Kembalinya Ayahanda Mertua Yang Dikasihi…

Inna lillahi wainna ilai hiraaji’un. DariNya kita datang dan kepadaNya kita pergi.

Haji Shaari Haji Awang yang dilahirkan pada 04/04/1944 telah pergi menemui Penciptanya pada 01/10/2016, jam 8 malam. Tarikh ini bersamaan I Muharram 1438.

FamilyPicture-008Bapa mertuaku telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultanah Zainab Kota Bharu sejak bulan Ogos lagi. Pada 23 Ogos, ibu mertuaku menelefon sambil menangis mengatakan bapa mertuaku dimasukkan ke wad.

Menelefon sambil menangis… Itulah tandanya bahawa beliau ingin aku bersama isteri pulang ke Kelantan. Walaupun bonda mengatakan aku tak perlu pulang tetapi jauh di sudut hati aku sudah faham sebaliknya yang diinginkan.

Tanpa berlengah aku bersama isteri (anaknya yang sulong) dan anak bongsuku, Wan Asmaa Solehah bergegas balik ke Kelantan pada 23 Ogos.

DSCN0616Kami berada di Kelantan selama 4 hari dan kembali semula ke Johor Bahru pada 26 Ogos. Semasa di dalam wad, arwah ayah telah didiagnos mempunyai batu karang dan juga ketumbuhan berhampiran dengan testikel kemaluannya.

Urusan untuk membuat pembedahan bagi mengeluarkan ketumbuhan itu agak memakan masa. Arwah ayah disuruh berpuasa sebelum membuat pembedahan tetapi akhirnya disuruh berbuka semula.

Ya lah, banyak elemen yang dilihat sebelum pembedahan boleh dibuat. Ayah mempunyai pelbagai penyakit; kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi. ‘Blood pressure’nya mesti ok sebelum pembedahannya.

Hari seterusnya disuruh berpuasa lagi, kemudian tak jadi lagi. Suatu hari arwah ayah disuruh berpuasa dari malam sehingga pukul 5 petang tetapi masih belum boleh dibedahkan juga. Sehingga kami pulang ke Johor Bahru, arwah ayah masih belum di’operate’.

EID-UL-FITR-2012-007Disamping keadaan kesihatan yang stabil, kewujudan katil di ICU juga merupakan antara kriteria arwah ayah boleh dibedahkan. Kalau wad di ICU penuh maka kita kena tunggu sehingga ada katil yang kosong.

Proses berpuasa dan berbuka dan berpuasa semula mengingatkan saya kepada arwah bonda saya Hajjah Che Zainab Haji Che Hussin yang menunggu untuk dipotong jari kakinya kerana penyakit kencing manis di hospital yang sama, sekitar tahun 1995. Kerana tidak tahan berpuasa dan berbuka dan berpuasa semula, dan tak jadi-jadi untuk dipotong jari, arwah ibu saya meminta untuk pulang ke rumah.

Saya masih ingat kata-kata arwah ibu, “Kalau nak potong, potonglah tetapi jangan biarkan kita berlapar”. Orang kencing manis selalu dahaga dan lapar. Pada saya, pihak doktor memantau keadaan pesakit sebelum dibedah dan jika keadaannya kurang stabil maka pembedahan terpaksa ditangguhkan.

374378_10151251875346599_592916285_nSebelum pihak hospital membenarkan arwah ibu saya balik ke rumah, doktor memberi amaran bahawa jika arwah ibu datang semula ke hospital ini maka ia akan dikira sebagai kes baru.

Setelah pulang ke rumah, arwah ibu tersangat gembira dan kelihatan sihat sekali tetapi malangnya keesokkan harinya arwah bonda jatuh koma dan tidak sedarkan diri dan meninggal dunia keesokkannya.

Akhirnya, arwah bapa mertua dapat juga dibuat pembedahan dan selepas beberapa hari dibenarkan pulang.

Ditengahari pada 1 Oktober, ibu mertuaku menelefon kembali sambil menangis dan menyatakan bahawa arwah ayah mertuaku sudah tidak makan selama 3 hari. Aku faham kemahuan bonda dan aku berjanji akan pulang malam nanti setelah isteriku pulang dari mukhayyam guru Sekolah Islam Hidayah. Isteriku menjadi fasilitator.

296104_10151610200778950_384991328_nPada hari tersebut, aku telah memenuhi undangan majlis aqiqah di Taman Universiti iaitu cucu kepada Tuan Haji Zain, jiran sekampung di Palekbang selepas solat zohor. Kemudian ke majlis walimah Dr Tasnim Razali di Pusat Latihan UTM (PULAU). Dan majlis aqiqah, jiran hadapan rumahku di Bandar Dato’ Onn pada pukul 5.30 petang.

Pukul 8 malam, semasa aku masih di rumah jiran kerana disamping majlis aqiqah, jiranku juga membuat majlis bacaan doa akhir dan awal tahun Hijrah, aku mendapati bapa mertuaku pergi menemui Illahi. Kami bergerak pulang ke Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada jam 9.30 malam dan sampai di sana sebelum masuk waktu subuh.

Arwah ayahanda selamat dikebumikan selepas solat zohor. Suatu kelaziman arwah ayah ialah beliau menunaikan solat tahajjud hampir setiap malam dan agak rajin menjalankan ibadah puasa sunat. Ya Allah, Engkau tempatkanlah roh ayahandaku di tempat yang tinggi bersama-sama para syuhada dan solehin. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin!