
Seperti dicoretkan sebelum ini, 12 IPTA yang mempunyai kadet PALAPES telah berada di UTM sejak 31 Mei lagi. IPTA-IPTA tersebut ialah UTM, USM, UKM, UPM, UM, UUM, UPSI, UTHM, UniMAP, UMS, UniMAS dan UiTM.
Banyak acara yang telah dipertandingkan antara IPTA. Acara futsal baru pertama kali diperkenalkan pada tahun ini. Sebelum ini, bola tampar merupakan acara tradisi bagi pertandingan antara kadet lelaki IPTA. Pasukan kadet UTM sungguhpun mempunyai ‘goal keeper’ universiti tetapi hanya mampu meraih tempat ke 9 bagi acara futsal. Komen yang saya terima dari staf Unit Sukan UTM ialah kadet kita bermain bola di padang futsal. Katanya, “Bermain bola dan bermain futsal adalah berbeza”.
Seterusnya, bola jaring yang merupakan acara yang sinonim dengan kadet wanita. Kita kalah tipis kepada UPSI 16-15, dan menjadi Naib Johan.
Bagi acara merempuh halangan (obstacle course), kita berjaya menjadi Johan dengan masa terpantas. 15 kadet lelaki dan 9 kadet wanita mewakili IPTA masing-masing melalui tembok 6 kaki, tembok 12 kaki, ‘monkey rack’, titi gantung, menembak M-16 pada jarak 25m dan lain-lain… Ada seorang kadet lelaki dari USM pengsan sebelum melalui obstacle course!
Pertandingan kawad kaki membuahkan sekali lagi pingat emas kepada UTM!
Bagi acara merentas desa, pasukan UTM sekali lagi menjadi juara! Secara keseluruhan, kita telah menjadi Johan. Tahniah UTM!
Bermula semalam, semua kadet IPTA berlatih berkawad bersama-sama bagi menjayakan Upacara Pentauliahan yang akan berlangsung pada 20 Jun nanti. Pada malamnya, mereka berlatih untuk menerima watikah dari YTM Tengku Mahkota Johor. Siang berkawad, malam menerima watikah! Begitulah latihan mereka sehinggalah ke hari jadi pada 20 Jun ini.
Saya sebagai Ketua Peringkat Senior sungguh berbangga dengan kejayaan mereka….
MEJ HJ WAN IBRISAM FIKRY B HJ WAN ISMAIL