Malam tadi kita dikejutkan dengan berita kematian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Allahyarham Tok Guru meninggal dunia di rumahnya di Pulau Melaka sekitar jam 9.45 malam.
Berita ini memasuki ke semua kumpulan wassup dan telegram yang saya sertai. Apa maksudnya? Ini bermaksud semua orang prihatin, hormat dan bersimpati dengan pemergian seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Tidak mengira bangsa dan agama, semua menghormati beliau.
Saya tidak berhasrat untuk mengulas tentang jasa beliau selaku bekas Menteri Besar Kelantan yang paling lama memegang jawatan MB. Banyak media telah menulis tentang pendidikan, pengalaman, sifat dan sikap keperibadian beliau. Berjuang buat kesekian lamanya (sebelum saya dilahirkan lagi!) kerana ingin memartabatkan agama Islam di bumi Allah ini.
Sikap beliau yang sederhana dan tanpa banyak protokol sangat-sangat disukai masyarakat. Pemakaian beliau yang ‘simple’, pemakanan beliau yang sangat mudah, kelengkapan rumah yang amat ‘basic’ dan keadaan rumahnya yang begitu kekampungan serta tutur bicaranya yang lembut tetapi tegas begitu memikat hati.
Tiada isu untuk pihak lawan cuba menjatuhkan Tok Guru. Korup jauh sekali, bahkan duit gajinya dipotong untuk Tabung Serambi Mekah.
Masih adakah lagi pemimpin seperti ini? Menteri Besar mana yang tiada rumah besar tersergam indah bagai istana? Menteri Besar mana yang tiada kereta berjenama, setidak-tidaknya dua tiga biji? Menteri Besar mana yang tiada rumah dua, tiga buah atau mungkin lebih malah mungkin rumah di luar negara?
Memang Tok Guru walk the talk! Tok Guru takut dengan ayat Allah; “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (2) Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya (3)” (As-Saff).
Pemimpin kita ramai juga yang suka memberi nasihat kepada rakyat. Antaranya; belilah barangan tempatan tapi mereka sendiri shopping di London, New York, Los Angeles dan sebagainya. Kata mereka lagi; “Pakailah kereta berjenama proton atau perodua” tetapi mereka sendiri pakai Mercedes, Porche, Ferari dan lain-lain.
Saya hampir pasti tiada lagi insan zuhud seperti Tok Guru. Pemimpin kita yang lain bukan setakat harta dikumpul untuk dirinya tetap tempias juga untuk anak isteri. Bukan hanya ada di Malaysia tetapi ada juga harta tanah atau property di New York, Australia, UK dan sebagainya.
Pemimpin seperti ini bercakap berdegar-degar mahu menyelamatkan bangsa dan agama tetapi hakikat sebenarnya kalau 100% tu, hanya 30% untuk rakyat manakala 70% lagi untuk memenuhi tembolok sendiri.
Saya tiada masalah untuk mereka mengumpul harta tetapi janganlah sampai orang berkata, dia ni kalau mati dan kemudian hidup semula, hartanya masih cukup untuk kehidupan seterusnya tanpa perlu mencarinya lagi. Ini melampau!
Takutlah kepada Allah SWT! Kumpul harta yang halal saja. Seperti kata arwah Tok Guru, harta kita bahkan diri kita sendiri adalah barangan pinjaman dari Allah SWT. Sampai masa Dia akan ambil balik!
Elok kita luangkan masa untuk kumpul mata wang akhirat (pahala). Arwah Tok Guru membuat perumpamaan kalau kita ke Thailand, mata wang Malaysia tak laku kerana mereka menggunakan mata wang baht (ko’ dalam bahasa Kelantan). Oleh itu, jom kita berusaha keras ke arah itu.
Jangan kita hanya pandai berkata-kata tetapi tidak dikota seperti ayat 2 dan 3 surah as-Saff tersebut di atas.