Saya bersekolah di sekolah kerajaan. Tiada duit yang dikeluarkan oleh orang tua saya untuk bayaran yuran bulanan, tahunan dan sebagainya. Tetapi saya seronok untuk ke sekolah walaupun berjalan kaki di tengah panas terik matahari saban hari dan kemudian berjalan pulang di waktu senja. Sekolah saya bermula tengahari dan habis di waktu petang.
Sekolah kita menumpang di sekolah orang. Di waktu pagi untuk kegunaan Sekolah Rendah Kebangsaan Kg. Laut dan di waktu petang untuk kegunaan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Kg. Laut.
Berjalan kaki dari Palekbang ke Kg. Laut bukanlah suatu jarak yang dekat. Tetapi itulah hakikatnya kita orang susah ingin menimba ilmu.
Bila kita sudah berkeluarga dan punyai anak maka kita cuba untuk memberi pendidikan terbaik untuk anak-anak. Untuk menguatkan lagi usaha memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak maka kita melibatkan diri dalam pembangunan sekolah tersebut, baik sebagai ahli lembaga mahupun sebagai AJK PIBG.
Kakak-kakak saya menghantar anak-anak mereka ke sekolah SRI ABIM di jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu. Pengorbanan mereka saya ‘salute’ jika dibandingkan dengan gaji mereka. Tetapi itu semua demi anak-anak.
Saya sendiri yang berada di Johor Bahru mulai dengan Tadika Iman, Tadika PASTI, Tadika Ihsan UTM dan Tadika Nahwal Iman. Mencari tadika yang terbaik TETAPI yang termurah… Kemudian teruskan pula ke Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah.
Kalau kita dulu sekolah percuma (sekolah kerajaan) maka anak-anak kita hantar ke sekolah berbayar demi untuk mendapat pendidikan terbaik (RM400 sebulan untuk sekolah rendah dan RM470 sebulan untuk menengah). Maksud saya terbaik duniawi dan ukhrawi.
Kalau kita dulu ke sekolah berjalan kaki maka anak-anak kita dihantar dan dijemput from door to door dengan kereta!
Kalau kita dulu hanya membawa 10 sen ke sekolah (5 sen untuk air dan 5 sen untuk makanan) maka anak-anak kita membawa RM5 ke sekolah.
Kalau kita dulu terasa sangat sangat sangat sedih untuk tidak ke sekolah tetapi anak-anak kita bergembira jika tidak ke sekolah.
Mungkin anak-anak tidak faham, untuk mendapat pendidikan di sekolah swasta, ayahnya berbelanja RM13.30 sehari seorang untuk sekolah rendah dan RM15.70 sehari seorang untuk sekolah menengah. Ini tidak termasuk duit saku, duit minyak kereta dan sebagainya.
Fenomena seronok tidak ke sekolah ini nampak agak universal. Pelajar-pelajar universitipun sama. Kalau ‘first week’ semester baru bermula, banyak kelas yang kosong kerana pelajar masih belum tiba dari kampung.
Dulu diviralkan betapa seorang pelajar miskin selalu lewat datang ke sekolah. Selalu dipukul guru kerana kelewatannya sehinggalah guru tersebut mengintai pelajar tersebut di rumahnya. Menitis air mata dan luluh hati melihat dia terpaksa menunggu abangnya pulang dari sekolah untuk diambilnya baju dan dipakai untuk ke sekolah.
Kalaulah anak-anak kita terpaksa bergilir baju untuk ke sekolah, agak-agak boleh ke mereka?
Pada saya, banyak benda anak-anak kita takes things for granted. Mereka selesa, tidur ber’air-cond’, rumah berlampu, berTV dan sesetengahnya mempunyai ASTRO, berinternet dan mempunyai gajet.
Of course, kita tidak ingin anak-anak kita tidur berpelita seperti kita dulu. Bangun pagi jelaga penuh di lubang hidung. Tetapi kita takut mereka tidak tahu asal usul mereka. Hidup mewah ber’chatting’, ber’whatsApp’ hingga ke pagi lantas subuh di masjid/surau sudah bukan prioriti!
Adakah ia salah ibu mengandung? Atau salah ayah yang menyediakan kemewahan?