Aku baru menerima sekeping gambar lama, dikirim oleh Tn. Hj. Aziz Mohamad Zaman sekejap tadi. Ia mengembalikan ingatan nostalgia lama. Gambarku dengan kereta Datsun B210 yang dikongsi oleh kami 3 orang iaitu aku, Aziz Mohamad Zaman dan YB Dato Mohamad Razi Kail (ADUN di Negeri Sembilan).
Kereta tahun 1978 dan dibeli pada tahun 1983.
Sebelah aku adalah Nazeri, pelajar MRSM Kelantan yang dihantar oleh MARA sebelum ‘result’ SPM keluar. Kami berada di tempat parkir sekitar Language Center of the Pacific, Azusa ataupun di Citrus College, Azusa, California.
Rasanya sejak dari itu, aku belum menemui Nazeri semula. InsyaAllah jika ada waktu dan diizinkan Allah, kami akan ketemu lagi.
Sudah 34 tahun berlalu? Aku pasti Datsun B210 milik kami yang dibuat pada tahun 1978 itu sudah lama masuk ‘scrap yard’ dan sekarang besinya mungkin sudah menjadi model kereta lain.
Alangkah mudanya aku pada masa itu, keluar negara diusia 18 tahun. Beberapa hari yang lalu, tanggal 1 September umurku genap 53 tahun.
Bersyukur aku dapat sampai ke usia ini dalam keadaan beriman dengan agama Islam dan mampu beramal sedikit sebanyak tetapi aku masih belum pasti apa kesudahannya nanti. Kelmarin sekitar waktu Asar, aku menerima berita kematian sepupu arwah bondaku, Wan Abdul Kadir di Kuala Lumpur.
Ya muqalibal qulub tsabbit qalbi ala deenik… Ya Tuhan yang membolak balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agamaMu. Hidupkanlah dan matikanlah daku dalam iman dan Islam. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.