Sedap, Berkhasiat! Ini Resipi Paling Mudah Buat Sendiri Nugget Ayam

Sedap, berkhasiat! Ini resipi paling mudah buat sendiri nugget ayam

MEMANG tidak dinafikan makanan ringan seperti nugget merupakan juadah yang anak-anak paling suka.

Pun begitu, jika terlalu kerap makan nugget yang ada di pasaran, boleh mengundang bahaya kerana ia dalam kategori makanan yang diproses.

Kandungan garam yang tinggi adalah punca kepada peningkatan tekanan darah dan pengambilan kalori tinggi nugget juga boleh menyebabkan kegemukan.

Oleh itu, apa kata korang cuba resipi nugget ayam yang ‘homemade’ ini, tak perlu guna penambah rasa pun!

Sihat dan bersih pula untuk dinikmati seisi keluarga.

Boleh juga dijadikan sebagai sejuk beku makanan sihat untuk anak-anak sambil beraktiviti masak-masak bersama mereka bagi mengisi masa lapang yang ada.

Bahan-bahannya;

  • Isi ayam (3 ketul)
  • serbuk roti (5 sudu)
  • Telur (1 biji)
  • Lobak merah ( optional)
  • Tepung ubi( 1 sudu)
  • Garam ( 1 sudu kecil)
  • Serbuk lada hitam (1 sudu kecil)
AWAS pencinta Nugget, bukan hanya mampu menggemukkan, malah ia diperbuat daripada lemak dan tulang ayam sahaja!

Cara-cara membuatnya;

1. Isi ayam dikisar atau ditumbuk sehingga lumat.

2. Campurkan isi ayam bersama tepung ubi, garam, serbuk lada hitam dan lobak merah yang telah dicincang. Gaul sebati.

3. Kemudian bentukkan ia ikut kesukaan masing-masing.

4. Masukkan ke dalam peti sejuk selama 20 minit.

5. Selepas itu baru salutkan dengan telur dan serbuk roti.

6. Goreng dengan api sederhana sehingga masak. Sedia dihidang.

Selamat mencuba! Semoga bermanfaat.

Sumber: Hawa Aziz

Covid-19: Hati-Hati, Pejabat Dengan Ruang Tertutup, Penghawa Dingin Mudahkan Virus Merebak Dengan Mudah

SEJAK Mac lepas hingga sekarang, kluster tempat kerja kekal menjadi penyumbang utama peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Tiada siapa boleh menidakkannya kerana Kementerian Kesihatan telah melaporkan bahawa hingga Ogos lepas, kluster tempat kerja mewakili 53.2 peratus atau 1,549 daripada keseluruhan kluster.

Keadaan tempat kerja terutamanya di dalam bangunan tertutup dikenal pasti berisiko tinggi menjadi ‘sarang’ penularan virus seperti Covid-19.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia juga telah menyatakan sebelum ini bahawa risiko penularan Covid-19 di dalam bangunan tertutup dengan sistem pengudaraan yang tidak baik adalah lebih tinggi berbanding di luar bangunan.

KAJIAN PENYELIDIK TEMPATAN

Perkara tersebut turut dibuktikan oleh kajian penyelidik tempatan yang menunjukkan virus maut itu mampu terampai lama di udara dan tersebar sejauh lebih dua meter, malah boleh melangkaui 6 meter dalam ruang tertutup tanpa pengaliran udara segar.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia yang diketuai Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir mendapati, ruang tertutup dan operasi pendingin hawa yang mengitar semula udara akan memudahkan penyebaran virus dalam udara melalui aerosol.

Dr Mohd Shahrul.

Kajian kedua oleh pakar simulasi udara dalaman dari Universiti Tuanku Abdul Rahman, Prof Madya Dr Bernard Saw Lip Huat dan Pakar Toksikologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Leo Bey Fen pula mendapati, virus Covid-19 sukar dikawal penyebarannya kerana zarah virus itu boleh berada di udara selama lebih lapan jam.

“Oleh itu, sangat penting mempunyai pengudaraan yang baik dengan membuka tingkap dan pintu di rumah atau pejabat bagi membolehkan udara segar masuk. Bagaimanapun, bagi pejabat atau kilang tertutup yang tingkapnya tidak boleh dibuka, penyenggaraan pendingin hawa dan sistem pengudaraan sangat penting.

“Pengabaian pengudaraan yang baik serta ketiadaan penyenggaraan pendingin hawa membawa kebarangkalian tinggi untuk mencetuskan kluster tempat kerja sekiranya ada pesakit Covid-19 datang ke pejabat.

“Ini kerana individu itu berisiko tinggi menyebarkan virus kepada rakan sekerja lain melalui bawaan udara,” jelas Mohd Shahrul kepada Bernama.

KLUSTER TEMPAT KERJA

Hasil kajian tersebut yang diterbitkan dalam jurnal tersohor Nature Scientific Reports pada Januari lepas, tidak boleh dipandang remeh, sementelah melihat trend kadar jangkitan di tempat kerja yang membimbangkan sekarang.

Di sebalik kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang semakin menghampiri imuniti kelompok, keadaan semasa pandemik boleh bertambah buruk sekiranya majikan mengabaikan aspek sistem pengudaraan dan prosedur operasi standard (SOP) lain, lebih-lebih lagi pelbagai sektor ekonomi sudah dibenarkan kembali beroperasi.

Ini kerana mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti Covid-19 dan juga boleh menjangkiti orang lain.

Namun yang dibimbangi adalah masih ada golongan yang belum menerima vaksin dan mereka berisiko mendapat kesan yang lebih teruk jika dijangkiti.

“Kajian saya di hospital sebelum ini mendapati jururawat yang telah divaksinasi positif Covid-19 sebanyak dua kali. Cuma kesan jangkitan virus itu lebih minimum, antara kategori 1 dan 2 sahaja berbanding mereka yang tidak mendapat vaksin, berisiko untuk sampai ke peringkat 3 hingga 5.

“Berdasarkan kajian kami yang meneliti pergerakan virus itu di dalam bangunan, SOP seperti kerap membasuh tangan dan menjaga jarak tidak cukup untuk memberi perlindungan terhadap titisan zarah mikro pernafasan yang membawa virus yang disebarkan ke udara oleh orang dijangkiti. SOP itu harus dibantu dengan sistem pengudaraan yang baik,” katanya.

LEBIH BAHAYA

Mengulas lanjut mengenai keberadaan virus menerusi udara, beliau berkata, keadaan itu berlaku apabila titisan cairan, sama ada melalui bersin, bercakap atau batuk, daripada seseorang yang positif Covid-19 melekat pada zarah (habuk) terutama yang bersaiz 1 mikrometer.

“Sekiranya tidak ada pengaruhan aliran udara, virus tersebut yang melekat pada zarah akan terampai selama lapan jam, namun bagi zarah virus Covid-19 yang lebih halus, kurang daripada satu mikrometer, ia boleh berada lebih lapan jam di udara,” katanya.

Sementara itu, Dr Bernard dalam kajiannya selama tiga bulan bermula Ogos hingga Oktober tahun lepas (2020), mendapati kira-kira 50 peratus virus Covid-19 tersebar dalam lingkungan diameter 1 meter, manakala sebahagian lagi melangkaui 2 hingga 6 meter (m).

Kajian itu dilakukan ke atas seorang pesakit Covid-19 yang ditempatkan di dalam sebuah wad di hospital.

“Wad sepanjang 6m ini menggunakan pendingin hawa jenis ‘cassette air conditioner’ yang hanya mengitar semula udara dan tidak ada kemasukan udara luar. Berdasarkan kajian yang dilakukan menggunakan pengiraan dinamik bendalir, didapati virus SARS-CoV-2 tidak keluar dari wad tersebut.

“Ia berada di dalam bilik berkenaan dan boleh terampai di udara di mana-mana sahaja kerana tidak ada pengaliran udara segar untuk membersihkan virus tersebut,” katanya.

SANITASI?

Mengulas lebih lanjut, Dr Bernard berkata, tahap risiko seseorang itu boleh dijangkiti melalui bawaan udara bergantung pada jumlah virus yang tersebar di dalam sesebuah bangunan tertutup.

Jika virus itu yang tersebar melalui bersin, bercakap dan bernafas adalah banyak, maka ada kemungkinan seseorang yang dijangkiti akan mengalami jangkitan teruk.

Lebih membimbangkan sekarang adalah kehadiran varian baharu virus SARS-CoV-2 iaitu varian Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria dengan kadar kebolehjangkitan lebih tinggi seperti varian Delta yang mampu menjangkiti dalam tempoh 15 saat sahaja, selain peningkatan kes sporadik oleh mereka yang positif Covid-19 tetapi tidak bergejala.

Setakat 17 Ogos lalu, negara merekodkan 710 kes VOI (varian yang perlu diperhatikan) dan varian yang membimbangkan (VOC) dan daripada jumlah itu, 467 adalah kes varian Delta (VOC).

“Tidak ada cara lain lagi. Kepentingan kualiti udara dalaman wajar diambil perhatian jitu oleh majikan. Sebenarnya, pihak majikan yang kebanyakannya menggunakan sistem pendingin hawa berpusat, boleh membenarkan udara segar masuk ke dalam sesebuah bangunan mereka secara berkala.

“Ini dilakukan di China iaitu tiga kali sehari, lebih kurang 30 minit. Mereka melakukannya dengan cara mengawal sistem pendingin hawa untuk membenarkan kemasukan udara segar ke dalam bangunan tertutup bagi proses ‘flushing’ udara.

Sanitasi di rumah untuk elak Covid-19 perlu atau tidak? Ini apa kata pakar

“Namun, tidak ramai majikan yang mahu membuatnya kerana melibatkan kos. Bil elektrik akan tinggi apabila mereka melakukan fungsi ini kerana kompresor pendingin hawa akan bekerja lebih banyak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, amalan sanitasi pejabat tanpa penyenggaraan pendingin hawa juga tidak membawa manfaat kerana risiko penyebaran tetap wujud sekiranya individu positif Covid-19 datang ke pejabat selepas dua hari tempat kerja disanitasi.

Ini kerana katanya, sanitasi hanya membersihkan virus tersebut pada hari berkenaan sahaja dan tidak berkekalan hingga hari-hari seterusnya.

Justeru, beliau berpandangan penggunaan pembersih udara yang mempunyai penapis udara HEPA (sejenis penapis udara mekanikal yang berfungsi dengan memaksa udara melalui jaringan halus yang memerangkap zarah berbahaya seperti kuman dan sebagainya) antara alternatif yang boleh dilakukan majikan bagi meningkatkan kualiti pengudaraan dalaman.

BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN

Hakikatnya, ancaman Covid-19 bawaan udara di dalam bangunan tidak dipandang remeh oleh kerajaan apabila Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan membangunkan satu Panduan Pengudaraan dan Kualiti Udara Dalaman (IAQ) bagi membantu mengurangkan penularan virus tersebut melalui udara.

Objektif panduan itu adalah memaklumkan kepada masyarakat mengenai kaedah bagi menambah baik pengudaraan dan kualiti udara dalaman di tempat kerja, kemudahan kesihatan, kediaman dan tempat awam dengan tujuan mengurangkan risiko penularan Covid-19 melalui udara.

Panduan tersebut yang perlu dirujuk bersama SOP terkini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan langkah kawalan lain dalam mengurangkan penularan wabak, menyarankan peningkatan kadar pengudaraan, mengurangkan jumlah penduduk di dalam bangunan, membuka tingkap atau pintu, menggunakan pembersih udara boleh alih dan meningkatkan kemasukan udara segar dari luar bangunan.

Mengulas mengenai isu itu, Timbalan Presiden I Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia, Mohamad Aliasman Morshidi berkata, selain panduan IAQ, majikan juga sebenarnya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 sekiranya gagal menyediakan tempat kerja yang selamat dan ini termasuk kualiti pengudaraan di dalam bangunan.

Mohamad Aliasman.

“Secara umumnya terdapat beberapa peruntukan dalam AKKP 1994 seperti Seksyen 15 dan Seksyen 17 yang menerangkan kewajipan majikan untuk memastikan mereka menyediakan tempat kerja yang selamat dan tanpa risiko kesihatan kepada pekerja.

“Di sinilah pihak majikan mesti membuktikan mereka telah mengambil langkah terbaik dalam mengurangkan jangkitan Covid-19 di tempat kerja dengan melakukan penaksiran risiko dengan betul dan meletakkan langkah kawalan yang efektif dengan merujuk kepada SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Sekiranya majikan atau pemilik bangunan gagal mematuhi ICOP IAQ atau Kod Tataamalan Industri bagi Kualiti Udara Dalaman 2010, mereka memang boleh didakwa di bawah AKKP 1994,” katanya.

Menyedari akan kepentingan majikan menyediakan pengaliran udara dalaman yang baik, beliau berkata MSOSH sebagai persatuan yang aktif dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia, telah menganjurkan pelbagai program kesedaran mengenainya.

Ini penting memandangkan lebih ramai yang akan kembali bekerja di pejabat, kilang dan sebagainya apabila lebih banyak sektor dibuka kelak berikutan negara juga dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober ini selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

“Banyak perkara positif yang kita boleh belajar daripada pandemik Covid-19. Selain isu berkaitan kesihatan awam, isu berkaitan KKP (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan) di tempat kerja menjadi perhatian utama selepas kita dapat melihat kenaikan kes wabak berkenaan berpunca daripada kluster tempat kerja.

“Di sinilah (pentingnya) peranan proaktif pihak majikan (yang) bertanggungjawab dalam memastikan risiko jangkitan Covid-19 diurus dengan baik, efektif mengikut tahap risiko di tempat kerja dan juga dari segi pematuhan SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Sengsaranya Kalau Ada Resdung, Ini Tindakan Penting Dan Segera Perlu Anda Lakukan!

SETIAP hari, Sakina Amina Ahmad, 25, akan mengalami kegatalan hidung. Tangannya pula asyik ingin menggaru di sekitar kawasan mata dan hidung sehingga bertukar kemerah-merahan.

Badannya pula menjadi tidak selesa kerana terlalu kerap bersin.

Jika terdedah kepada habuk, asap kenderaan atau memegang haiwan berbulu pula, ‘kesengsaraannya’ semakin menjadi-jadi sehingga tidak mampu dikawal.

Kata wanita itu, emosinya sememangnya berkecamuk kerana terpaksa menjalani kehidupan serba tidak kena.

Persoalannya, apakah simptom-simptom yang dialami gadis itu berkaitan dengan masalah rongga sinus atau istilah yang dikenali ramai sebagai resdung?

Benarkah kemelut kesihatan itu boleh berpanjangan sehingga mampu menempah maut?

Bagi menjawab semua tanda tanya tentang penyakit resdung, Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr Dipak Banarsi Dass berkongsi hujahnya menerusi program Doktor dan Anda (DNA) yang disiarkan di semua platform SinarPlus baru-baru ini.

Dr Dipak.

Membuka bicara, Dr Dipak berkata, resdung sangat berkait rapat dengan masalah sinus infection (sinusitis).

Sinusitis adalah peradangan pada dinding sinus yang merupakan rongga kecil berisi udara di dalam tulang tengkorak meliputi sebelah atas, tepi dan bawah mata seseorang.

Saat berlaku jangkitan, rongga itu akan terisi lendir dan terjadilah pembengkakan pada selaput lendir sehingga membuatkan hidung tersumbat.

“Sebenarnya, ruang-ruang tersebut merupakan ruang yang kosong. Apabila berlakunya sinusitis, ruang-ruang berkenaan akan dipenuhi dengan lendiran. Lama-kelamaan, apabila tidak dirawat, ia akan bertukar menjadi nanah,” terang pakar tersebut.

Berdasarkan perangkaan, ujar Dr Dipak, penyakit resdung adalah satu masalah lazim yang berlaku di seluruh dunia. Di Malaysia sahaja, dianggarkan 60 hingga 65 peratus penduduk mengalaminya.

Bagaimanapun, daripada peratusan tersebut, boleh dikatakan kurang 50 peratus mendapatkan rawatan. Hal itu berkemungkinan besar disebabkan para penghidap menganggap gejala resdung hanyalah selesema atau alahan biasa yang tidak memudaratkan.

Menurut healthline.com, terdapat perbezaan yang sangat ketara antara resdung dan selesema, meskipun gejalanya hampir serupa.

“Perbezaannya adalah selesema akan hilang selepas mendapatkan rawatan dengan mengambil medikasi yang disarankan seperti ubat-ubatan.

“Namun, bagi resdung pula, ia akan hadir secara kerap (berulang-ulang) terutama apabila seseorang itu terdedah kepada alergen yang menyebabkan resdung,” menurut portal perubatan antarabangsa itu.

Imuniti

Menyambung hujah, Dr Dipak memberitahu, imuniti badan memainkan peranan yang sangat penting dalam mencegah resdung.

“Sekiranya pesakit yang mempunyai imuniti rendah seperti penghidap sindrom imunodefisiensi atau AIDS dan diabetes, tidak dinafikan mereka sangat mudah mendapat jangkitan sinusitis,” ujarnya.

Secara asasnya, ujar Dr Dipak, resdung boleh dipecahkan kepada dua kategori utama iaitu:

1. Bermusim

  • Biasanya berlaku pada musim bunga, musim panas dan awal musim gugur. Ia terjadi disebabkan oleh sensitiviti alergi terhadap spora yang terbang di udara atau debunga daripada tumbuh-tumbuhan

2. Berpanjangan

  • Pesakit akan mengalami gejala sepanjang tahun. Lazimnya, kemelut itu menyerang berpunca daripada hama debu, bulu haiwan, lipas atau kulat.

Pun demikian, sesetengah pesakit hanya melalui fasa di luar kategori tersebut.

“Contohnya, alahan hanya dialami beberapa hari sahaja dan kemudiannya akan berkurangan. Namun, (beberapa hari) selepas itu, ia (alahan) kembali ‘bertapak’ di dalam rongga hidung sehingga menjadi sempit dan menyebabkan kesukaran untuk bernafas,” terangnya.

Menjawab satu soalan lain, ujar pakar itu, terdapat dua klasifikasi punca kepada alahan tersebut.

“Pertamanya adalah dari segi persekitaran seperti habuk, hama dan debu. Keduanya, dari sudut pemakanan seperti makanan berprotein, antaranya udang, kerang dan telur,” tambahnya.

Dr Dipak juga ditanya bagaimana untuk membezakan simptom resdung yang seakan-akan sama dengan penyakit lain seperti kanser hidung, seduan, polip dalam saluran hidung dan jangkitan kuman pada saluran rongga muka?

Memberi respons pantas kepada soalan itu, beliau berkata, gejala-gejala yang dinyatakan akan lebih spesifik dan berlainan.

“Seperti alahan hidung, pesakit akan mengadu hidungnya tersumbat, gatal-gatal pada muka atau hidung dan mempunyai lendiran yang banyak.

“Sebaliknya, bagi kanser pula, mereka akan mengatakan gejala yang berbeza seperti hanya sebelah lubang hidung sahaja tersumbat dalam tempoh masa yang lama, bengkak pada bahagian leher, sakit pada muka serta sukar untuk membuka mulut,” jelasnya.

Diagnosis berperingkat

Seperti kata Dr Dipak, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru, Dr Ezairy M Sallih mengulangi fakta bahawa penyakit resdung dialami oleh ramai penduduk di negara ini.

Beliau juga menegaskan, ramai individu mempunyai gejala resdung, cuma mereka tidak sedar sedang atau telah mengalami simptom tersebut.

Kepada satu soalan, Dr Ezairy berkata, sekiranya pesakit mengambil keputusan untuk berjumpa doktor, proses diagnosis akan dilakukan ke atas pesakit secara berperingkat.

“Ia akan bermula dengan mengetahui sejarah dan latar belakang mereka. Pada peringkat ini, doktor mungkin sudah dapat mengenal pasti kemungkinan masalah yang dialami pesakit.

“Kemudian, pakar akan meneruskan pemeriksaan terutama pada hidung, tekak dan telinga. Pada tahap ini, kebiasaannya doktor sudah boleh kesan masalah sebenar pesakit,” katanya.

Jika sudah didiagnosis sebagai pesakit resdung, langkah seterusnya adalah mendapatkan nasihat dan melakukan pemeriksaan dengan doktor perubatan yang bertauliah.

“Ia penting kerana ramai dalam kalangan pesakit lebih gemar mencuba rawatan tradisional yang belum tentu terjamin keberkesanannya. Ya, tidak salah untuk mencuba tetapi rawatan bersama doktor mesti dimulakan terlebih dahulu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, pakar perubatan tersebut berkata, pemeriksaan endoskopi yang turut akan dilakukan membolehkan struktur-struktur anatomi yang ada di dalam hidung pesakit dapat dilihat dengan jelas.

Bagi sesetengah kes pula, sampel darah akan diambil untuk dianalisis di makmal.

“Tujuannya adalah untuk mengetahui punca masalah yang dialami mereka sama ada disebabkan oleh alahan, jangkitan virus, bakteria atau fungus.

“Rawatan yang biasa diberikan untuk itu adalah memberi ubat semburan hidung. Kekerapan penggunaannya pula adalah bergantung kepada jenis semburan hidung yang diberikan sama ada mengandungi steroid, antihistamine atau ubat pelega,” katanya.

Pesakit juga mungkin akan diberi ubat seperti ubat alahan, pil steroid untuk sesetengah kes dan ada juga yang memerlukan ubat seperti antibiotik.

Sudah tentunya, apa juga jenis penyakit, ia boleh mengakibatkan komplikasi dan kesan sampingan. Begitu juga dengan penyakit resdung yang boleh mengganggu kualiti hidup pesakit.

Bagi kes yang kritikal, kata Dr Ezairy, ia boleh menyebabkan penghidap kerap tidak dapat datang ke sekolah dan juga ke tempat kerja.

“Selain itu, kes resdung yang lambat diketahui juga boleh menyebabkan jangkitan pada rongga sinus merebak. Ia (jangkitan) boleh menular ke mata atau otak sehingga boleh menyebabkan pesakit mengalami sawan dan koma.

“Masalah resdung yang dikenal pasti lebih awal lebih mudah untuk dirawat. Datang dan berjumpalah dengan doktor di hospital, pesakit akan dibantu,” pesannya.

Terpaksa Bawa Pesakit Covid-19 Ke Hospital Dengan Kenderaan Sendiri, Doktor Kongsi Cara Selamat

MEMANG tidak dinafikan ada diantara kita akan berasa ragu-ragu untuk membawa pesakit seperti ahli keluarga yang positif Covid-19 kerana bimbangkan keselamatan diri.

Hakikat sebenarnya, perkara itu masih boleh dilakukan dengan beberapa langkah.

Penjelasan Pegawai Perubatan dan Pakar Bius, Dr Hana Hadzarami ini boleh dijadikan panduan.

Dr Hana menerusi laman sosial TikTok menghuraikan lima langkah yang perlu dilakukan pemandu.

LANGKAH 1

Pastikan korang terlebih dahulu memakai Peralatan Perlindungan Diri (Personal Protective Equipment-PPE) yang asas iaitu pelitup muka N95, pelindung muka dan sarung tangan.

Pun begitu, jika ada apron plastik yang boleh dipakai, langkah itu adalah lebih baik.

LANGKAH 2

Pesakit Covid-19 yang dibawa perlu memakai pelitup muka 3 ply sahaja dan tidak perlu memakai PPE.

LANGKAH 3

Wujudkan penjarakan fizikal ketika berada di dalam kenderaan. Misalnya, jika korang duduk di tempat duduk pemandu, pesakit hendaklah duduk di belakang dan bertentangan dengan pemandu.

Pemandu perlu memastikan jarak sejauh mungkin dengan pesakit.

LANGKAH 4

Pemandu perlu memastikan kenderaan mempunyai pengaliran udara yang cukup. Penggunaan pendingin hawa perlu dielakkan dan membuka tingkap.

Katanya, membuka tingkap semasa kereta bergerak boleh menurunkan transmisi virus lebih 50 peratus.

Jika memandu dengan kelajuan rendah, buka semua tingkap. Namun jika pemanduan laju atau ketika hujan, tingkap yang sarankan dibuka separuh berlawanan dengan tempat duduk penumpang.

Kata Dr Hana paling tidak setiap 10 minit sekali tingkap perlu dibuka.

LANGKAH 5

Selepas pulang ke rumah, pemandu perlu segera mandi dan membersihkan diri.

Jangan lupa untuk melakukan nyahkuman pada keseluruhan bahagian kereta dan mengelap permukaan yang mungkin terdedah kepada Covid-19.

Diharapkan perkongsian Dr Hana ini memudahkan urusan dan tanggungjawab mereka yang perlu menghantar pesakit Covid-19 untuk ke hospital.

Sumber: @drhanahadzrami

Hamil Pada Lewat Usia, Ini Risiko Kesihatan Yang Perlu Ibu Dan Bayi Tanggung

TIDAK dapat dinafikan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan sejak Mac tahun lalu, kadar kelahiran penduduk negara telah mengalami pertambahan luar biasa.

Menurut laporan akhbar tempatan, situasi itu tercetus ekoran majoriti pasangan berkahwin terpaksa berkurung sepanjang tempoh itu dilaksanakan.

Pada masa sama, mungkin terdapat para pembaca yang turut terdetik bagi merancang untuk hamil, walaupun pada lewat usia iaitu menjangkau 50 tahun.

Namun, di sebalik perancangan tersebut, para ibu perlu pastikan tubuh badan betul-betul bersedia dan sihat sebelum hamil.

Meskipun tidak mustahil untuk hamil secara semula jadi, tetapi ia boleh dikatakan sesuatu yang sangat jarang berlaku.

Menurut Public Health Malaysia (PHM) baru-baru ini, wanita sebenarnya dilahirkan dengan jumlah telur pada ovari yang secukupnya sejak lahir.

“Semakin lanjut usia, kuantiti telur juga akan semakin berkurang dan sudah pasti terdapat kebarangkalian telur itu mengalami abnomaliti,” beritahu mereka.

Oleh itu, seandainya keadaan itu berlaku, perkhidmatan bantuan kesuburan mungkin diperlukan termasuklah menggunakan telur yang didermakan.

Namun, orang ramai juga perlu tahu akan risiko hamil pada lewat usia.

Sebenarnya, dilema itu bukan sahaja akan memberi kesan kepada bayi yang bakal dikandung sahaja, malah kepada ibu itu sendiri.

Beberapa risiko yang boleh dihadapi sekiranya kehamilan lanjut usia berlaku seperti didedahkan oleh PHM.

Risiko kepada ibu:
i) Masalah kencing manis semasa kehamilan.
ii) Tekanan darah tinggi.
iii) Kelahiran pramatang.
iv) Bayi kembar.
v) Uri rendah.
vi) Kelahiran secara pembedahan.

Risiko kepada bayi:
i) Pertumbuhan terbantut.
ii) Bayi tidak normal seperti alami sindrom Down, sindrom Edwards dan sindrom Patau.
iii) Keguguran.

Oleh itu, sangat penting untuk ibu-ibu mendapatkan pemeriksaan prakehamilan.

Selain itu, pastikan para ibu mengambil makanan yang seimbang selain kekal aktif sepanjang tempoh berbadan dua.

Minyak zaitun terbaik! Ini makanan tambahan sihat ibu hamil

Bukan itu sahaja, dapatkan juga konsultasi doktor pakar mengenai perancangan kehamilan untuk mereka yang sudah berusia 50 tahun dan ke atas.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca SinarPlus.

Hati-Hati Dengan Tiga Kebiasaan Selepas Bangun Tidur Yang Mampu Menjejaskan Kesihatan

TIDUR merupakan ruang waktu yang memberikan peluang kepada seseorang untuk berehat.

Selain menjadi sebahagian daripada rutin harian, memiliki kualiti tidur juga mampu untuk mengekalkan kesihatan fizikal dan mental manusia.

Hal ini kerana apabila seseorang itu sedang tidur, organ seperti otak tetap berfungsi dan bersedia untuk memulakan hari pada keesokannya.

Tanpa waktu tidur yang cukup, seseorang itu berkemungkinan akan mengalami masalah untuk berkomunikasi, berfikir dengan rasional dan gagal memberikan hasil kerja yang maksimum.

Namun, tahukah anda bahawa terdapat beberapa tabiat yang sudah menjadi kebiasaan dilakukan sebaik sahaja seseorang bangun daripada tidur juga mampu menjejaskan kesihatan.

Perkara ini bahkan turut menyebabkan berlakunya peningkatan berat badan berlebihan.

Justeru, berikut SinarPlus kongsikan kesan akibat kebiasaan yang dilakukan sebaik sahaja bangun dari tidur menurut akaun Instagram, Fakta Info Kesehatan:

1.Bangun lewat atau kesiangan

Dianggarkan seseorang dewasa hanya memerlukan sekitar enam hingga lapan jam sehari untuk tidur.

Bagaimanapun, bagi mereka yang gemar menghabiskan masa dengan tidur berlebihan atau tidak proaktif sebaik sahaja bangun tidur dipercayai terdedah kepada risiko kegemukan.

Hal ini kerana mereka tidak melakukan sebarang aktiviti melibatkan fizikal selain akan meningkatkan selera makan berlebihan.

2. Lambat bersarapan

Bagi mereka tidak gemar bersarapan atau sengaja melewatkan waktu sarapan, anda tergolong dalam kumpulan yang kerap berasa lapar.

Peningkatan hormon stres juga akan berlaku terutama apabila kadar hormon kortisol meningkat dan menyebabkan anda mudah berasa cemas dan gelisah.

Tidak bersarapan juga akan menyebabkan anda mengambil hidangan makan tengah hari dengan jumlah yang banyak disebabkan berasa terlalu lapar.

3. Bilik tidur terlalu gelap

Dipetik daripada laman web popmama.com, membiarkan bilik berada dalam keadaan gelap dapat memberikan waktu tidur yang kualiti dan dapat mengurangkan tekanan.

Namun, membiarkan bilik berada dalam keadaan gelap selepas bangun tidur terutama apabila keadaan di luar telah cerah akan menyebabkan anda mengalami risiko kegemukan kerana berlakunya peningkatan selera makan.

Kerap menghabiskan masa di ruangan yang gelap tanpa mendapatkan cahaya matahari juga berpotensi mengakibatkan depresi atau gangguan emosi.

Melihat kepada tiga perkara berikut, tabiat atau kebiasaan yang dirasakan remeh itu juga dapat mengakibatkan berlaku pelbagai masalah kesihatan sekiranya tidak dibendung.

Oleh itu, penjagaan kesihatan tidak hanya melibatkan pengambilan diet atau aktiviti fizikal semata-mata, tetapi hal tersebut turut merangkumi tabiat yang dilakukan pada setiap hari.

Sekiranya anda gemar melakukan seperti perkara dinyatakan, ambil masa untuk mengubahnya secara perlahan-lahan agar dapat membentuk corak tabiat baharu yang lebih baik pada masa akan datang.

Jangan Suka Tahan Kalau Nak Buang Air Besar, Ini Derita Yang Bakal Menimpa Anda!

LAZIMNYA, kesukaran untuk membuang air besar akan dikaitkan dengan gejala sembelit.

Hal itu memang menjadi dilema bagi kebanyakan orang tanpa mengira peringkat usia.

Menurut laman web myhealth.gov.my, sembelit berlaku apabila kekerapan untuk membuang air besar berkurangan dan kesukaran untuk membuang najis.

Namun, penting untuk diketahui bahawa ia merupakan satu gejala, bukannya satu penyakit.

Apa yang pasti, setiap orang pernah mengalami sembelit dan selalunya berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak baik.

Menurut statistik, 15 hingga 23 peratus wanita mengalami kemelut itu, manakala bagi golongan lelaki pula, hanya 11 peratus sahaja yang terlibat.

Secara nisbahnya pula, satu daripada lima orang akan mengalami gejala sembelit.

Membincangkan tentang masalah kesihatan itu, Telegram Petua dan Kesihatan turut mendedahkan faktor-faktor yang mengundang kepada masalah sembelit.

“Selain tabiat makan yang tidak menentu, gaya hidup dan tekanan juga boleh menyumbang kepada sembelit.

“Bukan itu sahaja, pengambilan ubat untuk mengatasi darah tinggi, kurang bersenam, kehamilan dan tempat baharu yang dikunjungi juga akan menyukarkan seseorang itu untuk membuang air besar,” beritahu mereka.

Jadi, bagaimana ingin mengatasinya?

Berikut beberapa kaedah terbaik untuk menangani gejala itu:

i) Makan sayur-sayuran dan buah-buahan dengan kuantiti yang disarankan iaitu 25gram serat sehari.
ii) Kurangkan pengambilan makanan yang diproses seperti daging dan sosej.
iii) Makan makanan yang segar.
iv) Minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.
v) Kerap bersenam.
vi) Jangan tahan jika terasa ingin membuang air besar.

Sebenarnya apa yang akan berlaku jika menangguhkan masa untuk membuang air besar?

Ini fakta penting yang perlu orang ramai ambil tahu:

1. Dua jam pertama – Perut terasa keras.
2. Enam jam berikutnya – Perut akan memulas-mulas dan gejala sembelit akan muncul.
3. Setelah 12 jam – Perut semakin buncit dan semakin suka untuk mengeluarkan najis.
4. Sudah terlalu lama – Najis bertukar keras dan berisiko kepada beberapa penyakit kronik lain.

Oleh itu, SinarPlus ingin ingatkan perkara utama dalam merawat sembelit adalah memastikan kita makan makanan berserat dan minum air secukupnya.

Tindakan itu akan membantu najis bergerak menerusi usus dengan meningkatkan ketebalan najis dan menjadikannya lebih lembut.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.

Risau Kerap Senggugut Setiap Bulan? Teknologi HIFU Bantu Rawat, Pelihara Kesuburan Wanita

MASALAH senggugut atau kesakitan haid bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi kebanyakan wanita tanpa mengira usia selagi sistem reproduktif masih aktif.

Kejang perut, kembung, sakit pinggang dan pelbagai lagi kesakitan adalah antara gejala yang dialami. Tahap kesakitannya juga berbeza.

Tiada siapa yang dapat nafikan, senggugut yang teruk boleh mengganggu kualiti kehidupan seseorang wanita. Malah, menurut pakar obstetrik dan ginekologi, terdapat sesetengah mereka yang perlu mengambil ubat tahan sakit setiap kali haid.

Secara umumnya, kesakitan haid  disebabkan oleh masalah pada sistem peranakan. Paling biasa ialah fibroid pada uterus dan adenomiosis, dua ketumbuhan benigna yang ditemukan pada rahim atau uterus.

Selain pengambilan ubat tahan sakit yang hanya memberi kelegaan sementara, sebenarnya terdapat kaedah rawatan lain yang boleh membebaskan wanita daripada senggugut.

Antaranya seperti miomektomi dan adenomiomektomi iaitu dua prosedur yang melibatkan pembedahan, namun berisiko menyebabkan komplikasi semasa hamil. Selain itu, alternatif yang lebih drastik adalah melalui histerektomi iaitu satu prosedur membuang uterus.

Pun demikian, tidak ramai wanita yang sanggup menjalani prosedur tersebut. Justeru, apa lagi pilihan yang ada?

Rawatan terkini

Baru-baru ini, Mahkota Medical Centre (MMC) melancarkan kaedah rawatan berasaskan ultrabunyi yang pertama di Malaysia yang dikenali sebagai High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU) khusus untuk menangani masalah ginekologi terutamanya adenomiosis dan fibroid.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi MMC, Dr S Selva ketika dihubungi Bernama berkata, HIFU merupakan kaedah rawatan tidak invasif yang menawarkan tempoh pulih lebih singkat, selain tidak menjejaskan kesuburan wanita.

Menurutnya, tidak seperti prosedur lain, pesakit tidak perlu menunggu uterus mereka pulih sepenuhnya sebelum mencuba untuk hamil.

HIFU juga jelas Dr Selva, merupakan penyelesaian terbaik yang dapat mengurangkan impak terhadap kesuburan dan risiko komplikasi yang dihadapi oleh wanita yang menjalani rawatan tipikal bagi fibroid dan adenomiosis.

“Menerusi teknologi HIFU, MMC mengubah landskap rawatan bagi wanita dengan opsyen rawatan tidak invasif dan canggih, namun terbukti memberikan hasil positif secara klinikal, selain mengekalkan tahap kesuburan mereka,“ katanya.

Mengulas lanjut, pakar itu memberitahu, teknologi HIFU menggunakan tenaga bunyi tertumpu untuk memanaskan dan memusnahkan tisu sasaran.

“Ia juga digunakan bagi merawat pelbagai masalah kesihatan seperti batu karang, katarak, gangguan neurologi, nodul tiroid benigna, penyakit prostat, tumor pepejal dan digunakan dalam terapi paliatif.

“Dalam bidang ginekologi, teknologi HIFU boleh digunakan untuk merawat fibroid uterus dan adenomiosis,“ katanya.Cepat sembuh

Menyambung penerangannya, ujar Dr Selva, HIFU menggunakan transduser ultrabunyi berintensiti tinggi yang menumpukan gelombang bunyi di lokasi khusus, meningkatkan suhu setempat tisu daripada 60 kepada 80 darjah Celsius dan menghasilkan nekrosis koagulatif tisu.

“HIFU dijalankan dengan berpandukan sama ada pada Pengimejan Resonans Magnetik (MRgFUS) atau Ultrabunyi (USgHIFU) sebagai modaliti pengimejan bagi menyasarkan rawatan di kawasan fokus pada tisu dan pada masa sama mengelakkan kerosakan tisu-tisu lain.

“Kelebihan utama USgHIFU berbanding MRgFUS adalah kaedah tersebut menawarkan pengimejan pada masa sebenar, sekali gus membolehkan doktor melihat tisu yang berkenaan semasa prosedur dijalankan.

“Kaedah itu juga menggunakan transduser yang lebih besar dan lebih berkuasa, sekali gus memendekkan tempoh serta meningkatkan keberkesanan rawatan,“ jelasnya.

Pada masa sama, USgHIFU turut menawarkan akses lebih baik kepada pesakit, selain memberi fleksibiliti dalam posisi pesakit. Justeru, mereka akan berasa lebih selesa, sementelah kaedah berkenaan juga lebih murah.

Memandangkan HIFU melibatkan  prosedur tidak invasif, pesakit tidak memerlukan anestesia am semasa menjalani proses berkenaan.

Menariknya lagi, rawatan juga tidak meninggalkan kesan parut pada pesakit dan kaedah tersebut mempunyai tempoh pulih yang lebih singkat berbanding miomektomi dan histerektomi.

“Rawatan HIFU juga lebih sesuai bagi wanita yang berhasrat untuk hamil kerana prosedur berkenaan tidak menjejaskan otot dan tisu lain pada uterus,“ ujar Dr Selva lagi.

Disebabkan teknologi berkenaan tidak meninggalkan parut yang banyak pada dinding uterus, pengembangan rahim semasa kehamilan dan kontraktiliti ketika proses melahirkan dapat dikekalkan.

Kepada satu soalan, beliau berkata, sesi rawatan HIFU berdasarkan ultrabunyi berlangsung selama satu hingga empat jam. Dalam kebanyakan kes, rawatan boleh dilakukan dalam satu sesi sahaja.

“Pesakit dengan jumlah fibroid yang banyak atau bersaiz besar mungkin memerlukan beberapa sesi. Prosedur ini juga tidak menyebabkan pesakit kehilangan darah, bermakna pemindahan darah tidak perlu,“ jelas beliau.

HIFU juga kata Dr Selva, boleh mengurangkan risiko komplikasi berpotensi yang mungkin berlaku semasa pembedahan membuang adenomioma atau fibroid.

Paling penting, pesakit yang berhasrat untuk hamil tidak perlu menunggu sehingga rahim mereka pulih sepenuhnya sebelum cuba mengandung.

Pesakit juga boleh melakukan  hubungan seks selepas kitaran haid yang seterusnya berakhir, memandangkan beberapa kajian terkini menunjukkan pesakit berjaya hamil dalam tempoh beberapa bulan sahaja selepas menjalani rawatan HIFU, sama ada mengandung secara semula jadi atau dibantu melalui rawatan reproduktif.

Peningkatan permintaan

Sementara itu, Operator MMC, HMI Group menerusi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Chin Wei Jia berkata, rawatan tersebut turut ditawarkan di Singapura dan Hong Kong.

“Bagaimanapun, kos rawatan adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia. Apabila sempadan antarabangsa dibuka dan pelancongan dibenarkan semula, kami menjangkakan peningkatan permintaan daripada pesakit di seluruh rantau Asia Tenggara untuk mendapatkan rawatan HIFU di MMC.

“Ia pastinya memberikan impak positif ke atas industri pelancongan di Malaysia, merentasi pelbagai sektor seperti hospitaliti dan perkhidmatan.

“Selain itu, sebagai ahli Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), MMC bekerjasama secara aktif dengan MHTC bagi mempromosikan ketersediaan rawatan HIFU dan manfaatnya kepada negara-negara tetangga.

“Ini akan berupaya memacu pertumbuhan industri pelancongan perubatan kita,“ katanya.

Wei Jia menambah, sebagai antara pusat perubatan yang mengutamakan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi, MMC sentiasa berusaha mencari kaedah baharu untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik demi kepentingan pesakit.

“Penawaran perkhidmatan HIFU mendekatkan lagi kami kepada matlamat memberikan hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit.

“Kami juga memastikan sentiasa mengikuti trend terkini dalam industri dengan membawa masuk kemudahan lebih canggih yang menawarkan penjagaan terbaik kepada pelanggan,“ katanya.

Guna 15 Biji Rambutan, Rahsia Kuah Kari Kerisik Jadi Lebih Umphhh…

SELAIN musim durian, rambutan juga antara buah yang banyak dijual di gerai-gerai tepi jalan atau di pusat beli-belah.

Sebenarnya, rambutan bukan sahaja boleh dinikmati begitu sahaja, malah ia telah dipelbagaikan dalam masakan.

Pun demikian, SinarPlus bukannya merujuk rambutan yang digunakan untuk pencuci mulut seperti agar-agar atau puding, tetapi untuk memasak kari!

Nampak seperti pelik dan pasti kita akan tertanya-tanya bagaimanakah rasanya, bukan?

Kepada SinarPlus, Siti Hafizah Jailani yang arif membuat masakan yang diberi nama kari kerisik rambutan itu berkata, campuran buah berkenaan dalam kari akan membuatkan sajian itu menjadi lebih enak.

Ujar beliau, mempunyai empat batang pokok rambutan di sekitar kawasan rumahnya telah memberi ilham kepadanya memberi nafas baharu kepada menu tersebut.

“Bila tiba musim, buah rambutan biasanya memang berlambak. Jadi, untuk elak buah rambutan busuk, rosak dan terbiar begitu sahaja di atas tanah, saya rasa bertanggungjawab untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Selain membuat jem rambutan merah acuan sendiri, saya telah mempelbagaikannya dengan membubuh buah rambutan dalam kari kerisik kegemaran kami sekeluarga,” katanya yang menetap di Subang, Selangor.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Sitiawan, Perak itu memberitahu, kari kerisik rambutan merupakan resipi tradisi familinya sejak dahulu.

Kadangkala katanya, sajian itu turut menerima permintaan daripada rakan-rakan yang tinggal di Kuala Lumpur yang berminat untuk merasa keunikan air tangannya itu.

Mengenai cara pembuatan pula, wanita berusia 28 tahun itu berkata, segalanya sama seperti memasak kari biasa.

“Bezanya cuma pada tambahan buah rambutan. Biasanya saya akan menggunakan buah yang tidak begitu ranum kerana ia akan berair dan sedikit lembik apabila dimasak.

“Jadi, saya akan ambil rambutan yang masih segar dan berwarna kemerah-merahan lalu dikupas dan disimpan di dalam peti sejuk sebelum dijadikan kari,” tuturnya sambil memberitahu hasil rasanya yang mempunyai variasi manis dan masam.

Seperkara, tanya penulis, kenapa kari perlu ditambah kerisik? Jawabnya bersahaja: “Itulah keistimewaan masakan saya. Cubalah dulu, baru anda tahu kesedapannya.”

Sebelum mengakhiri perbualan, beliau sempat menitipkan pesan. Ujar beliau, pastikan kerisik yang digunakan segar agar kari boleh tahan lebih lama.

“Paling penting, kuantiti air yang dimasukkan juga perlu seimbang dengan bahan-bahan lain agar kuahnya tidak menjadi terlalu cair,” katanya.

PROFIL

  • Nama: Siti Hafizah Jailani
  • Umur: 28 tahun
  • Asal: Sitiawan, Perak
  • Menetap: Subang, Selangor

RESIPI KARI KERISIK RAMBUTAN

Bahan-bahan

  • 1 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 helai daun pandan
  • 1 paket serbuk kari ikan
  • 1 paket kecil kerisik
  • 1 biji tomato
  • Sedikit air asam jawa
  • Air secukupnya
  • 15 biji rambutan
  • 2 biji ubi kentang (dipotong sederhana)
  • Sedikit garam dan gula

Cara penyediaan:

  1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah sehingga naik bau.
  2. Kemudian, masukkan bawang putih dan halia yang telah ditumbuk lumat.
  3. Selepas itu, masukkan kentang dan kacau rata.
  4. Letak serbuk kari dan sebatikan kesemua bahan sehingga garing lalu dimasukkan daun pandan, air dan air asam jawa.
  5. Setelah kentang empuk, segera masukkan rambutan dan kerisik.
  6. Akhir seklai, kacau rata dan perasakan dengan garam dan gula sebelum tomato diletakkan ke dalam kuali.
  7. Kari kerisik rambutan siap untuk dihidangkan.

Sumber Siti Hafizah Jailani

Jangan Amal Minum Jus Buah-Buahan Secara Berlebihan. Ini Penemuan Terbaharu Saintis Yang Mengejutkan

JIKA sebelum ini kita mengetahui hanya minuman yang ditambah gula seperti teh tarik atau air bergas sahaja didapati menjadi punca kepada penyakit diabetes.

Namun, penemuan terbaharu yang diumumkan baru-baru ini mungkin mengejutkan kita semua.

Kajian terbaharu yang dilakukan para saintis dari Harvard T.H Chan School of Public Health, Boston, Amerika Syarikat telah mendapati bahawa pengambilan jus buah (walaupun ia buah yang segar) secara berlebihan boleh menyebabkan peningkatan risiko penyakit diabetes.

Dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal Diabetes Care itu juga menyebut bahawa jus buah-buahan juga boleh menyumbang kepada masalah kesihatan yang kronik itu.

Ketua Saintis dalam kajian tersebut, Dr Jean Philippe Drouin-Chartier memberitahu, minuman manis termasuk jus buah-buahan segar sememangnya boleh menyebabkan penyakit kencing manis.

“Sebaiknya kita menggantinya dengan minuman yang lebih sihat seperti air putih, teh atau dan kopi tanpa gula,” katanya.

Mengulas mengenai hasil kajian itu, Penceramah Kesihatan dan Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad berkongsi beberapa fakta yang perlu diketahui tentang pengambilan jus buah.

Dr Zubaidi Ahmad.

Berikut perinciannya:

i) Pengambilan jus buah-buahan boleh diambil dengan syarat serat buah-buahan tidak dipisahkan bersama dengan jusnya.

  • Perbuatan mengasingkan serat daripada jusnya akan meningkatkan kadar penyerapan gula ke dalam darah.

ii) Tidak mengambil jus buah-buahan secara berlebihan.

  • Bagi kanak-kanak yang berusia kurang dari enam tahun, American Academy of Pediatrics menyarankan hanya mengambil jus buah-buahan sebanyak 100 hingga 170 gram setiap hari.
  • Sementara itu, kanak-kanak yang berusia 7 hingga 18 tahun, boleh mengambil antara 200 hingga 350 gram dalam sehari.
  • Untuk orang dewasa pula , pengambilan jus buah-buahan tidak melebihi dua hingga tiga gelas dalam sehari.

iii) Tidak menambah gula dalam jus buah-buahan itu yang akan meningkatkan tahap karbohidrat dan kalori dalam minuman.

iv) Tidak minum jus buah-buahan pada waktu pagi ketika perut kosong jika kita alahan terhadap buah tersebut.

  • Sebagai contoh, jus nanas yang mungkin akan menyebabkan rasa kembung perut.

v) Tidak menyimpan jus buah-buahan yang telah disiapkan terlalu dalam dalam peti sejuk.

  • Sebaiknya habiskan jus tersebut dalam masa empat jam setelah disediakan.

vi) Beberapa jenis buah seperti mangga, alvokado, nangka atau durian mempunyai tahap karbohidrat yang tinggi.

  • Seeloknya jus buah-buahan yang tinggi karbohidratnya tidak diambil bersama dengan makanan yang berat contohnya makan tengah hari.

“Saya sendiri berpendapat bahawa pengambilan jus buah-buahan tidak akan berbahaya jika diambil dengan sederhana dan tidak memisahkan jus dari seratnya.

“Pengambilannya secara berlebihan terutamanya jus buah yang mempunyai nilai karbohidrat yang tinggi sudah tentu memberikan kemudaratan kepada peminumannya terutama pesakit diabetes,” ujarnya.

Oleh itu, kawal pemakanan anda kerana setiap yang berlebihan pasti akan memberi kesan tidak baik kepada tubuh badan.

#kitajagakita