post

Bengkel “Transdermal Drug Delivery Study using Franz Diffusion Cell”

Bengkel “Transdermal Drug Delivery Study Using Franz Diffusion Cell” telah dijalankan pada 21 Mei 2017 lalu di Bilik Seminar Ibn Nafis, Tingkat 4, Bangunan V01, Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME), UTM. Objektif bengkel tersebut adalah untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pelajar penggunaan kaedah Franz Diffusion Cell (FDC) untuk kajian penyebaran (diffusion) dan penyampaian ubat, serta membincangkan cabaran dan isu yang berkaitan Franz Diffusion Cell di kalangan penyelidik universiti dan industri.

Selaku pengarah bengkel ini yang dibantu oleh Dr. Saiful Izwan dari FBME, serta beberapa staf dan pelajar, pelaksanaannya telah berjaya memberi input baru di UTM tentang teknik penyampaian ubat melalui kaedah transdermal. Penceramah jemputan Prof. Madya Dr. Ng Shiow Fern dari Fakulti Farmasi, Universiti Kebangsaan Malaysia sangat membantu dari segi teori dan analisis yang melibatkan penggunaan alat Franz diffusion cell (FDC). Kebanyakan pelajar yang hadir adalah pelajar UTM sendiri yang  terdiri daripada pelbagai bidang dari Institut Bioproduk (IBD), Fakulti Sains dan MJIIT yang rata-ratanya merupakan pengalaman pertama mereka didedahkan kepada alatan ini. Begitu juga dengan penyampaian teori oleh Dr. Saiful Izwan tentang electrospinning, antara kaedahyang terbaru dalam penghasilan pembawa ubat (drug carrier) di masa kini.

Peserta juga menunjukkan minat yang tinggi dalam sesi praktikal yang berlangsung selama sejam. Sesi praktikal menggunakan alat FDC dikendalikan oleh Encik Jonaidee dari Syarikat DG Global. Alat tersebut dipinjamkan oleh Encik Jonaidee sendiri selama 2 tahun di UTM bermula 2017. Sekiranya anda berminat untuk menggunakan alatan ini di FBME, anda boleh menghubungi saya untuk mendapat maklumat lanjut.

Gambar sekitar perlaksanaan bengkel adalah seperti yang dibawah.