Ingat suatu masa dulu iaitu di awal tahun 2000…
Masa tu, cita-cita hanya untuk mendapatkan jawatan Pensyarah Kanan dan pangkat Mejar di dalam Rejimen Askar Wataniah (RAW).
Alhamdulillah, Allah izinkan mendapat jawatan Pensyarah Kanan pada tahun 2006. Itupun setelah mencuba beberapa kali. Pada percubaan kali pertama tahun 2004, 15 orang pensyarah memohon dan HANYA saya seorang yang tak dapat. Subhanallah!
Pada tahun 2005, cuba lagi. 2 orang yang minta dan saya MASIH tak dapat. Alhamdulillah!
Dan pada tahun 2006, saya mendapat jawatan tersebut setelah mengutuskan sepucuk surat kepada Naib Canselor UTM. Pada masa itu, saya sudah bertekad kalau Datuk NC tak nak bacapun surat saya, saya sudah berpuas hati kerana telah meluahkan segala isi hati saya.
Tujuan saya menulis ini ialah supaya sesiapa yang tidak mendapat perjawatan yang dipohon bolehlah mengikut atau meniru cara ini.
Cumanya, permohonan secara formal WAJIB diikuti tetapi setelah beberapa kali dicuba tetapi jika masih gagal maka kita bolehlah mencuba cara saya. Apa yang saya buat hanyalah untuk melepaskan rasa terbuku di hati. Kalau tak dapatpun, hati merasa puas.
Antara apa yang saya ceritakan di dalam surat tersebut adalah saya telah menjaga pelajar-pelajar UTM sebagai Felo Kolej sejak tahun 1996 dan mula menjadi Pengetua Kolej sejak tahun 2002. Saya pernah menjadi Pengetua Kolej Siswa Desa Skudai, kemudian Pengetua Kolej 12 dan akhirnya Pengetua Kolej 16 & 17. Saya juga menyertai PALAPES UTM sejak tahun 1998 dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada tahun 2000 oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Kadang-kadang kita tidak mendapat sokongan dekan bagi permohonan kita kerana kita banyak berkhidmat di bawah TNC (HEP) dan dekan tidak nampak sumbangan kita.
Saya dinaikkan ke pangkat Mejar pada tahun 2008. Alhamdulillah cita-cita saya tercapai.
Kemudian muncul pula peraturan baru supaya semua pensyarah memiliki Ijazah Kedoktoran di dalam bidang masing-masing. Inipun telah saya penuhi.
Bagaimana dengan Profesor Madya dan Profesor? Tidak mahukah dijadikan cita-cita yang seterusnya? Pada saya, cukuplah apa yang ada. Kalau ada rezeki, alhamdulillah… tetapi untuk saya mengejar untuk mencapainya, rasanya tidaklah. ‘Enough is enough’.
Cita-cita saya yang seterusnya ialah untuk membekalkan anak-anak sekurang-kurangnya dengan Diploma di peringkat universiti, insyaAllah. Dan cita-cita lain ialah untuk menyediakan bekalan yang SEBANYAK-BANYAKNYA untuk hari akhirat, tempat kita semua yang kekal abadi, insyaAllah.