Aku sempat ke beberapa buah universiti ketika berada di Holland dan UK pada 2 minggu lepas.
Apa yang menarik hati ialah ada sebuah universiti yang mana aku begitu kagum dengan pencapaiannya dari aspek ’employability’. Maksudnya di sini ialah sesiapa yang belajar di universiti ini akan memperolehi pekerjaan dalam masa tiga bulan atau lebih awal lagi selepas mereka tamat belajar.
Universiti yang aku maksudkan ialah Robert Gordon University di Aberdeen, Scotland.
Aku bertanyakan Profesor Paul de Leeuw, ‘Director of Oil and Gas Institute’, di Robert Gordon University bagaimana ini mungkin berlaku? Beliau menjawab bahawa di universiti ini banyak kursus-kursusnya diajar secara ‘hands-on’ sepertimana yang diperlukan oleh pihak industri. Dengan kata lain, teorinya tidak banyak tetapi terus kepada praktikalitinya.
Di dalam kampus, terpampang notis yang menyatakan bahawa graduan universitinya berjaya mendapat pekerjaan dalam masa yang singkat dan merupakan pencapaian yang terbaik di antara universiti-universiti di UK.
Prof de Leeuw menegaskan bahawa untuk mendapat atau mencapai tahap tersebut tidak sepayah mana tetapi untuk mengekalkan status itu “it’s not so easy”. Oleh itu, mereka bekerja keras untuk menjadikan RGU terus relevan di mata ‘stakeholders’ mereka.
Pada saya, ini yang sangat penting berbanding ‘ranking’ yang entah apa-apa itu.
Mungkin ’employability’ juga adalah salah satu kriteria untuk ‘ranking’. Tetapi pada hemat saya, keupayaan graduan untuk mendapat pekerjaan dalam masa yang singkat dan cepat adalah segala-galanya.
Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa sesebuah universiti itu begitu relevan dan terkini dengan kehendak pelanggan di luar sana.
Walaupun begitu untuk menjadi sebuah universiti yang ’employability’nya tinggi kita perlu melihat juga kepada kursus-kursus yang kita tawarkan. Kita tidak mampu menjalankan kursus-kursus yang kurang daya pasarannya. Hanya kursus-kursus yang ‘hot’ sahaja yang perlu kita laksanakan. Ini boleh didapati berdasarkan kajian yang kita lakukan.
Pun begitu apabila kita melakukan demikian, mungkin bagi sesetengah orang akan berkata bahawa kita telah lari dari suasana wacana keilmuan yang tulen. Kita hanya meletakkan kepentingan kepada kursus-kursus yang mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Bagaimana dengan kursus-kursus yang berbentuk filosofi dan seumpamanya?
Maka ia membuat kita berfikir kembali… Apakah ilmu itu hanya penting apabila graduannya laris di pasaran semata-mata dan tidak ilmu yang membentuk ketamadunan, peradaban dan keperibadian? Sama-sama kita fikirkan…