Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Local Authority sentiasa merancang dan membuat pembangunan di dalam kawasan pentadbirannya. PBT melakukan demikian untuk memberi keselesaan, kesejahteraan dan ketenteraman kepada majoriti penghuninya. Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) tidak ketinggalan dalam hal ini. MPJBT sentiasa merancang yang terbaik untuk masyarakatnya.
Isu Perhentian Bas Sri Putri sudah lama. Tetapi ia dapat bertahan kerana pelajar-pelajar UTM, pensyarah dan masyarakat setempat begitu ramai menggunakannya. Petisyen yang dibuat menerusi wakil rakyat dapat melengahkan pemberhentian penggunaan Perhentian Bas Sri Putri.
Dari satu sudut memang wajar Perhentian Bas ini dikekalkan kerana ia memudahkan pergerakan masyarakat terutama sekali pelajar-pelajar UTM. Amat kurang senang, mereka yang ingin ke Skudai tetapi terpaksa berhenti di Larkin yang mana ia jauh ke selatan dan terpaksa mengambil bas lain pula untuk naik semula ke Skudai. Begitu juga sekiranya pelajar-pelajar UTM ingin ke Utara atau ke Timur, mereka terpaksa ke Larkin atau ke Perhentian bas Taman Tun Aminah untuk memulakan perjalanan.
Kita kurang prihatin terhadap pengusaha stesyen minyak Shell yang berhampiran, yang mana mungkin mendapat kurang pelanggan kerana banyaknya bas yang menunggu dan mengambil pelanggan di situ.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila ada juga kereta yang berhenti di situ untuk menghantar penumpang bas. Kesesakan akan menjadi berganda-ganda.
Demi untuk memberi jaminan pelanggan kepada pengusaha stesyen minyak Shell disamping meningkat keadaan Perhentian Bas yang lebih selesa maka MPJBT telah menambahbaik Perhentian Bas di Taman Universiti dan mengalihkan Perhentian Bas Sri Putri ke sana. Ia akan dikuatkuasakan bermula 1 April mengikut apa yang dimaklumkan oleh penjual tiket di bawah Hotel Kelana pagi tadi.
Apabila ditanya syarikat bas mana yang akan beroperasi di Taman Universiti maka pakcik penjual tiket memaklumkan bahawa tidak ramai syarikat bas yang ingin melencung ke Taman Universiti kerana pada tanggapan mereka, Taman Universiti adalah di luar dari laluan utama mereka.
Pada pandangan saya, ia adalah suatu fenomena biasa. Manusia tidak suka berubah. Apatah lagi, jika perubahan itu akan menyusahkannya sedikit.
Sebenarnya perubahan ini akan mengemaskan lagi sistem pengangkutan ‘mass transit’ di sekitar Johor Bahru.
Jikalau kita imbas kembali betapa teruknya Perhentian Bas di Johor Bahru suatu ketika dulu sebelum ia dipindahkan ke Larkin di akhir dekad 1990an. Ramai yang tidak suka akan perpindahan ini tetapi ia dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di pusat bandar (Central Business District) Johor Bahru. Lama kelamaan, masyarakat dapat menerima perubahan ini.
Begitu juga dengan penggantian Perhentian Bas Sri Putri dengan Perhentian Bas Taman Universiti… Pada hemat saya, lama kelamaan masyarakat mampu untuk adapt situasi baru ini. Saya juga berpandangan syarikat bas yang masuk ke Taman Universiti akan mendapat advantage dari segi bilangan pelanggan yang akan mereka peroleh berbanding dengan syarikat yang beroperasi hanya di Larkin dan Taman Tun Aminah.
Pelajar-pelajar UTM yang ramai (clients) mungkin akan merancakkan syarikat bas yang beroperasi di Taman Universiti. Sistem perhubungan/komunikasi ini sudah pasti mempunyai impak kepada lain-lain perkhidmatan yang berada di persekitaran. Antaranya perkhidmatan kereta sewa akan lebih produktif dimana pelajar-pelajar UTM akan menggunakan perkhidmatan mereka untuk ke Perhentian Bas Taman Universiti.
Taman Universiti akan berkembang dengan kehadiran pelancong-pelancong luar yang melalui sistem pengangkutan bas dan sebagainya. Secara tidak langsung, ekonomi Taman Universiti akan ‘flourish‘ dan menjana pendapatan kepada pengusaha-pengusaha enap desa (homestay), industri seperti restoren dan sebagainya.
Oleh itu, marilah kita berdoa dan mengharapkan yang terbaik dari usaha-usaha yang telah dibuat oleh MPJBT.