Sedikit Pengenalan Kepada Kor & Rejimen Dalam Tentera Darat

Sudah agak lama ya Tentera Darat wujud di negara kita… Sekarang kita menyambut Hari Tentera Darat yang ke-80.

Kenapa cakap pasal tentera pula? Sebab yang utama ialah pasukan tentera amat penting bagi sesebuah negara. Di zaman Rasulullah (SAW), pasukan tenteralah yang mempertahankan Islam dan melancarkan serangan apabila berlakunya pertempuran seperti Perang Badar, Perang Uhud, Perang Khandak, Perang Mu’tah, dan sebagainya.

Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, mempunyai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang mana pasukan Angkatan Tentera Malaysia bernaung di bawahnya.

Setiap pegawai tentera Malaysia pasti akan ditauliahkan dan diberi watikah oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Di dalam watikah tersebut mempunyai 2 orang yang menandatanganinya iaitu SPB Yang Dipertuan Agong dan Menteri Pertahanan Malaysia.

Saya telah ditauliahkan pada tahun 1990 dan watikah saya telah ditandatangani oleh ayahanda Sultan Selangor sekarang yang merupakan SPB Yang Dipertuan Agong pada masa itu dan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, merangkap Menteri Pertahanan.

Tentera Darat mengandungi 18 Kor atau Rejimen.

Tentera Darat boleh dibahagikan kepada 4 kelompok iaitu Kelompok Tempur, Kelompok Bantuan Tempur, Kelompok Bantuan Perkhidmatan, dan Pasukan-Pasukan Khas.

Kelompok Tempur mengandungi 4 pasukan iaitu Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD), Rejimen Sempadan (RS), dan Kor Armor Diraja (KAD). Kelompok pertama ini melibatkan anggota dan sistem tempur yang berada di hadapan sekali (barisan hadapan) dalam peperangan.

Kelompok Bantuan Tempur pula terdiri daripada Rejimen Semboyan Diraja (RSD), Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Rejimen Artileri Diraja (RAD), Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Kor Risik Diraja (KRD), dan Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD). Kelompok kedua ini terdiri daripada anggota dan sistem tentera yang membantu kelompok tempur secara langsung di dalam peperangan.

Kelompok Bantuan Perkhidmatan mempunyai 6 pasukan iaitu Kor Perkhidmatan Am (KPA), Kor Kesihatan Diraja (KKD), Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Kor Ordnans Diraja (KOD), Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), dan Rejimen Askar Wataniah (RAW). Saya adalah seorang anggota tentera dari pasukan Rejimen Askar Wataniah. Peranan kelompok ini adalah untuk membantu kelompok tempur dan bantuan tempur dalam aspek perkhidmatan lain yang berunsur pentadbiran.

Pasukan-Pasukan Khas pula terdiri dari Pasukan Khusus (Gerak Khas) dan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD). Mereka yang menyertai pasukan ini adalah terdiri daripada mereka yang terpilih daripada pelbagai kor dan rejimen dalam Tentera Darat.

Speak Your Mind

*