Kebarangkalian Yang Tidak Disangkakan…

Subhanallah! Maha Suci Allah! Siapa sangka takdir Allah untuk mempertemukan saya dengan saudara saya yang sudah puluhan tahun tidak berjumpa.

Selalunya setiba saya dengan bas dari Johor Bahru di TBS, saya akan menaiki LRT ke Masjid Jamek dan bertukar LRT lain ke Damai. Dari LRT Damai, saya akan mengambil Grab ke UTM KL.

Tetapi hari ini, saya menahan teksi. Kebetulan pula teksi ini dipandu oleh saudara saya!

Sudah lama saya tidak berjumpa dengan Abang Li. Tapi dengan izinNya, saya berjumpa beliau hari ini.
Arwah ayah beliau memang seorang yang amat pemurah dan saudagar emas dan batu permata yang kaya.

Suatu ketika dulu, Kedai Emas Hj Wan Mohammad Bin Wan Abdul Rahman memang terkenal dan tersohor di Kota Bharu. Isteri beliau, Wan Yam dan arwah bondaku, Hajjah Che Zainab amat rapat sekali.

Kedua-dua arwah ayahanda dan bondaku ada hubungan pertalian kekeluargaan dengan arwah Wan Mohammad dan isterinya Wan Yam. Entah sepupu ke apa, akupun kurang pasti… Dan kami juga ada hubungan kekeluargaan dengan mantan Menteri Besar Kelantan, allahyarham Tan Sri Mohamed Yaakob.

Semasa hayat arwah Hj Wan Mohammad masih ada, arwah bondakulah yang akan mengagihkan wang zakat beliau kepada orang-orang miskin di sekitar Palekbang saban tahun. Arwah bonda diberi kepercayaan sepenuhnya oleh beliau.

Aku memang memanggil arwah dengan nama Abe Mad dan isterinya Kak Wan Yam walaupun yang selayaknya aku memanggil sebegitu adalah anak-anak mereka dengan panggilan abang atau kakak.

Arwah Abe Mad juga saban tahun sponsor orang miskin Palekbang untuk menunaikan fardhu Haji. Beliau suami isteri pada pandanganku adalah teramat pemurah. Aku selalu juga pergi tidur di rumah mereka. Suatu waktu dulu, mereka menyewa sebuah rumah bungalow di Jalan Merbau, Kota Bharu. Kemudian mereka berpindah ke rumah sendiri di Taman Uda Murni. Sebuah rumah bersebelahan dengan stesen minyak Petronas. Sekarang rumah itu sudah menjadi milik Kolej Teknologi Darulnaim kalau tidak silap aku…

Apapun, aku sentiasa mendoakan arwah Abe Mad dirahmati Allah dan ditempatkan bersama para solehin.

Pada masa aku di sekolah rendah, aku pernah membeli cincin zamrud dengan harga yang murah dari Abe Mad. Cincin itu masih ada sampai sekarang. Aku cuma membesarkan saiz cincin beberapa kali bagi memuatkan jari manisku.

Aku memberitahu taxi driver (Abe Li) yang aku ingin ke UTM tetapi sebelum itu aku ingin singgah di Restoran Bismillah untuk memenuhi keperluan jasmani. Aku mengajak Abe Li untuk makan bersama tetapi beliau menolak pelawaanku kerana katanya ingin mengambil penumpang yang lain. Beliau juga tidak ingin menerima tambang teksi yang aku suakan kepadanya.

Walaupun perjumpaan yang ringkas ini berlaku tanpa diduga, aku sentiasa berdoa agar Allah mengampuni dosa-dosa kami  dan dosa-dosa mereka dan tempatkan kami di sebaik-baik tempat. Ya Allah, tautkanlah kembali hubungan kekeluargaan kami… Aamiin.