Tangan Di Atas Lebih Mulia Dari Tangan Di Bawah


Setiap persahabatan mengharapkan keakraban. Akrab dalam erti kata saling bantu-membantu dan tolong-menolong di kala susah. Bantuan yang dimaksudkan mungkin berbentuk fizikal, spritual atau emosi, mahupun kewangan.

Kadang-kadang ‘sharing stories’ dapat meringankan beban yang ditanggung. Tetapi tidak semua kawan yang kita boleh berkongsi masalah. Hanya kawan karib yang memahami perasaan kita dan sanggup memasang telinga terhadap luahan hati kita yang dapat kita kongsi masalah. Dengan kata lain, kawan yang boleh menjadi ‘good listener’. Begitu juga dengan kawan berkongsi berita kegembiraan. Hanya kawan sejati yang kita boleh kongsi berita kegembiraan…

Kita selalu dengar orang berkata, kawan dikala senang ramai tetapi kawan dikala susah sangat sedikit bilangannya. Begitu juga, kawan yang seronok mendengar kejayaan kita tak ramai tetapi kawan yang seronok apabila kita ditimpa musibah memang ramai. Ini semua kawan makan kawan!

Apabila kita menjumpai kawan sejati, kita merasa sungguh seronok. Kawan yang sebegini, kadang-kadang lebih rapat dari adik-beradik. Duit sedikit sebanyak tidak berkira. Apa yang penting, perasaan atau hati sahabat kita mesti dijaga!

Apabila berkawan, jangan selalu kita memohon pertolongan! Bertepatan dengan hadis nabi yang berbunyi “Tangan yang di atas lebih mulia dari tangan yang di bawah”. Maksudnya, orang yang memberi adalah lebih mulia dari orang yang meminta.

Walau bagaimanapun, jangan selalu kita tolak orang yang ingin menolong! Beri peluang kepada sahabat untuk berbakti kepada kita. Sahabat kita akan merasa lebih bahagia apabila dia dapat menolong kita. Satu perasaan kepuasan akan terasa kepada mereka yang memberi pertolongan…

UTM Open Day