Melihat kebersihan dan keteraturan Masjid Nabawi dan Masjidil Haram maka timbul keinsafan tentang masjid dan surau kita yang masih kurang ke depan.
Lihat saja tandas yang masih geli geleman untuk dimasuki. Tahi cicak merata… Sejadah, kain pelikat dan telekong yang berbau hapak. Kopiah wakaf berkarat di tepi. Debu dan habuk di dalam almari al-Quran, hmm… tuhan saja yang tahu.
Saya mencadangkan supaya masjid dan surau digajikan 5-6 orang untuk membuat pembersihan dan pengemasan, manakala masjid yang besar, boleh sehingga sepuluh orang.
Buat 2 ‘shift’; siang dan malam. Probably 5am to 5pm and 5pm to 5am. Secara tidak langsung, mereka juga boleh bertindak sebagai penjaga masjid.
Masjid tidak PERLU dikunci!!! Mudah untuk para musafir dan orang tempatan untuk membuat qiamullail.
Duit tak ada masalah. Kutipan setiap kali hari jumaat, beribu kita dapat. Apa salahnya, kita gunakan sebahagian duit sumbangan untuk kebersihan dan keceriaan surau dan masjid kita.
Lagi ceria dan lagi bersih maka lagi ramai yang ingin ke masjid.
Gaji pekerja pembersihan masjid Mekah dan Madinah tidak mahal. Rata-rata mereka mendapat sumbangan dari para jemaah haji dan umrah setiap kali waktu solat.
Mereka akan berdiri di kawasan masjid atau pinggir-pinggir jalan, siap dengan pakaian seragam mereka. Maka akan datanglah jamaah yang menghulur SR1 atau SR5 kepada mereka.
Pada saya elok dibuat percubaan.
Sekiranya ada mereka yang ‘volunteer’ untuk membuat pembersihan sekali sekala, benarkan mereka. Kebiasaannya permohonan untuk mencuci masjid atau surau ini datang dari puak-puak NGO yang ingin berbakti kepada masyarakat.
Kita perlu berubah…