Balik ke Kelantan untuk Raya Haji 2017

Banyak peristiwa yang berlaku semasa balik ke Kelantan pada cuti Hari Raya Haji yang lalu. Kami balik dengan 2 buah kereta bertolak dari Johor Bahru pada 28hb Ogos (malam) dan sampai di Pengkalan Chepa lebih kurang pukul 9 pagi, 29hb. Ogos 2017.

Antara yang sempat aku buat ialah pergi membayar cukai tanah di Pejabat Tanah & Jajahan Tanah Merah. Cukai yang dibayar ialah sebanyak RM42 untuk tahun 2017 dan 2018 bersama dengan dendanya sekali kerana lewat bayar.

Dan yang agak menarik ialah kami menghadiri walimah sepupu isteriku, 2 orang sekali iaitu anak ayah Sof dan Mek diijabkabulkan di Taman Guru, Tanah Merah.

Tidak kurang juga yang menarik ialah dapat berjumpa kembali (reunion) dengan chegu Zukarina Mohd Kassim. Kawan sekelas saya dan isteri semasa belajar di Sekolah Menengah Teknik Terengganu, tingkatan 4 dan 5 (1980-1981). Kami satu kelas iaitu Kelas 4 Bangunan 1 (4B1) dan Kelas 5 Bangunan 1 (5B1). Sebenarnya kami ke rumah bonda beliau dan Zukarina datang ke mari dari rumahnya setelah diberitahu adiknya yang kami berada di situ. Beliau baru pulang dari oversea kerana menziarahi anaknya.

Keesokannya kami menunaikan solat sunat Hari Raya di balaisah peninggalan arwah datuk dan nenekku di Palekbang Hilir. Seusai solat, kami ke Palekbang Hulu ke rumah kekanda Wan Azizah untuk menjalankan ibadah korban. Aku hanya mengambil sebahagian dari 7 bahagian lembu. 6 bahagian lagi adalah dikalangan adik beradik dan anak-anak saudara yang mengambil bahagian berkorban.

Acara penyembelihan, pemotongan, dan pembahagian selesai semuanya pada waktu tengahari. Kami dijamu dengan nasi yang berlaukkan daging korban. Organ dalaman di goreng, daging dibuat singgang serta goreng dan dimakan bersama budu dan ulam-ulaman.

Pada hari yang bersejarah ini juga merupakan hari lahirku. Aku dilahirkan tanggal 1 September 1964. Tiada apa permintaanku pada Mu ya Allah sempena hari kelahiran ini, cuma sekadar aku pohon Engkau tetapkan hatiku dengan Islam dan panjangkan usiaku dalam ketaatan kepada Mu. Hidupkan daku dan matikan daku di dalam Iman dan Islam, dengan kalimah Laa ila ha illallah, Muhammadur Rasulullah…

Keesokan harinya iaitu pada hari Raya kedua, kami bertolak pulang ke Johor Bahru. Pada masa datang hari itu, kami hanya sembilan orang tetapi pada masa balik JB, kami bertambah seorang. Abang ‘Ammar yang datang dari Politeknik Ungku Omar (PUO) ingin pulang ke Johor Bahru dahulu sebelum kembali ke Ipoh.

Alhamdulillah, kami sampai selepas maghrib di Johor Bahru. Dan Kak Long yang bertolak dari Muarpun sampai pada masa yang lebih kurang sama. Alhamdulillah… Suatu perjalanan yang menghubungkan sillaturrahim, insyaAllah!