Saya tertarik dengan visi dan misi kita untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 iaitu lebih kurang 6 tahun dari sekarang! Cuba kita perhatikan 9 cabaran yang telah digariskan oleh kerajaan. Setakat mana pencapaian kita?
9 cabaran di bawah telah saya ambil dari MyAirport@blogspot.com dan saya ulas setiap satu cabaran tersebut.
Kita perlu faham betul-betul apa maksudnya masyarakat demokratik yang matang. Kita seharusnya mengamalkan dan bukan setakat nukilan semata-mata bagi menunjukkan kita ‘open’… Kita mesti betul-betul terbuka untuk menerima pandangan berbeza. Jangan kita mudah melabel mereka sebagai pembangkang jika mereka berbeza pendapat dengan kita.
Ini juga perlu kepada pelaksanaan yang selari. Bukan hanya menyatakan begitu tetapi kita masih membenarkan budaya hedonisme berleluasa sehingga melanggar budaya ketimuran. Mati dan sakit disebabkan menari terkinja-kinja dengan pakaian separuh bogel selama beberapa hari dan berbekalkan dadah dan arak. Jauh sekali apa yang dikata!
Kita dengan jelas menyatakan untuk mewujudkan masyarakat liberal! Liberal agamanya, liberal akhlaknya, liberal budayanya atau liberal yang bagaimana? Yang pasti kita tidak boleh liberal dari segi menyokong mereka yang tidak menerima hadis dan hanya berpegang kepada al-Quran!
Kita perlu menambah ruang dan peluang kepada anak bangsa untuk menimba ilmu di menara gading yang canggih teknologinya dan bukannya mengurangkan bilangan pengambilannya. Janganlah kera di hutan disusui tetapi anak di rumah mati kelaparan.
Perlu banyakkan program-program ke arah keluarga penyayang. Daripada apa yang dilihat hari ini, sebaliknya yang berlaku. Ibubapa merempat di hari tua dan kadang-kadang rumah orang tua menjadi sasaran tempat persinggahan terakhir sebelum mereka melangkah pergi! Anak-anak kecil dan bayi samaada didera atau dibuang kerana terjebak dengan budaya seks bebas. Nilai-nilai positif terhakis dan remaja semakin berani mencuba budaya asing!
Itulah yang diharapkan semasa pemerintahan kita di awal dahulu semasa zaman Tun Abdul Razak tetapi sekarang masing-masing berjuang terutama ahli politik pemerintah hanya untuk memenuhi kekayaan diri dan keluarga sendiri. Alangkah sedih bila melihat bekas Perdana Menteri yang mencanang Wawasan 2020 tersenarai sebagai manusia terkaya dan mendapat nombor dua selepas Presiden Hosni Mubarak! Itu mereka tulis tetapi hakikatnya kita tidak tahu. Tetapi sekiranya betul maka kita boleh dikatakan sebagai pemimpin yang tidak ‘walk the talk!’.
Ini masih jauh selagi kita masih mengharapkan pelbagai subsidi negara (kerajaan). Segala jenis seumpama BR1M harus dihapuskan tetapi sebaliknya meningkatkan pelaksanaan pengurusan sistem zakat yang lebih telus dan berwibawa. Kutipan zakat yang berjuta-juta bukan untuk disimpan tetapi perlu diagihkan kepada asnaf-asnaf yang begitu mengharapkan…
Seterusnya, saya nampak gejala atau masalah negara-negara maju akan kita warisi. Contohnya, peningkatan dari segi ‘crime rate’, peningkatan pengangguran, peningkatan kesesakan jalan dan sebagainya.
Masyarakat muda akan lari dari melakukan kerja-kerja berat di ladang sepertimana yang kita lihat di negara maju. Pendatang asing akan mengusahakan tanaman sawit dan mengutip hasilnya. Kita dapati di kebanyakan negara maju, pengutipan strawberry dan apple telah dilakukan oleh PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin).
Masyarakat juga akan banyak yang tiada rumah. Oleh itu, PBT terpaksa membantu membina rumah dan menyewakan kepada mereka.
‘Food stamps’ sepertimana di US dan UK akan disediakan! Masyarakat bebas memilih untuk bekerja atau berhenti kerja dan kemudiannya mendapatkan kemudahan bantuan dari ‘local government’ atau ‘state government’, mahupun dari ‘federal government’.
Harap-harapnya telahan saya tidak benar…