Waspada, Kanak-Kanak 10 Tahun Kini Sudah Derita Diabetes Angkara Obesiti

Awas! Kerja dari rumah jangan sampai obesiti


DR AZRI FIKRI@FICKRY

PAKAR PEDIATRIK, PUTRA SPECIALIST HOSPITAL MELAKA

(Beliau diundang menjadi panel dalam program DNA yang membicarakan topik Comel Atau Obes: Adakah Salah Ibu Bapa? baru-baru ini)

SOALAN 1

Apabila seseorang obes, banyak impak buruk dari segi kesihatan boleh berlaku lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak. Boleh doktor jelaskan, apakah antara kesan buruk atau penyakit yang boleh seseorang kanak-kanak itu bakal hadapi termasuklah risiko jangka masa panjang?

JAWAPAN:

MERUJUK kepada soalan yang diajukan, terdapat kajian yang boleh dikongsikan. Sejak tahun 1975 sehingga kini, kadar obesiti telah meningkat tiga hingga empat kali ganda.

Jika ia berlaku kepada orang dewasa, misalnya mereka menghidap diabetes atau kencing manis, banyak ubat-ubatan yang boleh membantu.

Mengikut pengalaman peribadi saya di klinik, ubat yang sama pernah diberikan kepada kanak-kanak yang berumur 10 dan 11 tahun selepas mereka didiagnos dengan masalah obesiti ditambah dengan kencing manis.

Lihat, hal-hal yang sebelum ini hanya dilihat berlaku dalam kalangan kelompok dewasa, tetapi kini turut menjadi igauan kepada kanak-kanak.

Selain kencing manis, si kecil yang obes juga sudah mula dikesan berdepan dengan penyakit jantung, gangguan tidur yang serius dan kemelut pernafasan sempit.

IMBAS kod QR ini untuk menonton video DNA secara penuh.

Apabila menjengah ke alam dewasa, kanak-kanak itu tadi akan membawa sama penyakitnya.

Tidak hanya itu, terdapat lebih banyak risiko lain yang memungkinkan dua hingga lima kali ganda seseorang itu mendapat pelbagai penyakit lain. Antaranya seperti Alzheimer iaitu salah satu krisis kesihatan yang biasa berlarutan dalam jangka masa yang panjang.

Kumur Air Kunyit Bantu Tangani Masalah Gigi Berlubang. Wajib Cuba Tip Ini

MASALAH gigi berlubang kadangkala sangat mengganggu kehidupan sehingga merencatkan aktiviti seharian kita.

Bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang tua, kemelut itu tidak terkecuali menyerang golongan yang masih muda remaja.

Pun demikian, jangan risau, SinarPlus ada cara untuk menanganinya.

Berikut beberapa bahan yang boleh digunakan untuk mengurangkan rasa sakit sekiranya berhadapan masalah gigi berlubang menurut Telegram Petua dan Kesihatan:

1) Kunyit

  • Kesengsaraan itu sebenarnya boleh diatasi dengan cara cukup mudah, menggunakan bahan semula jadi iaitu kunyit.
  • Kandungan utama kunyit yang bernama curcumin dapat menghalang pembiakan bakteria yang menjadi punca gigi berlubang.
  • Selain itu, kunyit juga bermanfaat dalam meningkatkan daya ingatan, menyembuhkan selesema, hidung tersumbat dan sebagainya.
  • Caranya, hanya berkumur dengan larutan air kunyit, sama ada kunyit hidup mahupun kunyit serbuk secara teratur. Ia merupakan salah satu petua untuk mencegah dan mengatasi pembusukan gigi (gigi berlubang).

2) Limau nipis

  • Siapa kata limau nipis hanya boleh dijadikan bahan minuman, masakan dan cucian semata-mata?
  • Selain daripada kegunaan-kegunaan tersebut, limau nipis juga boleh bertindak sebagai ubat!
  • Caranya, potong limau nipis kepada bahagian-bahagian kecil lalu diperah jusnya ke dalam bekas. Kemudian, gunakan sudu kecil untuk mengambil jus tersebut, lalu titiskan sedikit demi sedikit ke atas bahagian gigi yang sakit.
  • Selepas itu, berhenti seketika dan ulang lagi setelah 10 minit berlalu sehingga habis jus.
  • Ini kerana Vitamin C yang terkandung di dalam limau nipis mampu hilangkan sakit gigi yang dialami.

3) Tuam dengan ais

  • Akhir sekali, untuk menghilangkan sakit gigi di rumah, ambil beberapa ketul ais lalu masukkan ke dalam beg plastik.
  • Kemudian, tuam pada pipi bahagian gigi yang sakit.
  • Langkah itu bertindak seperti menggunakan ubat kebas dan mampu meredakan sakit buat sementara waktu.

“Di samping itu, jaga kebersihan gigi. Pastikan gigi digosok sekurang-kurangnya dua kali sehari setiap pagi dan sebelum tidur.

“Periksa tahap kesihatan gigi dengan melakukan pemeriksaan secara berkala setiap enam bulan sekali,” beritahu mereka.

Selamat mencuba!

Siakap Masak Kengsom Padu, Cukup Masam, Manis Dan Pedas

Siakap masak kengsom padu, cukup masam, manis dan pedas

BILA sebut sahaja ikan siakap yang juga dikenali ikan Kakap Putih pasti ramai yang terbayangkan isinya yang lembut dan sedap.

Macam-macam menu yang kita boleh masak dengan ikan siakap ni seperti asam pedas, kari, bakar, goreng bercili, stim dan sebagainya.

Selain itu, ia juga enak dimasak kengsom. Mudah dibuat, rasa dan baunya juga sangat menyelerakan.

Resipi ini merupakan masakan Thailand, sudah pasti rasanya sangat padu ada masam, manis dan pedas.

Menu ini juga sihat dan sesuai untuk orang yang sedang diet kerana tidak menggunakan setitik minyak, orang bujang pun dijamin boleh membuatnya.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan siakap
  • 1/2 biji nenas
  • Kangkung
  • 2 batang serai diketuk
  • 1 biji limau nipis
  • Garam
  • Gula
Ikan siakap Pla Neung Manao enak dengan hanya 3 langkah mudah

Bahan kisar:

  • 2 tangkai cili merah
  • 8 tangkai cili padi
  • 1 biji bawang besar – sederhana besar
  • 6 ulas bawang putih
  • Sedikit belacan
  • 1 inci kunyit hidup

Cara cara membuatnya:

1. Masukkan bahan kisar dan air secukupnya ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.

2. Masukkan nenas dan serai. Masak hingga mendidih seketika, sebelum dimasukkan ikan.

3. Setelah ikan masak, masukkan garam dan gula.

4. Tutup api dan masukkan kangkung kerana mahu kangkung yang masih rangup.

5. Masukkan perahan jus limau. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba.

Sumber: Azie Kitchen

Ketahui 5 Manfaat Jalan Kaki. Jangan Terkejut Fakta Nombor Dua Ramai Yang Tidak Sedar

Bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh badan, malah terdapat juga kebaikan lain yang mungkin ramai tidak sedar.

Justeru, berikut penjelasan lima kebaikan berjalan kaki:

1. Panjang hayat usia

Berdasarkan satu kajian, dianggarkan seseorang yang menghabiskan masa sekitar 10 hingga 59 minit berjalan cepat setiap minggu dapat mengurangkan 18 peratus risiko kematian akibat masalah kesihatan.

Sementara itu, bagi mereka yang menghabiskan masa sekitar 150 minit berjalan cepat pula memiliki 31 peratus kadar kematian lebih rendah.

Berjalan laju ini juga menjadi salah satu punca masyarakat di negara luar seperti Jepun memiliki jangka hayat yang panjang.

2. Mood ceria

Mungkin ada yang mempersoalkan;”Apa menariknya berjalan kaki? Sudahlah penat, berpeluh lagi.”

Bagaimanapun, sedarkah sebenarnya berjalan kaki juga mampu membaiki mood seseorang terutamanya saat galau fikirannya.

Habiskan masa sekurang-kurangnya 10 minit di taman atau persekitaran yang dihiasi dengan pepohon hijau dapat memberi rangsangan positif kepada emosi.

3. Daya pemikiran

Bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh badan, malah berjalan kaki atau berjalan cepat juga mampu meningkatkan daya pemikiran.

Memetik suara.com, satu kajian mendapati individu yang berjalan sekitar 1 jam sebanyak tiga kali seminggu mampu merangsang otak untuk berfikir lebih efisyen dan kreatif.

Sementara itu, kanak-kanak yang menghabiskan masa 20 minit berjalan di atas treadmill dapat meningkatkan tahap pemikiran mereka sekali gus meningkatkan aliran darah ke otak dengan baik.

4. Lancarkan pencernaan

Menjadikan rutin berjalan kaki pada waktu pagi dikatakan mampu memudahkan proses pencernaan. Hal ini kerana otot perut banyak digunakan sewaktu berjalan kaki.

5. Waktu tidur

Apa sahaja perkara dilakukan secara teratur akan menunjukkan hasil yang baik. Bak kata pepatah, sikit-sikit, lama-lama jadi bukit.

Begitu juga sekiranya amalan berjalan kaki jika dilakukan secara sistematik dan teratur.

Selepas melakukan aktiviti olahraga atau berjalan kaki, kadar hormon melatonin akan meningkat. Ini membuatkan mereka tidur lebih nyenyak pada waktu malam.

Gusar Kerana Sembelit. Berikut Antara Langkah Untuk Mencegahnya

GANGGUAN untuk membuang air besar atau dipanggil sembelit bukanlah dikategorikan sebagai satu penyakit.

Boleh dikatakan sebilangan besar individu antara kita pernah mengalami situasi sebegini.

Memetik perkongsian myhealth.gov.my, gejala sembelit berlaku apabila kesukaran untuk membuang najis setelah beberapa hari.

Keadaan perut kembung, kejang, kurang selera makan dan gigi mengetap.

TIDAK dinafikan idea kreatif sering timbul sewaktu berada di dalam tandas, tetapi sembelit bukan satu alasan yang terbaik.

Secara sains, makanan yang bergerak menerusi usus besar atau kolon akan menyerap air daripada makanan sekali gus membentuk najis.

Sembelit berlaku apabila kolon menyerap terlalu banyak air hingga otot kolon mengecut secara perlahan menyebabkan najis mengeras dan kering.

Situasi itu berlaku antaranya disebabkan oleh kurang serat dalam diet, susu, kekurangan air, gangguan usus atau penggunaan ubat.

Namun, berikut ada penyelesaian bagi membantu mengelakkan perkara tersebut berlaku:

1. Air putih

Kurang minum air putih boleh mengakibatkan usus menjadi kering. Oleh itu, kita disarankan untuk sekurang-kurangnya minum lapan gelas air putih sehari.

Lakukan secara sedikit demi sedikit, tetapi kerap. Air melicinkan usus dan merangsang otot untuk berfungsi dengan baik.

2. Bersenam

Melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 30 minit atau lebih dapat merangsang otot usus untuk berfungsi dengan lebih baik.

Senaman juga mampu membuatkan dapat mengurangkan jumlah masa yang diperlukan untuk makanan dihadam melalui usus dan ini akan membuat najis menjadi tidak terlalu keras.

3. Makanan serat

Makanan yang mempunyai banyak serat antaranya seperti bijirin termasuk roti, buah-buahan dan sayur-sayuran. Sebaiknya tambahkan hidangan hijau dalam menu setiap hari bagi mengelakkan perkara ini berlaku.

4. Probiotik

Pengambilan ubat tambahan yang mengandungi probiotik antara salah satu kaedah untuk mengelak daripada berlakunya sembelit. Probiotik dipercayai dapat membantu menyeimbangkan kandungan bakteria dalam usus agar seimbang.

5. Tekanan

Tekanan turut dikaitkan menjadi punca kepada berlakunya sembelit. Oleh itu cuba kawal tekanan dan pastikan jadual pengambilan makanan tidak terganggu.

Usus juga dapat dipengaruhi oleh tekanan dan apabila seseorang yang mengalami tekanan sering cenderung kurang mengamalkan diet seimbang atau melakukan aktiviti fizikal.

Sukar Tidur Malam? Berikut Tanda-Tanda Lain Tubuh Memberi Isyarat Keletihan

SETIAP daripada kita mempunyai tanggungjawab dan tugas masing-masing untuk dilaksanakan setiap hari.

Bagaimanapun sedarkah bahawa tubuh badan memerlukan masa untuk berehat setelah penat memerah tenaga.

LUANGKAN masa untuk berehat seketika jika sudah berasa keletihan.

Terdapat beberapa petanda menunjukkan badan sudah tidak mampu untuk bekerja atau kehabisan tenaga.

Gangguan tidur pada waktu malam juga antara isyarat yang ditunjukkan bahawa badan sedang letih.

Berikut antara petanda lain yang tubuh tunjukkan bagi memberitahu bahawa kita sudah keletihan:

1. Kaki kejang

Gangguan kaki kejang ini kadangkala berlaku sebelum tidur. Bagi mengatasi masalah ini, cuba amalkan makanan yang mengandungi magnesium dan potasium seperti sayur bayam dan pisang.

2. Makanan manis

Tiba-tiba berasa ingin menikmati hidangan manis boleh menjadi antara petunjuk kepada keletihan dan stres. Hal ini disebabkan tubuh memberi isyarat kekurangan glukosa dalam badan.

Bagaimanapun, jangan terlalu kerap mengambil hidangan manis dalam kuantiti yang banyak. Bimbang ini tabiat itu akan mengakibatkan gangguan berat badan, obesiti dan diabetes.

3. Ais

Selain mempunyai keinginan untuk makan makanan manis, tabiat memakan ais juga antara membuktikan tubuh mengalami anemia dan kekurangan zat besi. Antara cara terbaik mengatasi masalah ini ialah dengan makan daging, telur dan sayuran hijau tua.

4. Gusi berdarah

Situasi gusi berdarah secara tiba-tiba atau sewaktu menggosok gigi membuktikan kekurangan kandungan vitamin C. Oleh itu, ambil makanan seperti bayam, tomato dan brokoli selain buah oren.

Sebaiknya jaga kesihatan sebelum keadaan menjadi buruk lebih-lebih lagi apabila tubuh mula memberikan isyarat keletihan.

Paling utama berbincang dengan doktor untuk mendapatan rawatan sekiranya mengalami masalah kesihatan.

Petua ‘Ceraikan’ Anak Dengan Botol Susu Seawal Usia 6 Bulan

MEMISAHKAN anak kecil dengan botol susu sebenarnya bukan satu kerja mudah.

Tanyalah ibu-ibu di luar sana, pasti ramai mengaku bergelut dengan situasi itu dan menggunakan pelbagai macam cara untuk menyelesaikan isu tersebut.

Jika tidak bernasib baik, adakalanya mengambil masa yang agak lama untuk mengatasi permasalahan itu.

Kadangkala usia sudah enam tahun, terdapat kanak-kanak yang masih ‘berdegil’ minum menggunakan botol.

Namun, ibu bapa atau penjaga perlu tahu bahawa penggunaan botol susu mempunyai tempoh masa kerana jika melebihi hadnya, ia akan menimbulkan isu kesihatan kepada si kecil.

Pernyataan itu bukan sembarangan kerana menurut laman web howtoadult.com, terdapat beberapa impak buruk yang bakal dihadapi kanak-kanak.

Antaranya seperti:

i) Berisiko mempunyai berat badan yang berlebihan atau obesiti.

ii) Menjejaskan pertumbuhan gigi dan menyebabkan kaviti.

iii) Boleh menghadapi masalah pertuturan.

iv) Kurang berminat kepada makanan bernutrisi.

v) Kekurangan zat besi (anemia).

Untuk mengupas lebih lanjut mengenai topik botol susu dan anak-anak, SinarPlus mendapatkan pandangan Jurupulih Cara Kerja, GymCademy, Melaka, Siti Aisyah Rozalli.

Siti Aisyah.

Katanya, Akademi Pediatrik Amerika Syarikat mengesyorkan agar golongan kanak-kanak berhenti minum susu menggunakan botol sebelum usia mereka mencecah 18 bulan.

“Jika diikutkan perkembangan kanak-kanak yang normal, sebaik memasuki usia enam bulan, bayi sudah boleh mula dilatih menggunakan cawan dengan bantuan ibu dan ayah.

“Namun demikian, di negara ini, budaya masyarakat kita melihat penggunaan botol susu dalam kalangan anak-anak berusia lebih kurang tiga tahun adalah perkara biasa.

“Bagi saya, paling penting sekali, jangan sesekali membiarkan anak menggunakan botol melepasi usia empat tahun,” katanya baru-baru ini. Teknik Jadi, apakah teknik teknik-teknik yang boleh diguna pakai untuk memujuk anak kecil meninggalkan botol susu mereka?

Menjawab kepada soalan itu, Siti Aisyah mencadangkan agar botol susu digantikan dengan cawan ataupun botol minuman berstraw.

Jika ibu bapa memilih cawan, berikut panduan yang disarankan:

i) Sediakan cawan plastik khusus untuk anak. Pastikan cawan yang digunakan tidak terlalu tinggi.

ii) Tuang sedikit air ke dalam cawan anak. Sukatannya adalah lebih kurang seteguk untuk anak yang baru belajar minum. Ini bagi memastikan cecair tidak melimpah sehingga menyebabkan anak kecil terkejut jika air masuk ke dalam hidung.

iii) Biasakan untuk anak minum menggunakan cawan semasa waktu makan.

iv) Sediakan juga cawan plastik untuk digunakan si manja untuk bermain. Ia juga adalah salah satu teknik merangsang mereka dengan cawan.

Beritahu Siti Aisyah lagi, jika anak-anak yang sudah dibiasakan menyusu botol pada waktu malam, teknik-teknik pemujukan perlu dimulakan secara perlahan-lahan.

“Maksud saya, mula dengan menghentikan penggunaan botol susu pada siang hari dan hanya berikan sebelum tidur waktu malam sahaja.

“Selain itu, apa kata ahli keluarga luangkan masa untuk supper time dan pada waktu tersebut, ajak sekali si kecil minum menggunakan cawan khasnya. Apabila bersama keluarga, anak akan lebih teruja,” katanya.

Untuk menggalakkan mereka menggunakan botol dengan straw juga, pendekatannya lebih kurang sama.

“Cuba ajak anak bermain tea party menggunakan cawan bersama anak-anak patungnya, pasti ia sesuatu yang menyeronokkan baginya dan secara tak langsung, mempengaruhinya untuk melupakan botol susunya,” ungkapnya.

Ujar Siti Aisyah, anak-anak yang dilatih untuk minum menggunakan cawan atau menggunakan botol minuman lazimnya akan mempunyai perkembangan otot mulut dan leher yang baik, sekali gus mendidiknya untuk mengurus diri sendiri termasuk dalam proses untuk makan dan minum.

ANEKDOT

TIP lain bagi menarik perhatian anak meninggalkan botol susu:

  1. Puji anak setiap kali mereka minum menggunakan cawan.
  2. Sediakan anak botol air minuman setiap kali anak haus.
  3. Perbanyakkan jenis dan tekstur makanan. Pastikan anak makan makanan berkhasiat supaya anak tidak bergantung kepada susu semata-mata.
  4. Ikut milestone perkembangan anak dan dedahkan anak dengan alatan minum yang sesuai mengikut usia mereka seperti berikut:
  • Dua hingga lima bulan: Menyentuh botol atau payudara ibu semasa menyusu.
  • Enam hingga sembilan bulan: Memegang botol susu dengan menggunakan kedua belah tangan sendiri (masih perlukan pantauan keselamatan dan menggunakan cawan dengan pemegang dengan bantuan ibu ayah).
  • 10 hingga 14 bulan: Memegang cawan dengan kedua-dua belah tangan sendiri dan boleh minum daripada cawan beberapa teguk secara sendiri.
  • 15 hingga 18 bulan: Mula pandai menggunakan straw.
  • 18 bulan hingga 3 tahun: Minum daripada cawan tanpa penutup dan tidak menumpahkannya.

Sumber Jurupulih Cara Kerja, GymCademy, Melaka, Siti Aisyah Rozalli

Kuih Buah Tanjung, Pemanis Mulut Jarang Jumpa. Istimewa Ketika Majlis Bertunang, Hantaran Kahwin

SELAIN kuih akok dan nekbat, kuih buah tanjung juga merupakan salah satu jenis kuih tradisional Melayu yang popular di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pun demikian, disebabkan tidak ramai yang boleh membikinnya, sajian klasik berkenaan sukar ditemui di Kelantan, lebih-lebih di negeri-negeri lain.

SinarPlus bertuah kerana dapat menemubual seorang peniaga yang sudah lebih 20 tahun menjual kuih itu, Zanita Mat Ali selepas sekian lama melakukan pencarian.

Zanita.

Ujar Zanita, kuih buah tajung merupakan sejenis pemanis mulut yang menggunakan telur lalu dicampurkan dengan tepung dan disira dalam air gula.

“Meskipun hanya menggunakan empat bahan sahaja, cara penyediaannya sedikit rumit dan cerewet. Itu sebab kuih buah tanjong ini kurang dijual secara meluas seperti kuih-kuih lain,” katanya yang mempelajari kulinari tersebut daripada ibunya sejak dibangku sekolah lagi.

Ujar ibu kepada lapan anak itu, kebiasaannya kudapan istimewa berkenaan disajikan pada majlis tertentu seperti meraikan mempelai atau dijadikan hantaran.

Bercerita lanjut, Zanita berkata, terdapat dua jenis warna yang ditawarkan kepada pelanggan bagi menikmati kuih buah tanjung iaitu oren dan kuning.

“Jika warna oren, keseluruhan telur itik (kuning dan putih) digunakan, manakala bagi warna kuning pula, saya hanya menggunakan bahagian yang berwarna kuning sahaja,” maklumnya.

Untuk menghasilkan kuih berkenaan, tiada sebarang acuan digunakan.

“Saya hanya membentuk adunan dengan menggunakan jari sahaja. Apabila bentuknya sudah menyamai buah tanjung sebenar dan saya berpuas hati, segalanya selesai,” katanya sambil tertawa kecil

Wanita itu menambah, beliau sebenarnya tidak membuka sebarang premis perniagaan, sebaliknya menjual kepada pengusaha kedai di sekitar Pasir Pekan, selain turut mempromosikannya di media-media sosial hasil bantuan anak dan menantunya.

“Memang saya tak nafikan, kuih buah tanjung antara juadah yang sangat laku. Saya hanya menjualnya pada harga RM3 untuk 15 biji untuk satu bekas. Harganya sangat berpatutaan.

“Selain kuih istimewa yang jarang ditemui itu, saya turut berniaga kuih-muih lain seperti kuih jala mas, tahi itik dan sekaya. Setiap hari, saya akan akan menggunakan hampir 300 biji telur untuk menyiapkan semua menu itu,” katanya.

Wanita gigih tersebut turut menerima tempahan kuih bagi hantaran bagi majlis perkahwinan dengan saiz tertentu.

PROFIL

  • Nama: Zanita Mat Ali
  • Umur: 48 tahun
  • Asal: Kota Bharu, Kelantan
  • Menetap: Tumpat, Kelantan

RESIPI KUIH BUAH TANJUNG

Bahan-bahan

  • 10 biji kuning telur itik
  • 1 kilogram tepung beras
  • 1 kilogram gula
  • 500 mililiter air

Cara penyediaan:

  1. Masak gula bersama air sehingga mendidih.
  2. Kemudian, kisar kuning telur hingga kembang lalu masukkan ke dalam tepung dan uli menjadi doh yang lembut.
  3. Cubit adunan menggunakan tiga hujung jari dan bentukkan seperti buah tanjung.
  4. Kemudian, masukkan ke dalam air gula sehingga meresap barulah di angkat.

Sumber Zanita Mat Ali

Pening, Muntah Selepas Makan Ubi Kayu? Itu Bukan Tanda Alahan Atau Masuk Angin Tetapi…

MUNGKIN sesetengah orang akan rasa pening atau muntah selepas makan ubi kayu.

Sesetengah orang berpendapat, hal itu terjadi mungkin kerana orang itu mengalami alahan atau perut sudah masuk angin.

Sebenarnya, menurut Facebook Public Health Malaysia, gejala itu boleh berpunca daripada sejenis toksin yang dikenali sebagai linamarin.

Untuk pengetahuan orang ramai, toksin berkenaan merupakan sebahagian daripada mekanisme pertahanan tumbuhan terutamanya melibatkan serangan binatang dan serangga.

“Linamarin adalah sejenis toksin semula jadi yang terkandung dalam tumbuhan pokok ubi kayu.

“Toksin ini akan membebaskan hidrogen sianida yang boleh menghalang penggunaan oksigen di dalam sel badan lalu menyebabkan toksin kepada manusia,” beritahu mereka.

Jadi, bagaimana cara untuk membuang bahan toksin berbahaya tersebut?

Berikut perinciannya:

i) Buang kulit ubi kayu (kulit ubi kayu paling bertoksin).

  • Ini dapat mengurangkan 50 peratus toksin itu.

ii) Rendam ubi kayu semalaman.

  • Ini dapat mengurangkan 90 peratus toksin linamarin.

iii) Potong ubi dengan saiz yang kecil.

  • Dalam kuantiti yang banyak, bahan toksin tersebut boleh menyebabkan masalah saraf, lumpuh dan kematian.
  • Bagi mereka yang mempunyai masalah hati, ubi kayu perlu diproses dengan betul untuk mengelakkan mudarat.

Secara umumnya, perkongsian ini bukanlah untuk mengatakan ubi kayu makanan yang beracun.

Sebaliknya, sebagai salah satu pendidikan mengenai cara memasak ubi kayu yang betul untuk mengelakkan keracunan.

Semoga maklumat ini bermanfaat kepada semua.

Lelaki Juga Alami ‘Menopaus’, Ia Dikenali Sebagai Andropaus

SEMPENA HARI LELAKI SEDUNIA

APABILA menyebut perkataan menopaus, selalunya kaum wanita sahaja akan dikaitkan dengan situasi itu.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa golongan lelaki juga melalui fasa sama, tetapi ia dikenali sebagai andropaus.

Andropaus merujuk kepada peringkat kemerosotan hormon testosteron yang biasanya berlaku apabila usia seseorang semakin meningkat.

Seorang pekerja kilang, Suhairil Ali (bukan nama sebenar) mengakui, sebaik umurnya melangkau ke angka 40-an, beliau menjadi semakin cepat lesu, tidak bertenaga, sifat marahnya juga semakin membuak-buak dan lebih teruk, kemurungannya seolah-oleh sukar untuk diatasi.

“Melihat situasi itu, saya rasa tidak sedap hati, lalu berjumpa dengan pakar. Mereka maklumkan saya sedang mengalami gejala andropaus dan sememangnya istilah itu saya tak pernah dengar, ia juga agak aneh bagi saya,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Bagi mendapatkan pencerahan lebih lanjut, SinarPlus mewawancara Doktor Perubatan Am, Seksual dan Reproduktif, U.n.i KLINIK Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Dr Ahmad Ramdan Zainordin.

Dr Ahmad.

Katanya Dr Ahmad Ramdan, andropaus merupakan satu keadaan atau sindrom melibatkan seorang lelaki berumur yang  mengalami gejala penurunan hormon androgen (ADAM) khususnya testosteron.

“Konsep penurunan hormon ini sama seperti menopaus bagi wanita, akan tetapi menopaus wanita lebih diketahui umum kerana ciri-cirinya yang lebih jelas seperti terputusnya kitaran haid dalam lingkungan usia 45 hingga 55 tahun.

“Bagi andropaus pula, prosesnya lebih perlahan tanpa lingkungan umur yang khusus. Lazimnya lelaki yang berusia 40 tahun dan ke atas akan mula mengalami penurunan hormon testosteron pada kadar 1 hingga 2 peratus setiap tahun,“ terangnya.

Ujian darah & terapi gantian

Memperincikan lebih mendalam, ujar Dr Ahmad Ramdan, terdapat beberapa jenis hormon androgen, namun yang paling utama ialah testosteron.

Beliau memaklumkan, hormon testosteron membawa fungsi kepada tiga domain utama seseorang lelaki iaitu:

  • Fizikal: Testosteron berperanan untuk jisim dan kekuatan otot, ketumpatan tulang, pertumbuhan bulu dan minyak (sebum) pada kulit dan kesihatan sistem kardiovaskular iaitu jantung.
  • Seksual: Peranan testosteron adalah untuk dorongan seks (libido), ereksi dan saiz zakar, penghasilan benih sperma serta isipadu ejakulasi.
  • Psikologikal: Testosteron berfungsi untuk daya ingatan dan fokus.

Ujar pakar tersebut, ciri-ciri lelaki yang berdepan dengan isu andropaus biasanya akan menunjukkan mereka mengalami kekurangan dorongan melakukan hubungan intim, ereksi zakar yang lemah, kurang stamina untuk bersukan, mudah letih dan marah, peningkatan lemak pada badan, penurunan kualiti kerja serta fokus, termasuklah berdepan dengan tekanan.

“Mereka yang mengalami gejala-gejala seperti ini perlu menjalani ujian darah paras hormon testosteron dan hormon-hormon lain mengikut nasihat doktor,“ katanya sambil memberitahu, bukan semua lelaki akan mengalami andropaus.

Sindrom itu juga boleh berlaku disebabkan masalah kesihatan lain dan bukannya disebabkan kekurangan testosteron semata-mata, ujar beliau.

“Setiap lelaki boleh menilai sendiri ciri-ciri andropaus atau kekurangan testosteron melalui soal selidik dari St Louis University ADAM Questionaire,“ katanya.

ADAM Questionnare atau Androgen Deficiency in Aging Males merupakan ujian untuk mengetahui gejala penurunan hormon testosteron lelaki.

Hasilnya nanti akan menentukan adakah seseorang lelaki perlu untuk berkonsultasi dengan doktor tentang andropaus dengan lebih mendalam atau sebaliknya?

Dari segi perubatan moden, apakah yang akan dilakukan sekiranya seseorang lelaki memiliki tanda-tanda andropaus dan kekurangan hormon testosteron selepas dibuktikan melalui ujian darah? Jawab Dr Ahmad Ramdan, rawatan dengan terapi gantian hormon testosteron akan dipertimbangkan.

“Sudah tentu tidak semua lelaki memerlukan rawatan ini. Keperluan untuk memulakan terapi gantian hormon ini memerlukan timbang tara yang betul bagi memastikan kebaikan mengatasi risikonya.

“Namun, kaedah itu boleh diberi dalam pelbagai bentuk seperti suntikan, pil, gel sapuan dan pelekat tampalan yang mengandungi hormon testosteron.

“Rawatan ini sememangnya berkesan mengatasi gejala-gejala andropaus seawal tiga hingga enam minggu. Semestinya mereka perlu dipantau oleh doktor secara berkala selepas semua prosedur dilakukan.“

Menurut Myhealth, lelaki yang mempunyai kanser payudara dan prostat tidak sesuai untuk terapi tersebut. Mengapa? Ini disebabkan testosteron akan menyebabkan barah lebih cepat membesar, kata portal kesihatan itu.

Pun demikian, terdapat beberapa implikasi lain yang boleh dihadapi apabila melakukan terapi gantian hormon. Antaranya seperti:

  • Bengkak pada kaki.
  • Boleh memburukkan lagi tekanan darah tinggi.
  • Boleh tercetusnya masalah hati.
  • Lelaki yang mengikuti rawatan itu berisiko mengalami masalah kesuburan (pengeluaran sperma berkurangan).
  • Kesukaran untuk tidur (pernafasan yang berhenti untuk jangka masa lama semasa tidur).
  • Pembesaran payudara.
  • Peningkatan kepekatan sel darah merah.
  • Saiz prostat semakin membesar.

Justeru, kata Dr Ahmad Ramdan, pencegahan paling ampuh dan langkah utama untuk menangani gejala andropaus adalah mengubah corak gaya hidup.

“Kekalkan berat badan yang unggul, berhenti merokok dan elak minuman beralkohol. Peri pentingnya, semua ini dilakukan secara konsisten,“ pesannya.

Berbeza bagi setiap lelaki

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia, Dr Zubaidi Ahmad turut berkongsi pandangannya.

Dr Zubaidi.

Beritahu beliau, berdasarkan satu kajian sahih, 40 peratus lelaki yang berusia 45 tahun ke atas mengalami masalah kekurangan hormon.

Kata penceramah kesihatan dan pemakanan itu lagi, tahap  testosteron yang mencukupi sangat penting bagi seseorang lelaki dewasa.

“Ini kerana peranannya bukan sekadar untuk menyebabkan perasaan ingin melakukan hubungan intim bersama isteri sahaja, malah merangsang kepada penghasilan tenaga, pembentukan otot pada tubuh dan minda yang positif,“ katanya.

Ujar beliau, tahap testosteron boleh diukur melalui pemeriksaan darah. Bacaan yang normal adalah di antara 300 hingga 1,000 nanogram per desiliter (ng/dL).

Mengulas lanjut, doktor perubatan terkenal tersebut menjelaskan, isu andropaus berbeza di antara seorang lelaki dengan lelaki yang lain.

Berikut antara spesifikasi masalah-masalah yang boleh dilalui:

  • Tahap tenaga yang rendah.
  • Rasa diri keseorangan.
  • Rasa kurang motavasi.
  • Sukar memberi fokus.
  • Insomnia atau rasa sukar tidur.
  • Peningkatan lemak pada tubuh.
  • Kekurangan otot pada tubuh.
  • Pembentukan payudara pada dada.
  • Kerapuhan otot.
  • Masalah mati pucuk.
  • Masalah kesuburan.
  • Saiz zakar yang semakin mengecil.
  • Kehilangan bulu pada tubuh.
  • Rasa panas badan terutama waktu malam.

Anak muda juga terkesan

Beritahu Dr Ahmad Zabidi, terdapat juga segelintir anak muda yang turut mengalami penurunan tahap testosteron.

“Namun, acap kali ia dikaitkan dengan masalah diabetes, hipertensi, tahap kolesterol yang tinggi dan masalah kesuburan,“ ujarnya.

Pernyataan pakar tempatan itu selari dengan pandangan Pakar Urologi dari Amerika Syarikat, Dr Geovanni Espinosa.

Bercakap kepada CNN News, beliau berkata, banyak lelaki muda berusia 20 hingga 40 tahun sudah mula mengalami ‘menopaus‘.

“Hal tersebut ditandai dengan munculnya beberapa masalah seperti penurunan nafsu, gangguan pada ereksi, insomnia, kenaikan berat badan, penurunan kepadatan otot dan tulang hingga berlaku agitasi dan depresi,“ katanya.

Dalam pada itu, Dr Zubaidi berkata, penting untuk diketahui bahawa masalah kekurangan hormon adalah suatu yang normal bagi seorang lelaki apabila semakin meningkat usia.

“Cuma jika ia menyebabkan masalah tertentu atau ia berlaku pada usia yang lebih muda (kurang dari 50-an) seseorang individu perlu mencari rawatan yang sesuai,“ katanya.

Justeru, simptom kekurangannya dapat diuruskan dengan baik jika pengurusan rutin harian dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Pendekatan itu berupaya membantu meningkatkan semula tahap hormon selari dengan peningkatan umur.

“Namun, bagi sesetengah lelaki terutama yang masih muda pula, pengambilan suplemen herbal, vitamin dan mineral mungkin membantu.

“Apa-apapun, pengambilan hormon sintetik haruslah menjadi pilihan yang terakhir dan diambil dalam jangka masa yang pendek,“ katanya.

Cadangan yang sama turut diketengahkan oleh Healthline yang menasihatkan lelaki tidak mengira umur wajib bersenam, memiliki cukup yang tidur (kebanyakan testosteron diproduksi pada jam 5 hingga 7 pagi) dan kurangkan tekanan dalam diri.