Cuti Maulidur Rasul

Hari ini seluruh negara bercuti kerana menyambut hari keputeraan baginda Nabi Muhammad (SAW). Betul atau salah tarikh kelahiran baginda, biarlah pakar sejarah saja yang membuat kajian.

Berbagai-bagai acara dibuat bagi menyambut kebesaran baginda ar-Rasul. Di peringkat kebangsaan, mereka menyambutnya dengan berarak sambil berselawat ke atas junjungan Nabi di MAEP Serdang, sejauh 1.8km perjalanan.

DSCN0527Di Johor pula tak pasti. Tapi rasanya mungkin benda yang sama akan dilakukan iaitu berarak.

Teringat masa kecil-kecil dulu di kampung…. bulan Rabiulawal merupakan bulan yang paling kenyang untuk pak lebai. Pagi, biasanya yang dapat anak akan membuat majlis bercukur atau orang Johor panggil potong jambul, tengahari pula ada majlis maulid lain dan malam sekali lagi majlis maulid. Makan nasi berlaukkan kambing memang biasa.

Kalau majlis bercukur, sambil-sambil berselawat ke atas Nabi dalam keadaan berdiri dan tuan rumah, kebiasaannya bapa akan membawa ‘baby’ keliling di hadapan tetamu/pak lebai untuk disapu dengan tangan dahi si bayi. Disamping itu, pak-pak lebai juga akan diberikan sejemput bunga rampai. Bunga rampai ialah daun pandan yang dipotong halus dan disiramkan dengan minyak wangi.

Apabila bunga rampai diletakkan dalam poket baju gumbang…umph…wangi yang teramat sangatlah baju itu untuk sehari dua.

DSCN0591Jika ada majlis solat hajat, lain pula ceritanya. Lainnyapun sikit aje, setelah selesai majlis termasuk makan dan sebagainya, apabila kita hendak pulang, diberinya pula ‘ang pow’. Nilai ‘ang pow’pun berbeza…ada dua tiga ringgit dan paling banyakpun RM5.

Walau apapun bentuk sambutan yang kita buat untuk memperingati baginda Rasulullah (SAW)….yang paling nyata ialah kita perlu banyak mencontohi baginda, akhlaknya, sahsiahnya, tutur kata bicaranya, amal perbuatannya, pemakaiannya dan sebagainya.

Mudah-mudahan kita merupakan salah seorang yang mencintai baginda melebihi dari anak isteri keluarga kita dan yang paling penting mendapat syafaat baginda di hari akhirat nanti.

Sama-sama kita berselawat ke atas junjungan besar baginda nabi Muhammad (SAW). Allahumma solli ala Muhammad Wa’ala ali Muhammad.