Kadang-Kadang Kita Tidak Sedar Betapa Nikmatnya…


Dah 2 hari selsema di negara ‘down under’. Makan ubatpun kurang berkesan… Itu yang membuat kita lebih yakin bahawa sakit demam, hanya Allah yang menyembuhkan dan bukannya ubat! Ubat hanya sebagai asbab…

Ramai dari kita kurang sedar bahawa nikmat yang dikurniakan Allah sehinggalah kenikmatan itu ditarik balik olehNya. Yang paling besar nikmat kurniaan Allah kepada kita ialah nikmat Iman dan Islam. Betapa perlu bersyukur kita kepadaNya kerana kita terpilih untuk memiliki nikmat ini.

Nikmat adanya kedua ibubapa yang masih hidup. Subhanallah, betapa seronoknya jika aku masih mempunyai mereka. Apabila mendengar nasyid ‘Lafaz Yang Tersimpan’, dendangan UNIC, bercucuran mengalir air mata mengenangkan pengorbanan ibu kepada ku.

Nikmat sihat yang Allah anugerahkan… Betapa kurang selesanya apabila ditarik sedikit kenikmatan itu. Dulu untuk membaca, tak perlu untuk mendapatkan bantuan cermin mata. Bila tengok orang bercermin mata nampak cantik dan terasa nak pakai cermin mata. Sekarang apabila perlu memakainya untuk membaca terasa betapa kurang selesanya bercermin mata.

Banyak lagi nikmat-nikmat yang kita ‘take things for granted’… Seperti dendangan nasyid Rabbani, Ingatlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara…Muda sebelum Tua, Sihat sebelum Sakit, Kaya sebelum Miskin, Lapang sebelum Sibuk, Hidup sebelum Mati!

Untuk mengingatkan 4 perkara tersebut, mungkin tidak begitu susah kerana ada banyak tanda-tanda. Tanda-tanda kita menuju ketuaan, tanda-tanda kita menuju kesakitan, tanda-tanda kita menuju kepapaan, dan tanda-tanda kita semakin sibuk…

Tetapi tanda-tanda kita menuju kematian, jarang diperlihatkan. Sedar-sedar, Inna lillahi wainna ilaihi raaji’un, kita sudah mati!

Katakanlah (Muhammad), “Apakah kita akan memohon kepada sesuatu selain Allah, yang tidak dapat memberi manfaat dan tidak (pula) mendatangkan mudarat kepada kita, dan (apakah) kita akan dikembalikan ke belakang, setelah Allah memberi petunjuk kepada kita, seperti orang yang telah disesatkan oleh syaitan di bumi, dalam keadaan kebingungan.” Kawan-kawannya mengajaknya ke jalan yang lurus (dengan mengatakan), “Ikutlah kami.” Katakanlah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya); dan kita diperintahkan agar berserah diri kepada Tuhan seluruh alam. (Al-An’am; 71)

UTM Open Day