Innalillahi Wainna Ilaihiraaji’un! Dari Allah kita datang dan kepadaNya jua kita pergi.
Setelah bangun dari tidur, aku melihat pesanan whatsapp dari sepupuku yang menyatakan bahawa ibunya telah kembali ke rahmatullah jam 1 pagi. Kalaulah aku mendapat panggilan telefon pada malamnya, harus juga aku gagahkan hati untuk pulang ke kampung menaiki kereta dan sempat mengucupi pipi ibu saudaraku yang ku cintai.
Apa yang aku mampu buat sekarang, hanyalah mencari ‘flight’ yang paling awal dan sekurang-kurangnya bersama anak cucu arwah membaca sepotong dua ayat suci al-Quran untuk dihadiahkan kepada beliau.
‘Flight’ yang terawal yang dapat aku sampai ke Kota Bharu ialah bermula jam 2 lebih dari Johor Bahru, kemudian transit 2 jam lebih di Subang dan sampai di Kota Bharu menjelang maghrib. Dulu ada juga ‘flight direct’ Firefly, 3 kali seminggu.
Hari ini aku ‘back to JB’ setelah 3 hari di Kelantan. Adik bongsu arwah ibu pulang ke rahmatullah pada 27 Apr 2017, jam 1 pagi.
Alhamdulillah, aku dapat berjumpa dengan sepupu dan anak-anak mereka. Semua sudah besar panjang dan rasanya kalau berjumpa di mana-mana, pasti tak kenal.
Kata orang, kalau hendak berjumpa dengan saudara mara yang jarang dijumpai, ia hanya terdapat di 2 ‘occasions’ iaitu semasa majlis perkahwinan dan satu lagi di upacara pengkebumian kematian.
Alhamdulillah, pada bulan puasa tahun lepas aku pulang ke kampung dengan 2 buah kereta dan sempat menziarahi arwah Mak Su. Aku memperkenalkan kesemua 9 orang anak-anakku kepada arwah Mak Su. Setidak-tidaknya bila aku memberitahu anak-anak, Mak Su (Tok Su kepada mereka) telah meninggal dunia, mungkin mereka dapat bayangkan wajahnya. Dan yang paling penting ialah iringan sepotong doa buat nenek saudara mereka.
Allahummag firlaha warhamha wa’aafihaa wa’fuanhaa…
Ya Allah, Engkau tempatkan roh ibu saudaraku ini disebaik-baik tempat yakni bersama-sama para solehin. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin…