Kawan Datang Ziarah Raya…

Hari Raya Eidul Fitri 2017 yang pertama didatangi oleh 2 famili, kenalan dari USA. Keluarga Wan Razani yang mana saya mengenali beliau di Lafayette, Louisiana sekitar tahun 1984-1986.

Walau bagaimanapun Jani Ace (Wan Razani) sebelum ni pernah datang ke rumah saya, baik di Taman Pulai Utama mahupun di rumah sekarang.

Yang paling ‘surprise’ ialah kedatangan keluarga Aziz Mohamad Zaman yang mana saya mengenali Aziz di Azusa, CA sekitar tahun 1982-1983. Selepas itu kami berpisah selama 34 tahun sehingga berjumpa semula pada hari ini.

Saya dan Aziz bersama 23 pelajar yang lain dihantar ke Language Center of the Pacific, Azusa, California oleh JPA untuk mempelajari bahasa Inggeris sebelum memasuki universiti. Kata orang persediaan untuk mengambil peperiksaan TOEFL dan keputusan TOEFL yang baik melayakkan kita memasuki sesebuah universiti di USA.

Sebenarnya saya, Aziz dan seorang lagi kawan Dato’ Mohamad Razi Kail telah berpakat membeli sebuah kereta, Datsun B210 sekitar tahun 1983 dimana tiada seorangpun daripada kami yang mempunyai lesen memandu. Saya masih ingat, kereta yang kami beli adalah keluaran tahun 1978 dan kami share tiga orang dengan harga tak sampai US2,000.

Idea untuk membeli kereta ini datang dari si Razi yang mana bapanya adalah seorang pemandu teksi dan dia mengatakan bahawa dia selalu membawa teksi bapanya. Kami ke hulu ke hilir sekitar Los Angeles dan Long Beach dengan kereta yang dipandu oleh Razi tanpa sebarang lesen. Akhirnya, Razi berjaya mendapat lesen California. Seterusnya aku dan Azizpun berjaya mendapat lesen memandu California juga. Razi sekarang adalah seorang ADUN di Negeri Sembilan.

Pegawai Malaysian Students Department (MSD) Los Angeles yang menjaga kebajikan kami pada masa itu ialah abang Joe (YB Datuk Johari Bin Abdul) yang kini merupakan seorang ahli Parlimen. Abang Joe selalu datang menziarahi kami di Azusa. Kami merupakan batch pertama yang ditempatkan di Azusa. Jarak diantara Azusa dan Los Angeles hanyalah setengah jam driving.

Alhamdulillah, hari ini saya dan Aziz bersua kembali secara live. Sebelum ini kami hanya bertegur sapa di dalam Facebook. Aziz sudah bermenantu dan bercucu. Di usia yang sudah melebihi separuh abad ini didoakan supaya kami dipanjang umur dalam keberkatanNya dan moga-moga tautan ukhuwwah kekal abadi insyaAllah.