Perubahan Berlaku Apabila Majoriti Masyarakat Berubah

Banyak pengalaman yang aku timba semasa membuat lawatan ke luar negara dari 18 April hingga 30 April yang lalu. Pada kali ini, aku ingin bercakap tentang perubahan atau kita katakan transformasi.

Kita acapkali disarankan supaya berubah atau berhijrah ke arah yang lebih baik. Itulah yang sepatutnya. Tetapi rata-rata kita merasa selesa dengan apa yang ada dan segan untuk berubah.

DSCN0166Semasa di Amsterdam dan Rotterdam, aku melihat begitu ramai orang berbasikal. Malah di dalam trenpun ada tempat meletak basikal. Kita ingin mengurangkan pencemaran asap kenderaan tetapi kita masih ke sana sini menaiki kenderaan.

Kita kata mengayuh basikal itu menyihatkan badan tetapi kita masih berkenderaan bermotor walaupun untuk ke surau dan ke kedai runcit yang berdekatan.

Oh, di sana oklah sebab tidak berpeluh. Di sini susah kerana cuaca kita mempunyai tahap humiditi yang tinggi! Pernahkah kita terfikir bagaimana mereka di sana menaiki basikal dalam suasana yang begitu sejuk? Aku pernah melihat seorang ibu yang membonceng basikal dan di dalam raga di depannya terdapat seorang anak kecil. Aku yang berjalan kakipun tidak tahan dengan tiupan angin yang begitu dingin…

DSCN0178Kita di UTM, Datuk Naib Canselor telah melancarkan program berbasikal tetapi berapa kerat dari kalangan staf mahupun pelajar yang mengikutinya?

Semasa aku di Malaysian Hall tempohari, aku makan di Malaysia Kitchen yang terletak di ‘basement’. Aku melihat ada arahan bertulis yang meminta supaya setiap pelanggan meletakkan pinggan, gelas dan sudu garfu masing-masing ke dalam besen yang disediakan setelah selesai menjamu selera. Di sini nampaknya arahan dituruti, tidak kira siapa… Orang besar mahupun orang kecil mengangkat pinggan masing-masing ke tempat yang disediakan.

DSCN0474Kita juga telah menyarankan perkara yang sama di Arked Meranti, UTM. Tetapi hasilnya jauh lagi untuk berjaya! Masing-masing meninggalkan pinggan mangkuk di atas meja untuk dibersihkan oleh orang lain.

Pada hari aku ingin berangkat dari Malaysian Hall ke Heathrow Airport, aku menaiki teksi yang dipandu oleh seorang Islam Iraq yang telah menjadi warganegara Britain. Aku bersembang panjang dengannya tentang masyarakat Islam dan masyarakat Barat. Aku menyatakan kepadanya bahawa ada seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin yang berkata, “Apabila aku ke Negara Barat aku melihat Islam tetapi apabila aku ke Negara Islam aku melihat kejahilan dan keburukan.”

DSCN0069Maksudnya ialah orang-orang Barat berakhlakkan Islam seperti jujur, menepati masa, menjaga kebersihan dan sebagainya tetapi orang-orang Islam berkelakuan sebaliknya, dengan rasuah, melengah-lengahkan masa, pengotor dan sebagainya.

Pemandu teksi ini menyatakan kepadaku bahawa kita di sini mudah untuk bertindak jujur, menepati masa, tidak menipu dan sebagainya kerana majoriti masyarakat di sini berkelakuan begitu (walaupun bukan 100%) maka mudah untuk kita menuruti dan mengamalkannya.

Marilah kita mengajar anak-anak kita masing-masing supaya mereka berakhlak mulia dan apabila mereka menjadi majoriti kelak maka tertegaklah Islam di negara Islam, insyaAllah!