Pagi ini (30 Disember 2016), aku sekeluarga ke Sekolah Hidayah untuk melakukan gotong royong. Program bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengahari. Sekolah Rendah Islam Hidayah (SRIH) dan Sekolah Menengah Islam Hidayah (SMIH) melaksanakan gotong royong pada hari yang sama. Jadi, kami separuh ke SRIH dan separuh lagi ke SMIH.
Datanglah… kepada sesiapa yang berkelapangan. Ini adalah tradisi kita, sebelum anak-anak memulakan pengajian kita datang dulu ke sekolah untuk kemas mengemas, bersih membersih supaya ia kondusif untuk anak-anak kita belajar. Sekolah anak kita adalah sekolah kita jua.
Mudah-mudahan usaha kita yang kerdil ini dikira sebagai sebahagian dari amal soleh kita untuk bekalan ke akhirat, insyaAllah.
Gotong royong angkat kerusi meja ke kelas-kelas, menanam pokok untuk keceriaan, waterjet dataran dan lain-lain.
Cuma jika diperhatikan kedatangan ibubapa adalah dari mereka yang sama tahun demi tahun.
Teringat saya masa temubual parents untuk kemasukan ke Hidayah, baik SRIH mahupun SMIH.
Saya: Tuan/puan boleh ke datang ke sekolah apabila kita membuat gotong royong sebelum naik tahun baru?
Ibubapa: InsyaAllah ustaz. Bukan selalupun setahun sekali.
Saya: Perakuan itulah yang saya dapat saban tahun tetapi apabila ada gotong royong…hmm.
Ibubapa: InsyaAllah ustaz, saya janji.
Saya: Ok terima kasih. Dan ingat akujanji itu ya.
Aku yang bukan ustaz ni (walaupun dipanggil ustaz) senyum bersendirian melihat gelagat ibubapa yang begitu inginkan anaknya memasuki ke Sekolah Hidayah. Pelbagai janji dan ikrar yang diberikan asalkan berjaya.
Walau apapun, kita redha mungkin tarikh gotong royong itu tidak sesuai kepada sesetengah mereka yang ingin menghabiskan cuti tahunan dengan pergi melancong dan sebagainya. Tidak mengapa, banyak lagi ruang dan peluang untuk ibubapa menyumbang kepada sekolah kita. Dengan pengorbanan tenaga, idea serta wang ringgit yang dicurahkan, insyaAllah Hidayah akan melahirkan ramai teknokrat, jurutera, doktor malah ulama juga insyaAllah.