Air dicincang tidak akan putus. Itulah peribahasa yang dikaitkan dengan hubungan kekeluargaan adik beradik. Walau macamanapun keadaan hubungan sesebuah keluarga, ia dikatakan tetap utuh! Betul ke?
Berkelahi, tidak bertegur sapa, hilang tiada berita dan sebagainya tetapi adik beradik tetap adik beradik. Ada yang berlainan ibu, ada yang berlainan bapa malah ada juga yang seibu sebapa tetapi hubungan dilihat semakin renggang. Tiada ziarah menziarahi, tiada menghadiri kenduri dan tiada kisah jika masih hidup ataupun sudah mati.
Hubungan yang sebegini sebenarnya hubungan yang menanti rebah! Tiada siapa yang mempedulikan sesiapa. Engkau dengan keluarga engkau dan aku dengan keluarga aku. Apa yang terjadi kepada keluargaku, ada engkau kisah? Dan apa yang terjadi kepada keluarga engkau, ada aku kisah?
Hubungan sebegini adalah hubungan yang dingin dan semakin hari semakin membeku. Air yang mengalir sudah tidak lagi. Dan akhirnya ia menjadi ais.
Lama kelamaan air batu tadi boleh dipecah dan boleh dijauhkan sejauh jauhnya…
Tiada lagi rasa kemesraan sepertimana masa kanak-kanak dahulu. Tiada lagi peduli dan mempedulikan. Masing-masing membawa haluan sendiri. Engkau susah, susahlah engkau dan aku senang, senanglah aku.
Kedua ibubapa yang sudah tiada akan mengeruhkan lagi suasana. Tiada pautan untuk kembali bersatu. Malah ia dilihat sebagai sudah tidak mempunyai apa-apa lagi keperluan untuk bersatu semula. Aku bawa keluarga aku dan engkau bawa keluarga engkau.
Kehidupan sebegini adalah lebih dahsyat dari binatang. Binatangpun kita lihat mereka masih bersama dalam kelompok masing-masing. Mereka bergerak bersama dan melakukan kerja dalam satu pasukan.
Hubungan kekeluargaan juga perlu dibaja. Dibaja dengan ziarah menziarahi, hadiah menghadiahi dan kasih mengasihi di antara satu sama lain. Pokok yang tidak dibaja akan terbantut, tidak subur dan mudah mati. Ia kelihatan tidak segar dan buruk sekali. Sebaliknya pula, pokok yang dibaja akan kelihatan subur, sentiasa mengeluarkan bunga dan buah.
Bajailah hubungan kekeluargaan kita…