Allah Yang Bantu Kita…

Setelah ditugaskan untuk menyelia pelajar yang menjalani Latihan Industri (LI) di sebelah Pantai Timur Semenanjung, saya mula membuat pelan perjalanan. Tujuannya yang utama ialah untuk mengurangkan perbelanjaan universiti disamping memberi keselesaan kepada kita yang membuat penyeliaan serta menyenangkan pelajar itu sendiri. Setakat menjimatkan perbelanjaan universiti tetapi kalau kita tidak sempat berhenti lelah, tak guna juga!

11312215_10206588898744749_146978238_nTemujanji saya yang pertama ialah dengan Yap Fei Chyurn di Majlis Daerah Mersing. Saya telah merancang pertemuan ini pada pukul 2.15 petang, 5 Mei kerana pada paginya saya ingin mendengar amanat Datuk Naib Canselor di Perhimpunan Bulanan beliau.

Pada 6 Mei, 9.30 pagi, saya akan menemui Syauqina Najwa Suhaimi di Pejabat Daerah dan Tanah Pekan. Manakala di sebelah petang pula, pelajar saya Nur Tasnim Mohd Nor Afandi menunggu di Kotasas Sdn. Bhd. Kuantan untuk diselia.

Saya menginap di Hotel M.S. Garden Kuantan setibanya dari Mersing. Saya kira tiada hotel yang ‘decent’ di Pekan, lagipun ia memudahkan pergerakan saya ke Pekan, Kuantan dan Kemaman.

1466074_288123404701202_4046978477066451747_nPada 7 Mei, saya menyelia 2 orang pelajar iaitu Fathiah Khalidah Khalid dan Masitah Yusof di Pejabat Tanah Kemaman. Walaupun saya masih ada 2 orang pelajar lagi untuk diselia di Kuantan tetapi saya memilih untuk ke Kemaman kerana hari itu adalah hari Khamis.

Sekiranya saya menghabiskan penyeliaan di Kuantan kemudian baru ke Terengganu maka saya terpaksa bercuti selama 2 hari kerana di Terengganu cuti umumnya pada hari Jumaat dan Sabtu.

Pada hari Jumaat, 8 Mei, saya menyelia Nur Syazni Atikah Zainal Abidin di Pejabat Daerah dan Tanah Kuantan di sebelah pagi manakala Fazreen Amira Zainuddin di LKPP Property Sdn. Bhd. Kuantan di sebelah petang. Apabila selesai, saya bertolak ke Kuala Terengganu.

11328836_10206588856423691_586332790_nTiada penyeliaan dibuat pada hari Sabtu kerana semua pejabat tutup di hujung minggu.

Pada 10 Mei (Ahad), saya menyelia Nurul Hidayati Mukhtar di Pejabat Tanah Kuala Terengganu di sebelah pagi dan di sebelah petangnya pula Nurfatiha Mohd Daud di Pejabat Tanah Besut.

529544_278291598916759_264162533662999_645454_1910267049_nSelesai di situ, saya bergerak ke Kota Bharu kerana pada keesokannya, temujanji saya di Pejabat Tanah dan Galian Kelantan bersama Mohd Farhan Fauzi. Di sebelah petang, temujanji saya di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli bersama Sazila Junoh.

Selesai menyelia Sazila pada pukul 4 petang, saya terus bergerak pulang ke Johor Bahru dan sampai di rumah kira-kira jam 3 pagi pada 12 Mei.

Sekali imbas, pelan pergerakan saya nampak ideal tetapi pelan Allah yang Maha Pencipta lagi cantik. Pertama, sekiranya saya merancang untuk menyelia pelajar di Pahang pada 5 haribulan Mei maka saya akan berputih mata kerana pada tarikh tersebut seluruh negeri Pahang bercuti kerana Pilihanraya Kecil Rompin. Kedua, pada 7 Mei, seluruh negeri Pahang sekali lagi bercuti kerana Hari Hol dan perancangan saya untuk menyelia ke Kemaman adalah satu langkah yang tepat.

Begitulah kita merancang… Kita tidak ada matlumat penuh tentang hari cuti sesebuah negeri selain cuti hujung minggunya tetapi Allah membantu membuat perjalanan kita lancar. Alhamdulillah!