Saya dan Allahyarham Abang Lan…

Iftar FGHT 007 Saya akan memasuki usia 52 tahun pada 1 September ini, manakala arwah abang Lan akan genap 60 tahun di penghujung tahun ini dan seterusnya bersara dari UTM. Tetapi Allah lebih menyayangi arwah dan beliau telah pergi mengadap Ilahi tanggal 27 Julai 2016, pada hari Rabu, jam 10.30 pagi di Hospital Pakar Puteri.

Saya tidak sempat menjumpai beliau semasa beliau menghembuskan nafas yang terakhir tetapi alhamdulillah, saya merasa amat bersyukur kerana sempat menziarahi beliau di rumahnya seminggu sebelum itu iaitu pada pagi 20 Julai. Saya bersama saudara Musaad dan Afifi menziarahi arwah di rumahnya di Taman Sri Pulai.

Arwah seperti biasa tetap ceria walaupun nampak seperti menahan sakit.

13918_10201025949001007_878848022_nSaya ingin berkongsi cerita selama saya mengenali abang Lan sejak bulan Disember 1995, iaitu tarikh saya mula berkhidmat dengan UTM.

Pada masa itu, abang Lan masih belum menjadi CC (Chief Clerk) atau Ketua Kerani. Jawatan itu disandang oleh En. Baharim bin Kassim. Setelah En. Baharim berpindah ke fakulti lain maka arwah abang Lan dilantik menggantikan beliau sebagai CC.

Arwah abang Lan sangat disenangi oleh semua lapisan masyarakat, baik pensyarah, staf mahupun pelajar. Tiada siapa yang boleh menyangkal kenyataan ini. Setiap pertolongan yang diminta kepada beliau akan beliau cuba penuhi dan sekiranya beliau tidak berjaya membantu, beliau akan meminta orang lain pula untuk memenuhi pertolongan tersebut.

DSCN0375Meja beliau adalah paling hampir dengan pintu masuk pejabat fakulti. Setiap pagi apabila saya datang untuk ‘punch’ kedatangan, beliau pasti menyapa saya, “Assalamu’alaikum Tuan…”. Panggilan tuan kepada saya hanyalah kerana saya menyertai Rejimen Askar Wataniah dan merupakan seorang pegawai. Kadang-kadang untuk berseronok-seronok dengan beliau, saya menjawab: “Saya bukan tuan, saya kuli saja…”. Jawaban ini mengundang gelak ketawa beliau kerana ia persis cerita P.Ramlee, “Seniman Bujang Lapok”.

DSCN0450Persahabatan saya dengan arwah boleh dikatakan akrab juga. Beliau akan meminta bantuan saya apabila Badan Kebajikan Fakulti ingin memasak daging qurban dan sebagainya. Beliau tahu saya masih mempunyai talian hayat untuk menggunakan fasiliti kolej seperti periuk belanga, tong gas, senduk, dulang, tikar, besen, pisau, landas, dapur dan segala macam peralatan memasak. Tugas saya sebagai Pengetua Kolej sehingga 2007 banyak membuat kenalan. Bala yang berkerja dengan saya sejak Kolej Siswa Desa Skudai, kemudian berpindah dengan saya ke Kolej 12 dan berpindah lagi bersama saya ke Kolej 16 & 17 (sekarang dikenali Kolej Dato Onn Jaafar) sedia memenuhi permohonan saya apabila peralatan memasak diperlukan.

406173_10151061365230367_684840366_22076192_1694164761_nSemasa saya dan arwah abang Lan dalam jawatankuasa Badan Keluarga FGHT, saya bersama beliau pernah ke Mersing untuk melihat dan ‘booked’ lembu untuk Program Qurban FGHT.

Kami ‘follow’ kereta yang membawa kami untuk melihat lembu. Dalam pajero, saya hanya bersama abang Lan. Saya berkata kepada arwah, “Betul ke ni abang Lan, ke kita kena tipu?”. Saya tidak berapa yakin dengan mereka dan saya ‘snapped’ nombor ‘plate’ kereta dari belakang.

Walaupun 2 ekor lembu yang kami ‘order’ itu tidak begitu besar tetapi harganya sungguh murah berbanding dengan harga sekarang.

395985_10151061368925367_684840366_22076236_1212556469_nPengalaman bersama abang Lan juga turut menyeri perjalanan kami apabila kami membuat tinjauan awal untuk membuat Hari Keluarga Fakulti di Pulau Sibu.

Banyak lagi aktiviti saya bersama arwah seperti aktiviti ‘mengeteh’ di Restoren Aminah dan sebagainya. Seingat saya apabila hanya kami berdua, beliau membenarkan saya membayar makanan kami tetapi jika ada kenalan beliau yang bersama kami, beliaulah yang akan membayarnya. Beliau sungguh pemurah dan baik hati!

544443_10201025983401867_1912801310_nBoleh dikatakan setiap kali waktu asar, saya akan ke tempat beliau dan kami berdua akan berjalan ke Masjid UTM. Sekiranya saya terpaksa ke tandas, arwah tidak akan bergerak ke masjid tetapi setia menunggu saya keluar dari tandas dan bergerak bersama.

Pengalaman yang paling saya ingat ialah beliau akan membeli kopi dari ‘vending machine’ di sebelah Perpustakaan Sultanah Zanariah selepas solat asar di Masjid Sultan Ismail, UTM. Satu untuk saya dan satu untuknya dan kami sama-sama berjalan balik ke fakulti. Beliau tidak lokek, jika ada sesiapa saja dari fakulti kami yang lalu semasa beliau membeli air tersebut, beliau akan mempelawa untuk dibelikannya juga.

1394367_10153351983695367_287461952_n (1)Akhir sekali, saya ingin menyatakan pesanan beliau kepada saya, yang mana saya masih belum dapat melakukannya. Katanya, “Jika kita mendapat undangan majlis perkahwinan tetapi disebabkan oleh masalah-masalah tertentu, kita tidak dapat menghadirkan diri maka adalah wajar untuk kita menghulurkan sampul ‘ang pau’ terlebih dahulu serta memohon maaf diatas keuzuran kita”. Perkara ini saya masih belum dapat melaksanakannya!

Tetapi kalau kita menghayati falsafah beliau disebalik menghulurkan sumbangan wang yang tak seberapa itu maka kita dapat lihat bahawa tingginya nilai persahabatan yang telah beliau letakkan. Ukhuwwah yang terjalin selama ini adalah sangat sukar untuk di’ignore’ atau tidak dihiraukan bagi setiap undangan tersebut. Harapan si pembuat walimah itu begitu dijaga dan tidak ingin dihampakan dan ia seolah-olah memenuhi salah satu dari 6 tanggungjawab muslim kepada muslim yang lain (salah satu hadis Nabi SAW).

Arwah juga rajin ke Program Membudayakan Al-Quran setiap hari khamis, baik di FGHT mahupun di FAB.

Cukuplah dulu setakat itu saya nukilkan kebaikan dan kemuliaan hati allahyarham Ruslan bin Ninggal. Saya mendoakan supaya roh sahabat saya ini aman di alam barzakh dan mendapat ganjaran syurga di yaumul mahsyar, insyaAllah!