiap tahun.

Memandangkan sekarang musim buah ini dan durian banyak di pasaran dan harganya agak murah, ramai yang mempelbagaikan cara penyediaannya. Ada yang kreatif menggunakan durian sebagai kek, bahkan ada yang membakarnya dengan keju!

Salah satu yang korang boleh cuba ialah membuat sendiri Aiskrim Durian. Lembut, sedap dan tekstur segegu aiskrim dijual dipasaran.

Perkongsian resipi aiskrim durian Uwan Nolly Epin ini boleh korang jadikan panduan untuk menyediakan resipi aiskrim durian ‘homemade’ yang mudah dan lazat. Mari kita lihat bahan-bahan yang diperlukan.

Aiskrim Durian ‘homemade’ 5 bahan, sedap dan gebu

Bahan – bahan
6 hingga 10 ulas durian
1 tin susu cair
1/2 tin susu pekat
1 sudu kecil ovelette
Sedikit pewarna kuning

Cara penyediaan
1.Kisar semua bahan-bahannya sehingga sebati.
2.Masukkan ke dalam mixer dan pukul selama 20 hingga 30 minit sehingga gebu.
3.Titiskan sedikit pewarna kuning.
4.Tuangkan adunan ke dalam bekas dan tutup bekas tersebut.
5.Bekukan di dalam peti sejuk beku bahagian sejuk beku.

Mudah sahaja kan? Rugi kalau tidak mencuba. Memang nikmat sungguh makan aiskrim ni bila cuaca panas, tanpa perlu bersusah payah membeli di kedai lagi.

Sebenarnya, macam-macam resepi kita boleh buat dengan menggunakan durian. Antara yang terkenal termasuklah Durian Crepe, Cream Puff Durian, Kek Keju Durian, Seri Muka Durian, Jem Durian dan tidak lupa, Tempoyak.

Sumber: Facebook Masak Apa Hari Ni (Uwan Nolly Epin)