Bajet UTM Berkurangan…

Tahun 2016, semua orang bercakap tentang peruntukan kerajaan yang semakin berkurangan. Bukan hanya UTM tetapi majoriti Universiti Awam (UA) juga menghadapi masalah yang sama. Malah bukan hanya UA tetapi semua agensi kerajaan terbabit.

Jadi, bagaimana kita hendak bergerak ke depan jika bajet yang ada hanya mampu untuk membayar gaji sahaja?

DSCN0523Pada pandangan saya, peruntukan yang kita terima sepatutnya tidak terhad hanya dari kerajaan persekutuan sahaja. Malah kerajaan negeri dan kerajaan tempatan seharusnya turut membantu UA.

Benar, pendidikan berada di bawah senarai kerajaan persekutuan di dalam Perlembagaan Malaysia. Tetapi banyak juga negeri-negeri yang menyediakan peruntukan biasiswa kepada anak negeri masing-masing yang belajar di institusi pengajian tinggi, baik di dalam negara mahupun di luar negara.

Cuma, saya masih belum nampak kerajaan tempatan (PBT) yang menaja anak-anak yang berada di bawah pentadbiran mereka untuk belajar di peringkat yang lebih tinggi. Semasa saya di luar negara dulu, saya lihat Sheffield City Council menyediakan biasiswa kepada anak-anak yang layak yang berada di dalam pentadbiran mereka.

Di masa yang gawat inilah, pihak universiti sepatutnya mengatur perjumpaan dengan YDP atau Datuk Bandar PBT serta ahli majlisnya untuk berbincang bagaimana cara PBT boleh membantu pihak Universiti untuk terus utuh.

DSCN0528Kita juga mengetahui bahawa universiti telah banyak menyumbang kepada perkembangan bandar atau negeri. Oleh sebab itu, semua negeri di Malaysia ingin membuka universiti sendiri atau setidak-tidaknya membawa cawangan sesebuah universiti ke negeri mereka. Suatu masa dulu, di sekitar tahun 1980an, Johor begitu berminat untuk membawa UTM dari Kuala Lumpur ke negerinya. Banyak yang dijanjikan seperti lot-lot tanah untuk kediaman staf UTM yang berhijrah ke Johor…

Dengan adanya universiti, ia telah menjana banyak ‘basic jobs’ dan ‘non-basic jobs’. ‘Spin-off activities’ begitu banyak terzahir selepas wujudnya universiti. Industri huluan dan hiliran berkembang. Natijahnya, maka PBT banyak mendapat hasil.

DSCN0555Antara hasil terus (direct) kepada PBT ialah cukai pintu yang dibayar oleh semua staf universiti yang mempunyai rumah. Hasil secara ‘in-direct’ pula ialah kutipan cukai-cukai yang lain yang dijana akibat adanya sesebuah universiti tersebut. Contohnya, cukai yang dibayar oleh sebuah kedai membaiki atau menjual motosikal yang mana ramai pelajar universiti mendapatkan perkhidmatan darinya. Kedai gunting rambut, kedai ‘groceries’, kedai pakaian, kedai makanan dan minuman dan sebagainya secara ‘in-direct’ sedikit sebanyak menyumbang kepada pendapatan PBT.

Dengan kata lain, kerajaan negeri amnya dan kerajaan tempatan khasnya banyak menerima kesan positif akibat penubuhan UA. Maka, alangkah baiknya sekira kerajaan negeri dan kerajaan tempatan boleh memperuntukkan sedikit bajet untuk UA yang berada di kawasannya.

DSCN0587University of Louisiana at Lafayette (bekas universiti saya dulu) juga mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar dan ahli majlis bandar Lafayette untuk mendapat peruntukan. http://anisette.ucs.louisiana.edu/blogs/president/archives/872 utm_source=Master+List&utm_campaign=d93c38382c-_Louisiana_January_28_2016_Master+List&utm_medium=email&utm_term=0_c6561ba436-d93c38382c-219399525.

Saya amat berharap agar hubungan antara universiti dengan kerajaan tempatan diperkemaskan. Amatlah rugi jika kita menganggap kewujudan masing-masing hanya untuk kepentingan masing-masing dan tiada hubungan ‘what so ever’. Hubungan yang ‘win-win’ ini perlu diperkasakan!