Pada pandangan saya, semua orang ingin meninggalkan legasi dalam kehidupan mereka. Pepatah melayu jelas mengatakan; “Harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama.”
Dengan kata lain, kita ingin generasi terkemudian mengingatkan kita dengan perkara-perkara baik yang pernah kita sumbangkan. Walau sebanyak mana kejahatan yang pernah kita lakukan tetapi kita tetap mahu masyarakat mengingatkan tentang kebaikan kita. Kita tidak mahu masyarakat mengenali kita sebagai seorang yang tidak amanah atau seorang yang tidak berpendirian, malah lebih teruk lagi kalau kita dikenali sebagai seorang petualang negara.
Kita sepatutnya berlumba-lumba untuk menyumbang kepada pembangunan keluarga, kemudiannya masyarakat dan seterusnya negara yang kita cintai. Kita bergerak ke arah negara ‘Rahmatan Lil ‘Alamin’.
Ingatlah bahawa tiada apa yang ada akhirnya yang boleh kita bawa bersama tetapi amal yang soleh, ilmu baik yang diperturunkan kepada orang lain, sedekah jariah dan anak-anak yang soleh yang mendoakan kita sahajalah yang menjadi bekalan kita nanti.
Penulisan saya ini juga diharapkan sedikit sebanyak membantu dan memberi pedoman kepada masyarakat. Alangkah ruginya kita, sekiranya tiada apa yang kita tinggalkan untuk tatapan generasi baru.
Kehidupan kita dulu sudah pasti berbeza dengan kehidupan sekarang! Kita dulu bermain berperang dengan menggunakan pistol atau senapang buluh berpelurukan kertas basah atau buah terung bulat tetapi generasi sekarang bermain berperang dengan menggunakan permainan aplikasi komputer.
Kita ke sekolah berbekalkan duit, dua tiga puluh sen tetapi anak-anak kita ke sekolah dengan 3, 4 atau 5 ringgit. Itupun sesudah memakan sarapan pagi di rumah.
Dunia sudah banyak berubah. Duitpun sekarang bertambah murah!
Dua tiga puluh ringgit masa dulu apabila ke pasar, penuh bakul. Sekarang dua tiga ratus ke shopping mall untuk belanja dapur, hanya muat separuh trolley.
Cerita-cerita zaman kita bersekolah dulu hanya dianggap sebagai penghipur lara oleh anak-anak. Berjalan kaki berbatu-batu ke dan balik dari sekolah hanya terselit dalam lipatan sejarah.
Ok. Sekarang kita intai-intai apa yang dapat kita sumbangkan kepada anak bangsa. Dengan usia yang masih berbaki tidak lama, apakah sumbangan yang boleh kita berikan?
Kita kena berfikir seperti para ‘innovator’ zaman dahulu. Mereka mencipta basikal, kereta, keretapi, bas, kapal dan kapal terbang. Kalaulah mereka ini beragama Islam, berapa banyak pahala yang mereka raih hasil daripada inovasi mereka. Semua orang berurusan dengan lebih cepat hasil ciptaan mereka. Pergi mengerjakan ibadah haji pada zaman dahulu dengan menaiki kapal, 3 bulan perjalanan, Tetapi sekarang dengan adanya kemudahan kapal terbang, paling lewat kita di Mekah dan Madinah hanya selama 44 hari sahaja.
Jadi, apa inovasi kita? Mungkin kita boleh memikirkan tentang ke arah kelestarian masjid. Masjid, tempat ibadah orang Islam rata-ratanya tidak ‘mesra’ OKU!
Pergilah mana-mana masjid… Mungkin parkir untuk orang ‘handicapped’ ada. Itupun dipenuhi dengan kenderaan orang yang berminda OKU.
Tempat wuduk… ada kemudahan untuk orang OKU? ‘Ramp’ ke dalam masjid supaya orang OKU boleh masuk tanpa bantuan orang lain ada? Tandas untuk OKU, ada?
Mungkin kita boleh sama-sama fikirkan, bagaimanakah kita dapat menambahbaikan kemudahan yang ada di masjid supaya ramai orang-orang OKU merasa seperti ‘They are welcomed to this house of Allah”.
Kemudahan orang pekak untuk mendengar bacaan khutbah. Mungkin perlu ada seorang ‘translator’ yang berdiri di sebelah khatib dan menggayakan bahasa isyaratnya kepada makmum pekak.
Kemudahan al-Quran Braille untuk orang buta. Saya merasakan bahawa sekarang adalah ‘high time’ untuk menempatkan al-Quran seumpama ini di masjid-masjid.
Mungkin apa yang saya coretkan ini tidak ‘innovative enough’. Jadi, kita perlu fikir dengan lebih mendalam lagi, apakah warisan yang ingin kita tinggalkan untuk generasi yang akan datang?