Allahu Akbar… Allah yang Maha Besar, Allahu Akbar… Allah yang Maha Besar, Allahu Akbar… Allah yang Maha Besar. Alhamdulillah… Segala puji dan puja hanya kepada Mu ya Allah!
Kepada Mu aku sembah dan kepada Mu aku mohon pertolongan. Banyaknya pertolongan yang telah Engkau berikan kepada ku… tetapi masih sedikit amal dan baktiku kepada Mu sebagai seorang hamba.
Doaku untuk berjaya dalam pengajian PhD telahpun Engkau tunaikan… Ya Allah! Aku memohon kepada Mu supaya Engkau berikan kekuatan untuk aku tingkatkan lagi iman dan amal Islami.
Tanpa pertolongan Mu, siapalah aku?
Aku insaf bahawa aku insan kerdil yang lemah lagi daif, ya Allah.
Ya Allah, Engkau berikan kekuatan kepada ku untuk menjaga tutur kata yang baik-baik, amal perbuatan yang soleh, tidak ujub dan bangga diri, jauh sekali dari sifat-sifat yang keji.
Dikesempatan ini juga, aku memohon kepada Mu untuk memberi kesejahteraan dan keselamatan kepada kedua orang tua ku di alam kubur. Tanpa didikan dan asuhan mereka, aku mungkin berjaya duniawi tetapi ukhrawi belum tentu… Rabbigh Firli Waliwaa Lidayya Warham Huma Kama Rabbaya Ni Soghira.
Ya Allah aku berdoa kepada Mu supaya merahmati ahli keluargaku. Berikan kebaikan kepada mereka di dunia ini dan juga kebaikan di akhirat. Rabbana Hablana Min Azwaajina Wa Zurriyaatina Qurratua’yunin Waj’alna Lilmuttaqina Imama.
Aku selalu meminta-minta kepada Mu… Engkau pula tanpa jemu mengabulkan permintaanku. Alhamdulillah, aku tidak meminta-minta kepada manusia tetapi aku hanya meminta kepada Mu, ya Rabb!
Dan aku pasti selagi hayat dikandung badan, banyak lagi permintaan yang akan aku ajukan kepada Mu. Yang pasti aku berdoa supaya Engkau tetapkan daku istiqamah di jalan Mu. Hidupkan dan matikan daku dalam kalimah Laa Ila Ha Illallah, Muhammadur Rasulullah!
Ya Allah, ampunilah dosa-dosa kami, dosa-dosa keluarga kami dan dosa-dosa muslimin dan muslimat, baik yang telah mati mahupun yang masih hidup. Tunjukkan jalan yang lurus kepada kami, jalan yang Engkau redhai… Amin ya Rabbal ‘Alamin.