Membuat Kertas Kerja

Kertas Kerja adalah satu perkara penting yang perlu disediakan dalam apa jua program yang ingin dilaksanakan. Kertas Kerja juga menjadi rujukan utama apabila sesebuah projek itu melibatkan bajet. Banyak atau sedikit bajet yang diluluskan adalah bergantung kepada perincian aktiviti yang ingin dilaksanakan. Kebiasaannya kita akan memohon bajet yang bersesuaian dengan peruntukan yang ada; tidak lebih dan tidak kurang!

Bagi membantu mereka yang ingin membuat kertas kerja, di sini saya perturunkan satu contoh kertas kerja yang telah saya buat dan juga telah diluluskan peruntukannya seperti yang diminta.

Pada muka surat pertama, kita perlu membuat ‘cover page’ seperti di bawah yang merangkumi tajuk, tempat, tarikh, dan nama sipenyedia kertas kerja.

Sudah pasti kertas kerja perlu mempunyai pendahuluan, matlamat, objektif, aktiviti, implikasi kewangan, dan penutup. Lain-lain perkara yang ingin dimasukkan adalah bergantung kepada relevensi atau perkaitan dengan apa yang ingin dijalankan.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Kem LAD II
Semester I
Sesi 2011/2012

Tarikh

14 Januari hingga 4 Februari 2012

Tempat

Di Sekitar Johor Bahru, Bandar Penawar, Kuala Lumpur, Putrajaya & Cameron Highlands

Disediakan Oleh

Mej Haji Wan Ibrisam Fikry Haji Wan Ismail
Penyelaras KEM LAD

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Kertas Kerja Cadangan

1.0 Pendahuluan
Khemah latihan atau lebih dikenali sebagai Kem LAD mula dikendalikan bermula sesi akademik 2002/2003. Tujuan kem ini adalah untuk memberi latihan sebenar dan memantapkan diri pelajar sebelum mereka menjalani latihan industri.

Perbincangan dalam kumpulan adalah digalakkan dan pembelajaran kendiri diperlukan dalam usaha mereka mengutip data dan mempraktikkan penyelesaian masalah secara terus berkaitan kedayahidupan pembangunan, EIA, SIA, pemasaran harta tanah, pemeliharaan alam sekitar, dan sebagainya.

Disamping itu juga, pelajar-pelajar akan dilatih dan diasuh untuk mempunyai ketinggian intelek, kepelbagaian kemahiran, bermaklumat intensif, kreatif seiring dengan kemantapan etika, moral dan penghayatan nilai-nilai murni dalam pengurusan dan pembangunan tanah.

2.0 Matlamat
Kem LAD II merupakan kesinambungan atau penerusan dari Kem LAD I yang menekankan pengajaran dan pembelajaran tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan dan pengurusan tanah. Sama seperti Kem LAD I, Kem LAD II akan menumpukan kepada penyelesaian masalah (problem-based learning) tetapi melihat kepada aspek pengurusan dan pembangunan tanah yang lain.

3.0 Objektif
1) Memberi pendedahan kepada pelajar tentang pembangunan tanah kediaman, industri, dan pertanian.
2) Menjelaskan kepada pelajar tentang pengurusan harta wakaf.
3) Mendedahkan kepada pelajar tentang masalah tanah runtuh apabila melakukan pembangunan di kawasan tanah tinggi.
4) Menerangkan kepada pelajar aspeks pembangunan tanah di kawasan sensitif seperti di lereng-lereng bukit dan kawasan tadahan air.
5) Mendedahkan pelajar tentang cara-cara pengutipan data melalui ‘questionnaire surveys’ dan ‘interview’.

4.0 Tarikh dan Tempat
Fasa I: Fasa ini bermula dari 14 Januari hingga 20 Januari 2012. Dalam fasa ini, pelajar-pelajar akan didedahkan tentang pengurusan dan pembangunan tanah oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta di sekitar Johor Bahru dan Bandar Penawar. Agensi-agensi tersebut adalah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Johor Corporation, Tabung Haji (TH), Iskandar Regional Development Authority (IRDA), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Lembaga Nenas Johor, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA).

Fasa II: Fasa ini bermula dari 21 Januari hingga 29 Januari 2012. Dalam fasa ini, pelajar-pelajar akan didedahkan tentang pemungutan data melalui konsep ‘questionnaire survey’ berkaitan tanah rezab melayu di 3 lokasi yang berasingan di sekitar Kuala Lumpur. Sebelum itu, mereka juga akan ke pejabat Ketua Pengarah Tanah & Galian, Putrajaya Holdings, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan maklumat tentang pengurusan dan pembangunan tanah oleh pihak tersebut. Pelajar-pelajar seterusnya akan ke Pejabat Tanah Cameron Highlands dan Majlis Perbandaran Cameron Highlands bagi mengkaji masalah tanah runtuh dan mempelajari pengurusan pembangunan di kawasan tanah tinggi.

Fasa III: Fasa ini bermula dari 30 Januari hingga 4 Februari 2012. Dalam fasa ini, pelajar-pelajar akan membuat dokumentasi segala maklumat yang diperolehi dan sesi pembentangan secara berkumpulan akan dilaksanakan di sekitar FGHT.

5.0 Ahli Jawatankuasa Kerja
Ahli jawatankuasa kerja bagi Kem LAD II terdiri dari 3 orang pensyarah dan 2 orang staf sokongan. Mereka adalah seperti tertera di bawah;
Penyelaras Kem LAD II: Mej Haji Wan Ibrisam Fikry Haji Wan Ismail
Ketua Jabatan: Dr Mohd Nadzri Jaafar
Ahli: Prof Madya Dr Ismail Omar
En. Umul Baharin Abd Kadir
En. Mohd. Hezul Hezri Hassan

6.0 Peralatan & Kenderaan
Peralatan yang diperlukan adalah sebuah LCD, 2 buah pajero, sebuah van, dan sebuah bas.

7.0 Anggaran Belanjawan
1) Penginapan Pensyarah (9 hari X 3 pensyarah X RM200) = RM5,400
2) Penginapan Staf Sokongan (9 hari X 2 staf X RM100) = RM1,800
3) Elaun Makan Pensyarah (10 hari X 3 pensyarah X RM60) = RM1,800
4) Elaun Makan Staf Sokongan (10 hari X 2 staf X RM40) = RM800
5) Bayaran Tol = RM500
Jumlah RM10,300

8.0 Penutup
Adalah diharapkan agar kertas kerja ini mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari pihak fakulti dan diberi kelulusan.
Sekian. Terima kasih.