Sudah lama aku tak menulis. Sibuk dengan banyak perkara. Mula-mula hari tu, sibuk ‘marking final exam’, iaitu dua matapelajaran ‘undergraduate’ dan satu matapelajaran ‘master’. Kemudiannya, sibuk siapkan laporan akhir projek perundingan dengan KEJORA. Lepas itu, kena ‘review paper’ orang lain yang ingin dimasukkan ke dalam Jurnal Teknologi, UTM. Sekarang pula, sibuk mengajar semester pendek.
Pertama kali kena mengajar semester pendek sejak 20 tahun mengajar di UTM. Pensyarah lain dah boleh rileks dan buat kerja-kerja lain apa yang patut sehingga bulan September nanti…
Tak ada pula yang berebut nak mengajar semester pendek ni. Kalau SPACE, walaupun bukan subjek yang biasa dia ajar, nak juga dia mengajar kerana ia berbayar! Ramai yang mengaku mahir dan boleh mengajar apabila ianya berbayar. Itulah hakikat dunia mata duitan. Bukan lagi berpegang kepada prinsip kesarjanaan tetapi ia berubah kepada prinsip untuk mendapat habuan!
Tak mengapa, mungkin ada hikmahnya! Yang penting kita redha dan ikhlas melaksanakannya.
Hari ini kita berada di sepuluh Ramadan yang akhir. Maka ramailah ustaz-ustaz yang menceritakan tentang kelebihan Malam Lailatul Qadr (MLQ). Suatu malam yang begitu bernilai bagi mereka yang berfikir! Berkali-kali kita mendengar betapa beramal di malam yang ‘special’ ini akan diganjari pahala yang begitu besar…
Apa tindakan kita? Adakah kita dengar dan kita mencuba untuk mencari-cari malam itu untuk beramal? Atau kita hanya mendengar dan membiarkan ia berlalu saban tahun seperti tahun-tahun yang sebelum ni…
Sudah berapa kali kita berpuasa ya dalam kehidupan ini? Ada yang 15, 20, 30 kali tetapi saya telah berpuasa lebih dari 40 kali di bulan Ramadan ini.
Pernahkah saya menjumpai MLQ? Wallahu’alam, sayapun tak pasti tetapi saya amat berharap supaya dalam masa 40 kali lebih saya melalui dan bersama Ramadan, saya berdoa sangat-sangat supaya Allah telah menganugerahkan kepada saya sekurang-kurangnya sekali MLQ.
Besar pahala beb! Pahala seribu bulan bersamaan 83.33 tahun! Umur ‘gua’pun belum tentu cecah 83 tahun.
‘Wa’ tak mau cakap banyak la… tapi ‘wa’ rasa kalu ‘lu’ tak ada apa atau tak mahu usaha apa-apa untuk mendapatkan MLQ, ‘wa’ rasa ‘lu’ gila la. Lu gila ooo. ‘Manyak’ rugi ooo. Cakap banyak tak gunalah! Sendiri mau fikir ooo… MLQ ni untung berganda… lebih baik dari MLM ooo.
Saya terasa amat takut sekiranya anugerah Allah ini (yakni untuk beramal di bulan Ramadan) tidak diberi lagi pada tahun hadapan.
Itu hanya beramal di bulan Ramadan yang mana pahala sunat diganjari pahala wajib dan pahala wajib pula digandakan 70 kali ganda. Belum lagi pahala MLQ.
Subhanallah… Alangkah ruginya saya jika saya tidak dapat lagi bersama dengan Ramadan Kareem pada tahun depan.
Siapa boleh memberi kepastian bahawa saya masih wujud atau tidak sakit untuk berjumpa dengan Ramadan 1437?
Oleh itu, marilah kita sama-sama gerak gempur sisa-sisa Ramadan yang masih berbaki untuk kita menambah amal kita. Baik melalui solat sunat kita, bacaan dan tadabur al-Quran kita, sedekah kita, zikir kita, doa kita dan bermacam-macam amal yang lain lagi.
Akhirnya, kita amat berharap sangat supaya pada tahun depan kita masih dapat menjumpai Ramadan. InsyaAllah…