Along or Ah Long?

Dulu… mungkin 10 tahun yang lalu, saya berjumpa dengan seorang ustaz yang membuat pinjaman dengan along. Duit gaji mengajar di sebuah sekolah, tidak mencukupi. Isterinya juga bekerja sebagai guru. Tetapi masih tidak mencukupi. Ustaz ini mungkin cuba untuk hidup selesa. Menurut kawan ustaz tersebut, semua barang-barang ada di rumahnya, baik barangan ‘keperluan’ mahupun barang-barang ‘kehendak’.

Pada kita yang biasa hidup susah, barang-barang keperluan memang wajar diadakan tetapi barangan aksesori kita tunggu dulu sehingga kita ada duit lebih. Tetapi kalau kita sudah tidak dapat menilai mana yang perlu dan mana yang kurang perlu maka kita akan terjebak dengan along untuk memenuhi tuntutan nafsu kita. Maka akhirnya, padah dan parahlah kita…

Yang terbaru pula, saya berjumpa dengan seorang bekas pegawai tinggi kerajaan yang membuat pinjaman dengan along. Bukan calang-calang pegawai, yakni bekas Pegawai Daerah (District Officer) di sebuah negeri, bergelar Dato’ pula.

Kata bekas Pegawai Daerah tersebut, membuat pinjaman dengan along ini adalah mudah semasa terdesak. Kalau hendak RM3,000 dengan kelulusan segera maka alonglah yang terpantas. Kalau kita jelaskan dalam masa sebulan, bunganya ialah RM500. Kalau lebih sebulan lagilah banyak bunganya…

Tetapi pegawai tinggi pencen ini memaklumkan bahawa dia selalu bayar tepat pada waktunya kerana dengan mempunyai rekod bersih maka mudah untuk dipinjam lagi.

Akhirnya, konklusi saya ialah patutlah along boleh ‘survive’ kerana ramai pendokongnya.

Pendokongnya pula bukan calang-calang orang. Seorang ustaz yang tahu dan faham hukum halal haramnya… tetapi masih tidak boleh menjauhinya. Manakala pendokong yang seorang lagi adalah Dato’ DO yang sepatutnya mengajar dan mengajak masyarakat menjauhi along tetapi dia pula yang terkedepan meminjam dari along.

Pada saya, apapun kita perlu menurut peribahasa melayu iaitu mengukur baju di badan sendiri. Jangan kita mengukur baju di badan orang lain, parah dibuatnya.

Seterusnya, kita sepatutnya boleh menilai dari aspek dhururiyat, tahsinniat dan hajiyyat. Dengan kata lain, kita boleh melakar keutamaan atau ‘priority’ dalam cubaan untuk memiliki sesuatu. Dengan neraca tersebut maka kita tidak akan tersesat dan insyaAllah kita akan dipelihara oleh Allah SWT.