Kejohanan bowling Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah (FGHT) anjuran Badan Keluarga FGHT berlangsung di Danga City Mall hari ini. Walaupun penyertaan tidak seramai seperti yang diharapkan tetapi program berlangsung dengan meriah. Program bermula jam 10 pagi dan berakhir sekitar jam 2.20 petang dengan upacara pemberian hadiah dan cenderahati.
Ada sarapan pagi, ada makan tengahari dan yang paling penting ialah semua peserta membawa balik hadiah.
Kategori penyertaan adalah terdiri dari dewasa, remaja dan kanak-kanak bagi kedua-dua jantina, lelaki dan perempuan. Setiap kategori diberi hadiah untuk pemenang pertama hingga ketiga. Yang tak menang mendapat cenderahati.
Yuran penyertaan adalah tersangat murah iaitu RM15 bagi kategori dewasa dan remaja, manakala kanak-kanak dibawah 12 tahun hanya RM10 untuk 3 games serta sewa kasut. Badan Keluarga FGHT mampu untuk memberi tawaran seumpama ini adalah kerana ada individu-individu yang bermurah hati untuk menaja program ini. Antaranya ialah Dato’ Dr Abd. Majid A. Kadir yang katanya telah menyumbang sebanyak RM1,000. Dato’ Dr Abd. Majid yang merupakan mantan Profesor di FGHT banyak menyumbang kepada program-program yang dilaksanakan di FGHT sehingga kini. Mudah-mudahan Allah terus memberikan rezeki yang berpanjangan kepada Dato’.
Kita amat mengalu-alukan sumbangan mantan staf kepada BKFGHT demi memartabatkan FGHT di persada universiti. Pun begitu, kita belum pasti samaada FGHT akan terus wujud kerana ada angin-angin yang mengkhabarkan bahawa FGHT akan dicantumkan dengan Fakulti Alam Bina (FAB) pada tahun 2017. Apapun yang akan berlaku, kita mendoakan supaya ia bergerak ke arah yang lebih baik dan menyenangkan hati semua orang, baik di fakulti mahupun di universiti.
Program seumpama ini wajar diteruskan untuk menyatukan hati-hati yang ada di FGHT. Lebih banyak kita sesama staf tanpa mengira pangkat dan kedudukan berprogram bersama maka semakin erat hubungan ukhuwwah sesama kita. Dan teramat baik dan lebih elok sekiranya semua pentadbir boleh mengikut serta dalam program-program santai seumpama ini.
Kebanyakan staf bukannya tidak mahu menyertai bersama dalam program pada hari ini tetapi mereka mempunyai tugasan yang lebih penting iaitu menjaga peperiksaan, memeriksa kertas jawapan dan sebagainya. UTM sekarang sedang berlangsung Peperiksaan Akhir bagi semester 1, sesi 2016/2017.
Majulah ukhuwwah demi Islam.