Sungguh baik kalau kita dapat senaraikan nombor akaun bank bagi semua masjid serta surau di Malaysia. Bersama-sama itu, kalau kita boleh dapatkan penama akaun tersebut lagi cantik. Seelok-eloknya penama akaun itu adalah nama masjid tersebut supaya orang ramai rasa konfiden dan tidak tertipu untuk menyumbang.
Contohnya, Akaun Surau Pusat Komuniti Perjiranan 11 di Maybank Nombor Akaun: 551623207585.
Ini adalah akaun bank Surau Perjiranan 11 di Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru.
Sumbangan RM5 atau RM10 dari segenap pelusuk tanahair akan membanyakkan tabungan surau atau masjid tersebut dan memudahkan pihak AJK surau untuk membuat aktiviti.
Dengan adanya senarai tersebut, secara tak langsung kita dapat menyumbang ke mana-mana masjid atau surau walaupun dari segi lokasinya agak jauh dari kita. Dengan kata lain, ikut logiknya kita tidak akan sampai ke situ untuk memasukkan wang ke dalam tabung tetapi melalui teknologi terkini alhamdulillah kita dapat menyumbang.
Kepada sesiapa yang ingin menyumbang kepada surau kami, silalah ‘transfer’ wang ke akaun tersebut walaupun serendah RM1. Duit itu insyaAllah, akan digunakan untuk membayar bil elektrik atau bil air yang digunakan untuk mengambil wudhu’, majlis ilmu, menunaikan solat dan sebagainya.
Bil elektrik sekarang ini tidak sedikit macam dulu kerana kebanyakan surau dan masjid rata-ratanya banyak yang sudah mempunyai penghawa dingin. Surau dan masjid yang ber’air-cond’ teramat nyaman untuk kita menjalankan amal ibadah. Kalau kita masih tidak ingin ke rumah Allah yang mempunyai pelbagai kemudahan dan keselesaan ini, saya rasa kita amat jauhlah dengan rahmatNya.
Sedikit sumbangan kita akan memberatkan timbangan di akhirat nanti.
Sekarang ini semakin ramai yang ingin menyumbang tetapi tiada maklumat tentang nombor akaun sesebuah masjid atau surau. Beberapa hari lepas, saya pulang ke Kelantan. Masjid Taman Seri, Pengkalan Chepa selalu dihulurkan dengan juadah makanan setiap malam Jumaat oleh mereka yang dermawan. Kadang-kadang nasi berlauk, kadang-kadang nasi kerabu dan sebagainya tetapi tiada siapa tahu siapa penyumbang tersebut! Katanya orang Kota Bharu. Mudah-mudahan Allah SWT menerima amal si penderma serta membalas jasa baik dermawan tersebut.
Cuba bayangkan betapa besarnya pahala yang bakal tuan/puan perolehi hasil dari pelaburan akhirat ini. Bersedekahlah dikala kita masih mampu bersedekah!