Selalu Berdoalah Buat Mereka Yang Baru Mendirikan Rumahtangga…

Untuk berumahtangga ialah satu idaman bagi setiap insan yang normal. Baik lelaki mahupun perempuan, keluarga yang bahagia adalah satu impian yang tiada tolak bandingnya. Keluarga Bahagia, seperti tajuk sebuah nasyid memang semanis-manis citarasa dan senikmat-nikmat kehidupan yang dilayari.

Umrah2008034Berdoalah!

Seelok-eloknya diawal perkahwinan lagi, malah lagi baik sebelum mendapat jodoh lagi. Mohon kepada Allah supaya kita dijodohkan dengan manusia yang beriman dan beramal soleh… Setelah berkahwin, berdoa lagi supaya dikurniakan dengan zuriat-zuriat yang soleh dan solehah.

Berdoalah!

Banyak telah saya tengok dari mereka yang jauh, mahupun dari saudara mara sendiri… Ibubapa adalah dari mereka yang baik tetapi ada anak mereka yang besar menjadi penagih dadah dan akhirnya mati dalam ketagihan.

Berdoalah!

Ada juga yang berikhtiar untuk membawa anaknya untuk menunaikan ibadah umrah dengan harapan apabila pulang ke tanah air, anak boleh bertukar dari menjadi penagih terus menjadi soleh…

Berdoalah!

Umrah2008025Tidak semua keluarga dikurniakan anak-anak yang cukup sifat dan sihat sejahtera. Ada mereka diuji dengan kelahiran anak yang cacat. Kecacatan anak juga boleh dikategorikan sebagai kecacatan yang kecil, sederhana dan besar. Kecacatan yang besar membuatkan si ibubapa terpaksa menjaganya dari kecil hingga ke tua.

Maka berdoalah!

Ada yang juga keluarga yang diuji dengan anak derhaka. Dari kecil, bagai menatang minyak yang penuh tetapi bila besar, menengking dan menjawab teguran-teguran yang dibuat oleh ibubapa. Sehingga ada ibubapa yang mengharapkan anak ini tidak wujud!

Maka berdoalah!

Ada juga yang diuji dengan anak yang tidak menyapa ibu atau bapanya. Tidur di rumah bapa, makan minum hasil pembelian bapa, bil letrik dan air semua dibayar bapa, kereta dan minyak yang digunapun dari bapa. Maka berdoalah!

Selalulah berdoa memohon kepada Allah supaya anak-anak yang bakal dikurniakan Allah akan menyejukkan hati dan mata kedua ibubapanya.