Kancil yang telah berkhidmat sejak tahun 2003 ku bawa untuk diservis.
Agak lama juga tidak diselia dan diselenggara kereta ini. Mungkin hampir setahun. Hanya ditambah minyak hitam dan airnya dan terus jalan.
Bukan apa… kerana jarang digunakan. Hanya digunakan untuk ke masjid.
Tetapi jasamu begitu besar untuk ku lupakan.
Pernah dimuatkan 6, 7 orang di dalamnya untuk ke Sekolah Islam Hidayah apabila kereta yang satu lagi mengalami kemalangan. Masa tu anak-anak masih kecil, boleh disumbat aje.
Mujur Prof Aizaini yang berhati mulia meminjamkan keretanya. Kalau tidak bersempit-sempitlah untuk masa yang agak lama, sekurang-kurangnya sebulan, membawa anak-anak ke Sekolah Islam Hidayah dari Taman Pulai Utama.
Jasa yang tak kurang penting juga ialah Kancil ini juga yang aku bawa dari Skudai ke Alor Setar selama sebulan berkampung di sana untuk mengutip data pengajian PhD.
Pernah juga aku melawat students yang membuat latihan praktikal di PTG Perlis dengan menaiki Kancil ini dari Skudai.
Kancil inilah yang menjadi kenderaan ke pejabat dari tahun 2003 hingga 2014. Sesekali terasa malu, pensyarah membawa Kancil tetapi pelajarnya membawa SAGA. Lebih terasa bila ada function semasa menjadi Pengetua Kolej dulu. Orang lain ke rumah Naib Canselor dengan kereta besar tetapi aku… Mujur ramai pengawal keselamatan pada masa itu yang ku kenal. Kalau tidak, mungkin kenderaan ku ditahan.
Wow, jasamu sungguh besar wahai si Kancil!!!
Hari ini aku belanjamu hampir RM200 untuk menukar plugmu, minyak silindermu, bulb lampumu yang telah terbakar, oil filtermu dan rotate tayarmu disertai dengan balancing dan alignment.
Teruskan perkhidmatanmu…
— at Bandar Dato’ Onn.