Jiran Cina

Aku baru pulang dari pejabat dan jam menunjukkan pukul 6.30 petang. Bila aku baru aje hendak buka pintu pagar, jiran sebelah terus menyapa. Jiran aku nampak beriya-riya benar hendak berborak pada hari tu. Aku tak jadi masuk rumah tetapi sebaliknya aku masuk ke ‘porch’ jiran. Pintu pagar ‘automatic’nya terbuka luas.

“Wa tak de lumah minggu lepas kerana balik kampong 3 hali, mak wa meninggal!”, sambung jiranku. Patut la keretanya tiada minggu lepas. “Ooh, berapa umurnya?”, tanyaku. “Anam tiga, anam tiga, ya enam puluh tiga”, balasnya. Tiba-tiba, isterinya keluar… “Mana… Sembilan puluh tiga”, jelas si isteri.

Aku lebih faham pertuturan bahasa Melayu isterinya berbanding dengan suami. Si suami bekerja di Singapura.

“So, berapa hari cuti?”, sambungku lagi. “Company bagi 3 hali lo”, jawabnya.

“You masih ada mak”, tanyaku kepada si isteri pula. “Tak ada… Itu yang selalu datang dengan motosikal tu… bapak saya!”, jawabnya. “Oh… Muda lagi…”, balasku pula. “Tak da lah, sudah enam puluh lebih…”, sambungnya lagi.

Aku kembali kepada soalan asal pasal kematian emak jiran tadi. “Siapa jaga mak you sebelum ni?”, tanyaku. “Abang lo”, balas si suami.

“Wa ingat budaya Melayu, anak perempuan jaga orang tua dan budaya Cina, anak lelaki jaga orang tua”, sambungku lagi.

“Orang Arabpun sama ma…, anak lelaki jaga orang tua mereka”, balas si isteri.

Akupun tak pasti pasal perkara ini. Dari mana dia mendapat maklumat ini, akupun tidak tahu… Tetapi kalau ikut logik, memang tanggungjawab terletak di atas bahu anak lelaki. Harta pusakapun anak lelaki mendapat bahagian lebih kerana perlu menanggung keluarga dan sebagainya.

Cuma mungkin budaya Melayu, orang tua lebih rapat dan mesra dengan anak perempuan di kala tua, lebih-lebih lagi jika anak perempuan bongsu! Pada sesetengah keluarga, anak perempuan bongsu mendapat kasih sayang lebih dari orang tua sehinggakan kadang-kadang rumah yang dihuni oleh orang tua akan diberikan kepada anak bongsu perempuan.

Sebaliknya pula harapan orang tua, si anak perempuan bongsu tidak akan berkasar dengan mereka berbanding dengan isteri-isteri abang. Abang mungkin sayang dan dapat menerima ibubapa tinggal bersama tetapi isteri abang belum tentu.

Oleh itu, pada pandanganku, orang tua lebih rela bersama anak perempuan dan menantu lelaki berbanding dengan anak lelaki dan menantu perempuan.

“Aunty kat depan tu akan operate mata…”, sambung si isteri lagi. “Kat mana dan bila?”, tanyaku. “Dekat Hospital Aminah JB (Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru)”, jelas si isteri. “Tapi saya tak pasti, sudah operate ke belum”, sambungnya lagi.

“Kalau tahu wad berapa, maklum kepada saya. Saya mahu ziarah dia.”, jelasku.

“Wa tak bole zialah. Wa pantang!”. Si suami yang diam sejak tadi mula menyampuk. Adat orang Cina yang tidak boleh menziarahi orang sakit apabila mereka mengalami kematian.

“Oh, ya ke?”, tanyaku dan tidak mengharapkan sangat jawapan.

Aunty di depan rumah, baru minggu lepas memetik buah delima yang ditanamnya dan diberikan kepada kami. Buah delima adalah sangat baik untuk mengnyahkan toxid keluar dari badan. “Ambiklah, nanti olang culi”, Aunty menghulurkan sebiji delima sebesar penumbuk. Padaku, buah itu belum betul-betul masak tetapi kami menerima saja pemberian yang ikhlas itu.

Aku melihat jam di telefon bimbit, sudah menunjukkan 6.55 petang. “Oklah, saya mahu balik dulu, nanti mahu pergi sembahyang…”, jelasku kepada jiran. “Ok, ok…”, balas mereka.

Hubungan dengan jiran walaupun bukan tetangga Islam perlu dijaga dan seeloknya dibuat baik. Manalah tahu, berkat kebaikan yang ditunjukkan kepada mereka, mereka berkenan terhadap ajaran Islam… Kalau tak mereka, mungkin anak cucu mereka, atau cucu cicit mereka…