Bahaya Acrylonitrile (AN)

Mekanisme ketoksikan AN

AN boleh memasuki badan melalui pernafasan, pemakanan dan juga penyerapan ke dalam kulit. Ini mengakibatkan kebarangkalian untuk kuantiti AN berkumpul dalam badan adalah tinggi lebih-lebih lagi dalam suasana pencemaran yang tidak terkawal (uncontrolled exposure). Dalam keadaan biasa di mana individu terdedah kepada AN dalam kuantiti terkawal seperti pekerja di industri yang terlibat dengan penggunaan AN, AN yang memasuki badan akan diproses menjadi 2-cyanoethylene oxide. Ia merupakan kompaun yang sangat reaktif dan boleh merosakkan apa sahaja molekul dalam badan (protin, struktur lipid dan juga asid nukleik).

Badan kita mempunyai satu molekul penyelamat yang dinamakan Glutathione (GSH). GSH boleh menukar kompaun merbahaya ini (2-cyanoethylene oxide) kepada kompaun yang kurang merbahaya seterusnya menyahkan molekul ini dari badan melalui air kencing. GSH berfungsi menyelamatkan molekul-molekul dalam badan seperti protin, struktur lipid dan asid nukleik daripada dirosakkan oleh kompaun reaktif tadi. Individu yang terdedah kepada AN dalam kuantiti dan tempoh terkawal tidak akan mengalami kesan sampingan ataupun akan pulih semula dalam waktu yang singkat. Anggaran bahan2 ini dikeluarkan dari badan adalah 1-3 jam selepas terdedah kepada bahan toksik tersebut. Boleh rujuk bahagian biru dalam gambar rajah.

Dalam keadaan individu yang terdedah kepada kuantiti AN yang tinggi dan dalam tempoh yang lama, molekul GSH akan kehabisan kerana bertungkus lumus cuba memproses kompaun reaktif 2-cyanoethylene oxide kepada kompaun yang kurang merbahaya sehingga pada satu tahap tidak mencukupi untuk menukarkan semua 2-cyanoethylene oxide yang ada dalam badan. Lebihan 2-cyanoethylene oxide ini akhirnya berkumpul dan menyerang molekul dalam badan sehingga menjejaskan fungsi molekul tersebut. Boleh rujuk bahagian merah pada gambar rajah. Contohnya, 2-cyanoethylene oxide boleh merosakkan permukaan salur pernafasan dan paru-paru yang mengakibatkan gejala sakit tekak, hidung kering dan berdarah serta masalah pernafasan. 2-cyanoethylene oxide juga boleh merosakkan protin pada sel hati (hepatocytes) dan menjejaskan fungsi hati. Dilaporkan bahawa bilangan darah merah juga boleh berkurang mengakibatkan mild anemia dikalangan mangsa kemungkinan kerana 2-cyanoethylene oxide merosakkan struktur membran lipid pada sel darah tersebut. Lebih teruk, 2-cyanoethylene oxide boleh merosakkan struktur DNA yang boleh mengakibatkan kanser, masalah reproduksi dan kecacatan pada bayi dalam kandungan. Malangnya, jumlah yang dikeluarkan dari badan melalui air kencing hanyalah 23% daripada kuantiti yang telah memasuki badan. Manakala 70% lagi akan bertindakbalas dalam badan dan menimbulkan pelbagai gejala ketoksikan.

Perkongsian ini supaya dapat membantu orang ramai menilai tahap bahaya keadaan di Pasir Gudang. Bagi yang mampu dan berpeluang untuk berpindah, boleh berbuat demikian tanpa menunggu lebih lama. Demi kebaikan dan kesihatan semua.

WE CARE
#PRAY4PASIRGUDANG2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *