Penulisan ini sangat baik pada tanggapan saya. Ia adalah penulisan dari seorang ustaz, yang juga merupakan seorang murabbi. Penulisnya adalah Yang Berbahagia Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Sahar. InsyaAllah, saya akan berkongsi beberapa artikel yang dituliskan oleh beliau.
Peranan Murabbi Di Luar Halaqah Tarbawiyyah
Usrah bukan sekadar pusat menimba ilmu semata-mata, bahkan menjadi pusat tarbiah yang lengkap, merangkumi berbagai aspek, oleh itu peranan murabbi di luar pertemuan usrah juga amatlah besar dan merangkumi berbagai aspek.
Peranan terpenting murabbi adalah dalam bentuk pertemuan secara individu, kemudian melaksanakan berbagai bentuk mutabaah ataupun follow-up, di antaranya dari sudut keimanan, akhlak, pengetahuan, kehidupan dan lain-lain lagi.
Pertama: Pertemuan Secara Inividu (liqa fardi)
1. Maksud Liqa Fardi:
a. Adalah pertemuan murabbi dengan mutarabbinya di luar pertemuan usrah, untuk merealisasikan matlamat-matlamat tarbiah dan memberi jawapan serta respon terhadap segala bentuk persoalan dan permasalahan yang dihadapi oleh mutarabbi dalam perjalanan hidupnya.
2. Tujuan Pertemuan:
a. Membantu mutarabbi sebanyak mungkin dalam membentuk syakhsiah muslim yang syamil dan mutakamil.
b. Membantu mereka dalam memahami hubungan sesama manusia secara khusus serta meningkatkan kemampuan mereka dalam mengatasi atau menyesuaikan diri dengan suasana yang dihadapi.
c. Memberi peluang kepada mutarabbi untuk mengemukakan pandangan peribadi, cadangan dan menjawab berbagai-bagai persoalan yang ditimbulkan.
3. Kepentingan Pertemuan:
a. Membolehkan para mutarabbi mengetengahkan apa yang ada dalam hati secara telus, tanpa adanya rasa kekangan atau takalluf.
b. Dapat meraikan perbezaan-perbezaan yang wujud dalam diri setiap individu, kerana pertemuan usrah itu bersifat lebih umum dan tidak mungkin murabbi dapat memberikan perhatian kepada setiap individu secara khusus dan berasingan.
c. Mengukuhkan hubungan ukhuwwah di antara murabbi dan para mutarabbinya.
d. Merupakan pusat tarbiah asasi yang menyempurnakan takungan-takungan tarbiah yang lain.
4. Prinsip Penting Dalam Pertemuan:
a. Prinsip Penerimaan:
i. Maksudnya: Menerima mutarabbi sebagai manusia biasa yang mempunyai maruah dan kemuliaan. Bersabar dengan kesilapan-kesilapan dan bertasamuh (memaafkan) terhadapnya, berbekalkan keinginan yang jujur untuk membantunya mengatasi aspek-aspek negatif dan mengukuhkan aspek-aspek yang positif.
ii. Unsur-Unsur Penerimaan:
1. Menghormati: Mutarabbi merasai diri berharga dan dihormati serta diberikan keutamaan, pandangan dan cadangannnya didengari, dan dipanggil dengan panggilan yang paling disukainya.
2. Keinginan Untuk Membantu: Hilangkan dalam diri perasaan bahawa mutarabbi itu jenis tak kesah atau tidak mahu berubah, tetapi hendaklah bersabar atas kesilapan-kesilapannya. Disamping itu menyediakan baginya kemahiran-kemahiran yang boleh membantunya untuk mengatasi aspek negatif yang ada dalam dirinya.
3. Mengambil Berat: Iaitu keadaan yang menyebabkan mutarabbi merasakan bahawa murabbinya amat mengambil berat terhadap dirinya, sangat ikhlas dalam melaksanakan tugas pentarbiahan. Dia telah berusaha melakukan islah sedaya yang termampu dan hanya mengharapkan redha Allah SWT.
iii. Sebab-Sebab Mutaraabbi Tidak Menerima Murabbinya:
1. Murabbi berfikiran sempit atau memberi tekanan emosi seperti menunjukkan rasa benci yang melampau terhadap peristiwa tertentu.
2. Layanan buruk murabbi atau menjauhkan mutarabbi melalui tekanan perasaan atau lidah bercabang seperti memberikan alasan-alasan palsu.
b. Prinsip Pertanggungjawaban Individu Atau Masuliyyah Fardiyyah:
i. Perkara ini boleh dilakukan oleh murabbi melalui;
1. Mengukuhkan keyakinan diri dan kebolehan mutarabbi terhadap keputusan-keputusan yang diambil olehnya, dengan memberinya peluang untuk memperkatakan tentang kebolehan dan kemampuannya.
2. Kurangkan nasihat secara lansung tetapi gunakanlah pendekatan bercerita atau mengemukakan situasi-situasi tertentu, di mana mutarabbi sendiri berfikir tentang pengajaran serta mengemukakan pilihan-pilihan yang ada dan mengambil keputusan.
3. Membincangkan masalah-masalah yang dihadapi olehnya dan memberikan berbagai jalan penyelesaian tanpa memberi tekanan yang menggambarkan pendirian murabbi.
4. Berikan mutarabbi peluang memberikan pendapat dan responnya. Di waktu yang sama membantunya keluar dari sikap emosional yang negatif yang membantutkan prestasinya yang sebenar.
5. Mengurangkan tekanan luar yang membataskan kebebasannya dalam membuat keputusan yang wajar berkait kehidupan masa hadapan seperti mengurangkan tekanan mereka yang ada di sekelilingnya seperti keluarga dan kawan-kawan.
c. Prinsip Kerahsiaan: Menjaga maklumat khas peribadi merupakan hak asasi mutarabi, ia merupakan iltizam akhlak, maka tidak wajar bersikap ambil ringan atau menyebarkan rahsia-rahsia peribadi. Dengan menjaga prinsip ini maka hubungan murabbi dan mutarabbinya akan bertambah kukuh InsyaAllah.
i. Prinsip ini boleh dilaksanakan seperti berikut:
1. Meyakin dan menenangkan mutarabbi bahawa rahsianya terpelihara agar tidak teragak-agak untuk menyampaikannya kepada murabbi.
2. Sumber maklumat yang asas mestilah dari tuannya dan tidak dari orang lain tanpa kerelaan darinya.
3. Murabbi tidak boleh bercakap mengenai rahsia peribadi di hadapan orang lain, ia mengisyaratkan bahawa murabbi tidak berkemampuan untuk menyimpan rahsia.
4. Jangan mencatat apa-apa pemerhatian ketika bercakap-cakap dengan mutarabbi, kerana ia boleh melahirkan rasa gugup dan tanggapan yang rahsianya tidak dapat dipelihara.
5. Mengutamakan maklumat dalam batas yang boleh membantu merealisasikan objektif tarbiah, menyelesaikan masalah dan tidak meluaskan skop pencarian maklumat peribadi yang tidak penting.
6. Mengecualikan rahsia peribadi dalam keadaan terancam agama dan nyawanya.
5. Hubungan Tarbawi Dengan Individu:
a. Hubungan murabbi dan murabbinya adalah hubungan tarbiah yang dinaungi oleh ruh thiqah, saling mempercayai, menghormati, menghargai perasaan, ketelusan, kasih sayang dan saling memahami.
b. Namun ia bukanlah hubungan peribadi yang dibuat-buat untuk mengambil hati atau untuk bertukar-tukar hadiah.
c. Kecuali dalam suasana kesedihan, sakit yang teramat dan hubungan kekeluargaan. Ini kerana hubungan ini terbatas dengan tugas pentarbiahan untuk merealisasikan objektif khusus demi membangunkan syakhsiah mutarabbi tersebut.
6. Kaedah Memantapkan Hubungan Tarbawi:
a. Murabbi menceritakan tentang diri dan keadaannya yang besifat peribadi untuk meransang perasaan ingin berkongsi dan ketelusan.
b. Meningkatkan iltizam melalui berjanji untuk menjayakan tugas tertentu yang telah disepakati.
c. Menjadi pendengar yang baik apabila mutarabbi berkongsi perasaan dengannya.
d. Mengenali mutarabbi dengan sebenar-benarnya, termasuk mengetahui sikap diri dan cara berfikir akan membantu murabbi untuk berinteraksi dan membina hubungan yang terbaik.
7. Agenda Liqa Fardi:
a. Khatirah atau lintasan hati yang merangkumi satu peristiwa lalu kemudiannya sama-sama memberikan komen. Ataupun berbual dan bertukar-tukar fikiran mengenai isu semasa.
b. Murajaah buku atau kaset yang telah sama-sama disepakati untuk membacanya sebelum itu.
c. Memberi mutarabbi peluang untuk menceritakan perjalanan pengajian atau pekerjaannya.
d. Pergi solat berjemaah bersamanya di salah sebuah masjid dan hadir majlis ilmu dan kemudian memberikan komentar terhadap pengajian tersebut.
e. Membincangkan beberapa tugas-tugas yang diputuskan dalam usrah dan bagaimana hendak menjayakannya. Demikianlah kepelbagaian agenda liqa fardi mengikut kesesuaian mutarabbi dari sudut umur dan marhalah tarbiahnya.
8. Beberapa Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian Ketika Melaksanakan Agenda:
a. Menjauhi bentuk yang rasmi atau rutin. Hendaklah dilaksanakan secara semula jadi tidak berlakun atau dibuat-buat.
b. Sangat bagus kalau dapat pertemuan ini diberbagai-bagai tempat (tempat tinggal-rehlah-membeli belah-di tepi pantai dan sebagainya)
c. Sangat bagus juga jika dapat sama-sama berpakat menganjurkan program ilmu, iman dan tarbiah.
9. Ziarah Di Tempat Tinggal:
a. Penting untuk mendapat kejelasan mengenai perkara berikut:
i. Status ekonomi – tahap pengetahuan – Kedudukan penghayatan agama dalam keluarga.
ii. Mengetahui model tarbiah yang lumrah dalam keluarga.
iii. Sejauhmana rapatnya hubungan di antara ahli keluarga dan kebiasan hubungan mereka.
b. Apakah Yang Patut Menjadi Pemerhatian Murabbi:
i. Jenis perabot – hiasan-hiasan yang digantung di ruang tamu.
ii. Bilangan bilik dan pembahagiannya.
iii. Berapa keluarga dalam rumah itu.
iv. Sejauhmana mutabaah dan kawalan terhadap anak-anak serta ruang kebebasan yang diberikan kepada mereka.
v. Tahap pendidikan ibubapa dan adik-beradik.
vi. Cara berinteraksi diantara yang kecil dengan yang dewasa.
c. Kaedah Ziarah Tempat Tinggal:
i. Mestilah dengan persetujuan dan kerelaan dari mutarabbi.
ii. Menjaga adab-adab ziarah seperti yang ditetapkan oleh syarak.
iii. Tidak lebih dari satu jam, sebaik-baiknya 45 minit sahaja.
iv. Pakaian murabbi mestilah sesuai mengikut masyarakat setempat.
v. Tidak bercakap dengan mutarabbi ketika ada ahli keluarga yang lain, sebaliknya layanilah ahli mereka dengan sebaik-baiknya.
10. Seni Berinteraksi Dan Berkomunikasi Dengan Mutarabbi:
a. “Menggembirakan dan tidak menjauhkan”. Fokus pada aspek-aspek kekuatan dan positif yang ada padanya dan bertolak dari situ untuk beramal atau menyumbang.
b. Meraikan keadaan mutarabbi untuk menerima. Mungkin beliau dalam kesedihan, kesibukan atau sedang menghadapi masalah.
c. Tidak membanyakkan arahan dan suruhan.
d. Keprihatinan terhadap manifestasi keupayaan yang hidup pada tingkah laku, penampilan dan percakapan.
e. Menjelaskan matlamat kepada mutarabbi sehingga dia turut menyumbang secara berkesan kepada pelaksanaan.
f. Mudahkan segala keperluan mutarabbi dan berusaha membantu dan berbuat yang terbaik kepadanya.
g. Kepentingan menyediakan peluang kepada individu untuk menjalankan amal-amal yang dia boleh berjaya melaksanakannya, walaupun kecil agar dia dapat membiasakan diri untuk menyumbang serta bersifat positif dalam kehidupan.

