Dalam banyak keadaan kita tersalah sangka…
Apabila kita ke kompleks membeli belah atau pasaraya, kadang-kadang kita melihat ada orang yang mengedarkan ‘flyers’ atau ‘brochures’. Dia menghulurnya kepada kita tetapi kita menolak untuk menerimanya.
Kita menyangkakan bahawa daripada dia rugi sekeping ‘flyers’ kerana memberikan kepada kita, lebih baik dia berikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan atau ingin mendapatkan maklumat tersebut.
Pernahkah kita terfikir, alangkah kecewanya dia kerana kita tidak sudi untuk menerima sekeping ‘flyers’ yang tidak perlu dibayar apa-apa?
‘Brochures’ yang diedarkan itu sudahpun dimasukkan ke dalam bajet si pengedar. Berapa sen sekeping…
Dan dah dikajipun berapa ramai yang akan membacanya dan berapa ramai pula yang akan buang ke dalam tong sampah.
Apa salahnya kita ambil. Sekurang-kurangnya kita tidak mengecewakan hati si pengedar.
Pengalaman saya mengedarkan satu ‘flyers’ tentang Islam kepada mereka yang belum Islam di sebuah pasar Ramadhan (cerita ini telah saya nukilkan sebelum ini) begitu sayu hati apabila mereka tidak sudi menerimanya.
Pengalaman ini mengajar saya untuk menerima sebarang edaran yang diberikan. Selepas itu, jika kita tidak suka atau tidak berkaitan maka buanglah.
Tetapi tolonglah jangan buang di depan mata si pengedar! Mentang-mentang tong sampah berada di depan, maka ‘flyers’ yang kita terima tadi terus kita buang di depan pandangan si pengedar.
Jaga perasaan dia. Kita mungkin tidak berniat langsung untuk melukai hatinya tetapi perbuatan kita tadi sedikit sebanyak akan melukai hati si pengedar.
Jangan hanya fikir tentang perasaan kita tetapi kadang-kadang fikir juga tentang perasaan orang lain.