Rakan Yang Sukar Dicari…

Kita sentiasa menghadapi dugaan dan rintangan. Tiada siapa yang tiada masalah. Kata pepatah, “Tanah mana yang tak pernah ditimpa hujan?”

Cuma kadang-kadang, tahapnya berbeza. Ada masalah besar pada sesetengah orang tetapi pada sesetengah orang yang lain, ia hanya masalah yang kecil dan dapat diselesaikan dalam sekelip mata. Dan begitulah sebaliknya.

Dalam kita menjalani kehidupan, kita memerlukan bantuan serta sokongan dari orang lain. Mungkin bantuan dari saudara mara, sahabat handai mahupun dari masyarakat umum yang kita tidak kenal sama sekali. Kita tidak mampu hidup bersendirian. Hidup sorang-sorang ibarat kata seperti kera sumbang!

Pada hari ini saya ingin mengimbas kembali suatu peristiwa yang berlaku lebih kurang 20 tahun yang lalu. Coretan di sini sekadar melakarkan rasa terhutang budi saya dan terima kasih yang teramat sangat kepada seorang sahabat iaitu Prof Madya Dr. Zaharuddin bin Mohamed.

Sekitar bulan Februari 1998, saya telah menempah sebuah rumah dari pihak SUK Johor. Sebuah rumah teres 2 tingkat di Taman Pulai Utama, Skudai. Harga rumah agak murah iaitu RM157,930.00 tetapi sebagai seorang pensyarah baru yang bergaji RM2,326 sebulan maka ia tidak mudah… Pada masa tu, anak baru empat orang.

Dalam masa 14 hari, saya perlu membayar 10% deposit jika tidak rumah ini akan dijual kepada orang lain.

Cuba bayangkan mana saya mahu cari RM15,793? Itu belum dicampur lagi dengan bayaran lawyer untuk Sale & Purchase Agreement. Nak pinjam dari adik beradik? Merekapun susah. Kalau dapatpun tak banyak.

Mujur saya mempunyai seorang sahabat yang sanggup memberi pinjam sebanyak RM9,800.00 tanpa interest. Saya ingat jasa beliau sampai mati! Bukan senang untuk seorang kawan memberi pinjam wang sebanyak itu.

Kita si peminjam pula hendaklah berusaha melangsaikan hutang tersebut secepat yang mungkin. Alhamdulillah, saya berjaya melunaskan pinjaman dalam masa 5 bulan.

Satu lagi yang tak kurang juga pentingnya ialah kita wajib menulis pinjaman ini di atas kertas sepertimana yang disarankan di dalam al-Quran. Manalah tahu sekiranya kita atau si pemberi pinjaman yang mati maka kita dapat berurusan dengan waris kepada si mati dalam mendapatkan kembali wang tersebut.

Perjuangan saya tidak berhenti setakat itu. Bagaimana saya ingin terus membayar ansuran rumah tersebut?

Pembayaran pembelian rumah hendaklah dibuat mengikut progress rumah itu siap. Pembinaan rumah Fasa 1 Taman Pulai Utama pula agak pantas. Kalau tidak silap saya, ia siap dalam masa 6 bulan. Saya masih ingat lagi Menteri Perumahan yang merasmikan taman ini, yakni Datuk Dr Ting Chew Peh.

Saya tidak layak untuk memohon government loan kerana belum confirmed dalam perkhidmatan. Pada masa ini, ekonomi kita meleset. Kebanyakan bank freezed pinjaman perumahan. Saya tanya semua bank, termasuk Bank Islam dan Bank Rakyat sekali.

Akhirnya, saya nampak satu iklan pinjaman perumahan dari Standard & Chartered Bank di dalam akhbar NST. Saya apply dan seorang pegawai perempuan dari Standard & Chartered Bank dari Kuala Lumpur datang ke bilik saya di UTM Skudai untuk membantu menguruskan permohonan tersebut.

Saya masih ingat, beliau mengatakan kepada saya bahawa teksi sedang menunggu beliau untuk membawanya semula ke airport. Sebelum ini belum ada cawangan Standard & Chartered Bank di Johor Bahru.

Housing loan saya lulus, iaitu Islamic Housing Loan dengan fixed interest rate of 9.5%. Itupun yang ada.